PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Selasa, Januari 25

Jalan Satu ITU

Membumikan muhasabah baik di waktu siang dan malam adalah kesempatan Agung yang perlu diberi perhatian, kerana antara dua waktu itu manusia lebih suka berpeleseran dengan kerja dunia yang tidak sudah-sudah...






NADANYA seakan-akan sama apabila bertadabbur melalui Kalam Tuhan pada kalimah Tattaqun (takwa).. mengingatkan saya kepada Khabbab diseret di atas padang pasir kerana TAAT, kepada Suraqah bin Malik dijanjikan gelang bertinta emas Kerajaan Kisra kerana SABAR, dan kepada Salman Al-Farisi merelakan mahar kahwin diserahkan kepada Abu Darda' kerana KASIH. Formula kejayaan mereka Mentaati Allah dengan cara hidup Nabi.

Dia tahu itu JALAN MATI. Dia kata tidak mahu ulangi, tapi dia sering kalah. Kalah pada kehendak Nafsu. Kenapa kita perlu berkata tidak mengapa pada dosa kita lakukan hari ini? Mengapa perlu melepaskan kebaikan, sedangkan diri merelakan berada dalam cerca? Kenapa kita perlu tunduk pada nafsu sendiri, hingga tidak bisa bangkit? Tanyalah iman kita di mana kita mahu berakhir.

Teruskan Pembacaan>>>

Isnin, Januari 24

Kita Pasti Dipertemukan Di sana

Muhasabah sering melihat kesilapan dalam erti untuk membaiki diri. Namun andai muhasabah pada kesilapan sama yang sering berulang, sebenarnya kita menghalal perlakuan itu untuk berlaku. Kita akan melalui jalan sama; iaitu Mati. Selepas mati perjalanan kita terus berlangsung hingga detik muhasabah penghabisan di hadapan Allah. Jika kita bayangkan akhir perjalanan di syurga, apa yang telah kita siapkan?






BEBERAPA ketika kita diuji, dan bentuk ujian itu seolah-olah menghantar diri kita ke daerah putus asa. Berputus asa dari rahmat Tuhan, berputus asa daripada segala kebaikan yang dihidangkan. Maka dirinya tidak sanggup membangkit harga diri untuk sebuah rahmat tadi, hingga dirundum rasa tidak percayakan diri. Di kala itu jua tiada siapa, teman-teman, ahli kerabat terdekat sudi menghulurkan tangan meringankan bebanan, dan tinggal beliau dalam kesempitan terkulat-terkulat.

Melalui silibus kurikulum di dunia, manusia tidak terbatas membuat pada apa yang disukai malah mereka juga dihadapkan bentuk halangan yang mematangkan sebuah tindakan, bersedia atau tidak itulah yang akan menentukan kita masih bermimpi tentang penghidupan atau telah tegar dan mampat daripada segala mehnah.

Dia hanya mahu kebaikan sentiasa dilimpahi buat diri atau memberikan kebaikan itu pula kepada orang lain, kebaikan diri dikongsi dan kecelaan diri dibaiki. Kebaikan ialah sesuatu yang kita rasa selamat dan aman buat selama-lama apabila merasainya.

Hidup hari ke sehari akan menambahkan nilai angka, dan mengurangkan usia kita di sisi Tuhan. Jika hidup ini kita berbangga dengan angka yang sentiasa meningkat, sebenarnya kita telah ditipu oleh angka itu kerana dari sisi berkurangnya usia itu melekakan kita untuk menambah amal dan bekal sebelum ditamatkan hayat masa itu.

Bertambah ilmu adalah suatu kebanggaan. Ilmu itu sebagai benteng diri untuk menanggalkan atau meninggalkan keburukan yang ingin dilakukan, bahkan menguatkan disiplin jati-diri dan harga diri di persinggahan fana ini. Dunia ini tempat dia, ahli kerabat dan teman-teman seislam lain menapak kaki membekaskan pemurnian abadi dengan mengabdikan diri kepada-Nya. Mencari bahagia kerana-Nya, mencari selesa kerana-Nya, mencari harta kerana-Nya, malah mencari cinta kerana-Nya. Pemusatan setiap sesuatu itu dikembalikan kepada Allah Taala, kerana Dia-lah Pemilik Mutlak akan sesuatu itu.

Teringat kepada satu kisah suatu masa dahulu. Imam Hassan Al-Banna mengajar pengikutnya satu ibrah yang cukup tinggi nilai. Itulah dikatakan manusia baik bukan sahaja baik buat diri dan pengabdiannya malah mengajak manusia lain turut bersama-sama di jalan menuju-Nya. Ketika itu, Imam menghadiri ceramah perdana yang dihadiri oleh puluhan ribu pengikut Ikhwanul Muslimin. Beliau memberi pengisian yang hebat pada malam itu, para hadirin terpana dan terpesona mengaut ilmu sebaik mungkin. Usai ceramah, Imam turut bersama para pengikutnya mengemas kerusi dan khemah yang dipasang sambil beliau disapa oleh seorang pengikut setianya;

“Tidak usahlah Imam membebankan diri membantu kerja kami yang telah ditugaskan melakukan ini semua. Imam masih penat berceramah, menyampaikan ilmu kepada kami” sambil pemuda itu menarik tangan Imam Hassan Al-Banna daripada meneruskan niatnya untuk mengangkat kerusi.

“Tidak. Ini pun kerja bagi kudrat dikurniakan kepada-ku. Aku bimbang tentang amal-ku pada malam ini. Aku tidak tahu mana satu amalan-ku akan diterima oleh Allah sama ada ilmu-ku yang telah kalian perolehi atau kerana aku membantu meringankan kerja kalain ketika ini. Aku juga mahu merebut peluang ini bersama-sama kalian” Jawab lembut Imam Hassan Al-Banna.

Dalam soal cinta atau kasih sayang pula melambangkan kekuatan, kesepaduan seseorang di saat dia memerlukan. Dia tahu cinta itu jua milik Sang Pencipta, maka dia menadah tangan memohon kepada-Nya Tuhan Esa. Cinta seperti ombak yang merempuh pantai, ada pasang surut. Kebiasaan cinta ini dikaitkan antara dua pasangan, antara pria dan wanita, suami dan isteri, ibu bapa dan anak-anak, dan cinta diharapkan berpanjangan ialah cinta sesama muslim. Tahukah dengan hanya meluruskan cinta ke jalan betul, kita akan bertamu sebuah kepuasan dalam ibadat.

Penghidupan kita adalah mencari redha Tuhan. Dengan segala-gala ini ditujukan kepada Tuhan. Kita pasti dipertemukan di sana membuat perhitungan akhir.
Teruskan Pembacaan>>>

Jumaat, Januari 21

Diberi Kesempatan Untuk Sabar

Dzikir secara lisan seperti menyebut nama Allah berulang-ulang. Dan satu tingkat di atas Dzikir lisan adalah hadirnya pemikiran tentang Allah dalam kalbu, kemudian upaya menegakkan hukum syariat Allah di atas muka bumi dan membumikan Al-Quran dalam kehidupan. Dzikir jua apabila memperelokkan kualiti amal dalam sehari dan pemacu kreativiti baru dalam kerja dengan mengarahkan niat kepada Allah.






Sabar itu sakit... diberi peluang untuk sabar bererti menambahkan nilai taqwa kepada-Nya, malah tidak pernah mengurangi sudut pandang manusia soleh kepadanya. Sifat sabar tidak pernah berlawanan dengan mujahadah. Kekuatan dalaman memberi impak maksima agar mujahadah tidak tunduk pada ujian mahupun cabaran... dakwah Nabi melalui jalan sabar.
Teruskan Pembacaan>>>

Isnin, Januari 10

Kehidupan Sebenar Yang Dicari

Sejak kebelakangan ini saya sering berargumentasi dengan masa silam. Saya rindukan saat bersama abah dan ibu, rindukan suasana di sekolah, rindukan teman-teman yang sudah lama berpisah, rindukan masyarakat yang selalu memberi sokongan padu, rindukan saat manis dan pahit yang berupa isi kematangan hidup. Benar, saya rindukan dengan hari-hari belakang saya, bersama segala kenangan di dalamnya.







Apabila manusia hidup hanya berkiblatkan dunia semata-mata, nescaya tiada keinginan menghidu saham Akhirat. Tidak puas melahap nikmat yang tiada kekal lama, sibuk dengan urusan pejabat, sibuk menguruskan perniagaan, saham, berfoya-foya di kelab malam, semua ini tidak menjamin kebahagian sebenar yang dicari. Memenuhi tuntutan dunia semata-mata akan menghilangkan sifat qana-ah (sederhana) dalam diri, rasa tidak puas dan cukup dengan apa yang ada.

Kesibukan yang melampau.

Urusan akhirat adalah sampingan bila ada kematian, maka diadakan majlis tahlil, baca Quran. Urusan akhirat bila tibanya sambutan hari raya, majlis sambutan maulidul-rasul peringkat jabatan dan sebagainya. Tiada majlis dan sambutan ini, maka terputuslah tali hubungan dengan Sang Pencipta, tiada jugalah connection ila-Allah.

Impian duniawi menjadi pengisian di setiap petak diari. Diari awal Muharram tercatat destinasi pelancongan lima bintang, sibuk mengemas pakaian sebelum meninggalkan rumah, diri dah terlupa kerana telah meninggalkan roh Ma-‘al Hijrah. Diari bulan Ramadhan dipenuhi dengan hanya undangan berbuka puasa sahaja, puasa atau tidak lain kisah, mana ada orang lain tahu. Diari pada tanggal 12 Zulhijjah hanya terisi dengan kursus-kursus tertentu, walaupun seruan mengerjakan haji sudah sampai masanya.

“Biarlah dulu... masih kuat lagi, tahun depan boleh ke sana”

Tapi malangnya bila ke Mekah atas tiket mengejar title ‘Haji’ semata-mata selepas puas dengan segala gelaran di dunia, niat tiba-tiba berubah serta-merta tatkala kaki berjaya melepasi pemeriksaan imigresen, kotak fikiran sudah terbayang ole-ole apa yang perlu dibawa pulang, niat melencong untuk melancong.

Hati makin malap, seiring malapnya pelita hidayah.

Allah Taala berfriman;

Bermaksud: “Maka datanglah sesudah mereka generasi (jahat) yang mewarisi Taurat, mereka yang mengambil harta benda dunia yang rendah ini, seraya berkata: “Kami akan diberi ampun...” al-A’raf (7:169)

Mereka kira kesenangan dikecapi akan menjamin kebahagian di Akhirat. Berkali-kali juga saya katakan kesenangan adalah anugerah tidak terhingga daripada Allah Taala, dan tidak dikurniakan kepada orang lain.

Maka, syukurlah!

Tapi, di sebalik kesenangan, kemewahan, kekayaan tersalut bersamanya ujian, baik berupa nikmat sementara yang akan ditarik semula, atau akan terus diberi kekayaan hingga lupa untuk ber-tahmid, tasbih, dan takbir syukur, hingga ber-‘tuhan’-kan harta semata-mata. Kehidupan selamat ialah, jauh dari faqer dan terlalu kaya, berpada-pada di samping berterusan mentaati suruhan Allah Taala.

Bila bersedekah pula kerana mahu nama, kena ada liputan meluas daripada pihak media. Dengan sejumlah chek beratus-ratus ribu dipamerkan pada lampiran kecil akhbar, atau terus di muka utama bila berhasil menyumbang dana sebanyak jutaan ringgit. Riya’, mahupun ikhlas terpulang pada diri sendiri, tapi ramai mata-mata yang melihatnya sebagai bencana dan ancaman kepada si pemberi.




Hamza Namira


Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut dan menyakitinya (perasaan si penerima), seperti (rosak pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riya’)...” al-Baqarah (2:264)

Tidak alpa dengan kekayaan sementara, mesti ada pengisian kekayaan minda dan dada (budi). Tidak terlalu lalai memikirkan untuk keluar dari kepompong kemiskinan, bekerja siang malam hingga lupa tanggungjawab kepada Allah Taala, dan tidak terasa walaupun sekelumit sesal di atas penghidupan ini. Berdoa, tapi tetap sama miskin. Jangan salah sangka, teruskan usaha, jangan putus asa.

Tiada lagi air mata sesalan. Semuanya dah cukup, mahu apa lagi!

Rasulullah s.a.w ada bersabda dalam Hadith soheh, bermaksud: “Ada dua mata yang tidak akan disentuh api neraka. Iaitu mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang terus menerus berjalan (jihad) di jalan Allah” (Hadith Riwayat Tirmidzi)

Berapa keratkah dua ‘mata’ yang dimaksudkan ini wujud di dunia sekarang?
Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, Januari 1

Ke mana Halatuju Kalian 2011?

“Sesungguhnya, setiap amal perbuatan itu mestilah disertai dengan niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang itu apa yang telah menjadi niatnya. Maka barangsiapa yang hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itupun kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang hijrahnya itu untuk harta dunia yang hendak diperolehinya, ataupun untuk seorang wanita yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya kepada sesuatu yang dimaksud dalam hijrahnya itu.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)








RAMAI di kalangan masyarakat di negara kita cenderung untuk menjadikan tahun baru Masehi sebagai tahun perubahan, tahun terbaik memurnikan azam, dan memasang pelbagai cita-cita untuk digapai. Kelakuan ini akan sama, dan berulang di setiap ketibaan tahun Masehi. Malam pula di sinari cahaya bunga api, mercun sedikit membinggitkan suasana, namun meriah.

Kadang-kadang azam menggunung tadi, lupa pula bukannya akan terjadi sendiri tanpa disusuli oleh tindakan, kelakuan tidak seperti apa yang didambakan. Nah, bagaimana pula tahun baru Hijrah dahulu? Apakah matlamat hanya tinggal matlamat yang tertulis, tiada pembuktian? Tidak mengapalah jika kalian mengatakan untuk membawa bersama azam tahun baru Hijrah dengan tahun baru Masehi, namun bolehkah kita mengakhirinya jika kita sering lupa dan alpa untuk konsisten? Pastinya tidak.

Benar... matlamat, tindakan dan konsisten adalah saling bersangkut-paut.

Ke mana perubahan kita?

Jika kita suka berfantasi, beretorik, omong kosong maka kita tidak jauh bezanya dengan Mat Jenin. Mat Jenin Moden.

Alhamdulillah, saya harus memuji kepada teman-teman yang mempunyai azam. Itupun dah dikira bagus. Namun azam yang kita mahukan ialah azam pada tindakan. Betul, semuanya bermula pada langkah pertama, iaitu niat. Niat tadi hendaklah menapak jauh dalam bentuk pembuktian.

Apabila ada lakaran berupa perancangan, maka kena ada juga pembuktian. Perancangan adalah untuk memudah kita menggerakkan momentum, tahu di mana akan berakhir, ada jalan untuk dituju. Analoginya mudah, seperti kita mahu ke Kuala Lumpur dari Kelantan, sudah pasti kita telah memikirkan jalan mana harus dilalui, paling mudah dan lancar. Pembuktian pula agar kita tidak terus dilamun mimpi-mimpi di siang hari, mimpi ketika berjaga.

Itulah konsisten.

Di sinilah baru berlakunya peningkatan, ada perubahan. Perubahan pula tidak perlu drastik. Kita tahu di mana kita hendak berehat, kita sedar di mana kita kejatuhan, dan kita akan nampak apa yang perlu kita muhasabahkan, kita sedar di mana tahap kita dan upaya yang ada. Dengan perancangan, apabila kita tiba ke titik-titik tertentu, pada babak-babak tertentu, kita akan mampu menaik secara berkadaran terus dengan kehidupan, bukannya turun dan naik dengan mengikut keadaan.

Baginda s.a.w bersabda bermaksud: “Tiada lagi hijrah selepas Pembukaan Makah (Fathu Makkah) melainkan jihad dan niat yang baik” (Hadith Riwayat Bukhari)

Tahun 2011 secara rasmi bermula pada tanggal 1/1/11... dalam meletakkan satu Azam Baru (berupa perubahan atau cita-cita) pasti akan menghadapi KESUKARAN. Pasti akan ada halangan dan cabaran di hadapan. Maka Perubahan dalam PEMIKIRAN perlu kita jalani untuk mengatasi halangan dan cabaran luaran tadi. Kita berubah secara FIZIKAL, tetapi halangan dan cabaran itulah yang melatih kita berubah secara MENTAL atau SPIRITUAL.

Kenapa kita perlu berkata tidak mengapa dengan dosa noda kita lakukan hari ini? Mengapa perlu melepaskan kebaikan kepada orang lain, sedangkan kita merelakan berada dalam cerca dan tiada paradigma? Kenapa kita perlu jatuh dan tunduk pada nafsu sendiri, hingga tidak lagi bisa bangun dan bangkit?

Tanyalah diri kita, diri masing-masing... bagaimana kita mahu terjemahkan ‘kebaikan’ niat tadi dalam aplikasi seharian. Bukannya hari ini niat lain, hari lain niat lain pula. Jangan pula kebaikan yang sedikit namun keburukan terlalu banyak dapat mengaburi pandangan kita pada kebaikan banyak namun tiada dosa. Tiada siapa sangka paradigma mantap boleh merubah Umar Al-Khattab seorang khalifah agung di eranya, merubah Khalid Ibn Al-Waleed menjadi pahlawan disegani, merubah keimanan Bilal Bin Rabah menjadi sekeras batu yang menindihnya. Mereka ini telah dijanjikan tempat yang baik di Hari Akhirat.

Kita, bila lagi?
Teruskan Pembacaan>>>
 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal