PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Rabu, April 28

Menerima Juga Perlu Sesekali

KITA pasti dipertemukan banyak ragam manusia di sekeliling. Dia peduli atau kita tidak mahu ambil tahu sebahagiannya sudah terlerai pada sebuah pilihan yang terletak pada akal yang memandu dan hati yang merasai. Pilihan terbaik ialah berdasarkan ilmu pengetahuan yang terpimpin dan amalan yang diyakini, tetap memilih walaupun pilihan tidak sebulu dengan minat dan fitrah insani, namun pilihan-Nya jua disemat jauh ke dasar.

Manusia di dunia hanya akan diberi dua pilihan sahaja, tiada tiga, tiada empat dan seterusnya, maka bermula dari penghidupan dari awal subuh hingga dimatikan buat sementara di hujung malam akan diberi hak memilih... sama ada berupa pahala mahupun dosa. Sudah pasti pahala dikira ibadat di sisi Allah Taala, manakala sebaliknya dianggap sudah biadab.

Benar.. kita adalah manusia, seorang manusia yang sifatnya tidak sempurna. Tiada yang sempurna melainkan Dia. Namun manusia masih lagi diberi pinjaman kudrat supaya menjadi lebih baik, dan bercita-cita menjadi lebih sempurna. Hari ini lebih baik daripada semalam, sudah tentu bercita-cita hari esok lebih baik daripada hari ini. Antara lain manusia hari ini jauh dari sikap berlapang dada apabila terpaksa beradu situasi bersama saudara seislam yang lain atau orang lain, kepentingan diri mengatasi sikap tashammuh (bertolak ansur) yang sepatut dihulurkan. Bertolak ansur atau berlapang dada bersalut padanya pengorbanan, mendahulukan orang lain dan sanggup membelakangi kepentingan diri sendiri.

Hati manusia sangat fleksibel, tapi fleksibel yang kita mahukan ialah seperti acuan yang digariskan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Kita diajar untuk banyak memberi baik berupa material atau spiritual yang bersifat manfaat yang bisa dipegang oleh si penerima seperti ilmu. Dari hal yang lain pula, Islam juga mengajar penganutnya supaya menerima dengan baik, kerana sampai masa kita pasti menerima dahulu sebelum benar-benar bersedia untuk memberi.

Kenapa menerima?

Pernah kita semua perasan, kenapa tiba-tiba hati kita dirundung sepi tatkala ditimpa pelbagai ujian. Kita rasa lemah, dan kelihatan seakan-akan segala sumber kekuatan sudah tertutup rapat. Ketika inilah manusia seakan-akan orang yang buta walaupun dia mampu melihat segalanya. Ramai yang bertanya kepada saya perihal masalah ini, lantas saya cuba bertanya balik:

“Bagaimana keadaan hati kalian?”

Kita lupa rupa-rupanya kita masih kurang menerima dan teliti dengan apa kita terima, kita mungkin menerima hal baik-baik tidak kurang juga hal-hal yang tidak baik. Kita langsung tidak mahu bahkan sengaja untuk mengisi kantung hati tadi dengan dzat makanan berkhasiat, santapan kerohanian. Kegersangan pada sumur hati berpunca kita tidak pernah mengisinya dengan makanan berkhasiat tadi, kita hanya ambil tahu soal jasmani, kesihatan luaran sahaja hingga sanggup menghabiskan beribu-ribu sebulan semata-mata penjagaan aspek fizikal sahaja.

Apabila kita ditegur, dan berupa sesuatu manfaat yang bisa ditumpangi, apa salahnya kita terima sebagai suatu pengajaran dan muhasabah di atas kekurangan yang ada sebagai manusia. Hal-hal baik inilah akan menumbuhkan iman di hati, iman umpama cahaya yang menerangi kegelapan sumur hati dari terus mati. Matinya hati kerana si penjaganya tidak reti untuk mengerti, lantas tingkah-laku menjadi kaku tersungkur dari di tepian perjalanan bagi seorang hamba mentaati.

Hati ibarat bekas untuk diisi selepas menerima, kekotoran bekas boleh dikesan bila bahan yang diisi tadi bercampur dengan sesuatu yang cemar. Manusia yang perasan dan prihatin akan cepat-cepat membuang kekotoran tadi dari terus membumi di dalamnya kerana kelak apabila sudah lama mendiami, kita akan rasa seronok dan tidak mustahil akan menjadi kebiasaan untuk kita menerima hal-hal kotor itu.

Jangan sempitkan pula maksud membuang hal-hal buruk tadi, bukan selama-lamanya kita tidak boleh menerima sesuatu yang tidak baik, boleh tapi mesti ada guideline. Bagaimana pula? Kita jadikan sempadan, peringatan berguna ketika hidup di dunia, bahawasanya kita tahu ini boleh dan yang ini tidak boleh. Adalah sesuatu yang amat cacat bagi seorang manusia, jika dia tidak mengetahui perkara-perkara buruk dalam kehidupannya. Ianya ibarat cermin diri, nilainya terletak pada kesedian kita berlapang dada, tashammuh.

Dengan kelapangan hati inilah kita bersederhana, kita masih boleh berkawan dengan orang yang hisap rokok, kita masih usaha dekati sahabat kita yang melakukan hubungan bebas, kita cuba memahami masalah remaja bermasalah dan sebagainya. Mengetahui dunia mereka bukan bererti kita turut sama, tapi menyelami rentak mereka agar mudah kita melampirkan sebuah penjagaan pada diri dan sebuah petunjuk buat mereka memilih jalan yang benar.

Kita tidak terus mensisihkan mereka tanpa berusaha merawat mereka. Kita tidak terus mengeji, tanpa mencari jalan penyelesaian untuk mereka. Tidak boleh terus menghukum di atas kesalahan, pengbodohan mereka walhal mereka sebenarnya butuhkan bimbingan bukan terus menerus menumbangkan mereka. Inilah uslubud da’wah kita.

Ingatlah, hati ini ibarat bekas, yang mana jika tidak diisi dengan air maka akan diisi oleh pepejal lain. Begitulah hati, jika tidak diisi dengan kebaikan maka akan disi dengan kejahatan. Maka isilah hatimu dengan segala macam jenis kebaikan... dengan zikir, dengan alunan al-Quran, dengan ilmu. Moga disaat itu jua, Allah Taala mencampakkan rasa ketenangan dan mencabut segala rasa kesunyian, kesunyian, kesepian yang bisa menggugat hadirnya iman.

Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, April 27

Pecahkan Dinding Itu, Berubahlah Kerana-Nya

DALAM diam, dia juga mempunyai keinginan untuk berubah walaupun sudah dipalit pelbagai dugaan dan ujian hingga tidak mampu lagi berpahut ketika arus deras membadai, akhirnya terkulai jua tenggelam dalam amukan nafsu dan tangan manusia yang menggila di sekeliling. Berubah adalah sesuatu yang abstrak untuk ditelaah kerana hanya ketidakmahuan diri memaksa untuk menggerakkan keinginan, bagaimana pula kita mahu melihat natijah yang baik bila teramat sukar untuk diaplikasi dalam kehidupan. Namun bilamana keinginan ada, tiba-tiba suara ‘hantu-hantu’ yang menyerang di setiap penjuru mematahkan semangat yang sudah disiapkan tadi.

“Macam la baik sangat, dulu engkau pun kaki judi juga. Tak usah jaga tepi kain orang lain” kata-kata pedas terus menerjah ke benak hati bilamana nasihat sebagai seorang kawan tidak lagi dipandang, yang tinggal hanya persoalan-persoalan berkait rapat peribadi si penasihat.

“Ala... tunjuk alim la konon. Menyampah aku tengok” suara sumbang pula menyimpul kalam akhir, buat menumbang si kawan yang baru menemui jalan benar.

Dia berada dalam keadaan serba salah, dan kesukaran teramat sangat. Dia mengharapkan sokongan dan dorongan daripada teman-teman, namun cemuhan pula yang hadir... pasrah diri menerima dalam seba keterpaksaan. Seolah-olah niatnya untuk menjadi seorang hamba telah terhalang oleh satu penghadang yang cukup tebal di hadapan, merempuhnya sungguh sukar sekali. Dia tidak lagi mampu untuk menendang dinding-dinding yang terbina secara tiba-tiba itu kerana pasaknya dalam menjunam ke bawah. Langkah kakinya pula terhenti di laluan gelap yang disangkakanya jalan mati.

Saya sering ketemui ramai manusia, yang mana banyak kerenah dan ragam. Saya kadang-kadang terasa amat malu melihat bangsa sendiri, bahkan seagama yang memperlakukan sedemikian. Saya tidak nampak kebanyakan orang Barat kekok untuk melaksanakan undang-undang, bahkan diikuti dengan baik. Tiada masalah besar bagi mereka, kerana mereka percaya peraturan, undang-undang mampu mendisiplinkan seseorang manusia. Sungguh berdisiplin mereka, walha segala etika yang berkaitan kerohanian dan kejasmanian adalah berasal dari agama Islam. Semuanya telah tercatat di dalam al-Quran dan sunnah. Dari tiada, mereka mampu mengadakan satu sistem yang bersih... seterusnya mentaati tanpa ada rasa janggal. Namun lain pula kita sebagai umat Islam, dilahirkan di dalam agama fitrah dan suci... tapi masih dibelenggu oleh sikap pasif untuk berubah, malah yang menyedihkan saya, ada juga menyalahkan orang lain yang mahu berubah.

Kita sering merasa tidak berupaya melakukan sesuatu perubahan itu sekaligus dan berazam untuk melaksanakannya sedikit demi sedikit. Perubahan yang sedikit-sedikit itu memang baik. Tapi sekiranya tidak disediakan program yang tersusun ke arah mencapai matlamat yang diinginkan, kita seringkali tidak mendapatkan hasil yang diharapkan.

Analoginya begini. Bayangkan diri kita sedang berenang dalam misi menyeberangi lautan yang bergelora. Sekiranya kita sekadar menguak kecil, bila rasanya kita akan sampai ke pantai? Itupun kalau tidak tewas mengharungi badai, ataupun maut dihempas ombak besar.
Seorang perenang professional sekalipun dalam misi yang sebegitu, pasti akan membuat perancangan rapi, merangka strategi dan formula… berdasarkan keupayaan dan pengetahuan (ilmu) yang dimilikinya. Misalnya, berapa stamina (daya ketahanan) yang perlu dimiliki, berapa kelajuan yang perlu dikekalkan (istiqamah), berapa masa yang dijangka diambil untuk sampai (target), dan tidak kurang penting, tunjuk ajar seorang jurulatih selain sokongan pasukan penyelamat andainya berlaku sesuatu masalah.

Elemen penting bagi suatu perubahan adalah Istiqamah (konsisten) termasuk juga persekitaran yang menyokong istiqamah itu dan membuat perancangan susulan. Antaranya keperluan berada di kalangan teman-teman yang baik. Kita memilih kawan yang baik bukan kerana kita baik, tapi sebab kita hendak jadi baik.

Di sana juga memerlukan mujahadah tinggi melawan persekitaran, hatta perlu kuat melawan perasaan diri sendiri yang sesekali menerjah juga rasa negatif dan ketidakyakinan. Ibarat terdapat dua objek sama berat, saiz, dan jenis yang sama dikehendaki untuk bergerak dengan halaju yang sama. Tapi objek A diberi geseran (friction) yang lebih besar (cabaran, tekanan) berbanding daripada objek B. Oleh itu, tenaga berlebihan (pengorbanan) yang diperlukan oleh objek A untuk bergerak dengan halaju yang sama dengan objek B kerana terpaksa melawan bukan sahaja objek A tetapi geseran yang dikenakan tadi. Kekuatan dan mujahadah berterusan amat penting ketika ini.

Saya memahami, menghargai dan memnyokong mereka yang berubah secara beransur-ansur dari segi pelaksanaan ke arah yang lebih baik. Tapi perubahan beransur-ansur itu perlulah berdasarkan pegangan yang sudah ditetapkan pada jalan yang hak. Barulah perubahan itu akan berterusan hingga ke arah perubahan secara menyeluruh.

Kerana dari sesi akidah, jika yang dipilih adalah jalan sekerat-sekerat... nak berpegang pada yang hak tapi masih lagi nak berpegang juga pada yang batil, maka hasilnya jalan yang dituju hanya ke arah kebatilan yang sebenar-benarnya, kerana mereka bukan sahaja tidak akan berubah secara keseluruhan lantaran merasa diri sudah cukup, malah turut mengelirukan kaum mereka ke arah kebatilan tersebut.

Belajarlah dari mereka yang ahli, selalu mendampingi walaupun terpaksa mengikut saluran biasa. Buang sikap ego dan segan dengan tidak melihat status seseorang. Orang yang berubah kerana Allah Taala, hanya ada Satu Tuhan yang mahu digembirakannya dan ditaati. Namun orang yang berubah untuk menyedapkan mata manusia lain memandang, ingin mendapat pujian dan sanjungan akan menjadi hamba kepada ‘tuhan-tuhan’ kecil yang mahu digembirakannya.

Niat dan matlamat perlu jelas dan dicanang mengikut kemampuan diri sendiri, tidak perlu banyak dan drastik kerana kelak jenuh untuk terus konsisten... biar perlahan, buat sedikit demi sedikit tapi kita mampu untuk kekalkan momentum hingga kita merasai kemanisan detik-detik perubahan tersebut yang berada di penghujung. Niat dan matlamat ini akan membekalkan sinergi dan kekuatan peratusan terbesar untuk kita terus berubah. Tapi perlu ingat, berubah pula bukan kita mendabik dada mampu berubah, bukan kerana kita perlu berubah tapi kerana kita adalah hamba, kita lakukan kerana Allah Taala semata-mata.

Jangan risau langkah yang diambil terlalu payah dan sukar untuk dilaksanakan, tapi lihatlah kepada perubahan yang bakal diperolehi bila niat dan matlamat kita jelas. Manusia yang mempunyai jiwa hamba tahu yang dirinya tidak pernah sirna dari ujian, ujian untuk berubah ke arah kebaikan itu bukan sahaja diri sendiri tetapi sikap buruk yang pernah membumi dalam kanvas hidupnya dahulu. Semuanya kerana Allah Taala, Lillahi Taala.

Teruskan Pembacaan>>>

Jumaat, April 23

Cintailah Cita-Cita

REALITINYA, untuk berjaya di medan dakwah kedua-duanya diperlukan sama ada daripada segi kecemerlangan akademik mahupun sakhsiah. Mereka yang berada di jalan dakwah seharusnya mempunyai minda kritikal dan ini yang dilatih melalui assignment dan tutorial yang diberikan di universiti.

Malah, andai kita mampu cemerlang dalam akademik ianya sebagai nilai tambah kepada kita selaku da’ie. Persoalannya yang menjadi tanda tanya, interprestasi kecemerlangan pada seseorang itu adalah berbeza antara individu dengan individu yang lain. Ada yang berpendapat cukuplah hanya grade dan dapat posting sahaja, kita sudah dikira berjaya. Ini yang menyebabkan mereka acuh tak acuh dan sambil lewa dalam pelajaran.

Kita tidak mahu melihat pendakwah itu begitu semangat berdakwah, mengajak kepada kebaikan namun terabai pelajaran dan lesu di kuliah. Kita juga tidak gemar melihat seseorang yang begitu rajin menelaah buku-buku, membaca silibus-silibus di universiti, dan menghabiskan masa hanya di meja tulis tanpa memikirkan masalah umat yang begitu dahagakan ilmu dan tarbiah pada hari ini... kalian dikira mandul dalam kehidupan.

Jika golongan sambil lewa ini perempuan, beritahu mereka yang nanti bakal suami mereka lebih berminat dengan ayam masak pedas bibik berbanding ayam masak pedas mereka... kerana tidak mustahil sambil lewa ini juga berterusan dan sebati selepas berumahtangga. Masakan tidak si suami tidak merasa terabai akan keperluan dirinya yang sudah penat bekerja, akhirnya pulang perlu berhadapan dengan kerenah si isteri yang buruk carakerja dan layanan kepada suami.

Manakala, jika golongan sambil lewa ini lelaki... beritahu mereka yang nanti bakal isteri mereka lebih banyak memuji-muji penceramah di masjid, di kaca televisyen yang lebih kemas dan berketrampilan luaran, berbanding suami yang selebet dan menyemakkan mata umum. Suami mahupun isteri adalah manusia biasa, tidak pantas kalian meninggikan ego kerana kekurangan yang ada tadi. Manusia sangat lemah tanpa iman dan ilmu, meraih kedua-duanya memerlukan satu usaha tinggi, iaitu mujahadah... melawan ‘syaitan-syaitan kecil’ yang ada dalam diri sendiri.

Pembentukan keperibadian Islam adalah merupakan pembentukan barisan pemimpin, barisan pekerja-pekerja Islam yang mampu menghadapi jahiliah moden. Barisan kepimpinan yang tidak mudah diperdaya atau ditipu oleh jahiliah moden yang menyamar diri dalam pelbagai rupa dan gaya hingga sukar dikenali dan dicam.

Allah Taala berfirman:

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu” Muhammad (47:7)

Seorang da’ie sepatutnya mengenalpasti kepentingan antara kedua-dua aspek, iaitu dakwah dan pengajian. Adakah bila berdakwah, automatik pengajian akan terencat? Atau bila belajar, tidak mampu berdakwah?

Dakwah itu seni, dakwah itu natural. Sesiapa yang menjadi Islam, muslim maka seruan berdakwah itu sudah kena ke atasnya. Bukan hanya terpikul atas bahu para alim ulama’ atau yang berlatarbelakang pengajian Islam.. sinonim para ustaz dan ustazah. Persoalannya, bagaimana cara berdakwah itu? Tentunya dalam skop sebagai seorang pelajar, berdakwah tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada seseorang untuk bergelar pelajar, mahupun sebaliknya.

Da’ie yang bagus, akan memecut dakwahnya tetapi dalam masa yang sama tidak kehilangan identitinya, iaitu siapa dia... sama ada seorang pelajar, seorang doktor, hatta pemilik kedai runcit atau petani sekalipun, masing-masing mampu dan ada keupayaan untuk berdakwah. Cuma bezanya, pada skala mana magnitud dakwah itu dapat digerakkan dan dicernakan.

Fahamkan..?

Mungkin seorang pelajar yang sibuk, hanya dapat berdakwah di malam hari melalui laman blognya, melalui pena pada makalah-makalah sekolah dan fakulti, atau melalui rangkaian-rangkaian yang dianggap jarang dikuasai oleh golongan pertengahan dan bawahan, seperti kemudahan IT. Mungkin juga, seorang doktor berdakwah secara tidak langsung semasa sesi rawatan kepada pesakit... para pendidik secara langsung kepada para pelajar semasa sesi pembelajaran.

Kadang-kadang kita lihat jalan dakwah ini mudah, boleh dipikul oleh sesiapa sahaja, tidak kira pangkat mahupun darjat. Semua boleh lakukan dengan jaya dan baik, tapi yang susah ialah cara kita melihat sesuatu dengan pandangan susah, maka sampai bila-bila pun kita nampak ianya susah... sudah pasti sampai bila-bila juga usaha dakwah ini kaku, tiada yang sudi mengerakkan kerana mempunyai persepsi negatif.

SYARIAT DAN SUNNAH

Andai kita betul-betul faham konsep beribadah kepada Allah Taala, sudah pasti tidak timbul kelesuan semasa menjalankan sesuatu kerja berbanding kerja yang lain. Keseluruhan hasil dakwah di masa lepas terletak kepada kejayaan yang dicapai ummah sekarang ini.

Syari-‘atullah dan Sunnahtullah perlulah berseiringan, barulah kita boleh laksanakan tanggungjawab sebagai khalifah, di samping beribadat kepadanya. Dua dalam satu, dapat dua ganjaran dalam satu perkerjaan.

Ibaratnya dalam satu telur, ada kuning dan putih. Kuning adalah matlamat serta tujuan, dan putih sebagai alat. Memanglah kuning telur yang utama, namun putih diperlukan untuk perkembangan. Begitulah kolaborasi ilmu yang Allah Taala suruh kita capai, Syari-‘atullah (sains sosial) dan Sunnatullah (sains tulen)

Umat Islam masih terlalu lemah di dalam segala bidang. Selain itu, ditambah pula dengan penekanan yang masih tidak mengutamakan yang perlu didahulukan walaupun hasilnya mengatakan tidak memberangsangkan.

Pemikiran syari-‘atik yang saintifik memastikan fatwa tidak tertinggal fakta. Sebaliknya syari-‘atik yang tidak saintifik melibatkan fatwa yang penuh dengan petua. Fakta bermula dari petua, kerana petua datangnya dari pengalaman perjalanan kehidupan. Petua yang tidak menjalani proses saintifik akan kekal sebagai petua dan sekiranya dipetik menjadi asas kepada fatwa, menghasilkan fatwa yang tidak mengandungi fakta. Sebab itu sangat penting petua itu menjalani proses pembuktian menjadi fakta sebelum dipetik menjadi fatwa, bagi melahirkan ummah yang beribadah selaras dengan tututan Rukun Ehsan.

Ramai antara kita yang tahu membaca al-Quran tapi tidak tahu ertinya. Sebilangannya tahu erti tapi tidak tahu ber-tadabbur, memahami isi tersurat dan tersirat.

Antara tuntutan yang besar dalam dakwah masa kini adalah untuk memalingkan semula umat Islam terhadap dimensi beragama yang sebenar kerana ramainya umat yang sekadar memahami Islam sepertimana orang buta yang mengenali gajah bahkan lebih teruk lagi.

Saya malah keliru dengan orang Islam yang mengaku muslim tetapi tingkahlakunya bertentangan dengan tuntutan syari-‘at Islam. Alhamdulillah, Allah Taala memberi petunjuk kepada kita untuk memahami Islam yang sebenarnya, lalu mengamalkannya dengan hati yang tenang dan tenteram.

Suatu hari kita mendapat jawapan bahawa jika kita cintakan Allah Taala, maka kita mesti buktikan dengan mengikuti cara hidup Rasulullah s.a.w.

Allah Taala berfirman:

Bermaksud: “Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” ali-Imram (3:31)

Ayat ini saling membuktikan rasa ingin mengamalkan Islam sebagaimana yang disuri-tauladankan oleh Rasulullah s.a.w untuk membutikan cinta kita kepada Yang Menciptakan diri kita. Moralnya ada pada sebuah pengertian pada istilah nama Tadabbur.

Menjadikan kita sangat menghayati erti percaya kepada hari akhirat. Setelah kita mempunyai kesedaran bahawa tiap-tiap perbuatan kita akan diulangsiar dan dipertanggungjawabkan nanti. Maka wujudlah rasa takut kepada Allah Taala untuk melakukan larangannya, malah timbul pula kemahuan untuk membuat segala suruhannnya. Setelah itu timbul rasa mengharapkan rasa kasih sayang daripada Allah Taala agar dengan menurut segala perintah-Nya, Dia akan menurunkan rahmat-Nya kepada sekalian hamba-Nya yang hina ini, akhirnya mendapat keampunan di sisi-Nya.

Itulah erti sebenar kita menganut agama suci-Nya.

BERBIJAK DI BUMI

Hari ini mereka yang benar-benar meyakini bahawa umat Islam akan kembali menguasai dunia mungkin sama pelik dan sama gila dengan bangsa Anglo-Saxon kurun ke-10 yang membayangkan negara kecil mereka akan bangun menguasai lautan dunia dan memerintah empayar imperialistik terbesar dalam sejarah.

Pada waktu itu cita-cita sebesar itu hanya layak diimpikan dan dibicarakan oleh bangsa-bangsa umat Islam, yang memiliki segala ketinggian tamadun dan ilmu pengetahuan, dan kehebatan kepimpinan dan keperibadian yang menggoncang dunia. Masih adakah bangsa umat Islam seperti itu sekarang?

Sehingga kurun ke-17, pada waktu kemuncak kekuasaan Empayar Othmaniah, antara kata-kata yang mahsyur pada waktu itu berbunyi: “Even their dreams cannot reach what our (muslims) power can”

Siapa sangka, masyarakat Medieval yang sekian lama ditekan dan diperbodohkan oleh gereja yang kolot akan bangun menjadi kuasa besar yang merubah dunia. Untuk mereka yang ingin percaya, mereka tidaklah akan kehilangan apa-apa. Untuk mereka yang ragu-ragu, tidakkah pelik jika mereka bertanya pada yang percaya tentang keraguan mereka itu, sedangkan mereka tidak mempercayai apa yang dibicarakan oleh mereka yang percaya itu?

Saidina Ali ra, ketika menjawab soalan seorang bangsa Yahudi atheist tentang Tuhan, menjawab: “Jikalau Tuhan itu tiada, aku dan kamu tidak akan apa-apa, tetapi jikalau Tuhan itu ada, aku akan sejahtera, dan kamu akan celaka”

Untuk mereka yang percaya, jangan berhenti bermimpi, cuma bangunlah dari tidur dan bekerjalah untuk menggapainya.

MEDAN KITA

Banggakah kita menjadi muslim?

Persoalan yang perlu disampaikan kepada setiap muslim sekarang bukan sahaja perlu berkisar kepada kebanggaan menjadi muslim atau mengambil kalangan ahli masyarakat yang hidup di zaman Salafi sebagai idola, tetapi perlu menjangkau lebih sedikit kepada isu-isu semasa zaman Salafi dan zaman ini.

Kalau Salafi zaman Nabi boleh menyediakan tapak penaklukan dunia ketika itu, dengan senjata tercanggihnya ialah pedang dan kuda, kita jangan terbawa semangat berpedang dan berkuda, mengikut apa yang dikatakan sebagai Sunnah Nabi s.a.w. Keadaan semasa itu adalah pedang dan kuda. Keadaan sekarang ialah kita kuasai pelbagai bidang dan lapangan ilmu yang ada... hingga kitalah pengeluar kepada ilmu-ilmu asas dan penting di dunia. Apakah kita tidak dikira mengikut sunnah kerana hanya kita tidak guna kuda dan menghunus pedang untuk menang? Bukan begitu, kita tetap sahaja perolehi pahala sunnah kerana cara kita mengaplikasikan isi tersirat, iaitu kemenangan Islam.

Ya, kemenangan.

Menjadikan Salafi idola sebagai contoh perlu kepada melihat yang tersirat bukan yang tersurat. Yang tersurat ialah pedang dan kuda, yang tersirat ialah kemenangan muslim mengatasi kekuatan kafir. Sekarang ini kalau muslim mahu mengidolakan Salafi, jangan di atas dasar mengenepikan ilmu sains dan teknologi.

Saya sebut ini kerana memang itu yang berlaku. Apabila membaca al-Quran, muslim hanya membaca yang tersurat dan meninggalkan yang tersirat, maka di dalam kehidupan seharian pun terbawa-bawa sikap tersebut. Sentiasa tidak mahu memahamai apa yang tersirat di dalam surat, tersurat. Sentiasa mahu mengambil Salafi sebagai idola tetapi kurang memikirkan apa yang tersirat di sebalik kemajuan golongan Salafi terdahulu.

KHILAFAH ISLAMIYYAH

Khilafah itu adalah suatu Institusi kepimpinan yang akan mengurusi masyarakat Islam dengan Syari-‘at Allah Dan Rasul s.a.w. Mereka akan menyebarkan dakwah Islam ke seluruh pelusuk dunia sebagaimana daulah Islam terdahulu. Yang akan menjadi payung untuk umat Islam merasai teduhnya kehidupan Islam sebenar, para penguasa akan mengurusi keperluan umat... manakala masyarakat akan mempunyai perasaan, pemikiran dan sistem yang satu.

Tanpa Kekhilafahan, umat Islam melemah dan mulai hilang pedoman bak buih di lautan. Seorang bayi lahir dalam kejahilan dan orang tua renta mati pun dalam kejahilan. Serba-serbi kita jauh dari memahami tsaqafah Islam dan mengetahui pemikiran-pemikiran Islam.

Mulakanlah dengan didikan Islam sebenar. Saya memandang persoalan nafsu, akal dan hati hanyalah pertama. Namun soal akidah yang utama, dan benar-benar akan menjawab ketiga-tiga persoalan ini.

Islam telah menyimpulkan dalam akidah bahawa Iman itu adalah keyakinan dalam hati yang terpancar dalam seluruh aspek perbuatan. Apabila perbuatan dan cara berbuat sesuatu tidak diketahui, besar kemungkinan akan lesap daripada jalan syariat Allah Taala. Bagaimana mungkin untuk mengetahui jalan syariat Allah itu jika tidak mengetahui tsaqafah dan pemikiran Islam.

Kerana manusia berhubung sebelum kehidupan dan sesudah kehidupan. Didiklah dengan akidah Islam. Terangilah dengan Tsaqafah Islam. Bentuklah segala pemikiran bukan Islami dengan pemikiran Islami.

Semarakkanlah tujuan dakwah untuk ketegakkan Khilafah kerana ianya akan menjawab segala permasalahan individu, masyarakat di dunia dan akhirat

Lupakah kita bahawa membentuk Khalifah itu tidak memerlukan popilarisasi. Rasulullah s.a.w dengan sekelompok kecil sahabat tegar berhijrah dan dapat membentuk daulah Islam. Dengan dukungan Kaum Anshar baginda berjaya membina Khilafah.

Kekhilafahan bukan sesuatu yang jauh, dan bukan suatu yang fantasi dan sensasi. Ia adalah janji Allah Taala. Tidak memerlukan popularisasi, hanya perlukan umat yang memahami Islam.

Dalam Daulah Islamiyyah, Khalifah dan badan pemerintah hanya menerapkan hukum-hukum syariat yang terkandung di dalam al-Quran dan Hadith dalam mengurusi kepentingan rakyatnya. Tidak perlu merekacipta seperti peranan parlimen hari ini, sebab itulah umat mesti diajar bagaimana sistem Islam, pemerintahan Islam, Daulah Islam, sistem pergaulan, landasan berfikir Islam dan sebagainya mengikut perspektif Islam.

Pada saya, politik atau siasah itu adalah kepimpinan, sebagaimana kata nama khalifah itu adalah tentang kepimpinan. Dan manusia diberikan akal tidak lain untuk dijadikan khalifah memimpin kehidupan ke arah kesempurnaan. Satu tujuan kepimpinan adalah sudah pasti menyampaikan atau dakwah. Ia tidak boleh dipisah.

Memimpin rumahtangga contohnya, melibatkan dakwah sepenuh masa, sebenarnya, agar yang dipimpin selamat. Cantik sugguh saranan tidak melatah dengan kehadiran berita sama ada dari pihak kerajaan atau di pihak pembangkang.

Maka isi dan kulit perlu diterapkan. Kulit yang datang bersama isi selalunya berfungsi sebagai bungkusan luaran sebagai pelindung. Kita perlukan isi tetapi jangan lupa jasa kulit menyaluti isi. Hal yang baik dari isi dijadikan teladan dan sebaliknya dijadikan sempadan. Maka pertimbangan ilmu diperlukan ketika itu.

Saya pasti kalau nada dan irama ini yang kita teruskan dan sama-ratakan, sudah pasti kita akan mencapai ke satu persimpangan yang sama. Walaupun berbaik sangka adalah digalakkan pada mulanya, sama ada lawan atau kawan, akhirnya sangkaan tadi perlu ditukar dengan ilmu dan pengetahuan, kerana sangkaan itu asasnya adalah bukan ilmu, ia lebih kepada elemen perasaan, sedangkan ilmu sudah pasti tidak akan berkembang berdasarkan perasaan.

Ilmu memerlukan elemen akal, alat paling canggih diberikan Allah Taala untuk manusia menjadi khalifah yang berjaya di dunia. Dakwah bukan segalanya, tetapi segala-galanyanya sia-sia tanpa dakwah. Tanamlah ia sebagai cita-cita seperti cinta kita pada sesuatu disukai. Pasti terkesan di sanubari.


Teruskan Pembacaan>>>

Khamis, April 22

Melakar Pelangi Cinta

BEBERAPA kali kepala saya tunduk dan bangun, tunduk dan bangun lagi. Kaki pula menderap menyelusuri jalan baru. Baru kerana telah dinaik-taraf sebagai kawasan pusat pelancongan. Melalui Share’ Bayt-Suhaymi sebelum sampai ke pintu Pasar Besar al-Khalili di Hussain, bersebelahan Masjid Hussain, makam cucu baginda s.a.w disemadi kepala tanpa jasad sudah menggambarkan kawasan ini berpontensi diselitkan sebagai salah satu tempat yang mesti dikunjungi di sini.

Lovely Tourism.

Berkali-kali juga mulut saya beristighfar merafatkan tanda bersalah, berdosa, gundah menahan asakan bertubi-tubi kelibat warga asing mendedah di sana sini, seperti berada di Eropah. Meskipun pelupuk mata saya makin berat, usaha untuk menghadiri kelas Sheikh Jamal al-Farouq tetap digagahi jua.

Dari penempatan saya, Medan Jaisyun, sebenarnya diberi pilihan sama ada ingin merasai Coaster, Tramco, bas, atau teksi, semua kemudahan pengakutan ditawarkan ini melengkapkan pusingan masing-masing dari awal perhentian hingga perhentian terakhir mengikut tempat dimaktubkan, dikenakan bayaran sama, LE 0.50, kecuali teksi (berubah-ubah mengikut jarak) ke semua destinasi, baik jauh mahupun dekat.

Kasut diretak berlawanan bagi meleraikan keterikatan pasir di tapak kasut. Kesetian Mohammad Khoulid, pegawai khas Masjid al-Azhar menunggu, memberi khidmat kepada jamaah yang hadir terutama pelawat dari negara luar terselah pada memek muka yang sudah pudar. Habuk dari semua penjuru menambrak kelodak matanya, tangan kanannya secara spontan bertindak balas.

Assalamu-‘alaikum. Izayyak (apa khabar kamu)?” salam saya hulurkan, tanda kasih kepada saudara se-Islam.

Wa-‘alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah.. kuwais (baik)” jawab Mohammad Khoulid bersahaja, mungkin masih penat berjaga sampai ke petang.

Pengajian Ilmu Kalam perlu persedian rapi, bukan mudah memunggah ilmu dari kalam al-‘Alamah ash-Sheikh Iman Sowi Hafizullah, tersembunyi segala mutiara di persisiran bibir beliau. Apatah lagi dalam membincangkan Ilmu Kalam sendiri sudah cukup tinggi walaupun diterjemahkan dalam bahasa ibunda, inikan pula dalam bahasa asli arab klasik. Adab menuntut ilmu kena sabar, berdisiplin. Meratah setiap baris kitab lama tidak seperti kita menatap hidangan karya berbentuk novel, cerpen, boleh dihabiskan dalam masa singkat. Setiap barisnya ada pengertian, huraian mendalam, seperti dalamnya kita menarik mutiara di dasar lautan.

Kehebatan Sheikh Jamal al-Farouq, seolah-olah berada sendiri di hadapan Imam Sowi sebelum adanya pembukuan kitab di tangan saya ini. Menggagaskan pencerahan Ilmu Kalam menempatkan hati kita di setiap sumur persinggahan wahyu Ilahi dari langit pertama, meletakkan setiap diri muslim dekat dengan Tuhan al-Khaliq (Pencipta), sakinah (tenang) menyelubungi jasad dan roh hati.

Alhamdulillah...” sekali lagi saya ber-tahmid, sambil membaiki kedudukan punggung di atas bangku yang disediakan di hadapan Jame’ al-Hakem bi-Amrillah.

Usai pengajian sheikh, seusai solat Isya’ berjamaah di Masjid al-Azhar. Saya segera pulang kerana tidak lagi tahan berada lama di luar, suhu dingin begitu menusuk ke tulang belulang. Tapi sebaik sahaja sampai di benteng, kubu tentera Mesir pada era kurun ke-15 masehi, teringin pula menghabiskan sisa-sisa malam di ruang legar Masjid al-Hakem. Suasana damai, bangsa arab belum jenuh berteriak, bercanda sesama mereka di taman mini ini.

Kedudukan taman mini ini sungguh strategik, terancang, kerana jalan dari kesemua arah akan bertemu di sini, memang cocok masjid pula berada di sebelah. Dari jihat Utara, kenderaan mendatang dan berpergian ke ‘Atabah, pusat gedung membeli-belah terbesar di Kaherah. Dari jihat Timur, dari arah bertentangan bangku saya duduk, dari Babus-She’riyah, terkesan dengan banyak makam para auliya’ (para Wali Allah), seperti makam ash-Sheikh Sharifuddin al-Kurdi, as-Sheikh Ali Nuruddin al-Bayoumi dan ramai lagi. Manakala dari jihat Barat, di belakang saya pula ialah jalan ke Makam Saidina Hussain ra, cucu baginda s.a.w, berhampiran Pasar Besar al-Khalili.

Menarik.

RENCAH POLITIK

Berduyun-duyun manusia di sini keluar masuk, saya masih tidak berganjak dari tempat duduk dengan lamunan, memikirkan sesuatu, kadang-kadang teringat kalam Sheikh Jamal al-Farouq di kelas talaqqi (pengajian secara menadah kitab dengan guru) tadi. Tidak kurang juga pelancong dari Eropah sedang mengetik kamera, mengambil gambar pemandangan sekitar masjid.

Anta ada baca berita di Harakah?” sapa seorang teman dari arah belakang, ketika saat saya sedia untuk pulang dari Masjid al-Azhar.

“Ada... pasal apa?” saya membetulkan kasut.

“Dato’ Seri Anwar Ibrahim...” ungkap beliau dengan nada serius, saya menangkap sayut-sayut.

Jujurnya, saya lebih senang berbicara masalah umat dari mencampuri bersama agenda politik kotor dan jijik di tanah air, ini tidak bererti saya kurang peka dalam permasalahan ini. Politik itu amanah. Kadang-kadang saya turut diajak terjun ke kancah intergriti, kredibiliti, perpaduan, dan One Malaysia yang diprovokasi baik dari pihak pemerintah, mahupun pembangkang. Bercangkaran dalam masalah tidak menguntungkan sesiapa. Saya lihat ada yang ‘lebih sudu dari kuah’.

Di mana demokrasi berparlimen?

Mana Common Sense?

Toleransi?

Berapa ramai manusia yang faham perjuangan di sebalik slogan yang mereka laungkan, dasarnya digubal buat mengelabui niat asal mereka, tidak semua jujur. Di mana-mana tidak kira organisasi mana pun, mereka meletakkan satu penanda aras kurang jelas, matlamatnya satu, hanya untuk meraih populariti.

“Undilah kami, sertailah kami!”

Ada hingga ta’sub pada pemimpin, apa yang dibuat pemimpin atasan dianggap semua betul, benar, dan bernas. Sedih saya membaca halaman Harakahdaily, satu blog yang tidak bertamadun melucahkan gambar Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menunjukkan tahap kesopanan, tata-akhlak blogger yang cukup rendah. Sungguh aib.

Proses pembicaraan sedang berlangsung. Pihak mahkamah belum putuskan siapa benar, dan siapa bersalah. Saya cuma persoalkan kredibiliti pihak media, mahupun bloggers, kenapa kalian pula perlu adili hal ini? Menggambarkan seseorang macam ini, macam itu. Di sisi Islam pun, kalau kita tekankan dengan menolak kehakiman secara konvensional, masih lagi menjaga air muka, peribadi orang yang dituduh. Berilah peluang kepada pihak berwajib untuk menentukan keadilan mengikut lunas-lunas perundangan yang disepakati bersama.

Dah jadi carca merba belaka.

Rasulullah s.a.w ada bersabda dalam Hadith soheh, bermaksud: “Kalau kamu beriman kepada Allah dan Akhirat, muliakan tetamu. Kalau kamu beriman kepada Allah dan Akhirat, berbaiklah sesama jiran. Kalau kamu beriman kepada Allah dan Akhirat, berkatalah yang baik-baik, atau diam sahaja” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita kena ada timbang rasa, berlapang dada dalam sesuatu hal. Bagaimana hal yang ditonjolkan Imam Hassan al-Banna yang berpadu antara dakwah dan politik, tidaklah sampai bertikam lidah, marah sini dan situ. Dakwah penting, pemerintahan juga sama penting, kalau tidak, tidak akan menjadi satu bab besar dalam ilmu Fiqh. Hingga hari ini, kesan kesatuan, intergriti, tasammuh (lapang dada) yang ditanam oleh pengasas Ikhwan Muslimin itu masih terpahat di setiap sanubari pemimpin-pemimpin Ikhwan, mahupun ahli-ahlinya di serata dunia. Begitu juga, pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz, Sultan Muhammad al-Fateh, dan ramai lagi.

Allahu Rabbi...” nafas di hela perlahan-lahan mengurut dada sebak menantang konflik yang tidak pernah habis, akan ada lagi. Seolah-olah kotak fikiran manusia sekarang merasakan diri akan hidup selama-lama. Kalain akan silap jika berfikiran sedemikian kerana tidak ubah seperti sifat iblis yang akan hidup sepanjang hayat sebelum tiba hari akhirat. Mati pasti bertamu juga.

BERPINDAH ALAM

Mati, maut...

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “... setiap yang bernyawa akan merasakan kematian. (Kemudian) hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan” al-Ankabut (29:57)

Kamatian bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti tapi perlu dipersiapkan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan dan adanya Hari Perhitungan. Gerimis malam tetap membahagiakan sumur hati yang mendamba kehidupan lebih baik, lebih ahsan akan penghidupan di sana, satu tahap lebih tinggi, serasa ingin mengecapi jua dari sekarang. Beruntung anak yang dilahirkan suci, menemui ajal di lipatan kain putih bersih, tiada dosa mencalar kotor, menjadi tetamu Ilahi, disiapkan syurga. Serasa terlagi indah bagi sesiapa mengerti falsafah hidup, berjuang dan bermujahadah melawan goncangan nafsu, husnul khatimah di akhirnya adalah cita-cita.

Allahu-Rabbi.

Kehidupan dan kematian adalah bukti bahawa adanya tuhan, iaitu Allah Taala Maha Pencipta lagi Maha Besar. Tuhan menciptakan manusia untuk beribadah dan mengabdi kepada-Nya. Bila tiba masanya manusia akan diangkat roh dari jasadnya yang disebut dengan kematian. Jika manusia selama mana hidup di dunia patuh dan taat kepada al-Khaliq, maka syurgalah balasannya. Jika manusia selama hidup di dunia kufur dan ingkar terhadap suruhan al-Quran, maka balasan neraka disediakan untuknya.

Bersediakah kita menghadapinya?

Sedia atau tidak, kaya atau miskin, muda atau tua, sihat atau sakit, kanak-kanak atau dewasa, semuanya akan mengalami kematian. Kalau dulu kita dijadikan, diadakan dari tiada diciptakan ada, sekarang bakal menempuh suatu saat tidak akan ada, dan pasti suatu saat lagi akan ada kembali untuk kehidupan abadi, iaitu alam Akhirat.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang perkara ghaib dan nyata, lalu Dia beritakan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan” al-Juma-‘ah (62:8)

“Jangan... saya takut mati, mahu hidup lebih lama lagi” rintih seorang ibu tua, terlunjur di atas katil hospital kerana diserang kecing manis, dan darah tinggi.

Kerana kecetekan ilmu dan lupa kita adalah sebagai, hamba bila datang ujian yang kadangkala amat kecil, tapi tidak selari dengan kemahuan diri, kita merasakan ujian itu amat besar, amat sulit dan amat pahit untuk ditelan, padahal kita lupa ubat yang pahit itu bila ditelan akan menjadi penawar yang amat mujarab.

“Kau ni buta ke? Aku muda lagi la, lambat lagi nak mati... enjoy dulu beb” darah orang muda, panas baran.

Selama hidupnya, dia selalu hidup untuk memenuhi segala keinginannya. Tujuan utama hidup dia ketika ini adalah untuk memenuhi hawa nafsunya. Namun, tidak seorang pun dapat membawa harta bendanya ke dalam kuburan. Jenazah dikuburkan hanya dengan dibungkus kain putih diperbuat daripada bahan yang murah, tiada lagi sutera berlilit di badan. Modal yang dapat dibawa ketika mati, hanyalah kredit amal soleh sahaja.

Bukan bagi orang beriman, setiap kali melihat saudara sendiri, sahabat handai, jiran tetangga pergi mengadap Tuhan dahulu, pasti hatinya tidak senang, tidak keruan dibuatnya. Bagaimana hendaknya bila ajal menjemputnya pula, apakah sudah habis beramal tika hidup, atau banyak masa di sia-siakan. Anak-anak, dan isteri ditatap berkali-kali, setiap kali peringatan sebegini menerjah ke laman nurani, tertumpah segala isi kasih kepada insan paling dicintai.

Siapalah akan melihat, menjaga, memberi makan dan minum, perlindungan kepada anak-anak dan isterinya nanti. Semua ini mulai menghantui dirinya.

Dari satu sudut pula, kematian adalah suatu hal yang ditunggu-tunggu sejak kesekian lama. Kerana bahawa dia mempercayai, perjalanan hidup ini penuh ranjau, lebih lama hidup lebih terseksa, kebimbangan jika diberi penghidupan lama di dunia, makin bertimbun-timbun dosa.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Katakanlah: “Lari itu sekali-kali tidaklah berguna bagimu, jika kamu melarikan diri dari kematian atau pembunuhan, dan jika (kamu terhindar dari kematian) kamu tidak juga akan mengecapi kesenangan kecuali sebentar sahaja” al-Ahzab (33:16)

Sudahkah kita siap, bersedia?

HISAB DIRI

Kita diajar oleh guru pada tahun pertama berada di bangku sekolah supaya mengenal abjad, membaca, menulis pelajaran menggunakan mata pena. Kita mula berlatih untuk pandai membaca dan menulis, tiap-tiap hari kita berhadapan perkara sama, hinggalah kita betah membuat seperti apa diarahkan. Setiap kesilapan, kita akan padam, lantas kembali perbetulkan.

Begitu juga manusia, hidup ini untuk belajar, dari belajar kita akan sedar kehendak sebenar fitrah dijadikan kita. Perlu manusia lain untuk menyokong keperluan peribadi. Tiada siapa berani tabik, angkuh dan merasakan mampu berdiri dengan sendiri, tidak perlu menongkat dan bertongkat seperti angkuh Firaun laknatullah. Di saat kita belajar ini, kita pasti melakukan picisan demi picisan kesilapan, dosa yang mengundang kemurkaan Pemeriksa ‘kerja rumah’ kita. Dia tidak marah, malah memberi kita peluang, demi peluang, dan peluang lagi supaya kita tahu, Dia adalah ar-Rahman, al-Ghaffar, kelak kepada-Nya jua kertas latihan tadi akan dihantar.

Kalau kita perhatikan alam ini, kehidupan makhluk sejagat mempunyai tujuan sama. Jangan di sangka haiwan yang tidak berakal, tidak pernah mengakui kebesaran Ilahi, tahu ada yang menciptakan, akan terasa satu saat juga bercerai roh dari jasad. Kemudian akan dibangkitkan sebagai sebagai pasir, tanah yang membentangi syurga-syurga Allah.

Allah sedang mengajar dan mendidik kita. Suatu ketika dulu saya juga pernah mengalami perkara yang sama. Namun di teruskan juga menadah, meminta pertolongan Allah. Allah akan terus mengajar dan mendidik kita dengan syarat kita mahu belajar sama ada daripada pengalaman yang kita lalui, muhasabah diri seterusnya belajar ilmu-ilmu Islami. Akhirnya kita akan tahu semuanya adalah untuk kebaikan kita juga.

Kesalahan kita di penghidupan ini, hanya bisa diampun selagi kita diberi kesempatan. Namun selepas tamat masa, tiada lagi peluang kedua, mahupun ketiga. Tinggal lagi pemeriksaan kerja latihan tadi, markah daripadanya akan menentukan kejayaan seseorang. Berjaya, bererti dia akan dilanjutkan hingga ke tempat paling mulia, iaitu syurga. Gagal bererti kita akan sesal, sesal buat selama-lamanya.

Di sinilah kehidupan kita abadi.

Bersedialah dari sekarang, setiap langkah kalian, kita adalah lakaran pada kertas latihan tadi, jika terdapat kepincangan cepat-cepatlah padam, hapuskan dengan taubat nasuha, dan kembalilah mencoret kebaikan-kebaikan di atasnya. Dunia inilah medan kita, urna dunia dan urna akhirat tidak sama, buatlah bekalan untuk satu destinasi panjang nanti.

Bersedialah... tiada pilihan lain.

PERANAN TAKWA

Dalam mengejar habuan dunia, Islam tidak menyisihkan umatnya mencari kekayaan dan kemewahan tika hayatnya, tapi sejambak syukur perlu ditalkinkan di bibir sebagai tanda terima kasih kita kepada Tuhan Maha Pemberi, antara lain pula supaya kita dapat mengagihkan kekayaan kita ini dalam bentuk modal jangka panjang, buatlah amal sedekah demi pembangunan jiwa muslim.

Kaya harta, tapi tidak lupa untuk kaya budi juga.

Kotak kepala kita mempunyai segalas tugasan menumpah idea untuk kebangkitan Islam, sebagai perhatian berpanjangan. Mengandungi idea-dea yang besar. Tidak dinafikan ialah setiap kata-kata mahupun pekerjaan mengandungi pesanan penting, berguna. Maka dalam mengejar yang besar dan penting, bagaimanakah kita belajar mendefinasikan yang utama.

Seorang pengembara yang bijak, tidak akan menyusahkan dirinya dengan apa yang dia tidak perlukan, dan mengambil hasil manfaat dipungut di setiap persinggahannya sebagai bekal. Kitalah pengembara. Kembara kita bermula ketika di alam roh lagi tika ditiupkan oleh Allah akan roh meresap bersama catatan takdir, rezeki. Kini kita berada antara destinasi wajib sebelum sampai ke destinasi seterusnya, iaitu alam kubur sebelum datangnya alam akhirat.

Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud: “Hiduplah kamu di dunia seolah-olah kamu ini warga asing atau pengembara di sebuah perjalanan...” (Hadith Riwayat Bukhari)

Rasulullah s.a.w mengingatkan kita bahawa dunia ini juga satu kembara. Dunia adalah tempat persinggahan. Kita datang dari alam lain dan sedang menuju kembali kepada-Nya. Sistem nilai yang menentukan apakah yang berharga dan apakah yang merugikan dalam hidup ini. Perkara yang berharga diberikan keutamaan, manakala perkara yang kurang berharga boleh diketepikan dulu, atau tinggalkan sahaja.

Apakah kita berhasil memungut hasil manfaat sebagai bekal?

Benar, bekalan kita semasa di dunia berupa materialistik, harta, wang, rumah, makanan dan sebagainya, bekalan ini hanya bertahan di alam ini sahaja, hatta mampu mengorek berjuta-juta harta kekayaan tapi tiada guna di destinasi berikutnya. Habis tu, bolehkah kita hidup di sana nanti? Boleh, dengan syarat bekal kita bawa itu ialah takwa (pahala, iman dll).

Takwa inilah ibarat duit, wang, pitis kita di destinasi berikutnya. Mampu ataupun tidak ada pada tangan kita, maka pilihlah apa yang telah diajar oleh baginda melalui Kalam Wahyu (al-Quran) dan Kalam Sunnah (Hadith). Ikutilah ajakan ulama’, seruan dakwah ke arah kebaikan.

Takwa ialah, kita buat apa yang disuruh oleh agama, dan meninggalkan apa yang dilarang oleh agama. Nilailah erti hidup kita, perjalanannya dengan nilaian daripada Ilahi. Banyakkan amal ibadat Ruhiyyah (iman) dan Jasadiyyah (kerja kebajikan). Bekalan kita mahukan ini, dapat ditebus di mana-mana alam kita berada nanti, alam Barzakh, alam Akhirat. Kad ATM akan disertakan bersama, tunggu cucuk sahaja.

Hidup ini tiada yang sia-sia. Berusahalah!

Usaha seseorang hamba menunjukkan seberapa kuatnya tekad dengan apa yang dia mahu itu dan seberapa pantas dia untuk sukses, tidak hanya menganggap hidup itu sebagai air yang mengalir sahaja.

Kita berusaha merancang, tetapi Allah Taala yang tentukan apa yang lebih baik untuk kita. Malah ada pepatah arab mengatakan siapa berusaha dia dapat apa yang diusahakannya. Teruskan berusaha, tidak baik berserah bulat-bulat, tanpa ada usaha berpanjangan.

Dah usaha barulah tawakkal (berserah) kepada Allah Taala.

Allahum-ma ajirna minal an-nar (Ya Allah, selamatkanlah kami dari azab api neraka) ...” saya melangkah kaki perlahan-lahan meninggalkan bangku, sepersis saya meninggalkan masalah yang tidak habis-habis tadi.

Malam ini tetap memberkas jiwa kerdil saya.

Moga-moga kuakan kaki kita untuk terus menerus melangkah tanpa ada gangguan menjadi satu impian... pasanglah niat suci ini dari sekarang, dan kudus untuk mencari hikmah tersembunyi di setiap ujian tertimpa kita... buktikan melalui perbuatan kerana mencari Mardhatillah (keredhaan Allah). Kita akan terus MELAKAR PELANGI CINTA sebagai seorang hamba, seorang hamba yang tidak sombong tika hayat hidupnya kerana satu sahaja pengharapannya iaitu bertamu di persimpangan kasih Ilahi. Moga kita selamat kembali kepada Allah Azza-Wajalla, seperti mana kita datang daripada-Nya dahulu.

Teruskan Pembacaan>>>

Rabu, April 21

Membina MAHU Selepas PERLU

SAYA mempunyai banyak cerita dan kenangan untuk dikongsikan bersama para pembaca di laman ini. Cerita berdasarkan pengalaman peribadi berhadapan dengan ramai manusia. Saya merasakan di antara konsep betul kita mendekati mad’u secara lebih berkesan dan halus adalah dengan bercerita. Kuasai mereka dengan sekerabak cerita yang mempunyai nilai pengajaran dan moral yang tinggi, semestinya akan lahir kekesanan pada hati.

Ada satu cerita saya masih kuat mengingatinya ialah ketika dimarahi oleh seorang pemuda di dalam bas. Ketika itu saya ingin pulang ke Kelantan selepas usai menziarahi bapa saudara di Muar, Johor. Tidak semena-menanya saya dimaki dan hambur kata-kata kesat ketika kebanyakkan penumpang lain bersiap-siap untuk lelapkan mata.

“Kamu ni tidak ada kerja, suka aje skodeng orang” pemuda itu meninggikan suara mengejutkan lenaan tidur sesetengah penumpang yang telah lama dibuai mimpi. Mata saya tidak takut dari terus memerhatikan gelagat jijik dua pasangan muda itu, kononnya sedang dilamun cinta.

Menempuh perjalanan malam panjang dari selatan tanah air ke hujung pantai timur amat memenatkan. Penat kerana diulit oleh lenggokkan bas kadang-kadang melencong tajam ke kiri, kekadang ke kanan, dan sesekali masuk lubang kecil.

Saya berang tapi masih lagi bersabar dengan sikap biadab pemuda itu. Mungkin inilah dikatakan darah muda, cepat sangat melatah, sifat amarah telah melenyapkan sifat kesabaran dalam diri. Sempat saya memerhatikan seorang ibu yang duduk di seberang bangku saya, berusaha memujuk anak kecilnya yang menangis di pelukan sebaik sahaja tersedar dari tidur.

Boleh dikatakan kuat juga pekikan pemuda tadi.

Saya buat tidak tahu sahaja, menunggu masa yang lebih sesuai mendampingi secara lembut. Perhatikan dari jauh. Tuhan punya tahu kebebalan hati pemuda saat itu. Kalau hendak diikutkan, kalau dah juga darah muda tu, mahu sahaja meratah rakus dengan palitan memalukan, biar padan muka.

Saya sedar, bila emosional mengurangkan ketajaman rasional dalam berhujah dan berfikir. Pulihkan rasa sakit akibat tusukan yang kuat menerjah hati. Jangan terikut-ikut sangat: “Ikut rasa binasa, ikut hati mati”

Kita juga perlu ada strategi ampuh agar hatinya juga tertewas pada lembut belaian dakwah, jangan turut terjebak sama menggunakan kekerasan, mahupun terikut rentak darah muda.

Ada benar bila terkenang kata-kata senior saya di sekolah suatu ketika dahulu: “Kalau kalian nak mengubah kawan-kawan agar lebih sayang Islam... marilah kita cuba meruntuhkan berhala-berhala yang ada di dalam hati mereka, insha-Allah mereka akan faham”

Kebiasaannya perjalanan yang jauh lebih dari enam jam, akan berhenti rehat selama setengah jam di mana-mana tempat yang sesuai di tepi jalan di keheningan pagi, seperti warung-warung makan, stesen-stesen minyak dan sebagainya. Biasanya tempat-tempat seperti ini, para penumpang mengambil peluang mengisi perut, buang air, melegakan otot-otot, dan mengambil udara segar di luar bas.

“Anak ni asal dari mana?” tiba-tiba ada suara pak cik tua mencelah, lembut menyapa lamunan saya melihat di suatu ruang kecil.

“Saya berasal dari Bachok” saya menjawab tenang, sesambil mata memerhatikan pemuda tadi yang telah masuk satu pintu menghilangkan diri.

“Mungkin dia ke tandas” bisik hati saya.

“Sabarlah nak, jangan ambil hati sangat dengan lelaki tadi... orang muda memang macam tu” pak cik itu menambah, sambil menepuk lembut bahu saya.

Saya berjalan seiringan dengan pak cik tua itu turun perlahan-lahan dari bas sambil berbual kosong. Saya mengambil keputusan untuk menunggu di satu persimpangan antara tandas dan tempat orang berkumpul ramai di warung makan. Selang beberapa minit pemuda tadi keluar, tangannya kalut membaiki posisi seluar yang sedikit terlondeh.

Assalamualaikum…” saya memulakan bicara awal pagi tu.

Wa’alaikumussalam warahmatullah...”

“Saya minta maaf kerana meninggikan suara dengan saudara. Saya sedar perbuatan saya tadi salah. Maafkan saya” pemuda itu terus menjawab sebelum sempat saya bercakap, seolah-olah dia faham dan mengakui kesilapan tadi. Kepalanya ditundukkan ke bawah.

“Tidak mengapa. Mungkin saudara terlepas pandang, lagipun saudara dah sedar dan mengakui kesilapan. Itu menunjukkan saudara cukup prihatin terhadap ajaran agama dan nilai pengajaran terkandung di dalamnya” saya tersenyum sambil menghela nafas kerana tidak menjangkakan hal ini dapat diselesaikan dengan mudah.

Kami berbual lama juga malam tu, bertukar-tukar cerita, kisah hidup.

Selepas dari peristiwa itu, pemuda tersebut sering berhubung dengan saya, bertanya khabar selain tujuan utamanya ingin bertanya tentang maslahat agama. Kesedaran timbul hasil kefahaman beliau terhadap kepentingan hidup dalam agama dan beragama, bukan sahaja mempunyai Islam pada kaki kad pengenalan diri. Seingat saya kali terakhir kami berhubung beberapa hari sebelum saya terbang ke bumi anbiya’.

Saya melihat, beliau benar-benar mahu memahami Islam secara mendalam, tapi belum berjumpa mereka yang betul-betul mursyid dengan jiwa rohaninya. Orang seperti ini ramai berada di luar sana. Mereka memerlukan seorang da’ie yang bukan sahaja sebagai pembimbing, tapi boleh menjadi kawan rapat berkongsi ini dan itu. Inilah pendekatan yang digunakan oleh baginda, cukup halus dan terkesan sehingga meninggalkan bekas.

Mereka takut bukan tidak tahu... tetapi segan dan malu melampau-lampau.

DAKWAH BIL-HIKMAH

Masih ramai lagi mad’u di luar sana yang takut-takut untuk mendekati golongan agamawan yang hanya tahu berteori di dalam surau dan menghukum mereka. Alangkah baik kita memandang manusia itu dengan paradigma kasih sayang, maka dengan itu dakwah mampu digiatkan. Masih ramai lagi yang mengharapkan keterlibatan golongan agamawan untuk mencampuri mereka, tapi dengan pendekatan menyentuh jiwa mereka. Agama dilihat bukan bersifat eksklusif, seolah-olah khas untuk golongan para ustaz sahaja.

Kadang-kadang kita tidak nampak maslahat lagi besar dalam tindakan kita. Ramai manusia menetapkan hukuman dan peraturan tapi bukan cuba untuk memberi kefahaman jelas tentang sesuatu isu. Betul, bila kita melihat mereka melakukan kesilapan, sebagai contoh tidak memakai tudung, kita cepat sahaja menghukum mereka... namun tidak pula pandai menjelaskan kedudukan sebenar secara hikmah.

“Kamu tahu tak, orang tidak menutup aurat itu berdosa. Tak takut api neraka ke?”

“Itulah kecil-kecil tak nak mampus. Besar-besar menyusahkan orang aje”

Namun bila kita lihat suatu isu melibatkan akidah, kita hanya kaku dan terpaku sahaja melihat borang tukar agama bertimbun-timbun di atas meja pejabat agama. Kita terlalu rigid soal akidah dan iman. Manakala kefahaman yang jelas membentuk akidah yang sejahtera dan iman yang mantap.

Kita begitu alergi dan fobia sangat akan kehidupan para artis sehingga sanggup meninggalkan mereka terkapai-kapai bergelumang dengan maksiat. Sebenarnya kita sendiri menempah tiket terjebak sama dalam kancah maksiat kerana tidak sudi memberi kefahaman secara proaktif kepada mereka.

Allah Taala berfirman:

Bermaksud: “Mereka hanya mengikut sangkaan, sedangkan sesungguhnya sangkaan itu tidak berfaedah sedikit pun terhadap kebenaran” an-Najm (53:28)

Gunalah pendekatan lebih baik, berbanding memberi nasihat jarak jauh, mungkin berkesan namun masih lagi pada satu skala kecil... ini bukan bererti kalian terus berhenti memberi nasihat, tapi perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Membantu mereka, bukan bererti kita turut serta dengan mereka, tapi untuk membawa mereka ke jalan benar. Awas, jangan sampai kita pula yang terjun mati-mati dalam dunia mereka.

Dokumentasi kita pada setiap apa yang terjadi adalah satu proses kematangan minda dalam menilai baik buruk sesuatu yang berlaku di persekitaran sebelum sebuah pilihanraya ditentukan melalui tindakan spontan mahupun terjaga. Perlu memilih satu antara dua atau lebih, walaupun kita tidak ingin memilih. Pilihan yang dibuat, baik anda atau orang lain yang pilihkan akan menentukan halatuju berikut. Maka jadilah di sana, sama ada jalan benar yang diperolehi atau jalan kedurjanaan yang menistakan.

Jangan salahkan takdir dengan pilihan dibuat, sedangkan jalanya sudah difahamkan akan akibat yang bakal melanda, risikonya anda sendiri yang menjamin. Tiada jalan pulang kecuali keinginan diri sendiri untuk berubah, dan bertaubat. Diri bersusah-susah mencari, dan membelek semak-samun membulu sebelum bertemu jalan hidayah.

Semua manusia inginkan kehidupan senang, dan tenang. Kesenangan di dunia hanya sementara manakala kesenangan akhirat adalah kekal abadi. Orang yang bijak sudah tentu memilih kesenangan yang hakiki, bukan yang bersifat sementara. Hanya orang yang cetek akal sahaja memilih kesenangan dunia, dan mengenepikan kesenangan akhirat. Mungkin kita tidak sedar, di sebalik kesenangan yang dikecapai sekarang... apakah kita tidak pernah sirna dari melakukan dosa?

Kesenangan bukan sahaja didatangkan pada kemewahan material yang terpacak di depan mata bahkan bersamanya tersalut ujian tersembunyi. Saya lebih suka kita bersikap rasional bila berhadapan situasi ini, malah orang miskin juga turut sama terpalit ujian andai diri tidak pernah ambil peduli dan kisah berkenaan perihal muhasabah. Sepatutnya harta lebih membuat kita lebih zuhud, takut kepada Allah Taala.

BUKA MINDA

Apa yang saya nampak, kita kalah melawan media barat. Kita gagal memproduksi produk makanan bersih dan halal untuk menyelamatkan perut-perut dan hati umat Islam. Kita gagal membina budaya yang boleh membantu masyarakat memahami Islam.

Dakwah kita masih berlegar disekitar masjid. Dakwah kita masih terus bersifat menghukum sebelum memberikan kasih sayang. Pendakwah kita masih gagal berkreatif mendidik umat mendekati Islam sebagai cara hidup (life style). Binakan keselesaan untuk mereka mudah mendekati kita. Sebenarnya kita gagal melihat keutamaan dalam berdakwah dan hanya melihat sisi-sisi yang sebenarnya mampu untuk diperbaiki.

Cuba gunakan approach dakwah secara hikmah dan halus. Sesungguhnya cara ini lebih banyak membawa kepada kejayaan kerana ia lebih bertumpu kepada mengubah minda, bukannya melahirkan manusia-manusia hipokrit kerana bimbangkan diri dicerca dalam masyarakat. Semoga kita dapat mengurangkan populasi manusia yang namanya muslim tetapi tiada pemikiran Islam. Muslim tetapi bukan Islam merupakan hal yang kita harus tangani secepat mungkin agar orang bukan Islam dapat memahami Islam yang sebenarnya, Insha-Allah.

Cari pendekatan Rasional, bukan cepat Emosional...

Saya boleh menghembus dan menghela nafas lega, apabila ada pendakwah yang memikirkan pendekatan baru, cara berdakwah yang betul mengikut kesesuaian mengikut individu. Cuma, kadang-kadang kita menganggap seseorang itu pelik disebabkan perangai atau pemikiran dia yang berbeza dengan kita. Ada segelintir orang yang kuat agamanya, tapi tidak bercampur dengan orang-orang biasa, malah ada juga yang kuat agamanya dan nampak hebat di luar, tetapi peribadi di rumah sangat berbeza.

Saya ada soalan cepu emas untuk anda para da’ie di luar sana…

Setiap manusia ada kekurangan dan kelebihan, namun apabila ustaz dan ustazah ada kekurangan. Apakah persepsi kita ketika itu? Apakah kita akan rasa dia tidak layak jadi seorang ustaz atau ustazah? Jadi, haruskah mereka menjadi sempurna atau berusaha menjadi sempurna, atau kita perlu menerima kekurangan mereka?

Susah juga nak jawab.. kena telan pahit-pahit.

Memang para pendakwah perlu di-update cara mendekati mad’u.

Jiwa mad’u dan masalah mad’u perlu kita selami dan fahami. Hati-hati da’ie yang lembut dan hidupnya akan melembutkan dan menghidupkan pula hati mad’u yang lembut. Seorang da’ie hendaklah memperhatikan celah-celah kebaikan yang ada pada orang lain, kemudian memupuknya sehingga celah-celah keburukan yang ada padanya terhakis dan bersemangat bangkit berdiri melangkah di jalan Islam.

Ilmu ini tidak diajar dalam silibus pendidikan kebangsaan. Tidak semua mampu nak memberikan persoalan kembali kepada soalan yang ditanya. Jangan disalahkan pendakwah yang tersilap cara, tetapi mereka juga perlu didekati bahkan mereka juga adalah mad’u.

Barangkali seminar yang mengajar pendekatan sebegini perlu diperbanyakkan di seluruh dunia untuk membantu para penggerak Islam yang ingin berdakwah.

Bacalah sebanyak mungkin dengan pelbagai genre buku yang ada. Insha-Allah setiap satunya akan menjadi batu bata yang membina diri. Namun, menghadam ilmu Ushul Fiqh boleh saya kira sebagai salah satu pra-syarat yang penting bagi mereka yang mampu, kerana ianya mendidik kita kaedah mencantumkan nas dengan realiti.

Allah Taala berfirman:

Bermaksud: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenai akannya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu akan ditanya tentang apa yang dilakukannya” al-Isra (17:36)

Ilmu Ushul Fiqh yang saya belajar di universiti banyak membantu diri dalam merasionalkan hukum di sisi minda yang selalu inginkan logikal dalam sesuatu perkara, juga menerangkan sebab di sebalik sesuatu hukum pada rakan-rakan yang bertanya.

Apapun ilmu pasal dakwah ini tidak diajar di sekolah, sama ada di sekolah kebangsaan ataupun di sekolah agama. Ada satu garisan yang kecil antara dakwah dan mengajar agama. Kebanyakan orang menganggap hanya ustaz sahaja yang boleh berdakwah, padahal Nabi Muhammad s.a.w perintahkan supaya sampaikan ilmu (ad-Deen) walaupun sepotong ayat. Dakwah tentang agama memerlukan satu kemahiran yang mantap. Mempengaruh orang lain supaya menerima nur agama, lantas membersihkan kekotoran di dalam hati bukan kerja mudah, tapi kalau sikap kita dari awal menyusahkan maka ‘mudah’ tadi makin jauh dan jauh hingga menumbuhkan lalang-lalang parasit bersifat malas dan jemu.

Pendakwah bagaikan tentera yang pergi berperang... ilmu di dada bagaikan senjatanya, tektik peperangan bagaikan modus operandinya, musuh-musuh adalah orang yang hendak didakwahkan. Jika kita punya senjata yang canggih, namun strategi tidak bagus, kecundang juga akhirnya.

Namun kena ingat tugas dakwah ini ada pada setiap umat Islam. Maka berusahalah kita berdakwah untuk orang-orang di sekeliling kita, dan menjadikan setiap daripada mereka sasaran untuk berkongsi, bukan membenci.

Kita adalah generasi Ulul Albab yang menggunakan ketajaman akal fikiran dalam setiap tindakan, bukan bersifat dungu, menunggu peluang di hadapan tanpa mahu mencipta peluang, akhirnya diri sendiri kelak terbuang dan kecundang.

Jadilah Ulul Albab berketrampilan dan mampu merubah…


Teruskan Pembacaan>>>

Isnin, April 19

IMAN: Hamba Berjiwa Hamba

BEBERAPA hari lepas, kepala saya agak pusing, rasa seperti nak pecah, ditambah lagi dengan keadaan cuaca dingin makin membisa. Kalau pagi seperti berada dalam peti ais. Hanya Tuhan yang tahu kehendak hati ini, mahu sahaja ditamatkan. Tisu di tangan pula sering-kali merembes hingus yang sedia keluar.

Perlu menghabiskan dua kertas lagi untuk melengkapkan fasa writing test bagi semester ini. Moga ditetapkan hati sentiasa menjadi hamba-Nya sebenar.

Saya perlu berhadapan dua situasi yang memeritkan minggu ini, melunaskan tanggungjawab sebagai pelajar di helaian kertas berjalur biru, dan menyambung semula visa pelajar yang akan berakhir dua hari lagi.

“YA Allah... berilah daku kekuatan” bisik hati kecil saya.

Sedih bila melihat umat Islam sendiri yang malas mencari ilmu sedangkan hidup ini terlalu singkat dan terlalu banyak perkara yang perlu kita lakukan sebagai khalifatullah, hamba Allah dan da’ie ila-Allah. Kita sering alpa, lalai, lupa, dan terus menerus leka di samudera buatan tangan manusia ini. Arusnya sungguh deras, mampu menyondol mereka yang masih bermain-main di tepian, mahu mencuba. Ramai manusia ‘mati lemas’, terkapai-kapai dibawa arus deras membadai.

MATA HATI

Andainya mereka tahu bahawa betapa liciknya perancangan musuh-musuh Islam untuk melemahkan mereka. Islam akan menang suatu hari nanti, tapi tanpa usaha dari umat Islam sendiri... mampukah kita berjaya?

Apa jua pekerjaan sering kita lakukan setiap sesuatu sama ada baik dan buruk kita akan tetap diuji oleh-Nya supaya kita sebagai umat yang diberi perasaan, emosi dan akal dapat merasai, meluahkan isi hati dan berfikir sendiri akan kehadiran Allah Taala dalam setiap gerak hati kita untuk menjadikan diri ini lebih beriman dan memperingati diri supaya ingatkan yang Maha Satu.

Kadang-kadang mata manusia kabur, teramat kabur... nampak tapi buat-buat tidak nampak, lihat tapi ‘buta’. Akibat kehendak nafsu lebih terang dan jelas diletakkan di hadapan daripada kehendak iman yang tersembunyi, kerana mengejar kebahagian palsu diutamakan hingga meninggalkan kebahagian di sebalik keperihan. Kadang-kadang manusia tahu kesilapan silam, tahu perit badan menanggung, tapi manusia tetap manusia bukan malaikat, memberi seribu alasan di penjuru hati belum bersedia melangkah setapak ke arah kebaikan.

Memang benarlah, jarang manusia yang mengingati atau mengenang kejahatan, kekurangannya daripada ramai yang mengingati jasa baik dan perbuatan baiknya. Mengingati sesuatu keburukan diri memberi kita rasa insaf dan sesal kerana pernah buat sesuatu yang Allah tidak suka. Tiada apa yang lebih buruk daripada perkara yang Allah Taala tidak suka.

Contoh; bagaimana sikap dan sudut pandang kita bila berhadapan situasi seperti ini? Ahmad bekas banduan diundang menyampaikan ceramah kesedaran. Beliau cuba bertindak sebagai pemandu arah selepas merasai sendiri peritnya sebuah kehidupan, tersempit antara najis dadah dan menyabung nyawa bagaikan bangkai hidup. Usahanya itu dipandang dua golongan yang berlainan world-view.

Ada yang menerima saranan dan nasihat tersebut sebagai satu asas pada realiti yang perlu dipegang, malah ada pihak berlawanan menolak saranan dan nasihat tersebut kerana lebih menilai peribadi dari budi.

Tetapi kita selalu lupa. Pemikiran songsang kita sering menghukum dengan cara yang berbeza. Kita tidak menilai kebaikan pada kebaikan itu sendiri dengan Iman, ilmu dan akal kurniaan Tuhan, sebaliknya kita suka melihat peribadi. Suka mengintai apa yang tidak berkenaan dan tiada keperluan.

Dengarlah apa yang diperkatakan, bukannya melihat siapa yang berkata. Bukannya menilai orang yang berkata secara peribadinya.

Bila seorang pencuri menasihati orang lain supaya jangan mencuri, apa yang diperkatakannya itu pada hakikatnya adalah benar meskipun dia adalah seorang pencuri. Hendaklah kita mengambil nasihatnya, bukannya sibuk menghujahkan peribadi si penasihat. Itulah tandanya orang yang menggunakan akal fikirannya dalam mencari kebaikan.

Teringat pada nasihat yang dinukilkan syaitan tentang fadhilat ayat Kursi.

Pada satu masa kita banyak bergaul, berkawan dan bersama dengan pelbagai jenis manusia termasuk yang bertudung dan tidak bertudung, sikap belas dan mahu membantu perubahan itu akan jadi lebih dominan.

Ngeri rasanya hendak bayangkan kalau seorang cikgu berstatus ibu berbuih-buih mulut bagi nasihat kepada anak murid, tetapi anak sendiri hancur. Hati si ibu tidak pernah tenang sebaik sahaja melihat anak-anaknya melangkah keluar menuju ke sekolah agar tiada terdengar berita sumbang, kerana pasti orang menilai sumbang penjaganya.

Warna-warni masyarakat kita pada hari ini berhadapan krisis nilai, begitu banyak budaya luar dan fahaman atau idealogi yang tidak sihat telah mempengaruhi cara kehidupan seperti percakapan, gaya berpakaian dan pergaulan, dan apa yang lebih membimbangkan terdapat segelintir masyarakat yang mula terpengaruh dan terjebak dengan aliran Islam liberal.

Anasir-anasir yang tidak sihat ini dengan mudah menyelinap masuk serta menjajah pemikiran, seterusnya mempengaruhi kehidupan kita, sekiranya benteng Iman kita tipis, cetek pengetahuan tentang agama, meremehkan nasihat para ulama’ mengabaikan suruhan agama dan tidak berpegang dengan tuntutan syari-‘at.

Iman bukan diwarisi daripada seorang ibu atau bapa tetapi sebuah pilihan Allah Taala kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dia berhak dan berkuasa untuk memuliakan manusia, dan Dia juga berhak dan berkuasa untuk menghina manusia.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu” ali-Imran (3:26)

Iman merupakan pegangan atau kepercayaan dan keyakinan di dalam hati yang tidak berbelah bagi terhadap Allah Taala serta tidak mengandungi sedikit pun perasaan syak dan ragu-ragu.

Ketakwaan dan keyakinan yang teguh akan memberi kesan yang positif bagi kehidupan manusia terutama dalam soal beribadat, mengawal tingkah laku, hubungan pergaulan sesama manusia dan sebagainya.

Bermula dengan iman, muslim diharap tidak duduk di takuk lama. Dari Iman warisan atau iman ikut, perlu ditingkatkan kepada iman ilmu, yang kemudiannya ke iman yakin.

Persoalannya bagaimana iman boleh meningkat kalau akal yang diberikan Allah Taala tidak memainkan perana utama dalam penimbaan ilmu mencari peningkatan iman? Terlalu ramai muslim secara tidak sedar mengenepikan ilmu yang perlu diutamakan dengan menyibukkan diri pada ilmu (atau lebih tepat lagi pengetahuan) yang berkisar hal-hal kemanusiaan sahaja?

Antara ilmu dan pengetahuan ada perbezaan ketara. Tidak layak ilmu dirujuk untuk pekara-pekara yang melibatkan makhluk. Cara makhluk menjalankan kerja. Cara manusia menyibukkan diri melalui kehidupan di dunia setiap hari. Itu semua pengetahuan sahaja.

Ilmu sebenar adalah apabila kita mengkaji cara kerja Pencipta yang menciptakan. Pandangan kita pada setiap ujian yang berlaku hendaklah secara berhemah, dan melihat peluang di sebalik peluang hidup sebagai usaha dakwah bertunjangkan secangkir iman.

Membuat perancangan menjadi hamba Allah perlu menyusun jadual yang selaras dengan undang-undang Islam (syari-‘atullah), di samping memberi ketaatan pada undang-undang manusia selagi mana ianya masih menjaga syari-‘at Allah seperti yang telah Islam garis-pandukan. Allah Taala telah menciptakan siang untuk bekerja, mencari rezeki (ibadat jasadiyah) dan malam pula adalah untuk berehat (ibadat rohaniyah)

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Allah menjadikan malam itu untuk kamu berehat di dalamnya, dan siang itu terang benderang (untuk kamu berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa melimpahkan nikmat-Nya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi banyak manusia tidak bersyukur” al-Ghafir (40:61)

Maka, gunakanlah masa yang masih tersisa dengan sebaiknya.

MUHASABAH IMAN

Hidup ini adalah ujian. Harap kita sudah membuka mata dua pasang ini, mata melihat ke hadapan dan ‘mata hati’ yang bisa mengerti sesuatu tersirat dibalik tersurat.

Ibarat kita sebagai petani muda (orang muda dan darah muda) yang sedang bertani untuk bekalan masa hadapan yang kekal. Kadang-kadang kita lupa, alpa rupa-rupanya kita hanya seorang ‘petani’... atau mungkin kerana kita terlalu memandang rendah career sebagai ‘petani’ hingga sanggup buat-buat lupa.

Sungguh terkesan di hati kita kerana di saat ini, musibah yang menimpa membuat hati tidak keruan walaupun tetap yakinkan diri bahawa kita ada Allah Taala. Namun sesekali bila iman diuji, terasa beratnya ujian..

Kesusahan adalah ujian, jangan lupa kesenangan juga terlebih ujian.

Kita perlu sedar dari lamunan sedih, kita tahu berkali-kali dipalit kecewa, kecewa dalam pelajaran, kecewa dalam mendamba kasih kekasih hati, kecewa dalam rumahtangga, kecewa dalam urusan pejabat... ini bukan bermakna Dia tiada, tidak menemani kita di saat ini. Dia menunggu masa dan ketika untuk memberi kita bahagia. Persoalkan diri, adakah kita turut mengingati, memandang Allah ketika saat cerca ini, kalau tidak, jangan salahkan Allah kerana tidak pula ‘memandang’ kalian.

Mudah-mudahan memberi kekuatan dan mengetuk hati yang masih terlena.

MATI DALAM IMAN

Mati... pemutus antara dua alam ditinggalkan dan dipertemukan. Dunia akan ditinggalkan, kubur pula destinasi dipertemukan, sebelum datang pula alam akhirat. Hakikat manusia tidak boleh lari dari mengalami saat dicabut roh dari jasad, kejam-kejam firaun pun hingga sanggup mengaku menjadi ‘tuhan palsu’ tersungkur ditelan laut merah, mati juga. Mati adalah syarat untuk bertemu Allah Taala.

Ramai takut berbincang soal mati, soal akhirat, ini kerana tiada persedian ke arah itu. Masih lagi sibuk soal business, perniagaan, saham, juara-juara lagu, skim cepat kaya. Kehidupan dunia dan akhirat kian tersisih, terputus dipertengahan, tiada lagi komunikasi.

Golongan dimaksudkan masih belum memahami kaitan hidup di dunia dengan hidup selepas mati nanti. Kalau dia faham, dia dapat menerapkan pula kepada ahli keluarga, jiran, kakitangan bawahan, teman-teman satu pejabat perihal mati, ajal. Benar, tidak salah dia tidak menghayati kerana tidak tahu, tidak memahami sebab dia adalah manusia, tapi bagaimana pula mereka berada di kiri, kanan, depan dan belakang beliau, tiada siapa sudi mengingatkan.

Kita sudah dikira mati apabila HATI sudah mati. Hidup dan mati setiap insan itu bergantung kepada kemahuan kita untuk berubah menjadi lebih baik. Kiranya kita bertekad untuk berubah. Mulakan langkah pertama untuk berubah. Nescaya Allah Taala pasti menolong para hamba yang mahu menghidupkan hati mereka yang sudah mati.

Ingat mati bukan takut mati.

Tidak dapat dinafikan memang ramai takut mati termasuk seorang raja memerintah. Takut sebab amal langsung belum mencapai tahap kualiti tinggi. Hakikatnya setiap hari manusia akan mati, terlebih dahulu diuji mati (tidur) sementara. Diri terasa agak terpukul, dek kerana bebanan, bila memikirkan perpisahan dengan orang-orang yang disayangi meskipun tahu setiap pertemuan ada perpisahan.

Bagaimana persedian kalian ke arah itu?

Jentik hati tanya iman...
Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, April 17

Kebiasaan Mengundang Keresahan

SUDAH hampir seminggu saya memikul tanggungjawab sebagai imam muda di Masjid al-Aman, sebuah masjid yang terpencil terletak di kawasan pusat bandar Kota Bharu. Boleh dikatakan kawasan tersebut majoriti kaum Cina, tapi masih ramai juga bangsa Melayu yang sekitar kawasan masjid. Tidak pasti kesibukan apakah yang membuatkan mereka begitu berat untuk membesarkan langkah ke masjid, tempat paling selamat dan suci. Ada juga ringankan tulang untuk datang namun berapa kerat sahaja, boleh dibilang dengan jari.

Alhamdulillah... di hadapan masjid terdapat seorang kakak yang berasal dari Kemboja. Telah bersuami dan mempunyai empat orang anak. Saya dan suaminya juga rapat, dan salah seorang jamaah tetap masjid. Kami selalu bersembang setiap petang, itupun kalau beliau tidak keluar berniaga. Banyak buah tangan saya perolehi. Teringat saya, satu cerita kakak tu sekadar perkongsian.

Mengikut sejarah daripada ayahanda kakak tu, mereka (arwah mak, dua abang dan dua kakak beliau) datang ke sini atas saranan arwah datuknya, yang amat menitiberatkan pendidikan dan pembangunan nilai Islam dalam mendidik anak-anak. Masa itu kira-kira hampir 30 tahun dulu, negara Kemboja dikuasai komunis yang memang tidak menyenangi Islam.

Di awalnya, keluarga kakak tersebut memamg tidak diterima masyarakat setempat, particularly orang Melayu. Tapi orang Cina melayan keluarganya dengan sangat baik. Up to secondary school pun, ada cikgu yang nasionalismanya tinggi tidak sekadar memandang malah melayan mereka adik beradik di situ sebagai orang luar yang tidak pernah diundang.

Tambah kakak lagi. Masa kecil-kecil dulu, dia marah juga kerana rasa tak patut orang Islam layan macam ni. Tapi dari sudut positifnya, dia sangat bersungguh-bersungguh belajar kerana nak tunjuk kat diorang yang mereka mampu survive. Akhirnya, mereka semua mampu bertahan dan sangat menghargai apa yang terjadi sekarang.

Moralnya, walaupun mereka bukanlah berasal dari warga tempatan, tapi mereka begitu tinggi iman dalam menempa kejayaan di bumi asing. Bukan senang membina sebuah tapak pada tanah yang cukup asing dengan darah daging. Semangat waja mereka perlu ditauladani, bukan merempat di kandang sendiri, dan rasa terhina dek kerana tangan-tangan yang membusutkan jiwa sendiri dalam kelalaian.

Dari segi sosial, awal-awal dulu memang saya rasakan susah untuk bergaul dengan penduduk setempat yang lain, kerana mereka kurang tahu gaya hidup (syariat) Islam. Tidak turut sama berjoging dengan mereka pada hari Jumaat dan ada sedikit rasa prejudis terhadap saya. Tetapi, saya cuba untuk bersosial dengan cara yang lain, contohnya keluar shopping bersama-sama atau ke restauran dan ambil peluang ini untuk menjelaskan kepada mereka situasi saya yang sebenar dan serba sedikit tentang roh Islam. Hamdalah, selepas saat itu, hubungan kami semakin baik.

Pandangan saya kalau suasana memerlukan supaya penghayatan Islam tu wujud, tidak kisah lelaki atau perempuan yang mulakan dahulu. Jangan pedulikan suara-suara sumbang kalau niat kita nak hidupkan Islam. Mungkin pada masa yang sama, kena sama gesa lelaki yang mungkin ada tapi tidak nampak untuk sama-sama turut serta dalam penghayatan penting ini.

Kebimbangan saya ialah cabaran yang ditempuh oleh umat Islam dan negara ini semakin banyak, beragam dan kompleks. Tetapi kenapa pembangunan modal insan yang digembar-gemburkan selama ini hanya sedap di mulut sahaja tanpa ada pelaksanaan yang berperingkat, dan tindakan susulan selepasnya?. Gagal melahirkan barisan da’ie, aktivis, pemimpin, penulis, penceramah dan pemikir yang setanding dengan cabaran kontemporari umat Islam dan dunia keilmuan sejagat.

Nabi pernah bersabda, bermaksud: “Kamu tidak akan masuk syurga hingga beriman, dan tidaklah kamu beriman hingga saling mencintai (kerana Allah). Apakah kamu mahu jika aku tunjukkan pada satu perkara jika kamu kerjakan perkara itu, maka kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam antara kamu” (Hadith Riwayat Muslim)

Teruskan Pembacaan>>>

Khamis, April 15

Buku Anta Dah Habis!

ALHAMDULILLAH... buku anta habis terjual” mesej saya terima daripada Ustaz Muaz.

“Ustaz, di mana saya boleh dapatkan buku ustaz tu? Di kawasan Hayyul ‘Asyir tiada...” tanya seorang pelajar perubatan.

“Ustaz, buku ustaz tu tak diletakkan di Iskandariah? Di sini tidak kurang ramai juga pelajar kita” sapa seorang pengunjung yang menggelar diri sebagai ‘Hamba’ suatu ketika dahulu di ruangan shoutbox.

Betapa banyak respon saya terima sepanjang seminggu buku BDKC dilancarkan (maaf belum sempat diadakan diskusi selepas berhadapan beberapa kesulitan) baik daripada teman-teman di bumi barakah ini mahupun di tanah air. Di tanah air memang telah melukai ramai para pencinta ilmu kerana buku ini belum berkesempatan dipasarkan di Malaysia. Doakanlah... mudah-mudahan segala kebaikan yang bermula pada langkah pertama, nawaitu akan dipermudahkan agar semua dapat berkongsi ilmu ini.

BDKC baru sahaja sepuluh hari dipasarkan selepas melalui saat-saat mencemaskan beberapa kali sebelum berjaya diterbitkan, dan diedarkan. Seperti galang pengganti pada keringat dicurahkan tanpa rasa jemu di hati, sabar menanti hari-hari dinantikan... harumannya cukup menyegarkan hidung-hidung yang berkesempatan menghidunya. Saya lihat kejayaan semua ini adalah berkat kerjasama dan dorongan daripada semua pihak, juga doa pengunjung setia lama puteraazhari yang tidak putus-putus.

Sambutan di luar jangkaan kami (Hamdalah)

Jujurnya... saya bukan seorang pahlawan dari seni tulis yang mampu menjatuhkan berhala jahiliyyah di sanubari insani, mahupun mengesankan setiap jiwa pada tinta-tinta terhunus. Tapi saya juga berusaha untuk menjadi hebat seperti itu, seperti kalian di lur sana. Saya akan berusaha sebaik mungkin memindahkan ilmu yang dipinjamkan-Nya daripada para sarjana Islam di dalam bentuk lebih santai, lebih ringan, agar kesempatan mengecapinya juga tidak menyisihkan kelompok pertengahan dan bawahan. Mereka juga mahu menagih haknya daripada kita, para intelek.

Pemilihan buku-buku tidak perlu dinilai pada harga... perhatikan tajuk, cermati sinopsis, dan kata-kata pengantar sudah membuatkan kalian mampu menilai skala, genre buku tersebut.. sesuai atau tidak adalah pada penilaian kita tadi. Bermula pada langkah pertama juga, memiliki bukan sahaja sebagai simpanan tapi menjadi teman di kala kosong. Ilmu-ilmu Tuhan terlalu banyak, capailah ilmu tersebut melalui ilmu juga... ilmu kita pada apa kita lihat, kita dengar, kita tuturkan sebelum mencuba atau adanya ilmu baru.

Bagi seorang da’ie membaca bukanlah sebagai satu hobi cuma, tapi satu kemestian. Dan membaca adalah satu habit (kebiasaan) yang baik, namun jangan sampai kita rasa dah perolehi ilmu tanpa perlu menadah kitab dan mendengar kuliah di masjid, dicorong-corong radio, dan di kaca televisyen. Walaupun kedua-dua perkara tersebut orientasinya adalah untuk mendapat ilmu tapi dari unsur keberkatannya adalah berguru dan berkitab.

Justeru yang paling penting semua itu harus menjurus kepada Ubudiyyah (pengabdian) kepada Allah Taala dan bukan sekadar untuk mendapat maklumat dan untuk berhujah, berkongsi, malah untuk meraikan ilmu-ilmu orang lain. Paling penting bagi kita adalah awlauwiyat ( keutamaan ) bahan bacaan itu kepada kita waktu ini.

Jadilah kita pembaca yang muntijah (produksif)... jangan kita membaca beribu-ribu buku tapi tidak boleh membuahkan amal yang kuat, tinggi kerana apa yang kita tagihkan ialah diri kita menjadi lemah dan rendah diri di hadapan Tuhan. Inilah kita mahukan pada setiap hati yang hidup, agar terus disemai baja cinta dan kasih pada ilmu... cabang yang menjodohkan kita bertemu Ilahi di hari muka.

Jazakumullahu khairan al-jaza.

Teruskan Pembacaan>>>

Tamadun Yang Bertamadun

DUA hari lepas saya berpeluang mengikuti kajian di Wisma Nusantara yang terletak di tengah kesibukan bandar metropolitan, Kaherah. Nama tempat tersebut, ialah Ruba’ah. Inilah kali pertama saya menjijak kaki di markas pelajar-pelajar Indonesia di Mesir, sebelum ini pernah juga tapi hanya mampu menjenguk dari luar tingkat bas dalam perjalanan pulang ke rumah. Kali pertama melalui kawasan itu, terasa juga hairannya sebab ada juga kelompok Melayu di sini, sesekali tertanya juga di dalam hati. Kali ini, peluang yang terhidang tidak mungkin disia-siakan. Jemputan ke majlis tersebut, saya terima seminggu yang lepas. Pelawaan dari seorang teman satu fakulti, Ustaz Ariya Nirwana.

Pada mulanya saya rasa berat, kerana butuh pada hari tersebut ingin menyambung visa pelajar. Namun selepas mengambil kira semua kondisi, rasa rugi pula untuk menolak pelawaan tersebut. Bukannya selalu dapat, apatah lagi peluang ini kita boleh menilai sendiri tahap ilmu di kalangan pelajar-pelajar mereka di sini yang menjadi sebutan mulut setiap orang. Buat pertama kalinya, saya diminta menjadi pemerhati. Itulah ayat terakhir saya dengar sebelum majlis bermula, entahlah seperti ingin menjemput saya membentangkan kajian bersama pada pertemuan kesekian kalinya.

Kami pulang malam tu, selepas usai menunaikan solat Fardhu Maghrib. Malam tu, tetap seperti malam-malam yang sudah, sesambil menunggu bas, bebola mata ligat memerhatikan setiap babak yang berlaku di hadapan mata. Masih terasa sejuk menusuk tulang. Banyak manfaat saya terima pada pertemuan mingguan itu, tidak sia-sia walaupun jauh dan jenuh menunggu bas, at least saya boleh jadikan sebagai penimbang tara dalam memberi secangkir ilmu kepada mereka yang memerlukan.

Kekalahan seseorang muslim dalam dambus perjuangan mengali khazanah ilmu pada ketidakpedulian mereka menjaga harta warisan itu sebaiknya, akhirnya mereka tersungkur di lembah yang digali tangan mereka sendiri. Kenapa tidak, mereka inilah yang akan menghuni dasar neraka, gara-gara ilmu yang ditinggalakan, bahkan menggunakannya semata-mata untuk kepentingan diri sendiri.

Sempat saya sembang dengan Ustaz Ariya, sambil tunggu dewan penuh. Banyak kami bicarakan, terutama fungsi ilmu dalam memartabatkan bangsa. Rumpun bangsa Malaysia mahupun Indonesia, tidak jauh bezanya, boleh katakan hampir sama. Bermula dengan ilmu, lahirnya tamadun-tamadun dunia yang berdiri kukuh tidak ditelan zaman. Berubah hanya pendokong yang silih berganti.

Dua perkara penting saya berjaya gapai melalui perbualan panjang lebar kami. Idea yang dilahirkan untuk mencapai kematangan sesebuah tamadun, dan kecekalan mengoreksi idea tersebut bagi memanfaatkan ilmu yang diperolehi untuk membangunkan sesebuah tamadun. Satu kupasan tentang keseragaman ideologi selaras dengan masalah kotemporari pada masa ini. Pada hemat saya kita juga mampu membina tamadun sendiri, atau sekurang-kurangnya mengukuhkan tamadun yang sedia ada.

Bagaimana tu?

Kita perlu ada kefahaman perkaitan pemikiran dan masa. Pembaca pemikiran dalam masa dan suasana yang berlainan perlu mengambil ibrah, hikmah dan pengajaran daripada pemikiran dengan memahami konsep anjakan setiap masa yang berlaku. Keanjalan Ilmu ini diperlukan agar kita dapat menolak ekstremisma ilmu sama ada ekstrim liberal, ekstrim radikal mahupun esktrim jumud dan literal. Takutnya masa meninggalkan, dan pemikiran tersebut tidak mampu dirakamkan buat panduan generasi depan.

Idea adalah persoalan teks dan konteks. Memahami dua hal ini telah menjadikan saya lebih jelas dalam menilai pandangan dan seterusnya dapat menghadam idea yang lebih lestari. Menggunakan konsep pencerahan bagi saya tidak kurang pentingnya, cukup bermakna kerana memberi ruang untuk idea baru yang lebih kritikal.

Pencerahan ilmu dan akal mungkin sebahagian dari idea perubahan atau pembaharuan kepada sesuatu tamadun. Namun pencerahan tidak bermakna mengambil semua idea yang bersifat kritikal kerana mahu dilihat lebih cerah dari yang lain. Islam juga meletakkan adab dan keadaan sesuatu tempat dan masa, sebagai manhaj pada islah atau dakwah. Boleh juga dikatakan, mungkin pencerahan itu kita mahu namakan sebagai ganti pada istilah dakwah dan islah.

Dr. Hamka pernah berpesan kepada anaknya;

“Sejarah itu tidak berulang, tetapi sifat pelaku sejarah yang berulang”

Sejarah hanya tinggal sejarah dari segi peristiwa, tarikh, masa, dan tempat. Cuma, kita iktibarkan adalah prosesnya sahaja.

Sebenarnya pada saya, semua mengakui kepentingan sejarah. Cuma tidak pasti kolerasi pengakuan itu akan memastikan tindakan memahami atau menguasai sejarah. Saya merasakan, kita mempunyai kebebasan untuk bersetuju atau tidak bersetuju soal minat dan tak minat, hambar dan tak hambar tentang sejarah bagi mereka yang memahami sejarah dari awal, bukan mereka yang cuba bercakap tentang sejarah, tapi bukan berdasarkan ilmu dan fakta.

Pergerakan sejarah besar seperti kisah-kisah Nabi dan umatnya diulang siar secara berulang-ulang di dalam al-Quran tidak sedikit pun membosankan. Kerana atas dasar keyakinan bahawa kisah-kisah tersebut terus berulang bagi Nabi dan Rasul Terakhir dan wajib dijadikan panduan serta persediaan menghadapi apa-apa yang bakal berlaku semula. Kisah sejarah di dalam el Quran diselang seli dengan pengajaran, iktibar, panduan, pilihan, undang-undang, dan yang paling menarik ialah ganjaran yang hebat di akhirat kelak. Jadi secara tidak langsung minat pada sejarah akan berputik. Justeru, tamadun yang ingin dibikin dapat direalisasikan.

Pengolahan fakta itu bertitik tolak dari ketakutan pengolah kerana atas kekangan atau pun ugutan yang mengentarkan hati sesiapa pun. Saya bersetuju bahawa kesilapan ini bukanlah kerana kekangan kerajaan, tetapi kalau kita perhalusi mengapa sejarah Eropah diolah menarik tetapi bukan sejarah kita.

Karen Armstrong sendiri tidak memilih Islam, tetapi tulisannya telah menjadi sebab ramai orang Barat memeluk Islam. Mereka memanfaatkan tulisan Karen Armstrong kerana beliau mengajar kita berfikir dan berbincang tentang agama tanpa prejudis dan prasangka. Orang dapat berfikir secara sihat. Lain pula sesetengah daripada kita, sangat bersemangat untuk menyampaikan Islam, lantas bercakap siang malam tentang Islam. Tetapi banyak yang dicakapkan, dan banyak yang dilakukan itu, lebih membinasakan dari membantu membangunkan Islam. Inilah antara contoh perbandingan pencerahan akal yang dangkal, dari membuat tindakan seperti yang diolah.

PENILAIAN DIRI

Kadang-kadang kita juga perlu belajar daripada orang lain, untuk jadi seperti segigih apa mereka usahakan. Saya suka mengambil pengajaran dari seorang pejuang kemerdekaan India, yang berdiri selepas berdikari.

V.P. Menon adalah seorang tokoh terkemuka di India pada saat negara tersebut sedang berjuang merebut kemerdekannya dari Inggeris selepas Perang Dunia Kedua. Beliau adalah pegawai pribumi yang paling tinggi jawatannya di dalam pemerintan colonial. Beliau jugalah orang yang diberi kepercayaan oleh Lord Mounbatten untuk menyusun konsep terakhir berkaitan perjanjian kemerdekaan negara tersebut. Dibandingkan dengan para pemimpin gerakan kemerdekan India lainnya, Menon memang merupakan seorang yang lain dari yang lain. Tidak memiliki ijazah dari Oxford atau Cambridge yang bisa digantung di dinding pejabat. Beliau juga tidak memiliki kasta atau latarbelakang keluarga yang boleh menyokong keperitannya memperjuangkan kemerdekaan. Namun kecekalannya belajar dari keperitan hidup untuk berjaya dalam hidup menjadi sokongan untuk semua itu.

Sebagai anak sulung dari dua belas bersaudara. Maka pada usia tiga belas tahun Menon terpaksa berhenti dari sekolah dan bekerja. Mula-mula dia bekerja sebagai buruh di Pertambangan Batubara, kemudian di fabrik, kemudian menjadi pedagang dan akhirnya menjadi seorang guru. Dari sanalah kemudiannya beliau menjadi pegawai negeri. Beliau mempunyai integriti keperibadian serta ketrampilan yang luar biasa dalam melakukan pekerjaan secara produktif, baik dengan para pejabat India mahupun Inggeris. Nehru mahupun Mounbatten sama-sama mengakui dan memujinya sebagai orang yang memberikan sumbangan besar bagi kemerdekaan India.

Sejak kejatuhan pemerintahan Kerajaan Islam thmaniah secara rasminya kepada rejim yahudi Mustapha Kamal Attartuk pada tahun 1924M sehinggalah kini, bermakna sudah hampir 87 tahun umat Islam kehilangan arah tuju dalam erti kata yang sebenar,dan masih lagi di dalam kerabaan malam yang bersuluh malap mencari jalan pulang.

“Bagaikan hilang tempat berpaut”

Suatu ungkapan bidalan yang cukup sinonim dengan situasi sekarang,sesuai menggambarkan keadaan umat Islam selepas keruntuhan sistem pemerintahan terakhir umat Islam sejak dari zaman pemerintahan agung Baginda Nabi Muhammad s.a.w.

Dalam kejatuhan yang tiada berpehujung, pihak barat telah mengaburi umat Islam dengan pelbagai usaha dan dakyah dalam usaha untuk memesongkan cara berfikir umat Islam, dan yang lebih jauh lagi memesongkan akidah yang tulen dengan menyogok fahaman sekular yang berkonsepkan pemisahan agama dari urusan kehidupan dan pemerintahan. Maka jelaslah, pihak barat telah berjaya memisahkan kebanyakan umat Islam dari mempunyai minat dan kesungguhan di dalam menguasai ilmu-ilmu Islam, sains dan teknologi.

Menghadapi cabaran barat seharusnya menjadi agenda utama umat Islam di samping tidak meninggalkan perkara-perkara penting yang lain. Bersatu di bawah satu matlamat bagi mendaulatkan Islam di bawah satu panji berlatarbelakangkan konsep Islamiyyah dalam kehidupan. Umat Islam perlu memperkasakan diri mereka dengan kepelbagaian ilmu dan kebolehan terutama yang berkait rapat dengan jalur lebar teknologi, penyiaran, bidang kejuruteraan, sains, biologi, bio-kimia, angkasa lepas (astronomi), dan sebagainya. Tanpa mengalpakan ilmu-ilmu yang lain yang terlebih utama, seperti ilmu-ilmu fardhu ain dan segala macam ilmu dalam agama yang berkaitan Fekah, Tafsir, Hadith, Bahasa Arab, dan sebagainya. Dengan peranan ilmu inilah yang akan menjadi pelita sebagai garis panduan kita menuju Allah Taala.

SARJANA ISLAM

Kisah ini berlaku di antara Abdullah yang diutuskan oleh Khalifah Harun as Rasyid untuk mempersembahkan sebuah jam mekanikal ciptaan terbaru Negara Islam pada zaman tersebut kepada maharaja Jerman yang bernama Sharlaman di Bandar Aachen yang terletak di bawah jajahan empayar Jerman. Cerita ini telah diriwayatkan sendiri oleh Einhard, ahli sejarah istana Sharlaman yang turut sama menghadiri upacara penganugerahan dan kunjungan kehormat utusan kerajaan Islam Khalifah Harun ar Rasyid ketika itu.

Menurut fakta yang diceritakan sendiri oleh Einhard, keunikan dan kecanggihan jam mekanikal hasil ciptaan terbaru kerajaan Islam ialah kemampuan jam ini mengeluarkan bunyi penggera apabila setiap kali jarum jam ini melalui satu pusingan lengkap 12 jam. Bunyi tersebut adalah berbentuk gema seperti pukulan gong yang mana ianya terjadi dengan jatuhan 12 biji bebola besi yang diletakkan pada 12 lubang yang terdapat di dalam jam tersebut setiap kali tiba pada jam 12. Bebola-bebola besi ini akan jatuh dan menimpa kepingan logam atau tembaga nipis yang terletak di bahagian bawah jam dan mekanisma ini masih berlaku di dalam jam tersebut. Kesemua bebola besi, kepingan logam tembaga nipis dan gerigi jam yang berskala itu dicipta dengan cukup teliti bagi menghasilkan ketepatan waktu dan bunyi penggera. Menarik dari cerita ini, pada masa itu di Eropah masih lagi di zaman kegelapan dan belum lagi mengalami revolusi ilmu pengetahuan sebagaimana yang telah berlaku dengan pesat dalam empayar kerajaan Islam.

Oleh kerana orang-orang Eropah boleh dikatakan terpisah jauh sama sekali dari ilmu kemajuan sains dan teknologi seperti ini, maka apabila sahaja Maharaja Sharlaman yang sedang bersemayam di singgahsana menyaksikan ujikaji jam tersebut, secara tiba-tiba melompat turun dan lari bersembunyi di belakang takhta singgahsana sebaik sahaja mendengar degungan jam tersebut. Pada mulanya beliau menyangka jam itu dipengaruhi syaitan sehingga dapat berbunyi dengan sendiri. Tetapi setelah diberitahu perihal keadaan mekanikal jam tersebut, barulah beliau berani kembali ke singgahsana. Jadi dari cerita ini, maka jelaslah pada zaman tersebut merupakan era kegemilangan Islam yang tiada tandingan dari mana-mana benua, yang dapat mencipta sesuatu yang baru dan tidak terlintas oleh mereka yang tidak terdedah pada ilmu pengetahuan yang lengkap seperti ini.

Lihatlah betapa tabah dan cerdik para cendikiawan dan para ilmuan Islam dalam mencernakan ilmu yang dipelajari untuk dicanang dalam kehidupan seharian, dengan berjaya mencipta pelbagai kemudahan untuk kegunaan manusia pada zaman tersebut. Betapa cekal dan sabar mereka melakukan ulangan serta kajian berterusan sehingga beratus-ratus kali percubaan eksperimen, dan tidak berputus asa walaupun ada kalanya mereka terpaksa menerima hakikat yang sedikit mengecewakan di akhir perjalanan.

Namun bagaimana pula kita melihat kesungguhan mahasiswa pada zaman ini, adakah sama dengan apa yang telah dipertontonkan oleh mereka? Jentik hati tanya Iman.

Justeru itu, semangat dan perjuangan perlulah dimulakan pada saat ini. Terutama di kalangan para ilmuan, di mana mereka tidak perlu alpa,dan leka serta membuang masa dengan hanya berpeluk tubuh bagaikan ‘orang tidur disorongkan bantal’ tanpa perlu berusaha mencari kelainan dalam memahatkan sejarah pada catatan diri sendiri yang bisa menjadi sebutan masyarakat disekeliling. Umat Islam perlulah berhenti menyalahkan orang lain sepanjang hidup mereka. Sikap inilah yang akan melemahkan kekuatan umat Islam itu sendiri serta membatutkan usaha-usaha untuk membangunkan kembali ketamadunan silam. Kerana sikap inilah juga akan mencetuskan perpecahan sesama mereka dengan berlaku perkara-perkara yang merugikan keseluruhan umat Islam.

Inilah usaha-usaha yang telah ditabur oleh barat yang dirancang secara terperinci, halus dan rapi untuk melihat Islam terus ketinggalan dan luput dari sejarah kegemilangan terdahulu. Maka hendaklah umat Islam itu berubah secara keseluruhan dan sedar dari lamunan yang berpanjangan, dengan bangkit memberi sumbangan sosial, tenaga, buah fikiran, dan berkorban dalam satu barisan serta menggembleng arah tuju yang sama lagi mantap. Jalan-jalan inilah yang akan menyelamatkan mereka dari terjatuh ke dalam lubang-lubang kehinaan dan kemunduran yang telah diciptakan oleh pihak barat.

Teruskan Pembacaan>>>
 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal