PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Isnin, Mei 31

Islam-Fobia Dan Palestin Siapa Peduli








AIR hujan pada bumbung langit turun menjamah manja tanah gersang. Derapan kaki di dada bumi pula perlu dibesarkan mengimbangi kepantasan air hujan yang terjun mencuram, sebelum pakaian yang melekat di badan basah. Beburung tidak lagi kelihatan bermain di ruangan angkasa. Anak-anak berlari kecil memenuhi setiap ruang di ‘pinggiran’ tembok bangunan usang. Malam pula menyingsing di kala senja mengantikan siang.

Indah sungguh skrip yang terlakar pada hari tu. Hanya Allah Taala sahaja tahu dan mengerti cerita hati yang tersirat di sebalik babak ke babak silih berganti ini. Inilah sunnatullah, perjalanannya sudah ditulis.

Saya tidak pandai membaca tulisan alam, apatah lagi menggarap dalam tulisan manusia unik ini. Permainan ini akan tetap diteruskan sama ada manusia itu sedar atau tidak, berjalan seperti biasa, tidak menunggu pada yang terlambat.

Manusia berjalan tidak sesekali sama dengan manusia berlari, dan jauh pula untuk dibandingkan dengan manusia menderai kuda. Tiada persamaan di antara satu sama lain. Destinasi utama dijadikan idaman. Ada yang lalai dan masih lagi alpa dibuai ulikan dunia. Persiapannya hanya berbekalkan pertualan hidup sia-sia.

Benar siang tidak selama-lamanya, akan sampai jua masanya digantikan malam.

Usaha ke arah kebaikan bukan sahaja bergantung pada ingin dan tahu, malah pada pengalaman yang memandu. Pengetahuan isi luaran, bermain bersama persekitaran, membedah warna-warni isi alam, jatuh bangun bersama semangat ingin membaiki kelemahan. Inilah pengalaman yang berfungsi.

Apakah hanya apabila kita berada di dalam kubur, barulah kita akan tersentak (tersedar) dalam memahami apa sebenarnya hakikat hidup ini? Pada waktu itu baru kita faham dan akur tentang apa tujuan kita dihidupkan di dunia. Dan di situ jualah baru kita sedar apa yang paling bernilai dan apa yang tidak bernilai dalam hidup.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Sesungguhnya (dengan keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat masa datangnya – iaitu hari seseorang melihat apa yang diusahakannya, dan (pada hari itu) orang yang kafir akan berkata: “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)” an-Naba’ (78:40)

Keadaan ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah Taala dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.

Kesedaran seseorang hamba juga terletak pada proses menyampai. Terpulang sama ada ianya datang daripada diri sendiri, atau orang lain.

Kita perlu merasai terlebih dahulu, kita terlebih memakan buah-buah (ilmu, pengalaman, dan buah fikiran) tersebut, bimbang kita memberi kulit buah sahaja kepada orang-orang yang mendambakan.

Biar kita merasai kemanisan dalam beribadat, ketenangan dalam melihat makhluk ciptaan-Nya, kelazatan ketika menyebut nama-Nya, perendahan diri secara mutlak tatkala sujud di hadapan-Nya. Tenggelam dan asyik dalam melihat-Nya. Jangan pula kita tenggelam dalam ego dan kemasyhuran yang menyebabkan kita terdinding dari orang yang diberi akan ilmu hikmah.

Berilah dengan ikhlas, dan terimalah dengan penuh redha.

Hikmah pula lahir dari proses mengeluarkan kesimpulan baik dari mehnah. Tersurat di sebalik tersirat. Ujian dunia didepani dengan bijak, dan disalurkan pada kebun nurani lembut. Bertahan di atas kesulitan.

DAMAI HILANG

Tanpa kita sedari dari fikiran datangnya perasaan, dan dari perasaan akan lahirnya tindakan. Umat yang malas berfikir tidak akan mampu untuk melahirkan apa-apa perasaan apatah lagi tindakan yang mampu mengubah dunia, hatta lagi diri sendiri tidak pernah terurus.

Harakah Islamiyyah juga wajar bersedia untuk menjawab persoalan besar ini, jangan hanya matlamat sahaja yang besar untuk menegakkan daulah Islam dan membangunkan khilafah, namun berjiwa, beridea dan berfikiran yang tidak akan menyampaikan umat ke sana. Strategi harus dirancang dan sejarah perlu dijejaki, bagaimana umat ini satu ketika dahulu sanggup untuk menguasai satu per-tiga dunia, membangunkan tamadun dan melahirkan manusia-manusia hebat, sehebat Tariq Bin Ziyad, Sultan Muhammad al-Fatih serta mendirikan bangunan sehebat Masjid Cordova, dan Masjid al-Azhar.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Allah telah menjanjikan kepada orang-orang di antara kamu yang beriman dan yang mengerjakan kebajikan bahawa dia sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa…” an Nur (24:55)

Kita diberikan akal untuk memilih yang terbaik. Tidak layak dipanggil manusia kalau tidak digunakan akal itu ke tempat yang diperlukan. Tidak layak untuk beragama kalau asyik mengenepikan fungsi akal. Lihat semua rukun-rukun wajib melaksanakan ibadah semuanya memerlukan seorang yang berakal, tidak gila, tidak mabuk- sama ada sengaja memilih untuk mabuk atau dipengaruhi untuk mabuk. Sekiranya tiada kewarasan semasa menjalankan ibadah, maka jadilah semuanya ritual seperti analogi tindak balas spontan lembu yang lapar lari ke arah rumput untuk memenuhi perutnya dengan makanan.

Manusia yang beragama tanpa Tuhan juga menganut satu fahaman lain, fahaman materialisme. Sesuatu yang dilihat itu sesuatu yang ditafsir dan dipercayai. Sesuatu yang boleh disentuh dan diperlihatkan. Sesuatu yang boleh dinikmati dan distatuskan. Manusia yang memahamkan bahawa dunia ini untuk dipergunakan bagi memperolehi kemewahan.

Pemimpin yang memahamkan bahawa manusia lain untuk diperalatkan bagi memperolehi kesenangan. Fahaman materialisme semakin menular dan diperturunkan dari generasi ke generasi.

Dalam Islam ada demokrasi, dalam Islam ada hadharah, dalam Islam ada persaudaraan, dalam Islam ada pembebasan, dalam Islam ada nasionalisme. Orang Islam yang pertama mencipta itu dan ini, bukan Barat. Barat mencedok idea Islam, sebab itu mereka maju.

Itali tidak pernah mengungkit kemegahan tamadun Rome. Iran tidak pernah mengungkit kehebatan empayar Parsi. Benar dalam Islam ada semua yang disebutkan itu tapi segala-galanya hanya dalam bentuk teks. Hadharah dalam Islam hanyalah teks sejarah, fraternity, liberty, dan equality, semuanya hanyalah teks. Hakikatnya kita ialah Islam dengan teori. Berubahlah, jangan terlalu mengagungkan sesuatu yang telah berlaku tanpa sebarang tindakan untuk mencipta pembaharuan atau sejarah baru dalam pemikiran Ummah.

Sebagai Muslim kita seharusnya menjadi manusia yang sentiasa melihat kepada Sunnah Allah dan mempelajari apa yang Allah tarbiahkan kepada kita melalui alam semulajadi. Sangat sedih jadinya, ada yang mempertahankan gagasan pembelajaran akidah melalui Ilmu Kalam, tetapi sebahagian mereka turut bermusuh dengan seruan akal. Ini membuktikan kerapuhan kepercayaan membuta tuli terhadap teks yang diangkat sebagai subjek sembahan.

Muslim seharusnya memahami roh beribadah, sekiranya betul-betul mahu menolak materialisme semata-mata. Ia bukan soal Sufi Tasawwuf atau falsafah putar belit, tapi ia adalah maksud beragama sebagai jalan berhubung dengan Tuhan dengan memahami cara kerja-Nya membentuk Alam (sunnahtullah)

Orang-orang bertakwa adalah orang-orang yang sebenar-benar takut kepada Allah Taala dengan mematuhi syariat (al-Quran dan as-Sunnah) dan Sunnah (ayat-ayat Alam). Orang-orang bertakwa tidak berani membiarkan sunnah Allah (yang menerangkan cara kerja Allah) dikaji oleh orang bukan Islam dan hanya menunggu hasil dari kajian yang dibuat oleh bukan Islam.

Apa yang dapat kita lihat pada hari ini, kemunduran Muslim disebabkan tidak memberikan keseimbangan dalam mematuhi syariat dan sunnah Allah. Segala pelajaran dari alam hanya diperolehi dari kajian teliti bukan Muslim. Keizinan Allah untuk manusia dapat melaksanakan kerja dengan berteknologi di bumi, merupakan tanda arifnya kaum tersebut dengan cara kerja alam kepunyaan Allah. Tanpa keizinan Allah Taala di dunia, keredhaan di akhirat tidak mungkin tercapai kerana kesalahan meninggalkan dunia kepada bukan Muslim.

Belajarlah daripada mereka, jangan terlalu egoisme andai diri tidak mahu mengubah.

DUNIA ISLAM

Sebahagian umat Islam mempunyai pandangan bahawa apabila seseorang muslim komited atau berpegang teguh pada ajaran Islam, bererti dia tidak boleh menjalani kehidupan yang biasa dilalui oleh orang lain kerana dikhuatiri bertentangan dengan hukum-hukum Islam. Mereka berpendapat bahawa Islam komited tidak boleh menyertai sebarang bentuk gejala-gejala tidak sihat seperti konsert hiburan melalaikan, tidak dibenarkan menyertai bidang sukan yang melibatkan pendedahan aurat, wanita Islam tidak boleh terlibat dalam bidang yang diceburi oleh golongan lelaki khususnya pekerjaan berbentuk ketahanan fizikal, dan banyak lagi isu-isu yang seolah-olah menyukarkan orang Islam untuk maju dan berdaya saing, dengan erti kata lain Islam itu jumud tidak mengikut peredaran arus perdana.

Benarkah tanggapan tersebut?

Rasulullah s.a.w dan para sahabat adalah golongan yang benar-benar komited terhadap ajaran Islam hingga tidak menjual agama dengan kepentingan dunia. Malah dengan kesungguhan mereka beramal dengan Islam dan kandungan isi al-Quran dan Hadith baginda s.a.w, ramai di kalangan manusia pada era tersebut tertarik untuk berjinak-jinak dengan ajaran Islam yang dianggap menakutkan pada zaman jahiliyah oleh kaum kafir Quraisy. Semua ini didorong oleh komitmen dan kesungguhan mereka untuk menjiwai Islam dan tidak terpesona dengan habuan dan janji-janji dunia yang melalaikan.

Sebagai contoh, adakah seorang muslimah bekerjaya yang memakai jilbab boleh menggugat keutuhan sosio-ekonomi, semata-mata kerana untuk mempertahankan haknya untuk menutup aurat dan beramal dengannya. Namun ramai juga perempuan-perempuan yang tidak berjilbab gagal dan kecundang dalam bidang yang diceburi. Sehubungan itu, adalah tidak adil seorang muslim menuduh saudara seIslam yang lain sebagai penyebab kegagalan hanya kerana ingin melaksanakan tuntutan fardhu ‘ain atau amalan-amalan sunat yang lain.

Perlu diingat dan dikenang, bahawa masyarakat di masa lampau yang disebut oleh Allah Taala di dalam al-Quran, golongan yang paling hampir dengan Nabi Muhammad s.a.w dari sudut tindakan dan gerak kerja ialah golongan yang berjaya melaksanakan tugas amar makruf dan nahi munkar.

Hal ini disebut di dalam al-Quran;

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Hendaklah ada dikalangan kamu (orang-orang Islam) menyuruh pada perkara kebaikan (makruf), dan mencegah perkara yang mungkar dan keji dilakukan, sesungguhnya mereka itu golongan yang berjaya”Ali-Imran (3:104)

Sesungguhnya ayat di atas menunjukkan bahawa Allah Taala secara responsif menjelaskan kepada manusia khususnya kepada orang-orang beriman, supaya komited dengan kerjaya-kerjaya dakwah (menyeru) kepada Islam atau menyatakan pandangan baik tentang Islam kepada golongan bukan Islam, kerana bukan semua orang Islam yang berani dan sanggup melaksanakan tugas ini sepenuh masa, apatah lagi sebahagian dari rasa tanggungjawab yang perlu dipikul. Apabila usaha dakwah dilakukan sebahagian, maka orang Islam yang enggan melakukan atau tidak mampu melakukannya tidak lagi berdosa, kerana telah digugurkan oleh mereka yang sanggup.

Kesedaran dalam melaksanakan konsep ini, hendaklah berterusan dalam semua aspek dan tindakan seperti rasa sensetiviti terhadap perkara-perkara yang menjatuhkan maruah Islam itu sendiri. Kesucian dalaman Islam perlu dipertahankan daripada didoktrin dan dinodai oleh golongan yang tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan diri sendiri, dan untuk melagakan umat Islam tentang sesuatu perkara yang pernah berlaku dalam dunia Islam dari persepsi negatif tanpa membuat sebarang kajian sejarah dan asal pada sesuatu kejadian tersebut.

Mereka begitu senang untuk melihat kecelaruan tercetus dalam kekuatan peganggan umat Islam, dan mengganggap ianya suatu kejayaan terbesar selepas mereka melihat kegagalan demi kegagalan yang berlaku di puak mereka. Banyak hal kita lihat sekarang, fitnah demi fitnah dilontarkan oleh golongan anti-Islam ini kepada orang Islam seperti mengadakan cerita untuk memburukan Islam... artikel-artikel dalam laman blog dan seumpama dengannya yang mana menyerang keperibadian umat Islam terutama Dzat-dzat agung, melukiskan karikatur dzat suci dan sebagainya. Maka di sini, tahap kesedaran umat Islam diuji. Apakah kita perlu berdiam diri? Bak kata pepatah Melayu; hanya berpeluk tubuh dan melihat angkara tangan-tangan Iblis ini berleluasa.

GEERT WILDERS: FITNA

FITNA, merupakan sebuah filem yang digarap oleh seorang anggota parlimen Belanda, Geert Wilders, menarik perhatian masyarakat dunia khususnya kondisi dan sensitiviti umat Islam. Pelbagai kecaman muncul bukan hanya dari masyarakat Islam yang merasa terhina oleh gambaran Islam dalam paparan filem tersebut, kecaman juga muncul dari masyarakat bukan Islam Eropah dan Amerika. Filem ini dinilai sebagai bentuk provokasi dan penyebaran rasa kebencian. Meskipun pemerintah Belanda menyampaikan permohonan maaf secara bersemuka kepada umat Islam yang merasa tersinggung dengan kejelekan filem tersebut, tetapi mereka masih beku untuk tidak menggunakan kekuasaan menghentikan peredaran serta penyiaran filem tersebut dengan landasan Konstitusi.

Filem yang ditayangkan selama tujuh belas minit itu berisi pidato seorang ulama’ yang diputarbelitkan dengan pelbagai gambar kekerasan yang dilakukan oleh orang-orang Islam di pelbagai penjuru dunia. Dengan visualisasi seperti itu, Wilders hendak mengungkap wajah Islam yang penuh dengan kekerasan, Islam adalah agama kekerasan. Bukan hanya fakta kekerasan atas nama agama yang terjadi belakangan ini yang dipotret oleh Wilders, tetapi juga fakta teologi yang ada dalam kitab suci umat Islam sendiri. Inilah bentuk deskriminasi alaf baru.

Islam bagi Wilders adalah sesuatu yang berbahaya... oleh kerananya harus ditolak dalam peradaban moden Eropah bahkan seluruh dunia. Lebih jauh Wilders mengatakan bahwa al-Quran tidak lebih dari kitab intoleran dan pengasah kekerasan. Wilders bahkan mempersilakan warga Muslim Belanda meninggalkan negara itu secara terhormat.. ini sudah melampau. Jika masyarakat Muslim Belanda tetap ingin tinggal di Belanda, seru Wilders, mereka harus merobek separuh isi al-Quran.

Sudah bisa diduga, gelombang protes muncul dari pelbagai belahan dan pelusuk dunia. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Muhammad bahkan menyeru pemboikotan produk-produk negara Belanda. Gelombang protes ini diprediksi dan akan semakin membesar seperti yang pernah terjadi pada mereka yang mencetuskan lakaran sejumlah karikatur Nabi Muhammad s.a.w, boleh dikatakan pada seluruh media Denmark diserang habis-habisan.

Tokoh-tokoh Islam dari pelbagai negara mengecam dengan mengatakan bahawa apa yang dikemukakan Wilders dalam filem dan di sejumlah kenyataannya tidak hanya bersifat rasis, melainkan juga tidak dramatis. Sikap ini dikemukakan oleh Syekh Hamza Yusuf Hansona (sarjan Muslim Amerika), Din Syamsuddin (Ketua Umum PP Muhammadiyah), dan Pangeran Hassan bin Talal (Presiden Arab Thought Forum dari Jordan).

Sarjana-sarjana Barat mutakhir bahkan melangkah lebih jauh dengan mencuba menjengguk dunia Islam mengikut perspektif yang tidak lagi biasa. Jika sebelumnya masyarakat Islam difahami secara negatif sebagai masyarakat Barbarian yang tidak beradab, yang popular dengan penolakan terhadap rasionalitasme dan prinsip demokrasisme, maka di sana kesedaran mula menampakkan kecerahannya, bahawa isu-isu negatif yang diputarkan adalah doktrin semata-mata untuk mengetepikan kebiadaban pada diri sendiri.

Spiritualisme yang berkembang pesat di dunia Islam sepasca Revolusi Islam Iran, bagi sarjana-sarjana baru ini, tidak dipandang sebagai sesuatu yang berbahaya bagi demokrasi dan kebebasan berekspresi. Justeru itu, fenomena ini adalah salah satu bentuk perlawanan terhadap para penjahat licik yang mensasarkan keburukan Islam di kaca mata dunia.

DILEMA PALESTIN

Gambaran tentang dunia Islam sudah terlalu jauh dari konsep keamanan dan keselamatan yang di taja oleh pihak Barat terutama media massa. Gambaran paling besar dari kaca mata penglihatan umat Islam hari ini ialah penjajahan dan pergolakan bumi Palestin yang tiada kesudahan episod, dan seluruh dunia yang mencengkam dunia Islam sejagat.

Menyorot kembali kelantangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Muhammad mengutarakan pandangan bahawa Yahudi sebagai Proksi Dunia di Sidang Kemuncak OIC di Putrajaya, menggemparkan dan mendapat sambutan hangat seperti ‘pisang goreng’. Pelbagai pihak telah memberi tindak balas yang baik.

Yahudi sebagai proksi dunia bukanlah suatu yang dianggap kasar berbanding perkosaan yang telah mereka bantalkan ke atas setiap penduduk Palestin, kononnya untuk menghapus golongan radikal seperti pejuang Hamas. Namun terang lagi bersuluh, kita dapat lihat siapa yang lebih radikal sekarang, Hamas atau Israel? Ini bukan sesuatu yang baru dalam perkembangan isu-isu panas dunia yang melibatkan nyawa orang awam.

Menyusur sejarah Yahudi yang terkenal dengan kecerdikan, kepandaian, kelicikan, kejahatan,dan sebagainya yang mana sudah sebati dan sinonim dengan bangsa Yahudi. Bangsa yang mempunyai populasi paling kecil berbanding bangsa-bangsa lain di dunia. Realitinya mereka telah menguasai ekonomi dan politik antarabangsa.

Angkara bangsa Yahudi inilah, bumi al-Quds telah rosak teruk dan dibinasakan. Rakyat Palestin hanya mampu membaling batu tetapi serangan tersebut telah dihakis oleh kereta kebal dan senjata-senjata canggih Israel. Begitu juga yang berlaku di bumi Iraq dan Afghanistan, merasai penangan Yahudi yang berselindung di sebalik bendera Amerika dan Britain. Di era pemerintahan Saddam Hussain yang dikatakan layanan tidak mesra yang diterima tidaklah sekejam yang diterima penduduk mereka tujuh tahun dahulu.

Bumi para anbiya’ dan wali Allah Taala kini melalui era kemusnahan yang amat dahsyat dan teruk. Rakyatnya dihujani peluru yang menembusi seluruh badan, manakala mortar, dan senjata canggih lain memayungi ruang udara, rumah dirobohkan, wanita-wanita muda dan kanak-kanak pula maruah mereka dicerobohi dan dinodai dengan cara paling kejam, manakala banduan pula diberi layanan kelas kebinatangan. Mereka didera dan dibogelkan, diseksa dengan pelbagai bentuk seksaan yang pasti memeritkan fizikal dan mental mereka. Tangisan dan jeritan suara rakyat Iraq dan Palestin sering didengari, namun kebanyakan dari pemimpin negara-negara Islam atau mereka yang mempunyai hati perut lebih suka memengkak-tulikan telinga.

Kenapa ini semua terjadi?

Deretan peristiwa sedih, ngeri, dan menyayat hati menyelubungi dan membelenggu jiwa raga umat islam dan dunia amnya. Kisah sedih yang penuh emosi ini sepatutnya memberi ruang kepada umat Islam mencari kelemahan dan membina semula kekuatan umat Islam. Segenap jiwa umat Islam telah dihantui dengan tangisan dan darah perjuangan yang bangun bertindak mempertahankan diri. Tetapi yang utama, mereka memperjuangkan nasib bangsa demi mengembalikan kedaulatan negara yang telah dijajah. Kisah Palestin bukanlah cerita berepisod sensasi untuk ditonton dan didengari, namun saban hari, kita tidak sunyi mendengar kisah dan peristiwa yang mencengkam jiwa, emosi malah fizikal umat Islam. Rata-rata kita memandang hina di atas kezaliman dan kekejaman Amerika dan sekutu rapatnya di Tebing Barat.

Dunia telah menyaksikan betapa murah nyawa umat Islam, mudah dibunuh bagaikan menyembelih binatang dan digayang secukupnya. Tidak perlu menyatakan fakta berapa ramai yang telah menjadi mangsa korban Israel laknatullah!!! Ada jua di kalangan mereka yang sanggup menjadikan batang tubuh sebagai galang ganti dengan meletakkan deretan bom sebagai pejuang berani mati. Bumi limpahan minyak seperti Iraq hakikat telah dibanjiri dengan ribuan darah rakyatnya. Tidak mustahil kronologi pertumpahan darah dan drama bersiri ini berterusan hingga tiada penghujung, dan mungkin sehinggalah Nabi Isa turun dari langit memusnahkan fitnah dajjal bertopeng manusia ini.

Rasa menyampah terhadap Amerika dan Israel telah membuak-buak dan semakin menjadi, sudah pasti darah amarah pasti menyirap dalam tubuh setiap manusia yang menghadapi situasi ini. Itulah yang sering dan kerap kali didengari oleh pejuang berani mati. Mereka bertindak meletupkan diri dengan tujuan ingin membunuh seramai mungkin golongan manusia yang bergelar penceroboh, dan inilah cara balas dendam yang digeruni oleh askar-askar Yahudi. Mereka telah bertekad dan nekad melakukan segalanya yang terdaya dan termampu, tidak cukup dengan menggunakan biji batu, bom pula dililitkan keseluruh badan.

Intifadha ini, lebih berkesan dalam mengecut-perutkan dajjal alaf baru ini. Pada mereka tiada jalan penyelesaian lain selain perang! Letupkan diri. Mungkin inilah kata-kata yang mungkin asing bagi kita rakyat Malaysia. Namun tidak hairanlah budak-budak hingusan, sudah pandai memegang batu dan lastik untuk memancung kepala setiap penceroboh yang rakus menggondol tanah mereka, terutama tapak kesucian umat Islam, Masjid al-Aqsa. Malah ada pula sudah pandai mengendali M-16, pelancar roket dan senjata canggih lain. Bagi kanak-kanak dan remaja di sana, bunyi dentuman bom, meriam sudah menjadi runtin kehidupan mereka. Jumlah kematian rakyat Palestin sehingga kini mencecah ratusan ribu orang saban hari semenjak tertubuhnya Negara Israel secara haram, menafikan hak pribumi rakyat Palestin.

BANGKIT

Dalam hal ini, umat Islam perlu bersatu padu dalam mewujudkan perpaduan antara umat Islam itu sendiri, agar menjadi kuat dan mapan demi membangunkan tamadun umat Islam. Di saat dunia hari ini masih mencari formula bagaimana untuk membentuk perpaduan ummah, maka modul dan silibus yang disediakan oleh baginda s.a.w harus menjadi rujukan. Baginda meletakkan asas kekuatan akidah, menyusun struktur dan haraki masyarakat dengan mengeratkan hubungan silaturrahim, mendidik masyarakat dengan keindahan akhlak dan budi pekerti. Baginda dan juga para sahabat telah mewujudkan keharmonian dan keakraban hubungan pertalian sesama Islam dan sesama bukan Islam, dengan jalinan sosial yang terbaik seperti yang pernah berlaku kepada golongan Kaum Muhajirin dan Kaum Ansar.

Pada masa sama Islam mengajar umat Islam menguasai bidang-bidang profisional yang lain seperti dalam bidang ekonomi secara menyeluruh, memperkasakan sisitem politik, dan memperkemaskan jentera pentadbiran dan pengurusan sesuatu organisasi atau pertubuhan,bahkan Negara.

Ciri-ciri masyarakat madani yang telah dicetuskan baginda tersebut merupakan revolusi besar-besaran dalam kecamukan jahiliyah... membentuk satu paradigma baru dalam membentuk masyarakat kuat. Dengan itu mereka berjaya mengakis segala bentuk cabaran dalam melayari kehidupan yang mencabar ini.

Di tengah situasi seperti ini, keinginan untuk meraih kemandirian Islam dalam bidang intelektual, sosial, politik, dan ekonomi melahirkan gelombang pembaruan dalam dunia Islam diperlukan. Tetapi, kemandirian tidak mesti disalah-ertikan sebagai suatu sikap tertutup untuk tidak menerima keunggulan peradaban lain. Di sini, pembaruan Islam adalah hasil interaksi prakmatik yang tiada pernah berhenti dan terhenti antara doktrin-doktrin untuk menjatuhkan Islam dengan gejala-gejala kontemporeri di sekeliling.

Dengan demikian, pembaharuan sendiri bukan bererti satu sikap yang berhenti. Dengan berjalannya waktu dan semakin kompleksnya perkembangan ilmu-ilmu kemanusiaan beserta gejala-gejala yang mendokongnya, pembaharuan sendiri sememangnya perlu terus diteruskan dan dipratikkan dalam dunia moden sekarang, sejajar dengan kehendak Islam.


Teruskan Pembacaan>>>

Bunga Berputik Kasih








KEMAHUAN berkongsi sesuatu ilmu mengatasi rasa jemu pada menekuni bahan ilmu. Memberi tanpa timbul kerenah birokrasi ‘malas’. Semuanya perlu ikhlas.

Kemampuan memberi adalah proses ilmunisasi belajar berpanjangan, dan terhindar dari sikap berpuas hati dengan apa yang ada. Berpegang pada falsafah hidup memberi agar dapat dirasa diri sangat kerdil. Menulis, membaca, dan idea bernas sebahagian daripadanya.

Membaca dengan perasaan berbeza dari membaca dengan akal. Menungani perasaan akan menghalakan harapan pada apa yang kita suka atau mahu, sementara sebaliknya dengan akal akan menyediakan diri untuk tahu. Tidak hairanlah hasil membaca dengan perasaan selalunya menghasil pemilihan bahan yang dibaca lebih kerap dari membaca dengan akal rasional.

Timbul kecenderungan suka dan tidak suka, kerana asasnya kemahuan kita banyak dipengaruhi oleh nafsu.

Membaca untuk tahu, tidak terjejas dengan perasaan semata-mata. Keperluan untuk tahu mangatasi mahu, dan keterbukaan menerima sesuatu yang baru yang belum dipersepsikan oleh pemikiran kita lebih besar kerana ketiadaan unsur mahukan yang kita mahu.

Apa yang kita tidak suka hari ini tidak semestinya kita tidak suka juga pada hari esoknya. Dan apa yang kita suka hari ini tidak semestinya kita akan suka juga hari kemudian. Inilah lumrah dan fitrah kita sebagai manusia, ada nafsu dan naluri. Akan timbul juga kesedaran dalam diri, segala masalah dimasak berdasarkan ilmu dan pengalaman diperolehi. Pandangan juga akan berbeza sebelum dan selepas terpalit dari kesedaran tersebut.

Pengalaman dan ilmu melahirkan kesedaran. Dedahkan minda berketrampilan dan beretika. Apabila menulis untuk memberi dengan apa yang kita mampu melalui apa yang kita lalui, selalunya akan menghadapi cabaran begini.

Contoh: seorang suami, kita menulis untuk memberi dari sudut pandangan kita, dan sebagai isteri, mungkin dia turut memberi melalui sudut pandangan dia. Hanya mereka yang menerima dengan mata hati serta menyelami realiti di sebalik setiap perkongsian itu akan mengerti. Ini berkait rapat soal pandangan (world-view) terpimpin. Di mana si suami mahupun si isteri tidaklah akan sama dari sudut kemahuan, keinginan kerana dia ialah perempuan, kita pula ialah lelaki... namun di sana kita, mahupun dia inginkan satu titik kebersamaan antara mahu kita dan mahu dia.

UJIAN MENDUGA IMAN

Saya padankan semua ini, adalah sekelumit daripada ujian-Nya yang menguji. Pandangan sisi kebaikan akan saya maksimakan sebaik mungkin.

Kalau kita imbau semula sirah nabi, kisah kehidupan rumahtangga baginda diabadikan semata-mata untuk dijadikan teladan kita. Kaedah penyelesaian berdasarkan ilmu dan petunjuk wahyu, tidak bermakna Nabi s.a.w membuka pekung di dada.

Jangan persoalkan andai kebaikan kita dapat. Redha (iman) menerima, tidak pula pasrah (kosong).

Ujian merupakan sunnahtullah yang telah ditetapkan kepada hamba-hamba yang mengaku beriman kepada Allah. Iman tidak dibuktikan dengan hanya kata-kata atau tulisan yang berbaur agama mahupun jihad luaran. Iman dibuktikan kesabaran di atas ujian yang menimpa, iaitu ujian dalaman. Oleh itu, barulah diketahui sama ada seseorang itu ikhlas atau hanya dalam kepura-puraan.

Bagi mewujudkan satu perasaan memberi yang ikhlas, perlu hapuskan perasaan memiliki. Apa yang kita dapat di dunia ini bukannya bertukar hak milik daripada Allah Taala kepada kita, tetapi hanya diamanahkan kepada kita untuk ditadbir dengan baik. Bila ianya adalah amanah, kebenaran kita menunggang amanah tersebut ialah pahala di sisi-Nya... kerana kita tahu Dia ialah Tuhan, kita hanya hamba yang tiada sesuatu pun.

Andai manusia tiada jiwa sebagai seorang hamba, akan wujud satu jiwa memiliki. Dari sudut norma manusia, memang kebiasaan seseorang itu ada perasaan memiliki. Pengajarannya sebenar hidup ini, ialah membentuk diri untuk menghilangkan jiwa memiliki itu dengan jiwa hamba. Berserah diri kepada Tuhan secara mutlak.

Setiap ujian yang datang, disambut dengan positif dan kita menjadi lebih baik, maka itu tandanya ujian itu adalah kasih dan sayang Allah Taala kepada kita. Tetapi jika kita didatangi ujian yang sama berulang-ulang kali dan tiada peningkatan diri yang berlaku, itu mungkin bukan kasih dan sayang Allah, tetapi kebodohan kita yang di‘sengat’ di tempat yang sama berkali-kali.

Terlintas juga, kenapa orang-orang yang sentiasa berusaha ke arah kebaikan serta dipandang beriman seringkali berdepan dengan pelbagai risiko, kesusahan dan halangan. Rupa-rupanya Allah Taala hendak menjatuhkan rasa ketuanan dalam diri supaya kita sedar hanya seorang hamba, tidak memiliki apa-apa pun.

Bicara Allah Taala juga datang dalam bentuk ujian. Betapa besarnya kezaliman yang dilakukan ke atas diri sendiri seandainya pemberian hanya mendambakan suatu ganjaran. Mungkin timbul rasa penat dalam diri. Namun rasa ingin mengecapi ganjaran atau dibalas dengan sesuatu yang baik datang dengan sendirinya. Mungkin dari pengaruh kehidupan yang dilalui.

Wahai teman... sejauh mana hati kita lunak dengan pujian manusia, atau asyik dengan ujian ketabahan dan kekebalan hati yang Allah Taala beri, kita yakin ada lagi perkara lebih besar yang bakal berlaku dalam hidup ini. Jadi apa sahaja perkara kecil yang berlaku, tidak akan memberi kesan yang serius dalam hidup kita, kerana matlamat kita adalah akhirat.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Oleh itu (tetapkanlah akan kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertakan kemudahan. Sesungguhnya (sekali lagi ditegaskan) bahawa tiap-tiap kesukaran itu disertakan kemudahan” ash-Sharh (94:5-6)

Jadilah hamba kepada satu Tuhan untuk dipersembahkan keikhlasan beribadat, melakukan kebajikan bukan kerana untuk membahagiakan ‘tuhan-tuhan’ kecil semata-mata kerana habuan di dunia.

Kita akan tewas sebelum sempat berjuang.



p/s: Doakan saya... hari ini, hari pertama saya mencoret jawapan di atas kertas jalur biru. Moga dipermudahkan semuanya (ameen)

Teruskan Pembacaan>>>

Jumaat, Mei 28

Antara WAJAH Ibu Dan SIFAT Ibu









“WAJAH ibu.. itu masalah saya sekarang ni” seorang teman mengeluh.

“Mana nak cari seorang wanita yang ada wajah ibu sekarang, susah ustaz. Di sini pula ramai pakai purdah, akhirnya yang tak berpurdah jadi bahan uji-kaji saya” tambah beliau.

“Kenapa anta pula yang resah?” saya bertanya.

“Bukan apa ustaz, wajah ibu kelihatan lebih matang.. tahu serba-serbi pasal kemahiran rumahtangga” beliau cuba membenarkan uji-kaji ringkas yang dibuat.

“Mana anta tahu wajah ibu tahu semua pasal house chorus?” saya cuba dapatkan kepastian.

“Err.. entah”

Saya sedikit rigid apabila setiap kali didatangi lelaki yang bertanya saya yang juga seorang lelaki teruna pasal wajah keIBUan sebagai salah satu ciri isteri idaman. Dengan keterbatasan ilmu yang ada, saya minta beliau tilik lama-lama wajah ibunya, cari perbezaan antara wanita dara. Saya sedikit bimbang, bagaimana mereka yang tiada seri wajah ibu di muka, mungkin mereka akan dianak-tirikan.

Sama ada anda teruna mahupun dara, wajah ibu atau wajah bapa itu tidak penting, asalkan kalian masih tahu tujuan perkahwinan. Kita bukan sahaja akan berkahwin dengan dia, tapi keluarga dia, kerjaya dia, mood dia, karenah dia yang bakal menagih seribu pengorbanan tidak berbelah bahagi nanti.

Perkahwinan bukan untuk satu tempoh yang telah ditentukan atau mengikut perjanjian kontrak, bahkan menjangkau satu tempoh masa di alam yang kekal abadi.

KAHWIN

Naluri manusia yang cenderungkan wanita tidak dapat disangkal. Ini diakui dalam al-Quran. Oleh itu, Allah Taala melalui agamanaya telah menghalalkan ikatan antara lelaki dan perempuan melalui perkahwinan. Anjuran perkahwinan dapat menyelamatkan manusia sekaligus masyarakat dari kerosakan dan kemudharatan yang disebabkan oleh rangsangan syahwat menggila-gila.

Lelaki yang soleh dan mungkin seorang perempuan dara, mengimpikan pasangan yang baik, selalu ambil berat, tidak panas baran. Idaman ini pasti disemai dari hari ke sehari agar terus bersemi. Dia sanggup menunggu untuk satu tempoh lama, agar idaman ini akan dapat direalisasikan. Maka diminta teman-teman, sahabat taulan, saudara mara merisik mana-mana jejaka atau mana-mana wanita mempunyai ciri-ciri idaman tadi. Kadang-kadang idamannya terlalu spesifikasi hingga jenuh orang mencari, pasal pilihannya tidak banyak.

“Errm... tinggi mesti lebih 170cm, agak hitam manis, satu negeri, tidak terlalu gemuk, pandai mengurus rumahtangga, pandai memasak”

Kecenderungan antara lelaki dan wanita merupakan sesuatu yang tabi’e dalam diri manusia. Tetapi kecenderungan itu andai tidak dikawal akan membawa kepada kerosakan akhlak dan tatasusila. Pengabaian tanggungjawab terhadap ‘cenderung’ ini tidak mustahil akan berlakunya zina dan bersedudukan tanpa ada ikatan. Jelas bertentangan dengan syariat dan tabiat semulajadi manusia.

Pilihan di tangan kalian.

Siapa sangka seorang imam masjid pun tidak kebal dari melakukan maksiat. Fobia baca halaman berita Harian Metro muka depan semalam, apabila imam menjadi 'kasanova alim' meyimpan perempuan sebagai 'isteri'. Jangan sangka imam berserban besar kuat imannya. Besar serban bukan petanda dia besar iman, iman dia sentiasa hidup tapi kerana dia ada satu lagi musuh yang sentiasa hidup, NAFSU.

Hati-hati. Jaga hati, iman jangan mati.

WAJAH IBU

Mungkin ada benar. Saya juga sering berhadapan perempuan yang mempunyai wajah ibu ketika berada di satu syarikat consultant di tanah air dahulu. Ramai yang datang jumpa saya, wanita-wanita wajah ibu, tapi masalah juga tertimpa hingga seorang perunding turut sama diseret ke kancah konflik rumahtangga mereka.

Kalian jangan silap wajah keIBUan dan sifat keIBUan adalah dua istilah berlainan. Wajah ibu belum tentu pandai dan tahu menahu soal rumahtangga, tapi sifat keibuan kemungkinan besar dibesarkan dalam keluarga serba soleh, dididik soal pengurusan diri dan luaran. Wanita yang bersifat keibuan akan ada satu sikap seperti seorang ibu yang baik, penyayang terutama pandai dalam bermuamalah dengan kanak-kanak dan pastinya ada banyak lagi ciri-ciri keibuan yang terhimpun pada diri, sikap dan personalitinya.

Teringat cerita seorang teman bila anaknya diangkat macam mayat oleh sekumpulan wanita, pada saya mereka mungkin ada rupa tapi perlu belajar lagi sesuatu sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Satu tips untuk para lelaki, cuba tengok perempuan manakah yang mampu mengendong bayi berusia sebulan dan ke bawah. Hanya wanita hebat sahaja mampu lakukan, tidak semua berani dan pandai buat.

Buat lelaki bakal suami... isteri walau sekadar cantik tapi setiap hari makan di luar, anak-anak dibesarkan oleh pembantu rumah. Rumah pula berterabur, dapat isteri yang pemalas dan baran mungkin akan menjadi igauan paling ngeri dalam hidup anda.

Bagi kalian para wanita yang bakal bekerjaya agar mempersiapkan diri dengan ilmu keibuan yang tidak diajar di universiti. Mungkin anda tiada wajah keibuan, tapi ilmu untuk menjadi seorang ibu yang baik bisa dipelajari dan ditekuni. Bahkan anda mungkin menjadi ibu yang terbaik daripada mereka yang hanya ada ibu pada seri wajahnya sahaja.

Kini kalian sudah ada pilihan tepat. Sama ada kalian memilih wanita yang biasa-biasa pada seri wajah tapi luar biasa pada sikap dan peribadi, atau anda terus dengan cita-cita ‘senget’ mencari baik pada seri wajah, namun tiada kisah soal peribadi wanita idaman. Kalian mungkin dapat, tapi manisnya cantik hanya mampu bertahan lima hingga sepuluh tahun sahaja, tapi sikap sampai ke mati akan tetap SEJATI dan SEHATI.



Teruskan Pembacaan>>>

Khamis, Mei 27

Melakar Pelangi Cinta Bakal Terbit






Minggu yang cukup bererti buat saya. Menyelesaikan dua perkara penting dalam masa singkat. Saya dipaksa meluangkan masa hampir sehari penuh melangsaikan tuntutan ini. Saya kena siapkan draf buku terbaru saya, dan menghabiskan silibus peperiksaan akhir semester. Ketika ini cepat perlu disertakan cermat, di samping kita hendak selesaikan sesuatu dengan sekejap, namun kualitinya juga mesti ditekankan. Kaki saya dipaksa berulang-alik dari rumah ke rumah pihak penerbit, di tangan pasti digenggam mana-mana kitab yang perlu dihadam lumat-lumat.

Alhamdulillah... berkat doa semua buku terbaru saya nanti akan diterbitkan lebih awal dari masa dijangkakan. Tidak sampai dua bulan buku pertama saya; Berteduh Di Kebun Cinta berada di pasaran, kini bakal lahir dengan buku kedua.. lebih bersinergi, lebih efesyen, dan semua boleh menikmatinya.

Buku kedua; Melakar Pelangi Cinta adalah lakaran realiti hidup saya ketika berada di tanah air, bermula dari kecil hinggalah saya kenal erti hidup dalam tarbiyah. Masih mengekalkan corak penulisan santai, diselang-seli dengan kalam Ilahi dan Hadith nabi s.a.w bagi menguatkan jalan cerita dan mesej yang ingin saya sampaikan. Mengekalkan juga genre fiksyen dakwah, dan motivasi. Membedakan buku pertama saya, pruf dan susun atur huruf adalah saya sendiri, dan ada sedikit kelainan baik pemilihan tulisan, susunan dalaman dan saiznya lebih besar berbanding buku BDKC... berpatutan dengan harga yang ditawarkan.

Berikut disertakan latarbelakang ringkas buku MPC:

Nama buku: Melakar Pelangi Cinta
Penulis: Tuan Mohd Rezza Tuan Mohd Khanafiah @ Rezza Khanafiah
Genre: Motivasi Dakwah
Jumlah bab/artikel: 24
Halaman: 260
Terbitan: Janub Saina’
Harga: LE27 (sekitar Mesir) RM35 (Malaysia-termasuk kos semasa penghantaran)



Draf penuh kulit buku MPC



Antara
judul menarik yang terkandung di dalam MPC ialah;
-Melakar Pelangi Cinta
-Hulurkan Tangan Kepada Mereka
-Fitnah Membunuh Fitrah
-Mentari Hidup Sang Hamba
-Bercinta Pun Melalui Ilahi
-Bermula Dari Minat
-Membius Minda Kelas Pertama dan banyak lagi.


MENGAPA IMAN?


Fokus utama saya di dalam buku ini, bagaimana kita hendak membina iman, dan mengekalkan konsisten iman di dalam apa jua keadaan. Hidup kita pasti dipalit dan diwarnai pelbagai corak, kesannya bisa jadi akan memberi kebaikan kepada sesetengah manusia, namun mungkin juga suatu musibah menusuk bagaikan jarum halus. Keimanan, adalah asas kepada kebersihan dan kesucian amal. Kesungguhan, kecekalan, ketabahan, kegigihan kita dalam mengerjakan sesuatu amal, mengharungi kehidupan, dalam keadaan hendak mendapatkan redha Allah Taala, semuanya berpunca daripada iman. Bahkan soal cinta seperti di dalam buku pertama saya pun solusinya ialah iman.

Kenapa Melakar Pelangi Cinta?

Hidup ini memang sentiasa diwarnai oleh kegembiraan dan kedukaan... setiap pengalaman yang kita lalui sentiasa mengajar kita untuk menjadi insan yang lebih matang dan berfikiran terbuka. Jika hidup ini diniatkan semata-mata kerana Allah Taala pasti setiap kedukaan itu bisa ditangani dengan hati yang redha dan ikhlas. Kadangkala ujian yang Allah Taala timpakan itu mempunyai rahsia dan hikmah tersembunyi yang kita sendiri tidak ketahui…. mungkin selepas itu kita merasakan kehidupan ini begitu indah kerana ia sentiasa diwarnai dan perkara yang mencantikkan lakaran kehidupan itu ialah iman, keikhlasan dan hidup kerana Allah Taala.

Teringat kata-kata Saidina Umar r.a; “Kami adalah kaum yang didatangkan iman, sebelum al-Quran

Kita akan terus MELAKAR PELANGI CINTA dalam erti menyuburkan iman di sumur hati sebagai seorang hamba. Seorang hamba yang tidak sombong tika hayat hidupnya kerana satu sahaja pengharapannya, tiada dua, tiada tiga... iaitu bertamu di persimpangan kasih Ilahi. Kita pasti akan selamat kembali kepada Allah Azza Wajalla seperti mana kita datang daripada-Nya dahulu.

Di kesempatan ini, dalam serba ringkas saya ingin ucapkan berbanyak terima kasih kepada Ustaz Mohammad Zulkifli Abdul Ghani yang menjadi tulang belakang di sebalik tabir penerbitan buku-buku saya. Tidak lupa juga kepada teman-teman yang banyak memberi sokongan secara langsung mahupun tidak langsung, terutama Ustaz Muaz Shukry, Ustaz Fauzan Abdullah, Ustaz Fadeer, Ustaz Fahrul Razi Abdul Razak... kritikan kalian saya ambil dari sisi manfaat, ianya satu muhasabah dan motivasi berkekalan buat diri saya.

Sudah pasti kepada Ustaz Habib Mustakim Ibrahim, pereka design yang disegani di balik riak wajahmu yang sentiasa menceriakan suasana. Terimalah Melakar Pelangi Cinta, buat kalian peminat buku di bumi anbiya' dan di tanah air.

Jazakumullahu khairan al-Jaza’

Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, Mei 25

Alam Tersembunyi Hikmah Melangit







CORAK hidup yang telah diciptakan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri telah meletakkan mereka berada pada situasi yang berbeda-beda mengikut kemampuan menggunakan pencerahan ilmu dan akal yang sihat, di samping senantiasa mencari peluang untuk bersaing dengan arus hidup yang kian bergelora. Kejayaan melawan arus tersebut boleh dilihat dengan kehadiran rasa ketenangan, keharmonian, dan pencapaian maksimun dalam hidup, serta jauh sekali mengalami konflik walaupun kesenangan bukan sesuatu yang dikejar, kerana mereka ini percaya kesenangan harta boleh sahaja dicari di mana-mana corok, asalkan halal.

Berbeza pula mereka yang senang harta tetapi sengsara dan miskin jiwa... diri sentiasa bergelumang dengan maksiat. Mereka mampu membina atau membeli sebuah rumah besar, memiliki kereta mencecah jutaan ringgit, saham-saham yang sentiasa naik melambung tinggi, dan membuat pelaburan jangka panjang... tetapi mereka belum tentu bisa membeli sekeping hati, melabur hati pada sumur kebahagian, di mana sentiasa rasa tidak puas untuk berbuat amal, tidak jenuh untuk melakukan ibadat, menjaga pantang larang sebagai seorang pelabur baik di sisi Allah Taala. Inilah kegagalan manusia menilai, mudah sahaja terikut kehendak hawa nafsu yang buas.. tidak cukup dengan apa yang ada, terus haloba dengan apa yang tiada.

“Ustaz, saya mahu enjoy dulu... saya masih muda”

“Kau kena pastikan aku dapat tender projek berjuta-juta di Dubai secepat mungkin. Aku sanggup bayar berapa sahaja engkau mahu”

Pengembaraan saya ke seluruh pelusuk negara ketika di tanah air dahulu mengajar saya erti sebuah kehidupan yang lebih bererti kerana dapat mengenal dunia luar. Sangat berbeza dengan negeri, tempat tumpah darah saya ketika dilahirkan sehinggalah tamat sekolah menengah. Tepat sekali pepatah Melayu yang mengatakan; “Jauh berjalan luas pemandangan”

Luas pemandangan dalam konteks mempelajari tentang baik buruk lakaran hidup, baik diambil sebagai teladan diri, buruk dijadikan sempadan. Kadang-kadang bila fikir tentang mehnah manusia ini, teramat sukar untuk diterima, ada semacam ingin marah tapi tidak terdaya, sesekali rasa kelakar pun ada. Mungkin ini dikatakan satu ibrah (pengajaran) bagi mereka yang benar-benar mengambil pengajaran dalam setiap pemerhatian pada sebuah eksperimen tidak formal ini... kemudian diterjemahkan dalam kehidupan.

Bagi saya, setiap apa berlaku baik atau buruk yang sempat ditangkap oleh ilusi mata, cepat sahaja diproses dalam bentuk lakonan semula. Watak utama dan penonton adalah saya sendiri. Jadi di sana saya dapat memberi kefahaman yang teramat dekat dan jelas dengan jiwa saya. Maka apa yang dikatakan tadi baik diambil sebagai teladan diri, dan buruk dijadikan sempadan akan cepat meresap terus ke hati, pengajaran dari sketsa pendek itu dapat disimpulkan. Mulai sekarang anda juga boleh mencuba, serta merasakan perubahan pada sekeping hati.

Jika anda susah berbuat sedemikian, atau ada di kalangan anda yang tidak suka atau pernah bersosial secara sihat di luar kawasan, mudah sahaja, cuba anda memberi sepenuh penghayatan pada sesebuah drama di layar televisyen anda, terutama cerita yang mempunyai kesedaran untuk diambil pengajaran seperti konflik keluarga, dan persahabatan. Jadikan diri sebagai pelakon utama dalam siri drama atau carekarema sukaan anda itu, selepas itu anda merasai sendiri klimaks cerita tersebut, yang mana mungkin sesuatu yang menyedihkan, memilukan, dan mengembirakan sebagai suri teladan. Begitu juga seterusnya watak hitam (jahat), dijadikan pula sebagai sempadan. Mudahkan?

Kalau dulu saya, cepat belajar melalui pembacaan, sebelum kenal selembar cerita dalam televisyen, maklumlah hidup kami bukan senang, tetapi ianya sudah cukup mengajar saya untuk mengawal perasaan (emosi), diri dan akal.

Teori seleksi alam dari Charles Darwin di pertengahan abad ke-19, banyak mempengaruhi banyak hal dalam sisi kehidupan manusia dan ilmu pengetahuan... baik dalam bidang agama, ekonomi dan psikologi. Kenyataan ini menurut para ahli, bahkan masih dirasakan sampai 200 tahun sejak teori itu dicetuskan. Hal ini seolah-olah sudah menjadi ketentuan alam, siapa yang kuat dia yang menang. Suatu kenyataan yang tidak terbantah lagi.

Dunia moden yang kita kecapi sekarang ini tidak terjadi seketika, tapi melalui satu proses seleksi alam yang memakan masa berjuta-juta tahun. Menjadi kuat, saat ini tidak lagi dianalogikan dengan otot dan sasa badan seseorang semata-mata. Pencapaiannya sudah berubah, iaitu melalui penguasaan teknologi multimedia, media massa, dan hal-hal lain yang boleh merubah pasca pemikiran seseorang... iaitu penguasaan ilmu intelektual. Saya masih merasakan ada kekurangan jika hanya pergantungan hanya pada cerdik sahaja, kerana kekuatan juga perlu. Ya... perlu diseimbangkan. Maka gabungan antara dua aspek ini, iaitu cerdik dan kuat juga penting bagi membentuk kemantapan dalam diri seseorang. Inilah corak dan cara saya cerapkan dalam proses pembelajaran erti hidup, dan sentiasa bersyukur dengan kurnian akal untuk menterbalikan dalam diari kehidupan saya.

Saya teringat kata-kata al-Imam Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali di dalam jurnal agung karya beliau ketika mengembara merentasi benua demi benua untuk mencari penghayatan sebuah pelayaran menuju Tuhan; “Ketahuilah sekiranya Allah Taala berkehendak kebajikan dan hikmah bagi hamba-Nya, nescaya diperlihatkan-Nya kekurangan-kekurangan yang ada, kecelaan diri hamba itu. Sesiapa yang penglihatan hatinya tembus, nescaya tidak tersembunyi kepadanya akan kekurangan dan kecelaan dirinya itu. Maka apabila dia sudah mengetahui akan kekurangan dan kecelaan dirinya itu, nescaya akan memungkinkan dirinya mengubati dan membersihkannya. Malangnya kebanyakan hamba tidak mengetahui akan kekurangan dirinya, malah mereka lebih mudah lagi melihat habuk pada mata saudaranya daripada melihat kecacatan matanya pada diri sendiri”

Takwa dan iman itu bekalan kekal manusia ke alam abadi...


Teruskan Pembacaan>>>

Isnin, Mei 24

CINTA ITU TANGGUNGJAWAB







MEMBINA cinta sejati adalah datang selepas kesukaran, mengecapai terlebih dahulu iman di hati. Iman pula, adalah proses datang sesudah ditimpa ujian hidup bertali arus, dan sabar sebagai pendinding kalis dugaan. Usah tinggalkan cinta utama, cinta Ilahi, semata-mata tidak tahan lagi untuk menagih cinta manusia. Ikhlas, antara bahan asas membina Iman.

Keikhlasan memberi dan tidak menagih balasan.

Cinta itu tidak pernah ditolak kerana setiap insan memerlukan, mendambakan, menginginkan untuk dicintai dan mencintai. Ingatlah, cinta sempurna berkait-rapat dengan kesabaran menongkah arus duniawi.

Wujudkan cinta itu dengan memberikan sesuatu bukan mengharap akan sesuatu, sebab, apa yang diberikan kerana cinta selalu datang pada hati kita di saat itu juga. Kebahagiaan memberi jauh lebih sempurna daripada bahagia kerana menerima.

Bila kita butuhkan sesuatu kita cintai, akan membuahkan perasaan kecewa bila harapan dinodai. Kecewa kerana harapan hanya tinggal harapan, apa dibutuhkan itu berakhir dengan kepahitan yang terpaksa ditelan sendiri.

Jangan mendera diri menginginkan sesuatu tidak pasti.

Bersedialah untuk memberi.

Jangan sia-siakan cinta diberi dengan bebanan yang berat, mengharap ‘mampu’ dipikul bahu.

Keinginan untuk memiliki mungkin tiada kesampaian.

Berdoa dan berserahlah kepada ar-Rahman, ar-Rahim, Dia mengasihi setiap hamba-hamba yang ingin mengisi kasih dan sayang antara satu sama lain di dalam pelukan redha-Nya, meraih keberkatan-Nya, dan mengharapkan ampun di bawah rimbunan bayu rahmat-Nya. Inilah masa ditunggu, berkasih dan bercinta kerana Allah Taala.

Begitu indah cinta berputik lahir selepas terpatri ikatan perkahwinan. Matlamat utama terbina di atas saling percaya-mempercayai dan penuh rasa tanggungjawab, di hujung pula hanya mengharapkan keredhaan Ilahi. Pentas perkahwinan adalah antara hakikat sebenar medan meraih cinta dan redha Allah Taala.

Bahan asas membina cinta seperti pengorbanan, tanggungjawab, ikhlas, memberi, sabar dan toleransi akan wujud di sebalik tembok redha Allah Taala itu. Maka asas dan terasnya diperolehi sepersis keringat kita mencari redha Allah Taala.

Alhamdulillah

CINTA BERMUSIM

Aduh…

Memang banyak yang perlu difikirkan sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga. Anda harus menyediakan diri dengan banyak perkara. Kerana mengingatkan semua perkara inilah, ramai yang masih belum berani berkahwin walaupun telah bertahun-tahun menjalinkan ikatan pertunangan.

Payah membuat kata putus.

Kenal dulu, bercinta dulu.

Kenapa mesti bercinta kalau tidak tahu menghargai cinta. Cinta yang diharapkan selepas cincin tersarung di jari manis bersaksikan wali, imam. Buktikan cinta kalian lebih suci daripada kenal serba-serbi perihal pasangan sebelum ikatan, namun akhirnya tiada lagi kemanisan selepas melayarkan bahtera perkahwinan.

Dalam hubungan yang kurang mesra, saya yakin kesabaran itu adalah penting untuk menjadikan hubungan lebih mesra.

Kesetiaan satu perkataan yang mudah diungkapkan, tapi sukar untuk dikotakan. Cubalah membentuk diri menjadi seorang yang setia terlebih dahulu sebelum mengharapkan orang lain untuk setia dengan kita

Bila sudah sampai masa, bila keperluan utama sebagai da’ie atau pelajar berjaya dilunaskan, carilah masa sesuai untuk mengakhiri percintaan di alam pertunangan tersebut dengan hubungan halal, iaitu ikatan perkahwinan. Mulalah dengan niat suci, bersedia menerima kekurangan pasangan, dan terus menerus bersyukur di atas kelebihan yang ada padanya.

Ingatlah, Tuhan selalu menduga walaupun sudah merasakan sempurna, tiada masalah kewangan, yakin mengurus tadbir rumahtangga, kerana di celah-celah kesempurnaan tadi kita sering alpa. Ujian-Nya adalah mendidik, kerana Dia masih melihat, masih kasih kepada setiap hamba yang sabar, dan bersyukur.

Indahnya cinta bersama Ilahi.

SEDIA BERUMAHTANGGA

Deruan ombak sentiasa memukul pantai. Bukan dinamakan manusia, andai tidak pernah dilanda badai masalah dalam hidup.

Risiko ada di mana-mana.

Segala tindakan dan perbuatan pasti mempunyai risiko. Begitu juga dengan mengambil keputusan untuk berkahwin. Perkahwinan akan membuka topeng masing-masing. Jika sudah memutuskan untuk berkahwin, bererti kita harus sedia menerima risiko paling buruk tentang sikap pasangan. Berkahwin adalah bererti meninggalkan zaman bujang, atau hidup bebas bersendirian.

Di dunia ini tidak ada yang abadi.

Berkahwin merupakan cara untuk menyatukan dua hati yang berbeda jantina dan membina sebuah mahligai bahagian. Namun dalam keadaan tertentu, terlalu sukar untuk mempertahankan kebahagiaan itu. Cara yang terbaik adalah dengan berpisah secara damai. Ketika akad sudah terpatri, kita harus menyedari bahawa akan ada salam perpisahan jika tidak seiringan. Menghidari dan mencari jalan penyelesain adalah keutamaan.

Perkara paling utama ialah keyakinan diri. Oleh sebab itu, yakinkan diri sendiri kenapa kalian harus mendirikan rumahtangga.

Kalian harus menerima kenyataan bahawa situasi tinggal bersama itu berbeza dengan tinggal sendiri. Semuanya harus dikongsi. Bukan sekadar berkongsi bilik, satu almari tetapi juga berkongsi waktu, perhatian, sabar, kewangan dan juga emosi. Pupuklah cinta di antara liang-liang ketidak-selesaan yang timbul.

Masalah selalu ada, bila-bila dan di mana-mana sahaja. Adakalanya permasalahan timbul untuk memperbaiki kualiti hubungan anda. Oleh sebab itu, lebih baik jika kita selalu sedia membuka perbincangan, toleransi, berlapang dada untuk bertukar-tukar buah fikiran dengan pasangan, agar hubungan cinta tetap terjalin.

Bersedia menimang kehadiran anak…

Kehadiran anak amat dinanti untuk menyerikan kehidupan. Tetapi sama ada anda sedar atau tidak, anak dapat mempengaruhi hubungan dan kehidupan rumahtangga selepasnya. Bagaimanapun, kehadiran anak adalah kurniaan Allah. Maka bersikap rasional dalam masalah ini akan lebih baik. Anda tidak harus mengurangi waktu untuk berdua-duaan ketika bersama atau tanpa anak sekalipun.

Bersedialah dari sekarang, pintu gerbang ke arah perkahwinan akan dilewati dan digapai jua. Hanya menunggu masa bila dan di mana kita, dan pasangan akan disatukan.

Moga harumannya akan terus mewangi ke seluruh alam...


Teruskan Pembacaan>>>

Ahad, Mei 23

Motivasi: Muhasabah Dan Motivasi Hidup








MOTIVASI ialah melihat sesuatu jauh kehadapan dan menjenguk sesuatu tinggi melangit. Buah akalnya berupa api semangat, meredah susah untuk senang kemudian, sama ada dia berani atau langsung tidak dia tidak terkesan kerana matlamatnya hanya satu, iaitu mencapai apa yang diimpikan. Muhasabah pula, mencari gali hikmah di sebalik mehnah, mengeluarkan isi tersirat di sebalik tersurat... kebaikannya diteladani dan keburukan ada disempadani. Orang mukmin akan memanfaatkan kedua-dua M ini untuk mencetus sumber inspirasi dan aspirasi dalam hidup.

Motivasi dan muhasabah penting. Jadikan liku-liku hidup sebagai seorang hamba serba kurang untuk keluar daripada kepompong lemah. Ketika ini muhasabah diperlukan... bentuk kesusahan dunia moden bukan lagi seperti peritnya Bilal bin Rabah menanggung sesak dada dihempap batu besar di padang pasir panas terik, motivasinya pada lantunan kalimah “Ahad (Esa).. Ahad!!”. Jerihnya kita pada hari ini bukan lagi seperti disula kepada Sumayyah, bukan juga direbus panas-panas seperti tukang sikat Firaun, Mashitah... motivasi mereka ada pada Kalimah Tauhid, tiada tuhan berhak disembah selain Allah, Muhammad pula utusan Allah.

Mungkin sudah jodoh saya dengan takdir-Nya yang tersirat. Hikmahnya baru saya kecapi saat saya menulis post ini. Cukup halus Allah Taala menusuk jarum tarbiah ke hati, ketika saya benar-benar memerlukan tonik semangat di ambang peperiksaan makin hampir. Minggu lepas usai saya mengajar pelajar tahun satu dari Indonesia dalam madah Tauhid; Madkhal li Dirasati al-‘Aqidah al-Islamiyyah. Di sana diselitkan punca kekuatan Kalimah Tauhid, seperti sifat Allah 20 dan perbahasannya. Rupa-rupanya ada sesuatu mengetuk jiwa saya, bukan sahaja mengajak saya faham maksud Wujud, Qadem, Baqo’ dan beberapa lagi sifat Allah, lain malah sungguh mengajar saya menjadi manusia beriman.

Kita mesti tetap muslim, dan mukmin dalam apa jua keadaan.. senang kita ialah muslim dan mukmin, susah kita mesti muslim dan mukmin. Kita beriman, iman kita pada hukum-hakam, iman kita pada ajaran baginda, iman kita pada dasar-dasar Islam, rukun-rukun tersandung di dalam pengajarannya. Malah kita kena lebih beriman bila berhadapan pilihan antara iman dan kufur (syirik berat atau ringan). Mudah menutur kalimah syahadah syarat sebagai beriman, tapi lebih mudah kita diserang perkara yang bisa membatalkan iman kita. Islam bukan sahaja pada kalimah tapi pada ibadat.

Jangan sesekali masa senang kita, menjadi istidraj hingga kita terus alpa dan lupa kepada Maha Pemberi kesenangan itu. Dia tidak menagih simpati dibalas semula apa kita kecapi, harta-Nya tidak pernah berkurang, Dia tidak rugi apa-apa. Dia mahukan kita dekat pada-Nya, sentiasa menjadi hamba bersyukur. Jangan sesekali pula masa susah kita dihujani masalah kewangan, kesempitan hidup menjadi penyebab kita makin jauh pada Maha Kaya. Kayanya kita tidak berhenti pada nikmat harta, tapi pahala menggunung.

KITA ADA ALLAH

Dah berkali-kali saya ingatkan, manusia lemah bukan diukur berapa kali dia diserang kemiskinan, kepapaan tapi kemalasan dia bangkit dicelah-celah kemiskinan dan kebodohan dia ditipu berkali-kali oleh harta yang banyak. Ujian-Nya ada di mana-mana, tinggal lagi kita bijak mendepaninya atau tidak.

Ada bersikap pesimis, mustahil boleh bangkit di antara kesempitan hidup... menggangap diri betapa realistik, melihat sesuatu terpacak di depan mata. Kononnya iman perkara abstrak, susah hendak mengimiginasi. Mengamalkan Islam di dunia serba canggih, bukan sahaja berperang abstraknya iman, malah idealogi dan serangan minda dari Barat. Seolah-olah Islam tidak lagi relevan diamalkan dalam kehidupan.

Kita tidak memilih strategi ‘hantuk kepala’ yakni berdepan dengan kejahatan secara membabi-buta. Kita memilih untuk ‘biarkan... biarkan’ hingga serami kejahatan terus melekat di hati, kekotoran makin lama makin degil, dia ‘biarkan.. biarkan’ sampai satu masa cahaya nur hidayah Tuhan susah menyelinap masuk, kerana ditutupi oleh dinding malap.

Benarkah mustahil?

Kalau kita berjaya membina aset kekayaan hasil daripada bijak kita mengurus tadbir syarikat, perniagaan di pasaran tempatan mahupun antarabangsa, kenapa tidak pada iman kita? Membangun pasca iman seiring membangunnya kemewahan material. Kenapa kita tidak pernah muhasabah, dan melihat kejayaan orang lain membangunkan hidup, agar bisa lari daripada kesempitan hidup, miskin harta, di samping sedar satu lagi pembangunan penting, ruh (iman). Jalan ini tidak mustahil bagi mereka yang faham dan membangkitkan kesungguhan dalam jiwa mereka, seterusnya sering mengulang-ulang kebenaran ini di dalam percakapan mereka, akhirnya menterjemahkan semua itu dalam tindak tanduk amalan mereka.

Manusia seperti Abu Bakar, Umar, Hanzalah (asadullah), Khalid ibn al-Walid berjaya membuktikan. Peranan sirah juga penting, melihat mereka terdahulu lebih dahsyat cara serangan tapi mereka hanya berTUHANkan satu Tuhan, iaitu Allah. Begitu juga Imam Hassan al-Banna, Imam al-Qutb, Fathi Yakan, Dato' Fadzil Noor yang sempat hidup satu era dengan kita.

Kita hanya tinggal kemasalan dan seribu alasan.

Kita ada Allah untuk serahkan segala amal perbuatan kita. Dia akan menilai baik buruknya, dan akhirnya ke mana kita diletakkan sama ada dialu-alukan atau dipalu-palukan.

IMAN DAN BAHAGIA

Buatlah perbandingan, antara manusia-manusia di hadapan kalian sebagai cermin harga diri bernilai. Sudah tentu cermin yang baik dapat mengesan diri sesudah muhasabah... laskar tindakan diperhalusi selepas tahu dan mahu.

Insan kerdil yang berasa tidak pernah cukup dengan apa yang ada, akan terus menghambakan dirinya kepada Allah Taala dengan sebenar-benarnya. Kebahagian dan kesedihan semuanya berserah kepada Allah Taala. Sesungguhnya manusia ini penuh dengan sifat-sifat kekurangan, cukup dengan apa yang ada.

Insan megah dengan kebahagian, tidak pernah berasa cukup jika hatinya kosong dan jauh dari Allah Taala. Kepalanya sudah di-setting untuk menerima input sahaja, output dimatikan. Kita sekarang hanya tinggal kemalasan dan alasan untuk berubah, jauh sekali untuk mengubah. Walaupun masih ada segelintir insan yang benar-benar mengamalkan ajaran-Nya dan menjadi hamba-Nya. Namun masih lagi ramai yang tercari-cari, tergapai-gapai, terkapai-kapai di awangan gelap, di manakah destinasi hendak didarati... mengenali Islam dalam erti maksud yang sebenar bila menjadi hamba.

Susahkah berubah?

Payahkah?

Tinggal lagi mahu atau tidak, sedangkan tahu sudah kejap digalas pada sayap sebelum terjumpa daratan Iman, dan takwa. Kita mampu untuk berusaha dengan baik, dan lebih baik lagi dalam menjadi hamba.

Sang hamba perlu pada dua jiwa. Jiwa Sufi, dan jiwa Jundiy (melawan). Jiwa Sufi, supaya dapat sentiasa menikmati, mengoreksi diri agar kembali pada Ilahi dengan utaian zikir dan tasbih. Jiwa Jundiy (melawan) agar mampu berdiri, berlari dan beraksi agar menyentuh hati-hati agar tidak mati dan bisa mengawal duniawi. Letakkan dunia di bawah tapak kaki (kekuasaan) kita bersama roh Islami.

Rasulullah s.a.w ada bersabda, bermaksud: “Sesungguhnya Allah, bilamana Dia mengasihi sesuatu kaum, maka akan diuji (menilai tahap iman mereka) kaum tersebut” (Hadith Riwayat Ibn Majah)

Untuk membuktikan bahawa dia benar-benar berada di atas kebenaran yang hakiki. Tidaklah ujian itu, sekadar menguji keimanan. Untuk apa? Supaya kita tahu dalam jerih ada kemanisan, dalam perih ada keasyikan. Keluarkan hikmahnya dari kotak ujian, hamburkan kepada diri sendiri sebagai guide-line, panduan, serta pedoman hidup.

Bila bersandar kepada Allah Taala, seolah-olah memperolehi satu kekuatan untuk menempuhinya. Kerana adanya perasaan yakin bahawa Allah Taala sentiasa ada bersama. Dia Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Betapa Allah amat mengasihi hamba-hambaNya ‘memandang’-Nya sebelum Dia lebih-lebih lagi akan terus ‘memandang’ kita.



Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, Mei 22

Saya Bakal Diuji








SEGALA undangan seperti ceramah, forum, seminar telah saya tangguhkan hingga selesai musim peperiksaan semester akhir hujung bulan Jun 2010. Maafkan saya terpaksa tolak beberapa undangan saat-saat akhir dua minggu lepas, sebenarnya dah dua minggu saya sudah istirehat daripada ‘memberi’, termasuklah smart circle para pelajar perubatan tahun 4 Kaherah. Maafkan saya di atas kesulitan yang timbul, saya juga manusia biasa, seorang pelajar seperti kalian yang butuhkan masa khusus, masa platinum buat persedian menghadapi peperiksaan yang bakal bermula pada akhir bulan Mei (10 hari lagi!).

Minggu lepas, secara rasmi kami para pelajar di Fakulti Syariah dan Perundangan memperolehi jadual peperiksaan semester akhir. Berbanding fakulti lain, fakulti kami agak terlewat disiarkan jadual kerana silibus setiap tingkat pengajian masih tersisa lagi, dan perlu dihabiskan. Maka bermulalah langkah ke sekian kalinya, kami bakal berhadapan soalan-soalan logikal, tiada korupsi, tiada pembocoran kerana semua soalan dibina pada hari peperiksaan... masih ‘panas-panas’.

Ujian dunia pasti kita depani, bila, di mana, dan bagaimana, itu serahkan kepada Tuhan Esa. Dia berhak menguji setiap hamba-Nya yang mengaku beriman kepada perkara Ghabiat, Sam’iyat. Kita dilahirkan dalam fitrah. Fitrah kita lebih mengerti apabila kita tahu mana al-Haq dan mana batil, tidak teragak-agak memilihnya walaupun kadang kala yang batil itu lebih menguntungkan, kerana kita masih ada mujahadah.

Berikut ialah madah yang telah saya ambil dan bakal teruji pada semester akhir;

-Al-Quran (tahriri dan syafawi)
-Fiqh Syafie
-Fiqh Muqorin
-Ushul Fiqh (Maudhu-‘i dan Nassi)
-Ahwalul Syakhsiyah
-Ahadith Ahkam
-Qo’ad Bahath (Ushul Fiqh Nassi dan Fiqh Muqorin)
-Bahasa Asing (Inggeris)

Doakan kami, doakan saya diberi ketenangan di hati sepanjang musim peperiksaan nanti.

Jazakumullahu khairan al-Jaza’...



Teruskan Pembacaan>>>

Khamis, Mei 20

Benarlah, Kita Adalah Satu







WAHAI sahabat ku, bagaimana keadaan iman mu pada hari ini? Mulakan hidup kalian pada hari ini, hari esok dan hari-hari yang masih diberi peluang untuk mengecapi indahnya alam, melihat langit biru membumbung luas dengan pancaran iman menyinar di ufuk timur. Di dada langit, jangan lupa ukirkan pelangi cinta kalian masing-masing, pesonanya bisa dinikmati seluruh makhluk di seluruh dunia yang melata. Kita, haiwan, tumbuhan dan segala makhluk yang menghuni alam ini adalah dijadikan atas satu nama, satu maksud, satu tujuan dan satu visi. Sama ada kita mahupun mereka mengerti atau tidak reti adalah sama, kita ialah makhluk Allah, kepada-Nya kita beribadat.

Ya, seluruh alam beribadat kepada Allah Taala.

Justeru kenapa kita perlu prejudis di atas penghidupan ini. Kalian tiada masa untuk ‘membunuh’ hak, merutuhkan masa depan, iri hati, benci terhadap makhluk lain, sudah pasti sesama manusia. Apa yang kalian cari di dunia sementara cuma ini? Harta, kedudukan, pangkat, gred gaji tinggi, sanjungan. Apakah kalian sudah merasa cukup dan damai apabila perolehi semua ini? Andai benar, kalian harus muhasabah dan berubah kerana ianya kelak bisa meruntuhkan sebuah tautan yang terbina antara kita sesama manusia dan makhluk lain.

Saya tahu, kita mempunyai visi dan matlamat sendiri yang ingin dicapai, apakah kita bisa mencapainya melalui kudrat empat kerat kita sahaja tanpa ada bantuan daripada manusia di sekeliling? Tidak, kita perlukan mereka.. begitu juga mereka perlukan kita, saling melengkapi antara satu sama lain. Seorang majikan sudah pasti mempunyai pekerja bawahan yang mambantu dalam urus tadbir dalam pelbagai unit, dan gerak kerja khusus berdasarkan kepakaran masing-masing.

Tautan utama; ialah tautan kukuh antara hamba dan Tuhan Pencipta, al-Khaliq. Kalau teman-teman masih ingat artikel saya dahulu pernah menyebut, cinta kita sesama manusia sebenarnya melalui Allah Taala terlebih dahulu sebelum sampai kepada insan kita cinta dan tagih dicintai. Sudah tetntu cinta kita harapkan melalui perantaraan redha Allah ialah cinta yang lahir daripada hati yang kudus, suci murni. Perjalanan kita, kaki melangkah, tangan memilih, dan hati yang menentukan terbentuk lahir daripada pimpinan dan sentuhan lembut daripada hidayah atau petunjuk Allah Taala. Inilah hubungan paling ampuh.

Kesannya, jual beli kita kerana Allah, urusan kerja kita kerana Allah, kata-kata kita kerana Allah, pertolongan kita kerana Allah, senyum kita kerana Allah, belajar kita kerana Allah, makan minum kita kerana Allah, semuanya kerana Allah Taala. Kesan di sebalik kesan tadi, tiadalah kita lihat sumbang mahram, tiadalah kita terdengar salah laku rasuah, tiada pergaulan bebas, tiada kecurian, tiada sifat malas, lahirnya jujur, amanah dan dedikasi dalam semua amal kerja kita lakukan.

Lihat betapa murni dan indah lakarannya, tersalut pada sifat kehambaan tadi.

Tautan kedua; ialah ikatan utuh sesama manusia. Kalian juga pasti sudah mencermati artikel saya di bawah tajuk: Sejati Hingga Ke Mati. Bagaimana kita ingin mencari sejati bukan sahaja dekat di hati tapi sampai kita mati, dia yang kenal masa susah kita, dan tidak melihat masa senang kita. Orang kata bersahabat biarlah seribu, namun dalam seribu itu kita belum tentu terjumpa yang sehati. Manusia apabila buat sesuatu berdasarkan naluri fitrah yang ada, tinggal lagi dia bijak memilih antara iman dan nafsu. Cinta sudah pasti kita dambakan, tapi cinta yang kita lahirkan mestilah Lillahi Taala.

Allah Taala berfirman:

Bermaksud: “Sesungguhnya, orang-orang yang beriman itu bersaudara” al-Hujurat (49:10)

Apabila tahu sahaja jiran kita jatuh sakit, maka kewajipan kita untuk datang jenguk. Memberi pertolongan dengan ikhlas apabila melihat sahabat kita sesak duit, terkena musibah. Hidup memang umpama roda. Kadang-kadang kita senang, kadang kita susah. Bersyukur dikurniakan sahabat yang sanggup berkorban dan membantu. Hari ini mungkin hari kita, esok-esok hari dia pula.

Semasa demam, ada kawan yang sanggup basuh baju kita, dan begitulah sebaliknya, ketika kesusahan, dialah yang paling awal menghulurkan bantuan.. tidak kira di mana pun kita berada. Saya juga pernah menyaksikan sepasang suami isteri yang diuji dengan musibah (sakit), mula-mula suaminya sakit, si isteri jaga dengan sabar dan redha, kemudian Allah Taala sembuhkan suaminya dan diuji isterinya pula.. maka si suami pula mengambil tempatnya. Sesungguhnya mereka inilah, dan kita adalah pasangan pilihan Allah untuk membuktikan keimanan masing-masing.

Kadangkala berulang kali berselisih faham, kadangkala beberapa kali bermasam muka. Namun, kalau benar ukhuwwah itu dibina atas dasar iman, maka ia akan kembali semula bersatu. Carik-carik bulu ayam, akhirnya tercantum semula. Kerana jika iman itu benar, ia akan menjadi seperti magnet, membuang segala rasa buruk di dalam hati, meringankan diri untuk meminta maaf dan memaafkan.

Tautan ketiga; ialah ikatan kukuh antara makhluk, dan alam semesta. Kita kasih pada haiwan, kita cintakan alam sekitar, kita kasih pada tumbuhan. Cinta ini perlu seiringan cinta kita kepada Allah, dan kasih kepada manusia lain tadi. Kita tidak merasakan makhluk ciptaan Allah yang lainnya bukan satu kejadian yang sama, peduli kita terhadap mereka pembuktian lahirnya iman yang terpasak jauh, ianya tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Ke mana kita pergi, kita tidak mengkhianati mereka.

Kita makan sesuatu makanan, pepejalnya kita buang ke dalam tong, tidak ke merata tempat di atas bumi. Kita tidak sanggup menggodol tanah, bukit tanpa hak, kita tidak memusnahkan tumbuhan dan pokok-pokok sesuka hati, untuk kepentingan peribadi. Kita juga tidak sanggup menambak laut hingga pupus habitat haiwan laut dan sebagainya.

Semua ini kerana tautan kasih yang terbina tadi.

Sudah pasti kita buat dan lakukan hanya kepada Allah Taala sahaja kita harapkan redha.


Teruskan Pembacaan>>>

Rabu, Mei 19

Motivasi: Petua Untuk Bahagia, Mudah!







MANUSIA jika ditanya, tiada siapa yang tidak mahu kebahagian. Hatta orang miskin pun inginkan kebahagian dalam konteks cara hidup mereka, kerana dia tahu kaya seseorang belum tentu menjamin kebahagian. Bahagia hadir bersamanya tenang, tidak celaru dan kusut fikiran, mampu ukir senyum dalam apa jua keadaan, dan tidak pula menyusahkan orang lain.

Manusia akan memastikan kehidupan mereka benar-benar bahagia. Mereka yang tiada iman sebagai pemandu akan terjerumus dalam selut kebinasaan di saat-saat kebahagian mahu dicapai. Bertebaranlah mereka mencari bahagia dalam harta, kerjaya, bussines, anak-pinak, dan pasangan hidup.

Dari satu sisi ada benarnya bagi mereka yang berfikiran cetek dan tidak pernah panjang akal, kerana mereka mementingkan apa yang terzahir di luar sahaja, hanya melihat kulit daripada isi.. mungkin kelengkapan material-material seumpama itu akan membawa kebahagian, tapi tidak dalam jangka masa yang panjang. Harta pasti akan habis, isteri sampai satu masa akan tua dan tidak sekuat dulu, anak-anak pula akan membesar dan jauh daripada kita bila berkeluarga kelak, bahkan kerja bisa menjadi punca stress.

Kita sendiri bila berhadapan sakaratul maut, pilihan hanya dua sahaja, amal baik sebagai teman di alam barzakh, berupa satu kebahagian yang berkekalan atau amal buruk sebagai musuh utama di sana. Apakah ianya dengan harta yang banyak? Duit yang menggunung?

Pernahkah kita terlintas? Bahagia yang hakiki ialah sangat abstrak untuk diungkapkan, ianya kata kerja, TAAT. Kalau kita selidik daripada taat akan tumbuh sikap qanaah, berpada-pada pada apa yang ada, redha dengan apa yang tertimpa, tapi taatnya akan terus utuh. Kekurangan yang ada bukan sebab dia perlu tunduk dan akur pada keadaan, lakaran sebuah ketaatan tetap sahaja membukus hidupnya agar sebuah kebahagian akan menyusul tanpa dipaksa.

Apabila kita merasa cukup pada apa telah kita kecapi, di sana akan wujud satu lompongan atau lubang besar yang boleh membawa kepada kehancuran. Tiada masalah untuk kita cukup dengan harta dunia, tapi kena terus haloba dengan pahala untuk dibawa ke akhirat. Tapi apa yang kita dapati kebahagian yang dicari pada harta dunia terbalik berbanding pahala ibadat untuk bekalan ke akhirat.

DIMENSI TAAT

Di sini kita perlu peka, kita hendaklah melihat betapa pentingnya kita terus dahaga dan haus akan pahala, rasa tamak, rakus, dan gelojoh untuk mendapatkan sumber pahala yang disajikan di dunia ini. Bagaikan serasa semua pahala ingin dibolot seorang diri. Taat adalah antara tonggak terpenting iman, ianya antara ramuan utama pembentukkan takwa insani.

Taat tumbuh dalam diri manusia selepas tahu, tahu dalam erti kata jauh daripada bahana jahil. Ilmu agama ditagih dan dicari di setiap pelusuk baik secara formal atau sebaliknya, melalui saluran biasa mahupun pelbagai. Mendengar ceramah di televisyen, tazkirah dicorong radio, atau mendalami kitab turath dan muasoroh di masjid. Selepas tahu, maka dia sebolehnya akan turut apa yang diajarkan oleh agama melalui ilmu ber-mutawattir (bersambung) kepada Nabi s.a.w.

Taat lawannya ingkar. Ingkar pula kerana jiwa dan hatinya sudah gelap untuk menerima nur cahaya Ilahi. Ianya bagaikan dipenjara di balik geriji besi, jauh daripada sumber cahaya. Manusia seperti ini, susah untuk menerima apa sahaja kebaikan baik berupa nasihat atau pertolongan sosial. Sifat sombong sudah lama bersahabat dalam jiwanya.

Bahananya bila seseorang membela maksiat sedari awal, keinginan dangkalnya tetap ke arah kebinasaan jika tiada bimbingan atau kehendaknya untuk berubah, mencari hidayah, dan bertaubat kepada Allah Taala dengan sebenar-benarnya.

Apabila jiwanya sudah gelap maka terputuslah hubungannya dengan Penciptanya, Allah Azza wajalla. Terputuslah dengan Allah Taala pencipta segala kebahagian. Dia lebih senang berada di kelab malam, mendampingan puluhan wanita dalam satu-satu masa, tidak amanah pada kerja, curi tulang, mengamalkan rasuah. Tiada keberkatan dalam hidup, mungkin dia akan terus kaya dan senang.. tapi senangnya itu ialah malapetaka paling dahsyat kepadanya.

Suka saya memberi peringatan kepada mereka yang dah rasa selesa, berada di zon kebaikkan yang ternyata boleh makan tuan. Dia berasa cukup dengan melaksanakan solat lima waktu, baca al-Quran setiap hari, keluarkan duit bersedekah. Rasa sudah memadai melaksanakan tuntutan rukun islam kelima, menunaikan haji di Makah.

Ketaatan kepada Allah tidak cukup dengan kita mengerjakan rukun Islam lima, bahkan perlu pada amal tambahan. Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk mengerjakan amalan sunat, bagi mencatikkan lagi hiasan amalan wajib, mengukuhkan lagi benteng ketaatan kita dari segala ancaman anasir-anasir yang tidak sihat. Jangan sekadar buat untuk mencukupkan kuota sahaja. Perlu juga kita menambah amalan kita dengan amalan-amalan sunat yang menghidupkan jiwa kita, yang menebalkan keimanan kita, membumikan benteng ampuh.

Taat kita kerana-Nya, bukan kerananya.

KEILMUAN

Ilmu cukup penting untuk menjadi pemandu kedua selepas iman. Ilmu dan iman bagaikan tidak boleh dipisahkan. Ibarat juru terbang, mereka saling melengkapi antara satu sama lain. Mereka berdua bertanggungjawab ke atas ratusan nyawa agar selamat sampai ke destinasi. Begitu juga diri manusia, mereka memerlukan pemandu yang cekap bagi membawa amal yang banyak di dada agar harapan di penhujungnya sampai ke destinasi dalam iman, husnul khatimah.

Tapi ingat, apabila ilmu bersendirian, jangan harap ianya bisa membimbing dengan baik. Kita lupa ilmu juga bisa membawa kemusnahan pada diri manusia itu sendiri.

Tidak percaya?

Ramai yang berpuas hati dengan segulung ijazah, berstatus sarjana muda, sarjana, dan doktor falsafah. Ibarat keris makan tuan. Membunuh secara senyap. Dia berasa sudah cukup bijak dengan menguasai pengkhususannya dengan berjaya. Selepas melalui satu marhalah pengajian dalam satu bidang, tamat dengan PhD, dia merasakan ilmunya sudah mapan dan cukup. Tetapi, rasa kecukupan ini akan memusnahkan kita.

Tahukah kalian sikap cepat berpuas hati tidak bertempat ini telah dan akan melahirkan para sarjana yang sombong dengan ilmu yang ada. Tidak menghormati para sarjana lain, apabila memberi pandangan, pandangannya sahaja yang betul, dan tidak meraikan pendapat orang lain. Umat pula diheret ke kancah perbalahan mereka, keliru makin menebal dalam masyarakat. Tidak keterlaluan, antara sebab yang melahirkan pelbagai aliran pemikiran di dunia, antaranya masalah kita bincangkan ini.

Ilmu yang bergambung bersamanya iman akan memimpin manusia ke arah syurga. Sudah pasti bahagia yang dicari berada di antara kedua-dua pemandu ini, iman melengkapi ilmu supaya terarah ke arah tauhid dan takwa, manakala ilmu menambah sinergi pada iman, lebih bertenaga dan lebih platinum.

KESIMPULAN: TAAT, IMAN, ILMU

Kerana hati telah cukup hanya Allah Taala sahaja layak disembah hasil daripada tahu, ilmu dan iman yang memimpin, maka lahirlah rasa taat yang menggunung, menebal, dan memasak jauh ke dalam, kukuh berdiri menahan asakan syaitan dan bisikan nafsu syahwat. Dengan dunia yang Dia berikan kepada kita, kita akan sentiasa rasa cukup. Tidak timbul hasad pada kemewahan orang lain. Tidak timbul cantas mencantas dalam merebut jawatan. Tidak terfikir hendak menggatal dengan pasangan orang. Tidak terfikir untuk mengecewakan anak-anak. Biarkan papa tapi tahu untuk bersederhana, tidak pula hutang di sana sini semata-mata untuk bergaya.

Material merupakan antara unsur kecil lahirnya bahagia, tapi awas ianya tidak kekal selama-lamanya. Tapi iman yang telah diramukan bersama ilmu lantas menerbitkan taat itu tadi akan melahirkan kebahagian yang hakiki dan abadi.

Hati-hati jangan sampai leka dan alpa, anak adam sentiasa tidur dan mudah terpedaya, tapi kita harus sedar musuh anak adam tidak pernah tidur dan kerjanya adalah memperdaya.


Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, Mei 18

Lillahi Taala: Saya Menulis Kerana Minat








RAMAI juga yang tanya saya tentang konsep dan kaedah saya menulis sesuatu artikel di dalam blog, mereka hairan kadang-kadang saya mampu untuk mengemaskini blog hampir setiap hari. Ada juga yang meminta saya berkongsi ini dan itu, cara yang tepat agar dapat terus menulis dan tidak kalah oleh mood yang menyerang tidak kenal masa dan tempat.

Bila fikir-fikir semula, saya tidaklah bagus atau ada bakat dalam menulis, kebanyakkan apa yang saya tulis adalah untuk memberitahu, atau berkongsi sesuatu yang saya rasa patut dan perlu. Apa yang saya dapat di universiti, di pusat pengajian di masjid, maka saya cuba kongsikan bersama para pembaca.

Saya mula menulis secara minat dengan lebih serius ketika di sekolah rendah lagi. Kebanyakkan tulisan saya itu hanya bersifat peribadi, tidak menyentuh mana-mana urna masalah di luar lingkungan hidup saya. Banyak koleksi tulisan masih disimpan hingga sekarang. Teman-teman satu sekolah rendah tahu hobi nombor satu saya ini, saya memang tiada bakat menulis tapi saya akan pastikan minat saya ini digilap dari semasa ke semasa. Bermula daripada minat, saya asas bakat sedikit demi sedikit, dan dipantau oleh guru pembimbing saya ketika itu, Puan Noraini. Dari situ saya mula serius dalam dunia penulisan.

Apabila saya diberi peluang menyambung belajar di ardhu kinanah hampir tiga tahun lepas, saya tidak melepaskan peluang untuk mempunyai laman blog, di samping mempunyai kemudahan internet sendiri. Ustaz Fauzan Abdullah yang banyak membantu saya terutama membina tapak pemuka dan akauan blogger sendiri. Maka di sini saya boleh ketengahkan penulisan saya secara meluas, tanpa ada sekatan. Peluang dakwah melalui dunia maya memang cukup berkesan dan terbuka luas. Saya akan manfaatkan dan abadikan setiap tulisan saya di laman ini.

Menulis, menggarap sesuatu artikel tidak payah. Tapi yang menjadi kesukaran saya ialah untuk dapatkan idea. Idea atau isi-isi penting memang sukar difikirkan, ianya memerlukan pembacaan dan pengetahuan yang luas. Maka saya dapati ilmu yang saya perolehi setiap hari, saban masa boleh memberi input terbaik bagi menghasilkan idea-idea yang bernas, biasanya saya akan kaitkan dengan isu atau topik yang ingin dibincangkan.

Sebenarnya di atas satu masalah, satu isu boleh mencerap dan menghasilkan puluhan artikel berkenaan dengannya sahaja. Contohnya cinta, hati, dakwah dan sebagainya. Daripada itu kita boleh pecahkan kepada beberapa judul yang bersesuaian, antaranya kekeluargaan, persahabatan, keremajaan, couple, sirah, dan sebagainya. Kita tidak boleh sempitkan idea, masalah cinta bukan sahaja tertumpu kepada pasangan remaja, kekasih, tapi ianya cukup luas meliputi seluruh alam. Jangan lupa cinta juga adalah tautan kuat antara seorang hamba dan al-Khaliq.

Mulakan menulis hal-hal yang ringan-ringan sahaja berbentuk santai, tapi masih ada manfaat. Penulisan ilmiah sudah pasti hanya golongan intelektual sahaja mampu mengembangkan ayat dan isi berdasarkan ilmu yang ada pada mereka. Berlainan bidang sesuatu ilmu, maka berlainan corak penyampaian. Orang biasa-biasa juga boleh berkongsi idea mereka, namun hanya terhad pada pengetahuan masing-masing. Apabila santai, tidak berat maka sesiapa sahaja boleh menyuarakan, meluahkan apa sahaja yang terlintas.

Jangan pesimis dengar cakap-cakap orang. Menulis boleh diletakkan sebagai salah satu hobi, ianya tidak memerlukan bakat kerana orang yang berbakat sudah pasti berminat. Bertatih dari bawah, dan sesuaikan mengikut tahap masing-masing. Seperti juga kita mempelajari bahasa, ada level atau tahap-tahap tentu sebelum sampai pada tahap tertinggi. Kita pasti pernah menulis, cuma kerana segan kita rasa menulis hanya bertempat, ber-time. Pasti kita pernah tulis surat, tesis, kertas kerja, dan kerja kursus. Maka sebenarnya kita ada potensi dalam bidang penulisan.

Pastikan kita menulis hanya kepada satu Tuhan untuk dipersembahkan amal dan gerak kerja kita ini, Lillahi Taala. Insha-Allah apabila niat kita dah betul, perjalanan kita pasti dipimpin termasuk minat kita tadi, demi islam tercinta. Habuan yang kita perolehi daripada bakat kita tadi ialah antara nikmat dan anugerah Allah hasil daripada niat kita yang ikhlas kepada-Nya.

Medan dakwah bukanlah hakikatnya medan berkata-kata semata. Ia medan menterjemahkan Islam secara syumul (sempurna, mengcakupi semua) di dalam kehidupan, mengikut potensi dan kesesuaian yang ada pada diri umat Nabi Muhammad s.a.w. Manfaatkan sepenuhnya kemahiran yang diberikan, pasti kita dapat memenangkan Islam.

Justeru itu, di samping kita menambah kemahiran yang ada, jangan lupa untuk tambahkan juga pengetahuan yang berupa ilmu pengetahuan. Pengetahuan belum tentu sejejer ilmu, tapi ilmu sudah pasti satu pengetahuan. Ilmu ialah sesuatu pengetahuan yang bisa diambil manfaat daripadanya, dan bisa diaplikasikan di dalam kehidupan kita seharian. Kita boleh mengetahui dunia artis, dunia ahli sukan yang berjaya, dan mengikuti perkembangan fesyan terkini. Tapi ianya belum tentu ilmu, kerana sudah pasti pengetahuan tentangnya adalah sekadar suka-suka. Kalau diikutkan juga stail mereka, itu bukannya manfaat tapi mudharat.

Resepinya, Ikhlas.

Teruskan Pembacaan>>>

Isnin, Mei 17

Tenang Itu Kunci Mereka









TEKANAN, emosi runtuh, kusut akal adalah sinonim dengan naluri manusia. Apabila manusia tahu dia bukanlah sempurna, tahap kesempurnaan yang dirasakan kononnya bila mengecapi nikmat kesenangan, kerjaya dan kelapangan hidup itu apabila tersalut padanya redha Allah Taala. Oleh kerana Allah Taala itu bersifat ar-Rahman dan ar-Rahim, tidak kiralah kita muslim atau mereka non-muslim kedua-dua atau salah satu daripada sifat Allah yang mulia itu dirasai bersama.

Ravi seorang hindu mungkin akan terus hidup senang sebab dia mempunyai sikap rajin dan ikhlas... kerana takdirnya ada pada sifat Allah ar-Rahman. Ahmad yang muslim mungkin akan terus papa walaupun dia tekun berteleku di atas sejadah sepanjang masa, di samping dia berusaha bekerja lebih gigih tapi tetap sama kerana dia tiada ikhlas, namun dia ada satu lagi talian hayat iaitu sifat Allah ar-Rahim di akhirat. Menbedakan Ahmad dan Ravi tadi bukannya si Ravi rajin ke kuil atau si Ahmad malas ke masjid, tetapi IKHLAS.

Saya tidak berniat untuk mengupas masalah niat kita ikhlas atau tidak, cukuplah artikel saya sebelum ini; Motivasi: Dia Juga Manusia Biasa memudahkan kalian menentukan piawaian ikhlas masing-masing. Manusia tidak sama, maka restuilah keikhlasan mengikut tahap perbedaan kita tadi asalkan konotasi niat asal kita ialah Lillahi Taala. Lahirnya ikhlas ialah melalui dimensi kaca mata kita tidak mengharapkan pembalasan manusia kecuali Dia, sanggup mendahului orang lain, dan sanggup membelakangi kepentingan diri sendiri.

Saya sering belajar dan melatih diri dari semasa ke semasa dalam erti kata muhasabah diri, untuk meningkatkan produktiviti dalaman saya yang masih bergelar pelajar. Saya akan sentiasa bersikap natural, tidak terkesan dengan suasana di sekeliling atau melibatkan masalah diri sendiri. Maka dari sistem keyakinan tadi yang terlahir dari dalaman, maka akan menzahirkan tenang pada riak wajah. Ramai yang berbicara, pandai bercakap tetapi bila dihadapkan beberapa musibah cepat sahaja melatah, saya kira musibah tadi akan terus menumbuh tanpa ada jalan penyelesaian. Antara rencah penting dalam menyelesaikan masalah ialah tenang.

Saya percaya kita pernah rasa tertekan. Tertekan semasa studi, tekanan tempat kerja, rumahtangga, tekanan alam sekitar menjadi penyebab kita tewas pada emosi sendiri. Tekanan ini bisa membuatkan hati kita runtuh, remuk, hancur dan musnah... kaki longlai melangkah, tangan kaku memilih. Gagal dalam sesuatu perkara kemudian tenggelam di dalam kekecewaan. Diuji hingga menyesakkan.

Wahai teman... tanpa tenang kita sudah pun kalah sebelum sempat untuk berjuang.

Hal-hal yang menyukarkan, menyulitkan lantas hadirnya kekecewaan bersama-sama, jelas itu petanda ujian dunia yang ditimpakan ke atas kalian sebagai hamba kepada satu Tuhan, sama ada ujian tersebut suatu teguran keras atau satu amarah yang tiada hijab pada-Nya pada hak-Nya disebabkan perlakuan jijik kita.

Hal-hal yang menyenangkan, mengembirakan tanpa dirumuskan bersamanya panjat rasa syukur juga adalah terlebih dahsyat ujian tertimpa, serangannya cukup halus.. lebih halus dari sehelai rambut. Ianya tergantung pada kesilapan manusia itu sendiri. Untuk lebih jelas, hidup itu sendiri ialah ujian.

Kita tidak usah merancang untuk menentang ujian dan kemungkinan berlaku. Boleh dipersilakan, tapi kita pasti tidak bisa buat apa-apa bila ujian sudah dekat dan tertimpa secara tiba-tiba seperti belati membunuh secara tiba-tiba, seperti api dalam sekam. Cuma kita perlu satu sahaja kekuatan iaitu Tenang.. cool.

Konsep tenang tadi hendaklah dilampirkan bersamanya jua, doa. Doa seperti mana ulasan saya sebeulum ini, adalah perisai dan senjata paling ampuh bagi mengukuhkan pertahanan atau merobek pertahanan lawan (musibah). Apabila ada tenang, perancangan di samping meminta pertolongan dan petunjuk Allah, biiznillah kejayaan untuk kembali stabil akan sentiasa terbuka luas.

Di samping itu, kita juga dianjurkan untuk melihat insan-insan di sebelah kita yang lebih parah menderita, tertekan menghadapi masalah lebih dahsyat. Sejarah sirah nabi kita dan para rasul terdahulu boleh juga dijadikan tonik dibancuh bersamanya penghayatan tinggi dan diaplikasikan dalam kehidupan kita sekarang. Miskin kita, papa kita tidak menentukan kebahagian atau tidak, bahagianya kita walaupun papa dan miskin ialah kerana iman tertanam jauh ke dasar

Baginda s.a.w memulakan dakwah dalam keadaan sangat sukar. Dicaci, dihina, dibaling najis, dicederakan, cuba dibunuh dan dikhianati oleh kaum munafiq dan pelbagai lagi cubaan. Lebih-lebih lagi di fasa Makah, terdapat banyak kesukaran yang baginda hadapi, antaranya dipulau selama tiga tahun tiga bulan sehingga terpaksa memakan daun kering.

Nabi s.a.w dan para sahabat tidak kenal rasa putus asa, sentiasa TENANG, tabah kerana agama tercinta. Dia tahu cukuplah Allah Taala sebagai ketua, pembantu.

Kita patut bersyukur kepada Allah Taala yang telah memberi kita ujian, lantas mendatangkan pertolongan yang disulami dengan ketenangan untuk kita menghadapinya dengan penuh kesabaran. Tanpa adanya ujian kita mungkin tidak seperti apa kita lihat sekarang... matang, berketrampilan, berdaya saing.

Tenang.. TENANGLAH wahai sahabat ku.



Teruskan Pembacaan>>>
 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal