PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Jumaat, Disember 31

Usia Meningkat Belum Tentu Amal Bertambah

Masa berjalan tidak dikira berapa tahun, berapa bulan, dan berapa hari kita melepasinya, namun penyaksian pada berapa banyak pertambahan amal sebelum masa itu tadi diberhentikan (Mati)









KITA pasti dipertemukan banyak ragam manusia di sekeliling. Dia peduli atau kita tidak mahu ambil tahu sebahagiannya sudah terlerai pada sebuah pilihan yang terletak pada akal yang memandu dan hati yang merasai. Pilihan terbaik ialah berdasarkan ilmu pengetahuan yang terpimpin dan amalan yang diyakini, tetap memilih walaupun pilihan tidak sebulu dengan minat dan fitrah insani, namun pilihan-Nya jua disemat jauh ke dasar.

Manusia di dunia hanya akan diberi dua pilihan sahaja, tiada tiga, tiada empat dan seterusnya, maka bermula dari penghidupan dari awal subuh hingga dimatikan buat sementara di hujung malam akan diberi hak memilih... sama ada berupa pahala mahupun dosa. Sudah pasti pahala dikira ibadat di sisi Allah Taala, manakala sebaliknya dianggap biadab.

Natijah akhir daripada hasil pilihan akan diperhitungkan sebelum dipelawa ke Syurga atau dihumban ke Neraka.

Benar.. kita adalah manusia, seorang manusia yang sifatnya tidak sempurna. Tiada yang sempurna melainkan Dia. Namun manusia masih lagi diberi pinjaman kudrat supaya menjadi lebih baik, dan bercita-cita menjadi lebih sempurna. Hari ini lebih baik daripada semalam, sudah tentu bercita-cita hari esok lebih baik daripada hari ini. Antara lain manusia hari ini jauh dari sikap berlapang dada apabila terpaksa beradu situasi bersama saudara seislam yang lain atau orang lain, kepentingan diri mengatasi sikap tashammuh (bertolak ansur) yang sepatut dihulurkan. Bertolak ansur atau berlapang dada bersalut padanya pengorbanan, mendahulukan orang lain dan sanggup membelakangi kepentingan diri sendiri.

Hati manusia sangat fleksibel, tapi fleksibel yang kita mahukan ialah seperti acuan yang digariskan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Kita diajar untuk banyak memberi baik berupa material atau spiritual yang bersifat manfaat yang bisa dipegang oleh si penerima seperti ilmu. Dari hal yang lain pula, Islam juga mengajar penganutnya supaya menerima dengan baik, kerana sampai masa kita pasti menerima dahulu sebelum benar-benar bersedia untuk memberi.

Kenapa menerima?

Pernah kita semua perasan, kenapa tiba-tiba hati kita dirundung sepi tatkala ditimpa pelbagai ujian. Kita rasa lemah, dan kelihatan seakan-akan segala sumber kekuatan sudah tertutup rapat. Ketika inilah manusia seakan-akan orang yang buta walaupun dia mampu melihat segalanya. Ramai yang bertanya kepada saya perihal masalah ini, lantas saya cuba bertanya balik:

“Bagaimana keadaan hati kalian?”

Kita lupa rupa-rupanya kita masih kurang menerima dan teliti dengan apa kita terima. Kita mungkin menerima hal baik-baik tidak kurang juga hal-hal yang tidak baik. Kita langsung tidak mahu bahkan sengaja untuk mengisi kantung hati tadi dengan dzat makanan berkhasiat, santapan kerohanian. Kegersangan pada sumur hati berpunca kita tidak pernah mengisinya dengan makanan berkhasiat tadi, kita hanya ambil tahu soal jasmani, kesihatan luaran sahaja hingga sanggup menghabiskan beribu-ribu sebulan semata-mata penjagaan aspek fizikal sahaja.

Apabila kita ditegur, dan berupa sesuatu manfaat yang bisa ditumpangi, apa salahnya kita terima sebagai suatu pengajaran dan muhasabah di atas kekurangan yang ada sebagai manusia. Hal-hal baik inilah akan menumbuhkan iman di hati, iman umpama cahaya yang menerangi kegelapan sumur hati dari terus mati. Matinya hati kerana si penjaganya tidak reti untuk mengerti, lantas tingkah-laku menjadi kaku tersungkur dari di tepian perjalanan bagi seorang hamba mentaati.

Hati ibarat bekas untuk diisi selepas menerima, kekotoran bekas boleh dikesan bila bahan yang diisi tadi bercampur dengan sesuatu yang cemar. Manusia yang perasan dan prihatin akan cepat-cepat membuang kekotoran tadi dari terus membumi di dalamnya kerana kelak apabila sudah lama mendiami, kita akan rasa seronok dan tidak mustahil akan menjadi kebiasaan untuk kita menerima hal-hal kotor itu.

Jangan sempitkan pula maksud membuang hal-hal buruk tadi, bukan selama-lamanya kita tidak boleh menerima sesuatu yang tidak baik, boleh tapi mesti ada guide-line. Bagaimana pula? Kita jadikan sempadan, peringatan berguna ketika hidup di dunia, bahawasanya kita tahu ini boleh dan yang ini tidak boleh. Adalah sesuatu yang amat cacat bagi seorang manusia, jika dia tidak mengetahui perkara-perkara buruk dalam kehidupannya. Ianya ibarat cermin diri, nilainya terletak pada kesedian kita berlapang dada, tashammuh.

Dengan kelapangan hati inilah kita bersederhana, kita masih boleh berkawan dengan orang yang hisap rokok, kita masih usaha dekati sahabat kita yang melakukan hubungan bebas, kita cuba memahami masalah remaja bermasalah dan sebagainya. Mengetahui dunia mereka bukan bererti kita turut sama, tapi menyelami rentak mereka agar mudah kita melampirkan sebuah penjagaan pada diri dan sebuah petunjuk buat mereka memilih jalan yang benar.

Kita tidak terus mensisihkan mereka tanpa berusaha merawat mereka. Kita tidak terus mengeji, tanpa mencari jalan penyelesaian untuk mereka. Tidak boleh terus menghukum di atas kesalahan, pengbodohan mereka walhal mereka sebenarnya butuhkan bimbingan bukan terus menerus menumbangkan mereka. Inilah uslubud da’wah kita.

Ingatlah, hati ini ibarat bekas, yang mana jika tidak diisi dengan air maka akan diisi oleh pepejal lain. Begitulah hati, jika tidak diisi dengan kebaikan maka akan disi dengan kejahatan. Maka isilah hatimu dengan segala macam jenis kebaikan... dengan zikir, dengan alunan al-Quran, dengan ilmu. Moga disaat itu jua, Allah Taala mencampakkan rasa ketenangan dan mencabut segala rasa kesunyian, kesunyian, kesepian yang bisa menggugat hadirnya iman.

Bersama kita muhasabah...
Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, Disember 28

Memberi: Kisah CINTA Paling Hebat

Cinta juga perlu memberi. Makin banyak kita memberi bukan bererti mengurangi apa yang kita ada, namun menambah seri pada sebuah kehidupan bermakna kerana dikenang oleh budi...








MEMANG sukar hendak mengajar manusia yang berakal mengenal cinta sejati. Mereka mudah memutar-belitkan kata-kata kerana keinginan nafsu mudah menggelocak melata, mengotori syariat yang tertulis. Manusia tahu dosa dan tahu melakukannya adalah berdosa, tetapi kemahuannya tetap membulu hingga hilang penglihatan mengintai jalan lurus. Seorang perempuan sanggup ditiduri hanya kerana termakan pujuk rayu. Si suami sanggup meninggalkan cinta si isteri demi mengejar cinta wanita di negara seberang. Mereka seolah-olah lemah longlai membuat pertimbangan kerana iman tidak seiringan cinta diberikan.

Berilah peluang kepada saya untuk bicarakan CINTA buat kesekian kalinya. Peranan cinta, jihad cinta, ketulusan cinta yang cuba saya bawakan ini adalah lahir dari nuansa cinta-Nya yang mekar bak bunga-bunga nan indah di musim semi, lain dari lain yang pernah saya puisikan. Setangginya bisa merobek jiwa hamba yang lemah menjadi kuat, keindahannya seperti pelangi selepas hujan yang mengukir warna-warna di atas dada langit, peranannya seperti air yang menghilangkan jiwa raga dari dahaga.

Begitulah cinta bekerja apabila iman memandu, tahu kepada siapa diberikan cinta, kepada siapa harus dipelihara cinta, dan ketika mana layak dihadirkan cinta. Mencintai bererti memberi. Cinta bertandang untuk menuliskan catatan-catatan manis bagi orang yang dicintainya. Cinta datang untuk menghidangkan minuman lazat agar bisa diteguk oleh insan dicintainya.

Seorang pencinta sejati tidak pernah mengerti kata kerja MENERIMA, dia hanya kenal kata kerja MEMBERI. Baginya cinta itu ialah memberi, mendahulukan orang lain dan membelakangi hak sendiri. Memberi apa sahaja agar cinta tulus mulus dapat dirasai oleh insan dicintai, kerana dia tahu di sebalik dia tidak menagih cintanya tapi ianya akan tetap hadir di penghujung babak-babak ikhlas memberi tadi.

Nah... cuba kalian cermati kisah ini baik-baik. Mereka merupakan contoh teladan cinta sejati hingga ke mati yang kita dambakan. Beliau ialah lelaki soleh yang sangat dicintai oleh nabi s.a.w dan para sahabat lainnya. Dia benar-benar seorang yang masak dalam ilmu memberi, lantas bisa dilihat kezuhudannya pada harta milikinya hanya sedikit sahaja ditinggalkan buat bekalan hidupnya yang masih tersisa. Ideanya juga telah memenangkan tentera Islam di peperangan Khandaq. Dialah SALMAN AL-FARISI.

Kisahnya begini, di saat dia merasakan sudah layak baginya untuk menyempurnakan separuh daripada agama. Dia sudah siap untuk melamar seorang gadis solehah dari kaum Ansar, yang selalu meniti di bibir para pria di Kota Madinah. Memperolehi cinta wanita solehah itu ibarat membelai cinta para bidadari di Syurga. Wanita solehah itu telah menambat hatinya untuk menuntun karya-karya indah bak lakaran pelangi... penuh warna dan cinta.

Beliau menjemput sahabat karibnya, Abu Darda’ sebagai teman bicaranya ketika bertemu keluarga wanita solehah itu.

“Subhanallah... alhamdulillah” terpancut kata-kata dari mulut Abu Darda’, tanda ta’ajub dan syukur di atas niat suci temannya itu. Dia begitu teruja kerana dapat membantu temannya dalam hal baik sebegini.

Maka menujulah mereka ke rumah wanita solehah yang menjadi buah mulut para pemuda gagah perkasa di Kota Madinah.

“Saya adalah Abu Darda’ dan ini adalah saudara saya Salman al-Farisi. Allah Taala telah memuliakannya dengan Islam, dan dia juga telah memuliakan Islam dengan amal dan jihadnya. Dia memiliki kedudukan yang utama di sisi Rasulullah s.a.w, hingga Rasulullah menyebut beliau sebagai sebahagian daripada ahli bait-nya. Saya datang untuk mewakili saudara saya ini melamar puteri kalian untuk dipersuntingnya” berkata Abu Darda’ kepada keluarga wanita tersebut. Susunan bahasanya cukup berlapik dan indah.

“Menerima kalian berdua sebagai tetamu, sahabat Rasulullah yang mulia sudah menjadi penghormatan terbesar buat kami. Dan adalah kehormatan lebih besar bagi keluarga kami bermenantukan seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang utama. Akan tetapi hak untuk memberi kata putus tetap sepenuhnya berada di tangan anakda puteri saya. Saya serahkan kepada puteri kami untuk memperhitungkannya” wali wanita solehah memberi isyarat ke arah hijab, di belakangnya sang puteri menanti dengan segala debar hati.

“silakan tuan...” balas Abu Darda’.

Selepas beberapa minit berlalu, datanglah walinya memberi kata pemutus daripada sang puteri kesayangannya.

“Maafkan kami di atas apa yang saya akan katakan”

“Kerana kalian tetamu terhormat kami, sahabat baginda s.a.w yang amat dicintainya. Kami hanya mengharap redha Allah bersama kita semua.. sebenarnya puteri saya telah menolak pinangan Salman. Namun jika Abu Darda’ mempunyai hajat yang sama, puteri kami senang menerima pinangannya dengan penuh syukur” kata-kata wali wanita solehah itu tidak sedikit pun mengejutkan Salman al-Farisi malah menyambutnya dengan alunan tahmid yang tidak putus-putus.

Subhanallah... jelaslah wanita solehah itu hanya memilih Abu Darda’ sebagai pasangan hidupnya berbanding hajat asal datang daripada Salman al-Farisi. Bayangkan andai kita berada di posisi Salman al-Farisi, mungkin kita telah menyalahkan diri kerana telah tersilap membawa pendamping, teman bicara. Namun lain pula jawapan Salman al-Farisi;

“Allahu Akbar... Maha Suci Allah telah memilih teman baik saya sebagai pengganti” dengan penuh rasa kebesaran Tuhan menyelinap ruh cinta-Nya memenuhi jiwanya yang kerdil.

“Semua mahar dan nafkah yang telah ku persiapkan ini akan aku serahkan pada Abu Darda’, teman baik ku dunia akhirat. Dan aku akan menjadi saksi pernikahan bersejarah kalian!” air mata kasih dan syukur membening suasana redup di suatu petang itu.

Itulah jawapannya... reaksinya telah melukiskan dia ialah seorang pencinta sejati... sejatinya dia bukan kerana dia sahabat nabi s.a.w yang utama tetapi rahmat kasih sayang Ilahi menemani sekeping hati kecil miliknya untuk terus MEMBERI.

Salman al-Farisi benar-benar mengajar kita sebagai seorang hamba kepada satu Tuhan yang berhak disembah tentang keutamaan dalam memberi, tidak menagih simpati untuk menerima. Dia hanya tahu satu pekerjaan besar lagi mulia sahaja, iaitu MEMBERI. Memberi tidak bererti mengurangi apa yang ada, tapi bersyukur dengan apa yang dimilki... tidak haloba dengan apa yang tiada.

Kalian bagaimana?
Teruskan Pembacaan>>>

Khamis, Disember 23

IMAN Membenarkan Cinta Hakiki

Ketahuilah, jalan iman terbentang di dunia fana ini, mempunyai halangan dan rintangan berupa syahwat, durinya adalah diri seorang hamba itu sendiri. Adapun jalan ukhrawi memilki halangan dan rintangan seperti tumbuhan beracun.



Jom sertai saya di Rezza Khanafiah Fan's Club: sila klik di sini




IMAN seorang muslim, tidak disusun di rak kedai-kedai buku. Iman adalah kepercayaan, dibuktikan dengan ujian Ilahi di dunia. Pasaran saham dunia merudum mahupun meningkat, iman tidak terkesan untuk berubah sama.

Hati tempat tumpah darah iman.

Berpeluang melangsaikan rasa ‘percaya’ pada sebuah ujian, adalah pembuktian lahirnya iman luhur di sanubari. Merasainya sendiri, adalah anugerah tiada terhingga. Nilainya jauh lebih indah daripada bunga-bunga sedang mekar pada musim semi, lebih berharga daripada segudang emas.

Kembara melihat kebesaran Ilahi, akan menambahkan lagi kasih dan cinta (iman) kita kepada Allah.

Pada saat melihat dusun-dusun kecil, pada saat melihat kebun-kebun dan tanah-tanah lapang, pada saat mengenal bentuk muka bumi, di saat melihat keajaiban pelbagai budaya dan adat resam, di saat makan di pinggir sungai, minum di lembah-lembah, dan tidur di mana pun saat malam menutup muka bumi, maka di setiap perjalanan itulah akan melahirkan iman.

Kenapa perlu mencari susah, sedangkan senang juga diberi pilihan.

Kesulitan datang sebelum kemudahan itu laksana rasa lapar yang datang sebelum adanya makanan, bila usaha memperolehi makanan tadi berhasil, maka akan terasa nikmat bila dimakan ketika bersama rasa lapar tadi.

Allah Taala memiliki rahmat yang diberikan ketika seseorang hampir berputus asa.

Andai minda seseorang itu telah mantap terhadap Pencipta, maka dia tahu bahawa Allah Taala tidak akan mengujinya kecuali ujian tersebut akan didatangkan kebaikan bersama-sama. Oleh demikian, dia makan terus merasakan faedah secara langsung daripada Allah Taala.

Kebahagian, adalah kalian berasa aman pada diri, masa depan, keluarga, dan matlamat ingin digapai. Ini terhimpun di dalam satu pakej lengkap, iaitu iman, redha terhadap Qadha’ Ilahi, Qana-‘ah dengan apa ada dan sabar di atas ketentuan-Nya.

Bahawa kematian pasti dilalui.

Dalam al-Quran terdapat hakikat dan sunnatullah tidak akan berubah mahupun hilang ditelan masa. Kaitan hakikat ini sangat hampir dengan kehidupan manusia di alam dunia ini.

Ketika penitian jalan sunnah ini, sabar seorang hamba adalah tiket kebahagian pasti. Dia mengerti, dirinya hanya milik Allah, di hadapannya pula ada suri teladan baik, iaitu baginda s.a.w dan para ulama’, di tangan ada kitab suci, di dalam hati ada cahaya kebenaran, dan di dalam nuraninya ada pemberi nasihat. Oleh itu, hamba ini akan terus mentaati dalam mengerjakan amal ibadat.

Ketahuilah, jalan iman terbentang di dunia fana ini, mempunyai halangan dan rintangan berupa syahwat, durinya adalah diri seorang hamba itu sendiri. Adapun jalan ukhrawi memilki halangan dan rintangan seperti tumbuhan beracun.

Meraih syurga abadi adalah cita-cita.

MAAFLAH WAHAI TEMAN

Cinta yang matang itu, tidak buta dengan kesalahan dan kekurangan orang lain. Nampak, tetapi hati yang cinta akan berdoa dan berusaha untuk memperbaikinya. Kita terima seadanya. Dia hamba, kita hamba.

Hamba itu lemah dan sentiasa bersalah.

Berilah maaf tanda kasih.

Adakala kemaafan terasa menggelodak tapi keikhlasan dalam menemui kemaafan itu sukar dicari. kilauanya menjadi petanda tapi cahaya itu masih lagi dalam kembara sebagai hamba. Pohonlah agar diberi hati yang suci agar sudi memberi maaf, ikhlas itu sentiasa seiring dan mengiringi kita dalam mencari-cari redha Ilahi.

Kemaafan walau mudah untuk diucapkan tetapi kadang kala, hati berdolak dalih memusingkan minda. Kadang kala pula, kesalahan dan kekhilafan sudah dimaafkan, namun kesan dari perbuatan itu lebih menyiksakan, lalu terpaksalah dipujuk hati supaya redha dengan ketentutan Ilahi.

Wahai jiwa, berilah maaf agar hati kalian tenang. Walau sepahit mana hempedu ditelan, bukan bermakna itu pengakhiran sebuah dugaan. Mungkin madunya belum mengeluarkan manisan, menanti masa di sepanjang pengembaraan.

Menangislah duhai hati demi Tuhanmu.

Begitulah kita, walaupun kita tahu yang menguji itu Allah Taala, namun sedikit sebayak hati kita memberontak jua. Kita lemah, Allah Maha Tahu tentang itu. Percayalah walau sakitnya terlalu, nanti kemanisannya juga akan berganda. Terimalah kesusahan yang sedikit demi kebahagiaan yang lebih baik dan kekal abadi.







BAHAGIAKAN RUMAHTANGGA

Manusia bijak akan menjadi orang lain bergantung kepadanya, bukan sebaliknya. Dia tidak pernah bersikap dan mengambil keputusan dengan mengharapkan orang lain turut sama berendam dalam masalah peribadinya.

Bahawasanya seorang muslim itu mempunyai falsafah hidup, prinsip, risalah, dan ketentuan yang lebih agung daripada hanya sekadar mengharap, balas dendam, dan benci.

Perjalanan hidup berumahtangga sebahagian surat cinta Ilahi.

Bahawa dugaan, kepahitan, perpisahan adalah antara isi kandungan surat cinta ini. Ada tersirat di sebalik tersurat.

Mendepani surat cinta ini, insha-Allah akan menyuburkan cinta, sekiranya kita menerimanya sebagai satu tarbiah daripada Allah. Percayalah, kita pasti akan bertemu dalam suasana yang lebih indah dan manis selepas kesulitan. Kesulitan ini adalah mahar buat saat yang indah itu.

Moga kesulitan, surat cinta ini menguatkan jiwa.

Berbahagialah isteri-isteri yang menjadi solehah hasil bimbingan dan pimpinan para suami soleh. Beruntunglah isteri-isteri meredhai kehidupan rumahtangga yang dibina. Kesusahan dan kesulitan sudah menjadi pakaian harian, nilai kasih sayang antara penghuni rumahtangga didahulukan.

Mempunyai peranan.

Peranan takwa dan Iman itulah, yang menjadi pasak melahirkan serta mengekalkan konsisten keharmonian cinta yang dirasai dengan cara dan sudut yang pelbagai nantinya. Banyak versi dan variasi. Kursus perkahwinan pastinya belum memadai membenihkan nilai-nilai yang perlu kepada bakal pasangan, jika sahaja kayu ukur sebaik para ‘pejuang agama’ sebahagiannya juga ditakdirkan untuk kecundang.

Kena pandai mencari peluang dan bertindak.

Ingatlah, ramai pasangan berpisah kerana putus cinta.

Mulai saat indah ini, membentuk rumahtangga yang sudah terbina berasaskan bahan dari isi tersirat surat cinta Ilahi tadi. Depani dengan bijaksana. Carilah kebun cinta hakiki, demi kebun cinta abadi di Akhirat kelak.


Jom sertai saya di Rezza Khanafiah Fan's Club: sila klik di sini
Teruskan Pembacaan>>>

Warkah Kasih Buat Teman

Begitu sukar mencari teman sejati, sudah tentu sehati dan semati. Sinonimnya teman itu adalah bujuk pria sama pria, wanita sama wanita sering mengundang prejudis sesal. Apakah yang kita cari dalam bersahabat wahai teman?



Jom sertai saya di Rezza Khanafiah Fan's Club: sila klik di sini



Alhamdulillah, di dalam kesibukan saya, masih sempat untuk mengisi utaian manik-manik di lembaran ini. Pasti ada antara para sahabat yang menunggu buah tangan terbaru saya. Terima kasih untuk itu.

Untuk artikel kali ini, izinkan saya berkongsi warkah kasih ini yang ditulis sebagai menemani kedukaan seorang pengunjung laman ini yang sedang meratapi pemergian ibunya tercinta. Mudah-mudahan sedikit terubat kelaraan Qalbunya menahan tusukan halus jarum kesedihan.

Inilah isi kandungan Warkah Kasih Buat Teman...




Buat teman Ku dikasihi,

Bangkitlah...

Baik buruk perjalanan hidup kita di atas hamparan duri dunia, masih ada lagi yang sudi menghulur tangan, memberi kasih dan sayang, dan turut merasai keperitan diari tersurat, memberi harapan di sebalik tersirat. Tiada hati paling sempit daripada manusia yang alpa mengingati Allah, tiada jiwa paling resah daripada manusia menggantungkan hatinya selain kepada Allah Taala.

Tidak cukup dengan apa yang ada, dan terus haloba dengan apa yang tiada.

Wahai teman...

Aku mengerti dengan apa yang sedang menimpa dirimu. Aku bisa merasai kesedihan demi kesedihan menimpa dirimu. Jatuh, dan jatuh lagi. Hinggalah kamu bangkit dalam perjuangan hidup yang telah menelan ramai manusia yang kering daripada rahmat Ilahi. Di saat kamu bangkit, tiada siapa yang sudi ambil tahu dan mahu. Kepulangan ibumu tersayang ke rahmatullah menambah lagi liku-liku hidupmu, menambah lagi bebenan yang sedia ada.

Aku tahu, aku mengerti...

Saat aku menulis surat ini, mungkin engkau masih meratapi pemergian ibumu tercinta. Namun kamu tidak perlu bersedih, kerana masih ada aku dan teman-teman yang setia di sisi.

Ibumu yang telah meninggalkan kenangan indah bersamamu sebagai anak tunggal yang kehilang kasih ayah semasa kecilmu. Kenangan yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hidupmu. bercindai, tawa, suka, ukiran senyuman dan semua yang ada pada arwah ibumu akan menjadi ubat di saat kamu merindukan belaian lembut arwah.

Maafkan aku teman. Andai di saat aku menikmati keindahan pelangi cinta dan kasih bersama insan tersayang di sisi, tidak pula dirimu yang dipaksa menongkah kedingingan dan kepanasan mehnah keseorangan tanpa bumbung menangkis kerakusannya merobek jiwa kecilmu.

Sebenarnya, arwah ibumu jua tidak mahu perpisahan ini berlaku di saat kamu perlu bangkit meredah, membaca suratan dunia yang berpuakan ini. Namun Tuhan berkehendak lain. Bukan kerana Dia benci kepada ibumu, tapi karena Dia menyayangi ibumu dari yang lain. Dia tidak menghendaki ibumu menderita dengan menahan rasa sakit yang berpanjangan. Aku yakin, itulah jalan yang terbaik bagi ibumu. Kerana Dia selalu memberikan yang terbaik bagi Hamba-Nya.

Engkau tidak perlu menyesal dengan semua yang telah berlaku sepanjang pemergian ibumu mengadap Tuhan Esa, kerana aku yakin kalau semua itu akan menjadi keinginan ibumu yang terakhir. Aku mengerti perasaan itu tidak bisa dibohongi, apatah lagi menyembunyikan kebenarannya. Aku tahu engkau sangat mencintai arwah, demikian juga sebaliknya. Tidak mungkin ibumu sanggup menyembunyikan sakitnya itu demi menghilangkan kerisauan dirimu, dan dirimu tidak pernah sirna dari menyediakan keperluan ibu di saat mudamu ini.

Ingatlah Allah di kala dukamu ini.

Tiada Syurga paling indah tika hidup di dunia melainkan ketabahan semasa rebah, kesabaran semasa meredakan baran. Tiap-tiap saat di titisan keringat itu meluaskan lagi hamparan istana di Syurga akhirat-mu nanti. Ingatlah Dia, pasti Dia memandang keperluanmu di kecercaan menakutkan ini. Ujian ini, adalah tanda kasih dan cinta-Nya kepadamu. Dia telah memilih dirimu antara seribu. Hargailah untuk kamu berubah.

Wahai teman...

Jujurnya, aku sepatutnya berasa dengki dengan keadaanmu. Aku tidak pernah teruji seperti apa diuji kepada dirimu ini. Malam pasti berlalu, bebelengu pasti patah. Dunia ini tidak pernah membiarkan seseorang hidup kekal, dan tidak pula membiarkannya dalam suatu keadaan yang beerti. Kamu mesti keluar dari kepompong ini secepat mungkin, demi janji-janji Ilahi kepada setiap hamba-Nya. Kamu pasti...

Katakanlah kepada kaum Badwi itu, sesungguhnya engkau telah dibebaskan dari perjalanan di malam hari yang kelat, gelap gelita yang pekat dan dari menempuh padang sahara yang jauh, panas lagi meletihkan. Tinggalkan kisah silam yang menjenuhkan itu. Mulakan langkah sekali lagi.

Kita pasti bangkit.

Engkau tidak perlu meminta maaf. Sebelum helaan nafas terakhir ibumu, dia sudah memaafkan dirimu. Justeru, mulakan diari hidupmu yang baru, simpanlah diari lama ini agar ianya masih segar diingatan, yang sudi menemanimu, mengagahi langkahmu, dan menjadi tempatmu bermanja senda.

Kini ibumu telah pergi. Terimalah hakikat takdir-Nya. Tentu arwah tidak akan kembali melakar diari baru bersamamu. Engkau adalah engkau.

Bangkitlah...

Peraih Cinta-Nya


p/s: artikel asal ini ditulis pada 27 Disember 2009.

Jom sertai saya di Rezza Khanafiah Fan's Club: sila klik di sini
Teruskan Pembacaan>>>

Rabu, Disember 22

Ustaz, Jelaskan Wanita Baik Untuk Lelaki Baik?

Menjernihkan Kalam Allah yang satu ini: Firman Allah Taala bermaksud: "(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia" an-Nur (24:26)


(Jom sertai saya di Rezza Khanafiah Fan's Club: sila klik di sini)


Assalamu'alaikum WBT ustaz,

Boleh jelaskn tentang; "wanita yang baik untuk lelaki yang baik"?

Ada seorang wanita yang hidupnya penuh dosa dan noda.Pernah melakukan maksiat sehingga ke tahap zina, solat tidak sempurna.Tapi alhamdulillah, selepas itu, wanita tersebut bertaubat, menyesal dan terus meninggalkn maksiat.Adakah dia tidak layak untuk lelaki yang tidak pernah berzina? Dalam kata lain, lelaki yang soleh.Adakah adil? Adakah dia berhak mendapat lelaki yag baik untuk memimpinnya ke jalan benar? Begitu juga dengan lelaki. Seoranglelaki yang pernah melakukan maksiat akhirnya bertaubat dan bertemu wanita solehah. Adakah dia layak?

Saya yakin persoalan sebegini masih ramai yang tidak jelas dan Allah Taala itu Maha Penyayang.

Daripada Saudari Zinnirah



Maklum-balas:



Wa'alaikumussalam WBT.

Biarpun Lelaki baik mahupun wanita baik di pandangan mata, bukannya penilaian baik itu kerana sahaja dia dilahirkan dalam serba baik atau tidak pernah buat salah... tapi pada perwatakan dia yang baik dan senantiasa berada dalam keadaan serba baik dari melakukan kejahatan. Dilahirkan dalam suasana baik belum tentu dia seorang mampu menjadi baik, kerana dia juga manusia biasa. Tapi kebaikan di sini diukur selama mana dia mampu berperwatakan baik pada sifat. Orang tidak baik (watak), bisa jadi akan lebih baik andai dia tahu dan mengerti bahawa hidup perlu serba baik sebagai jaminan kehidupan baik selepasnya.

Isu baik di sini umpama air dan minyak, baiknya air tidak akan selamanya dikotori oleh jahatnya minyak. Untuk dapatkan baik, hendaklah dia terlebih dahulu baik.

Kebaikan di sini ialah pada perwatakan (sifat) walaupun selama hidupnya dianggap manusia jahat, tapi apabila dia mampu berubah kepada baiknya sifat.. maka kejahatan pada nama tadi tidak akan terkesan sama pada baiknya sifat yang ditonjolkan. Tapi baiknya itu perlu berterusan, hingga dia tawar untuk kembali kepada kejahatan.


Maklum-balas Saya Wanita Biasa:


Salam ukhwah saudari zinnirah..

saya turut berminat dengan persoalan yang saudari telah kemukakan.

Saya yakin, seseorang yang telah bertaubat dan kembali ke pangkal jalan, Allah Subhaanahuwa ta'ala tidak akan mensia-siakan perngorbanan nya. Samada diberikan kurnia di dunia ini lagi ataupun di simpan untuk dianugerahkan di akhirat kelak.

Teruskan mujahadah diri, kenali perangkap-perangkap samar si iblis laknatullah. Jika kita berkenalan dengan lelaki baik sekali pun, melalui cara itu juga iblis boleh memasang perangkap nya. Perasaan cinta itu sungguh halus, iblis bisa saja menelusuri denyutan nadi kita sehingga hati sentiasa teringatkan lelaki baik tadi. Kita makin bersemangat untuk beribadah kerana hati sedang bahagia. Adakah semangat itu sama semasa sebelum dan selepas berkenalan dengan lelaki baik?? Jika luarbiasa perasaan semangatnya. Berhati-hatilah kerana tanpa kita sedari, nilai keikhlasan beribadah itu sudah dibeli dengan rasa cinta pada lelaki baik itu, bukan lagi 100% hati yang ingatkan Allah.

(Mungkin tips-tips untuk ubati hati ini Ustaz Rezza boleh beri ulasan lanjut.)

Andai tidak ada yang ingin menerima, tidak megapa. Yang penting hati kita dipenuhi dengan Cinta Illahi dan Rasul-Nya. InsyaAllah. Mujahadah hati kita.


p/s: Jom sertai saya di Rezza Khanafiah Fan's Club: sila klik di sini
Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, Disember 21

Motivasi: Dia Juga Manusia Biasa

Manusia biasa mampu mencetuskan maha-karya seni kehidupan luar biasa hanya bermula pada niat baik. Kuasa tunjahannya pasti memberi kesan semula-jadi...







PENAT... kita semua penat. Bila penat, sudah pasti tuntutan kerja lebih luas berbanding masa diperuntukkan. Kita berusaha lebih gigih, lebih tekun untuk langsaikan semua tuntutan tadi dengan penuh dedikasi, modus operandi pula ialah ikhlas, lillahi Taala, tidak harapkan balasan, dan buat rasa tanggungjawab. Jauh lebih redha daripada golongan kedua, rajin tapi kurang ikhlas, kerja dibuat bagaikan melepas batuk di tangga, serasa dipaksa, kalau bukan kerana upah,Imbang Penuh sudah pasti pahat tidak bisa bergerak.

Muthu Ravi, seorang petani di sebuah ladang estate. Beliau telah lama mengusaha ladang getah, dari pokok kecil hinggalah matang, semua itu adalah hasil usaha, jerih perih, dan tekun yang tidak pernah kenal erti malas, jenuh, dan paksa. Peluh yang meleleh keluar dari liang-liang kulit, dirembes penuh teruja, cahaya matahari sentiasa membumbung kepala, menagih kudrat. Sudah lebih 20 tahun beliau menabur keringat di atas pemurnian mulia ini, dia sentiasa yakin rezeki baik itu datang daripada Pemilik Rezeki.

Ahmad juga seorang petani, hidup berjiran dengan Muthu Ravi di perumahan kos rendah khas buat para peladang estate. Ahmad juga melaksanakan kerja seperti jiran baiknya itu, berpagi-pagian lagi ke ladang getah. Selepas tahun, demi tahun minat Ahmad pada pertanian makin pudar, hasil pendapatan tidak begitu baik. Mutu kerjanya makin hari, makin malap, ditambah lagi keperluan di pasaran sudah susut, harga getah jatuh mendadak. Tiada lagi sebunjut ikhlas tergalas di bahu, tinggal lagi rasa satu bebanan.

Maka terputuslah harap si Ahmad pada rahmat Allah.

Saya percaya, ramai juga teman di luar sana, adakala sering diserang perasaan, mehnah seperti ini, tapi tidak tahu apa perlu dibuat, dilakukan tatkala tiada lagi sebuah harapan tersisih, lupa pula kepada Tuhan Pemberi Harapan.

JUJUR, IKHLAS

Dunia adalah tempat berusaha mengenal dan mencari keredhaan-Nya, dan segala Qadha’ dan Qadar telah ditentukan melalui Sunnah-Nya, iaitu cara kerja kita, tadbir kita sebelum datangnya takdir. Akhirat pula adalah tempat kita diberikan ganjaran, keputusan dan balasan, atas segala usaha yang kita lakukan.

Apa, kenapa dan bagaimana, yang akan menjadikan kita mencapai klimak kenikmatan di akhirat nan abadi, bukanlah isu utama yang perlu dibincangkan siapa salah dan siapa benar, kerana Sunnah-Nya, bergantung pada cara kerja kita, kelak akan memungkinkan apa sahaja yang dipinta.

Muthu Ravi seorang manusia biasa, Ahmad juga begitu. Membedakan mereka bukan kerana si Muthu Ravi rajin ke kuil, atau si Ahmad malas ke masjid, tapi ikhlas. Usaha, tekun belum tentu lagi seseorang itu ikhlas. Petanda ikhlas tidak terkesan sama dengan suasana, waima keadaan selalu meleset daripada sebuah pengharapan dipinta, tapi ikhlas mengatasi segala-galanya. Tiada rasa cepat mengeluh, jauh sekali mengalah.

Keperibadian Muthu Ravi, dan sifat ikhlas bagaikan sudah mendarah-daging. Ibarat dua insan sedang bercinta, kelautan api diredah bersama, iaitu membawa makna luaran tidak penting apa yang mereka berdua lakukan, yang penting nikmat bersama. Seorang muslim perlu berbangga, kerana dia mempunyai satu Tuhan untuk disembah, tiada dua, mahupun tiga. Kebergantungan kepada Allah Taala itu selepas usaha, tekun adalah tanda ikhlas kita. Paling penting ialah kebersamaan kita dengan Pencipta, sebagaimana ibarat dua insan bercinta tadi, dan perlu diingat tiada kenikmatan di dunia setanding yang di SANA.

Benar, ikhlas...

Akhirat itu dimensinya sangat berbeza dengan kehidupan di dunia. Seolah-olah di akhirat nanti kita membawa keinginan, pemikiran, kemahuan dan nafsu yang sama. Justeru apa yang menimbulkan perbalahan di dunia, mahu diheret juga ke akhirat. Kita lupa pula bahawa Allah itu Tuhan dan kita adalah hamba.

Hamba yang banyak karenah dan sangat berkira.

Sebab itu asas agama ialah mengajak manusia menjadi hamba. Bukan hamba pada sifat luaran, material tapi hamba kepada Allah, hamba Tuhan.

BERSANGKA BAIK

Manusia matang bukan kerana berubah pada aspek luaran, berubah itu hanya sebagai petanda kita sudah tidak lagi budak, tidak lagi kecil, namun kita harus ingat gelaran ‘budak hingusan’ tetap sahaja sebati andai kita tidak pernah matang akal, matang tindakan. Ujian pula adalah satu cara mematangkan cara kita bertindak, mahupun berfikir.

Ramai manusia, lebih-lebih lagi di kalangan orang muslim selalu bersangka buruk dengan takdir tertimpa ke atas dirinya, keluarga. Ujian sebenarnya adalah habuan kalian bila berhadapan pelbagai karenah dunia, ibarat cermin sisi melihat jauh ke belakang tapi matlamat kita memancu laju ke hadapan. Ujian itu adalah medan kita melihat, menilai.

Manusia alpa di persinggahan sementara ini, mereka akan terus hanyut dibawa arus membadai. Ibarat juga, seorang pemandu di kenderaan off-road yang tidak dapat melihat sekeliling, apabila tanah penuh menyeliputi cermin, dia seronok memandu ke sini sana. Melainkan dia mempunyai wiper yang berkesan membersihkan cermin bagi melihat arah pancuannya. Malangnya pembersih roh tidak semudah analogi membersih cermin kereta tadi.

Kalau kita jadi seperti Muthu Ravi, serasa memang ada kesulitan, sukar untuk diungkapkan dan dibicarakan kepada mereka yang tidak merasa. tapi atas hikmah tarbiyah yang dilalui, atas kekebalan hati untuk terima kehendak-Nya dengan redha merupakan satu mujahadah yang menghasilkan pahala, maka hati kita tetap terpujuk, dan tidak akan terpukul sama.

Wahai teman...

Sejauh mana hati kita lunak dengan pujian manusia, atau asyik dengan ujian ketabahan dan kekebalan hati yang Allah Taala beri, kita yakin ada lagi perkara lebih besar yang bakal berlaku dalam hidup ini. Jadi apa sahaja perkara ‘kecil’ yang berlaku, tidak akan memberi kesan yang serius dalam hidup kita, kerana matlamat kita adalah akhirat.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Oleh itu (tetapkanlah akan kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertakan kemudahan. Sesungguhnya (sekali lagi ditegaskan) bahawa tiap-tiap kesukaran itu disertakan kemudahan” ash-Sharh (94:5-6)

Jadilah hamba kepada satu Tuhan untuk dipersembahkan keikhlasan beribadat, melakukan kebajikan, bukan kerana untuk membahagiakan ‘tuhan-tuhan’ kecil semata-mata kerana habuan dunia.

Kita akan tewas selama-lamanya sebelum sempat berjuang.

Teruskan Pembacaan>>>

Isnin, Disember 20

Bolehkah Ber-SMS Antara Lelaki Dan Perempuan Ajnabi?






Assalamua'alaikum WBT ustaz,

Adakah dibolehkan berkirim SMS atau chat antara muslimin dan muslimat ajnabi tanpa sebarang urusan penting? Contohnya hanya untuk ta'ruf (berkenal-kenalan).



Maklum-balas:


Wa'alaikumussalam WBT.

Ulama' yang menetapkan hukum bagi sesuatu masalah timbul bukan berdasarkan hawa nafsu semata, kerana mereka juga melihat sisi manfaat dan mudharat. Harus bagi seorang muslimin dan muslimat berhubung melalui apa sahaja medium asalkan mereka masih lagi mampu menjaga dan mengawal nafsu mengatasi akal. Bayangkanlah kalau nafsu diutamakan hingga hilang pertimbangan akal, maka sudah tentu hukum harus tadi menjadi makruh dan mungkin jatuh haram.

Tepuk dada dan tanya Iman saudara, kita apakah mampukan Iman mengatasi nafsu? Jawapan di tangan kalian, kita semua.
Teruskan Pembacaan>>>

Ahad, Disember 19

Memberitahu Kerana Kita Tahu Bukan Menegur








Assalamua-'alaikum WBT ustaz,

ANa ada satu soalan. Masalah ana ialah setiap kali pulang bercuti dari kampus, dan hadir ke masjid di kampung apabila hendak berkomunikasi dengan orang tua. Mereka bersemengat datang ke masjid tetapi saya lihat mereka tidak pernah menjaga soal soff, rapatkan soff solat. Mereka akan membawa sajadah masing-masing, disebabkan sajadah setiap satunya agak besar, jadi ianya telah membuka ruang yang luas antara seorang makmun dengan makmun yang lain. Ana selalu solat di tepi ibu agar ana dapat rapatkan soff ana dengan ibu untuk mengelak daripada masalah ini.

Ustaz, apakah hukum seseorang yang tidak merapatkan soff solat. Dan bagaimana saya hendak menegur mereka dalam masalah ini, bimbang dianggap kita lebih pandai daripada mereka?

Daripada; Ukhtinita


Maklum-balas:



Wa'alaikumussalam WBT.

Terima kasih kepada ukhtinita yang sudi bertanya.

Saya anggap ianya masalah picisan yang timbul di dalam masyarakat kita. Boleh saya katakan golongan ini, masih terbawa-bawa idealogi (cara berfikir) sejak dahulu lagi, mungkin sudah terbiasa melakukan sebab tiada orang yang sudi menegur, maka ianya sudah menjadi kebiasaan. Pendek kata membuat sesuatu tanpa ILMU.

Jujurnya, solat para jamaah masih lagi SAH asalkan tidak meninggalkan rukun solat, dan syarat sah solat, kerana merapatkan soff itu ialah sebahagian daripada kesempurnaan solat. Ibarat sebuah rumah tanpa tandas, walaupun dari sudut fizikal rumah berkenaan boleh didiami, tapi ianya belum sempurna disebabkan tuan rumah tidak peka maslahat 'perut'. Begitu juga solat itu tadi, masih lagi sah tapi belum sempurna. Apabila belum sempurna, maka kita tidak layak memperolehi pahala penuh.

Dalam hal ini, orang berilmu seperti ukhtinita yang patut memberitahu, bukan menegur. Ingat.. kita hanya memberitahu (menyampai) atas kondisi kita lebih tahu daripada mereka, bukan menegur disebabkan kita lebih tua daripada mereka.

wallahu 'alam.
Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, Disember 18

Hukum Warna Rambut Satu Persoalan Dipandang Remeh







Assalamualaikum Ustaz...

Saya teringin untuk mewarnakan rambut tetapi tidak bertujuan untuk menunjuk-nunjuk sekadar untuk diri sendiri kerana saya seorang yang bertudung. Adakah menginaikan rambut bagi rambut yang tidak beruban haram kerana mengubah ciptaan Allah Taala? Apakah hukumnya mewarnakan rambut? Bagaimana pula dengan kawan saya menggunakan teknik bleach untuk melunturkan warna rambutnya,kemudian menginaikan rambutnya.

Apakah hukumnya ustaz?

Daripada; Zahra Qalesya



Maklum-balas:


Wa'alaikumussalam wrh wbt.

Terima kasih kepada Zahra Qalesya kerana sudi bertanya.

Dalam persoalan ini para ulama' berselisih pendapat dalam hukum mewarnakan rambut dengan melihat pelbagai aspek antaranya tujuan mewarna, jenis warna, dan siapa dibolehkan mewarna. Namun, menurut jumhur (kebanyakan ulama') mengharuskan seseorang mewarnakan rambut tetapi perlu melihat beberapa aspek yang dinyatakan di atas.

Kebenaran yang dibenarkan tanpa ada khilaf ialah sekiranya seseorang yang mewarnakan rambut dengan niat dan tujuan untuk memulihkan penyakit, kerana pada fikirannya dan pakar perubatan jika tidak berbuat sedemikian akan mengakibatkan penyakit makin mudharat atau boleh membawa mati... maka harus kepadanya melakukan hal sedemikian kerana di sini nyawa menjadi keutamaan.

Harus baginya juga bagi tujuan jihad, berperang di medan pertempuran dengan musuh Allah, di mana tujuannya adalah untuk menakutkan musuh Allah Taala. Ini bersandarkan kepada Hadith Nabi s.a.w;

Sabda Nabi s.a.w bermaksud: "Tukarlah ia (warna rambut, janggut & misai ) dan jauhilah dari warna hitam" (Hadith Riwayat Muslim)

Harus juga bagi seseorang yang ingin mewarna rambut dengan tujuan (niat) menutup keaiban yang ada seperti menutupi uban di kepala di mana usianya masih dianggap muda, atau warna hitam asli di rambut tidak sekata dan nampak hodoh, atau dia dilahirkan rambutnya bukan dalam keadaan normal. Tapi ianya harus apabila kelihatan janggal dengan keadaan sekeliling, namun jika uruf kaum atau penduduk setempat kesemuanya mengalami hal yang sama secara semula-jadi maka tidak dibenarkan syara'.

Jenis pewarna dibenarkan syara' ialah apa sahaja warna asalkan ianya tidak bersifat kekal dan tidak menyekat air daripada meresap ke dalamnya, halal dan suci, tidak mendatangkan mudharat kepada si pemakai. Namun lebih afdhal ialah warna perang dan merah.

Kesimpulan;

Dalam kes saudari hukumnya adalah haram, kerana saudari tiada tujuan dibenarkan syara' untuk mewarnakan rambut, kerana mewarna rambut tanpa tujuan adalah haram mengikut kesepakatan ulama' kerana mengubah ciptaan Allah Taala kecuali ianya adalah kehendak si suami tapi dengan syarat wanita tersebut seorang yang bertudung (menutup aurat) di luar rumah, dan ianya hanya untuk suaminya sahaja.

Bukan bertujuan meniru fesyen dan budaya barat seperti budaya punk dan sebagainya adalah haram kerana jelas bukannya datang daripada ajaran Islam.

Tidak mengandungi unsur penipuan seperti usia tua tapi dikenakan warna rambut warna hitam.

Manakala masalah teman saudari sama ada dia lelaki mahupun perempuan dengan tiadanya sebab-sebab yang mengharuskannya berbuat sedemikian seperti disebutkan di atas maka hukumnya tetap haram (pandangan mazhab Imam Syafie)

wallahu 'alam

Teruskan Pembacaan>>>

Jumaat, Disember 17

Dilema Anak Muda Kahwin Selepas Millenium

Pengalaman sebelum menjadi isteri dan pengalaman sebelum menjadi ibu berbeza dengan sesudahnya. REDHA kunci terkuat untuk membina kekuatan diri. Kalau jauh REDHA dari hati, macam-macam boleh jadi. Seorang wanita bukan sahaja sebagai isteri dan ibu tetapi juga anak kepada ibu mertuanya, kakak dan adik kepada ipar-iparnya dan cucu kepada datuk dan nenek suaminya







Assalamualaikum ustaz,

Kawan saya nak mendirikan masjid pada 5hb/Nov/2010 bersamaan 28 zulkaedah 1431H. Beliau sudah berbincang dengan keluarga mengenai tarikh tersebut. Akan tetapi baru-baru ni neneknya membantah, katanya tidak elok kahwin sebelum wukuf di Arafah. Betul ke ustaz?


Maklum-balas:


Wa'alaikumussalam WBT,

Masalah terbesar masyarakat kita era ini ialah masih terbelenggu dan berpegang pada satu-satu kepercayaan ADAT mengatasi IBADAT, seperti juga soal MAHAR yang pernah saya bincangkan sebelum ini. Dalam Islam nikah kahwin tidak mengira masa dan ketika kecuali mereka yang sedang mengerjakan HAJI, maka ianya diharamkan melanggar perkara yang membatalkan ibadat haji sebelum TAHALUL pertama.

Justeru, bagi mereka yang ingin melangsungkan perkahwinan ini patut dialu-alukan. Tiada masalah untuk melangsungkan perkahwinan pada tanggal berkenaan. Soal kahwin adalah soal bersama, maka berbincanglah elok-elok antara kedua-dua belah pihak keluarga. Paling penting saling meredhai antara satu sama lain.

Barakallahu lahum wa-Jama' Bainahum Fil al-Khair.

Teruskan Pembacaan>>>

Khamis, Disember 16

Sudah Tahu Maksiat Couple Tapi Masih Dilema

Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Nabi s.a.w. pernah bersabda; “Sesungguhnya Allah Taala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat, sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti" (Hadith Riwayat Muslim)





Assalamua-'alaikum WBT,

Ustaz, bagaimana jika seseorang itu sudah terlanjur dengan teman lelakinya an sekarang ini dia dah mula sedar bahawa couple itu banyak buruk dari kebaikan. Couple itu haram dan mula sedar segala perlakuannya adalah salah di sisi Islam. Tetapi dia takut untuk minta putus dengan teman lelakinya kerana takut tiada orang sudi menerimanya di masa akan datang sebagai isteri. Teman lelakinya ada berjanji untuk menjadikannya isteri namun dia masih meragui dengan janji tersebut.

Adakah dia patut meninggalkan teman lelakinya atau tetap terus bercouple?


Maklum-balas:


Wa'alaikumussalam WBT,

Dalam Islam tiada istilah couple, ianya adalah propaganda Barat yang menyerang minda muda-mudi bukan sahaja di negara kita bahkan di seluruh dunia.

Islam tidak pernah menghalang fitrah suci manusia yang ingin bercinta dan dicintai, tapi ada saluran dan jalan yang telah digariskan. Kalau saya bertanya kepada saudari perihal ber-couple sebelum kahwin, apakah banyak kebaikan atau keburukan? Nah, saudari sendiri setuju apabila couple boleh membawa kepada bebenan jiwa, malah lebih dahsyat ianya membawa kemungkaran kepada Allah Taala. Nikmat kita rasai sekejap sahaja, sedangkan bebenannya semasa di dunia lagi tidak mampu dipikul, apatah lagi dosa kalian ditanggung di Akhirat pula.

Nasihat saya, jauhilah maksiat couple yang boleh menjejaskan tumpuan saudari sebagai hamba kepada Satu Tuhan.

Memang agak sukar untuk mengekalkan perubahan baik yang telah diusahakan, dan apabila keadaan di sekeliling seakan-akan tidak menyokong terutama datang daripada ahli keluarga, saudara mara dan para sahabat.

Tidak bererti saudari tinggalkan maksiat couple tiada siapa yang sudi menerima, kerana sudah pasti akan menilainya dari sudut matang dan positif. Maka bermula daripada perubahan pertama, dan seterusnya untuk menjadi baik dan solehah, usahlah dirisaukan taqdir-Nya masih bersama saudari, dan mereka yang sentiasa ingin menjadi baik dan baik dari semasa ke semasa.

Moga perubahan yang sedang cuba dilakukan ini akan berkekalan dan semoga kita sentiasa berada di atas landasan yang baik mengikut perintah Allah Taala. Bukan mudah tapi kita perlu berusaha dan tidak cepat berputus asa. Hidup sentiasa akan tenang walau apa jua cabaran yang mendatang apabila kita bergantung harap sepenuhnya kepada Allah Taala.

Wallahu 'alam.
Teruskan Pembacaan>>>

Rabu, Disember 15

Sering Tersasar Kerana Kesalahan Diri

Kita sering hilang mujahadah disaat kita sendiri menagih dan memerlukannya. Kesilapan itu datang daripada kealpaan kita sendiri. Silapnya datang daripada tangan yang memilih dan kaki yang melangkah.





Assalamualaikum ustaz,

Saya mempunyai masalah untuk bangun mengerjakan Solat subuh... liat sangat. Untuk pengetahuan ustaz, saya merupakan seorang pekerja yang belajar secara sambilan. Saya sangat risaukan keadaan diri saya yang tidak berdisiplin untuk bangun Solat Subuh. Menjadi masalahnya, kadang-kadang saya terpaksa berjaga hingga larut malam untuk siapkan tugasan pensyarah sehingga kadang-kadang jam 3 pagi baru tidur. Saya tahu Allah Taala murka pada umatnya yang tidak kerjakan solat sedangkan solat Subuh cuma 2 rakaat, tetapi Subuhlah yang paling berat buat saya.

Sudah pelbagai cara saya usahakan seperti kunci jam, niat dalam hati sebelum tidur, baca doa dan basuh kaki sebelum tidur. Insya-Allah semua dah saya cuba tapi saya masih tak mampu nak bangun. Saya sangat berharap ustaz dapat bagi tunjuk ajar atau ada apa-apa panduan supaya jadikan diri saya ini berdisiplin. Kalau ada doa-doa yang berguna juga saya amat menghargainya.

Terima kasih ya ustaz!


Maklum-balas:


Wa'alaikumussalam WBT.

Masalah bangun subuh atau apa sahaja yang memerlukan seseorang mujahadah (berusuha lebih daripada kebiasaan) ialah disiplin. Tiada siapa yang mengubah kita, dan cara kita melainkan kita sendiri. Sudah tentu disiplin tadi akan mengawal segala tindak-tanduk dan gera-geri kita menjadi seperti apa kita mahukan. Soal disiplin tidak datang dengan mudah, ianya perlu pada rangka dan matlamat ingin dicapai, maka barulah di sana ada usaha untuk menggerakkannya.

Ianya bermula daripada niat kita terlebih dahulu. Kalau saudara menghadapi masalah bangun awal pagi, solat subuh.. maka saudara lebih mengetahui apakah kondisi sepatutnya saudara lakukan, mungkin saudara boleh mengurangi waktu bekerja melibatkan kudrat tubuh badan, belajar sahaja memerlukan kudrat dalaman yang lebih apatah lagi yang memerlukan kekuatan fizikal berlebihan, maka saudara telah memaksa diri membuat sesuatu di luar lingkungan normal kekuatan tubuh badan.

Selain itu, saudara boleh juga amalkan mengambil wudhu' terlebih dahulu sebelum hadirnya niat, baca doa dan sebagainya.

Semua ini perlu dilihat pada sudut positif, jangan cepat putus asa.

Nabi s.a.w pernah bersabda;

Bermaksud: “Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah Taala dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka” (Hadis Riwayat Muslim)


Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, Disember 14

Saya Wanita Biasa. Hanya Sebuah Respon






Artikel kali ini, saya ingin memaparkan maklum-balas daripada seorang pembaca laman ini kepada seorang pembaca yang lain. Saya kira ianya satu respon yang baik, berhikmah dan patut dikongsikan sebagai suatu peringatan yang membawa pengajaran.

Reszu;

saya ingin mendapatkan pandangan ustaz berkenaan soal pemilihan jodoh lebih-lebih lagi bagi seorang perempuan.Saya sedang berkawan dengan seseorang, dan mempunyai perasaan terhadapnya.

Saya telah pun melakukan solat Istikharah, namun tiada petunjuk yang saya perolehi. Hati saya jadi tak keruan dengan hubungan ini. Adakah dengan cara ini saya perlu memutuskan hubungan dengan dia? Adakah mimpi satu cara yang akan Allah tunjuk atau munkinkah dengan cara lain untuk kita tahu mana satu pilihan yang Allah minta kita buat?



Assalamu'alaikum Rezsu,

salam ukhuwah saudari, saya terpanggil untuk memberi pandangan apabila baca masalah saudari. Memang susah hidup kita ni apabila hati tidak berada dalam keadaan tenang. Kita yang perlu cari ketenangan tu, saya memuji usaha saudari yang telah memilih untuk lebih meletakkan harapan dan pertolongan hanya kepada Allah kerana memang Allah lah yang layak untuk menerima perhatian kita melebihi perhatian kita kepada manusia dan kebendaan yang lebih disukai oleh hawa nafsu kita.

Justeru, fahamilah kehendak hati itu, bukan kasih manusia yang 'ia' cari tapi kasih dari 'pemilih hati' itu. Fahamilah juga, kenapa Allah datangkan ujian sebegitu, Allah sebenarnya sedang mendidik hati kita kepada siapa perlu di luahkan cinta, kepada siapa kita meletakkan harapan. Bahagia itu kurniaan Allah, jadi kenapa kita menuntut bahagia tu daripada manusia yang sama lemah yang tiada daya seperti kita. Mintalah pada Allah, temui dulu cinta itu untuk Allah, cari jalan untuk lebih dekat dengan DIA, walau dengan apa cara sekalipun saudari lakukan semata-mata untuk merasakan dekat dengan Allah, percayalah sebenarnya Allah telah dulu lebih mendekat kepada saudari. Untuk sentiasa rasa lebih dekat ini, saudari hendaklah terlebih dahulu memutuskan apa saja halangan yang menjadi penyebab kepada terhijab hati untuk mendekat. Salah satunya ialah putuskan hubungan dengan lelaki yang bukan muhrim kita. Susah bukan? mula-mula memang susah, oleh itu hendaklah sentiasa memohon pertolongan Allah dan usaha sungguh-sungguh melawan kata hati yang mengajak kepada maksiat hati dan anggota kerana setiap bisikan yang lahir di hati kita selain daripada mengingati Allah adalah bisikan yang dilemparkan oleh syaitan. Cinta itu sebenarnya senjata syaitan untuk menjerat manusia macam kita ni kedalam lembah maksiat dan lebih berani untuk bermaksiat kepada Allah. Takutlah kepada siksa yang akan datang di hadapan dan belakang kita. Jauhi cinta, maka lebih dulu kena menjaga batas pergaulan dengan lelaki. Seruan ini lebih jelas saya kira.


Insya Allah, satu masa nanti saudari tak kan sedar pun betapa mudahnya hati saudari melupakan lelaki tersebut, seolah-olah seperti mimpi. Percayalah, apabila pertolongan Allah telah datang, kesulitan dan kesusahan kita sebelum ini akan lenyap seakan-akan kita hanya bermimpi semalam. Itulah pengalaman saya. Berkenaan petunjuk dari Allah melalui mimpi mahupun keyakinan, terimalah dengan hati yang tenang kerana keraguan dan tidak yakin yang timbul itu adalah bisikan dari syaitan. Syaitan kerja dia memang menimbulkan perasaan was-was, ya ke tak, perasaan tak yakin sedangkan petunjuk Allah sudah jelas. Rujuk balik kepada hukum Allah, cinta yang tidak benar akan mengundang celaka pada diri kita sendiri, kerana cinta yang Allah redha hanya apabila sudah sah bergelar pasangan suami-isteri. Sabarkan diri, jarakkan diri, bina benteng diri. Macam mana nak bina tu kena mintak pada Allah dan hidup bersama Allah.

Insya Allah, mudah-mudahan Allah mempermudahkan urusan saudari. ameen.

-wallahu 'alam, tiada daya upaya serta kekuatan melainkan dengan Allah-

Daripada; Saya Wanita Biasa.

Teruskan Pembacaan>>>

Isnin, Disember 13

Sudahkah Kalian Siapkan Diri? Demi Cinta-Nya...

MATI juga suatu peringatan lembut bagi manusia. Kerana tiada siapa mampu mendabik dada. Kaya, berjawatan, berpengaruh akhirnya ke liang lahad juga di-makam-kan. Taqwa jua dibawa pergi...





BETAPA susah bila berhadapan manusia ramai, kita sangka semua manusia akan bersikap baik seperti mana kita bersikap baik kepada manusia lain. Kita tidak kisah apa kata orang, apa orang lain lakukan, matlamat kita hanya satu biarlah kita susah, jerih tapi kita mampu membuat orang lain senang. Kita bekalkan keazaman kuat kerana hidup di dunia ini persinggahan, kebun ini tempat kita bercucuk tanam, mencari-gali sumber, kerana kita pasti dan yakin hasil kita perolehi bukan tujuan utama di dunia tapi di hari pembalasan, hari di mana tiada satu pun peduli, harta tidak lagi laku, rasuah tidak lagi diguna-pakai, salah tetap salah.

Betapa sukar kita meninggalkan kehidupan serba mewah di dunia, tidur di atas tilam hamparan harta, menu hidangan lima bintang, set audio home-theater memenuhi ruang tamu, dan gelaran berbintang-bintang.

Ujian berat ialah keselesaan hidup. Selesa dengan rumah berjuta ringgit, kereta mewah, keseronokan tinggal dirumah bersama anak-anak dan isteri sehingga lupa perjuangan, sunnah hidup seorang muslim di persinggahan ini. Gaji berpuluh ribu ringgit sebulan dan jawatan yang tinggi melalai manusia dari jalan al-Haq.

Ujian di dalam diri adalah lebih besar dan menakutkan. Kerana ianya tidak nampak dan hanya berlegar di ruang fikiran. Kita akan berperang dengan diri, bukan orang lain. Segala keputusan di tangan kita, baik buruk jalan kita lalui adalah kebergantungan pada kaki kita melangkah. Bukan berbentuk ujian fizikal dan material, tapi berbentuk mental dan spiritual. Berjihad di zaman ini bukan lagi berjuang di medan perang, kerjaya atau politik semata-mata, tapi di medan minda, intelek dan nafsu. Keikhlasan kita hanyalah pada Allah Taala.

Mati itu pasti, sebaik-baik para pejuang pun masih dilema menghadapi mati.

Semakin mendekati Tuhan, semakin kuat cabaran dan dugaan-Nya. Hingga merintih untuk diringankan dugaan itu, dan diberi ketabahan untuk menempuh dugaan itu. Keyakinan untuk melihat silver lining pada suratan takdir itu tidak boleh pudar, kerana hanya itulah harapan yang ada, husnul-khatimah menjadi cita-cita kerana peluang terbaik dihidangkan ialah mati dalam iman. Matlamat satu ini amat digeruni kerana sejarah juga telah tercatat sebaik-baik muslim bila akhir helaannya tiada hembusan syahadah, maka sia-sia belaka.


Allah Taala berfirman, bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya” Ali-Imran (3:185)


Masih ramai manusia merana kerana hidup dalam kepuraan-puraan, mengejar sesuatu belum pasti menjadi aset abadi. Jenuh, penat berkejaran mencari kepuasan sementara, hingga lupa. Alpa pada penghidupan abadi. Baik atau jahat seseorang itu di dunia, mati mereka akan hidup semula, membezakan mereka adalah amal dan natijah akhir dari proses keadilan di mahkamah Rabb.

Kita tahu setiap pertama ada akhir, ada mula ada akhir. Hidup dan mati adalah pasangan abadi menemani agenda hayat mansuia, seperti mana wujudnya siang dan malam, perempuan dan lelaki, dosa dan pahala, berpasang-pasangan. Tidak ada yang hidup andai tiada kematian, bahkan kematian adalah tiket pas masuk ke alam lain pula, meninggalkan alam persinggahan di dunia, singgah pula di alam Barzakh.

Mungkin kita boleh melakukan botox untuk kekalkan kulit keremajaan, menggunakan kecanggihan sains dan teknologi mengubah keadaan kulit agar nampak lebih muda dari usia, meregangkan kulit. Boleh.. tapi setahu saya tiada lagi walaupun secanggih mana sains dan teknologi sekarang bisa mengekalkan keutuhan kudrat bila dah sampai tua, fikiran setajam dulu, dan perasaan bernafsu seperti di era keremajaan. Tiada lagi keinginan untuk ke kelab, tiada lagi urusan pejabat, tiada lagi pangkat disandang, semuanya ditinggalkan, hanya menunggu saat rebah jasad di dalam tanah.

Kalau kita perasan, sebenarnya kulit kita pun merupakan salah satu indikasi bahawa tiada satu pun manusia bisa menahan, mahupun mengelak.

Kisah hidup kita akan diputar kembali.

Kita tidak bisa lari lagi, sedangkan lembaran masa akan membawa kita berlari-lari ke hadapan. Mundur ke belakang, bererti kita membelakangi fitrah kejadian manusia, daripada tiada kepada ada, maka adanya kita kelak akan ditiadakan, hinggalah kita diadakan semula di hari perhitungan.

Bekal kita adalah pahala, berupa kredit kita di alam seterusnya. Kita harus bekerja keras untuk dapatkan kredit tersebut, amalan ruhiah dan jasadiah dijadikan ibadat, bila niat kita adalah untuk ibadat, sudah tentu Maha Pemberi Kredit akan menulis, mencatat kebaikan berupa pertukaran kepada pahala pada akaun kita. Bila saat kita menghembus sisa penghidupan di dunia, maka di sinilah kad kredit akan dibekalkan agar kita dapat membelanja semasa berada di alam keseterusnya.

Siapkah kalian untuk meninggalkan persinggahan ini? Akaun kalian sudah penuhkah?

Ingatlah, perjalanan seterusnya amat jauh, bekal mesti cukup. Jangan pula disebabkan kebodohan, kebejetan, dan kedangkalan kita membuat bekal akan memakan diri sendiri, tiada lagi rintihan kalian didengari di sana, tiada siapa pula sudi menemani perjalanan kalian melainkan amal kalian di dunia.


Allah Taala berfirman, bermaksud: “Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang dating mengadap Allah dengan hati sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)” as-Syua-ra’ (26:88-89)


Pas masuk ke alam seterusnya adalah kematian. Sudahkan kalian siap? Muhasabah dan koreksi diri, agar pertemuan dengan al-Khaliq tiada sia-sia.

Demi cinta-Nya... kita akan dikembalikan.

Teruskan Pembacaan>>>

Khamis, Disember 2

Perjalanan DUNIA Destinasi AKHIRAT






KEHIDUPAN dunia adalah sementara yang merupakan persinggahan yang pasti dilalui. Dunia ibarat lapangan peperiksaan kita selepas menempuh satu pengajian yang lama ketika berada di alam roh dan rahim. Peperiksaan ini harus ditempuhi sama ada kita bersedia atau sebaliknya.

Bagi mereka yang peka dan tahu apa yang harus dilakukan, semestinya telah membuat persediaan rapi dari awalnya lagi, agar setiap jawapan yang dicoret akan menghasilkan nilai yang tinggi, dan seterusnya mendapat tempat di menara gading iaitu Syurga.

Aturlah kehidupan dari sekarang, jangan terlopong kekosongan antara liang-liang usia meninggalkan bekas kekotoran akibat perbuatan tangan sendiri. Degil kekotoran sukar dibasuh, apatah lagi menanggalkan jejaknya.

Kadang-kadang terasa lemah, dan rasa tidak bermakna untuk menyampai dan mengajak kepada kebaikan, kerana dirasakan kita tidak mampu mengubah apa-apa, sedangkan perubahan tersebut bukannya sekejap, tapi kadang-kadang memakan masa bertahun-tahun.

Manusia yang bertemu Allah swt dengan membawa hati yang sejahtera adalah manusia yang mempersembahkan pita rakaman kepada segala ketaatan dan kepatuhannya kepada Allah swt semasa menunaikan kewajipan hidup di dunia. Kejayaan di dunia hanya sebuah perjalanan, bukannya destinasi abadi kita. Carilah Dia.

Bagaimanakah Caranya?

Ilmu Tauhid adalah ilmu mengenal Allah swt. Dengan memahami ilmu sains, kefahaman kita kepada Allah swt akan menjadi lebih berkesan, sebagaimana contoh orang purba pun pandai membuat rumah, tetapi dengan sains dan teknologi, teknik membuat rumah menjadi lebih berkesan dan menghasilkan rumah yang jauh lebih baik. Kalau pemikiran kita terbuka kepada manhaj ilmu sains (akal rational), insha-Allah, kewujudan Allah swt akan menjadi lebih bermakna pada kita sebagai muslim dan mukmin.

Kesubjektifan sesuatu perkara diukur dari pengetahuan asal dan pengalaman yang telah dilalui oleh seseorang. Sebagaimana Allah swt mengajar Nabi Nuh as supaya berdoa memohon daripada meminta sesuatu yang tidak diketahui kesan dan akibatnya, begitu juga kita perlu kembalikan pengharapan bagi proses mencerahkan pemahaman agama kita kepada Allah swt. Sudah terang lagi bersuluh, jika Allah swt mahukan kebaikan ke atas seseorang itu, maka akan Allah swt berikan kefaqihan dan kesahihan dalam beragama.

Analoginya, kita melatih kanak-kanak secara perlahan (gradual proses) untuk memahami sesuatu. Berkembangnya pemikiran kanak-kanak bermakna dia mendapat penambahbaikan dari segi pemahaman pada kehidupan. Kiranya kita boleh berinteraksi dengan situasi itu, maka adalah sama situasinya dengan kemajuan untuk mengenal Allah swt, bagi orang dewasa. Ia bekembang dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi, dengan syarat, ada keterbukaan orang yang beranggapan itu.

Kalau dilihat sebagai 'instruction manual', saya kira kesemua sistem ini akan menerangkan bagaimana hendak mendapatkan manfaat terbaik dari sesuatu, iaitu dengan mengenalnya dan menggunakannya. Apabila telah mengenalnya barulah timbul rasa hormat dan kemahuan menjaga mengikut panduan yang diberikan. Oleh itu tujuan hidup lebih kepada mengenal-Nya dan kemudian mengabdikan diri kepada-Nya setelah mengenal.

Awal agama itu ialah mengenal Tuhan. Islam adalah agama wahyu. Bukan berlandaskan rasional akal dan kajian saintifik semata-mata, namun Islam amat menggalakkan penganutnya menggunakan seluruh anugerah akal demi membangunkan tamadun manusia.

Ilmu dan pengetahuan menjadikan Adam terpilih untuk memimpin bumi ciptaan Allah. Faqih dalam agama adalah asas dan tunjang, juga bertindak sebagai pengawal kepada gelojohnya nafsu dan pemikiran yang tersasar.

Muhasabah

Sibukkanlah diri dengan amal yang memberi saham kepada kita, usah dikira habuannya di dunia, lebih penting menjadi baucer kita bertemu Tuhan di destinasi terakhir kelak, Yaumul Akhirah. Tiada pelaburan yang lebih baik berbanding pelaburan akhirat. Allah swt berfirman yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui" As-Saff (61:10-11)
Teruskan Pembacaan>>>
 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal