PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Ahad, Mac 28

Pengalaman Orang Dibukukan

MASIH menanti saat-saat indah itu. Ramai juga teman-teman bertanya pasal buku, kalau sebelum ini masalah timbul di pihak pengilang kerana terpaksa cetak ulang sebuah buku lain, tapi kali ini daripada pihak ber-authority. Perasaan sedih, kecewa, sesekali berdosa atas masalah-masalah kecil timbul di penghujung. Saya begitu berdosa di atas kesulitan ini, apatah lagi di kalangan peminat buku di tanah air, kena menunggu masa agak lama.

Sebagai pengubat ‘luka’ halus ini, saya ingin berkongsi pengalaman di sebalik tabir buku terbaru saya dibukukan. Bukan mudah bagi seorang penulis part-time seperti saya menghasilkan karya berkualiti seperti buku yang telah berada di sisi saya sekarang. Masa tidak selalu kosong, andai kosong banyak lagi secara tiba-tiba rasa nak buat, rehat pula jadi keutamaan.

Ada pun yang lain-lain, boleh mengambil sisi manfaat masing-masing, namun menulis adalah hobi saya semenjak dari bangku sekolah rendah. Saya menolak ‘tak semestinya’ yang terlalu banyak kerana akhirnya ia menyebabkan tiada apa yang boleh diberi dalam hidup ini. Proses memberi boleh berlaku bila-bila masa, tidak kenal tempat dan ketika, bila kita ada waima sekelumit, sebesar zarah, maka sudah jadi tanggungjawab bersama.

Saya ambil masa hampir 10 bulan untuk menulis kesemua bab yang terkandung di dalam buku Berteduh Di Kebun Cinta (BDKC). Menulis tidak susah, tapi idea, solusi, isi agak susah untuk dicerna. Sebagai contoh bab apa saya mahu tulis, maka saya akan berusaha mencari isi-isi penting melalui pengalaman orang lain, disebabkan buku saya bercorak motivasi, sudah pasti banyak berkait rapat realiti kehidupan manusia semasa. Saya juga selitkan kata-kata yang mengandungi unsur-unsur humor, analogi, dan dailog berantonasi bagi menarik minat pembaca melangkah baris ke baris tanpa jemu, sebelum diajak untuk membedah isi-isi penting ingin dibincangkan.

Jujurnya, saya bersetuju pandangan Ustaz Hasrizal Jamil, buku-buku ringan, santai, tidak berat lebih efisyen, lebih ideal dicanang daripada bahan-bahan bacaan berat. Bila buku agama yang susah dihadam dicermati oleh golongan agamawan, cendikiawan Islam kemudian ditulis semula sebagai bahan bacaan ringan tanpa meninggalkan isi-isi penting yang tersemat dalam kitab asal. Berubah Cuma gaya penulisan, dikaitkan sirah, isu semasa, dan nilai-nilai pengajaran dalam sesuatu bab yang dibincangkan.

Kalau kita syok sendiri, lain pula akan jadinya. Bagi saya ia satu dilema, antara mengutamakan masyarakat yang masih jauh dari ilmu-ilmu islam dan menjamin perwarisan ilmu-ilmu islam kepada generasi-generasi akan datang. Demi memastikan kesinambungan ilmu islam ini, saya merasakan generasi anak muda negara kita perlu dilatih menulis buku, biar bertatih dari bawah. Mereka yang mampu menghadam kitab-kitab seperti Bulughul Maram, Ihya’ Ulumu ad-Din, dan Minhaj at-Tolibin, dapat diasah bakat supaya baiki mutu penulisan, di samping tidak jenuh untuk terus menulis.

Saya kagum dengan kebolehan golongan cendikiawan Islam menggunakan bahasa hati, bagi menangani masaalah tidak faham bahasa yang kian meruncing, mungkin kita boleh melihat dari bertambahnya kegiatan tidak bermoral di dalam dan di luar negara. Tidak perlu menerbitkan buku-buku ilmiah berat daripada bahan bacaan berat-berat, kerana moralnya adalah sama kita membiarkan golongan bawahan terus terpinggir walaupun diterjemah dalam bahasa ibunda masing-masing.

Apatah lagi ilmu itu dicari dengan sedaya upada merujuk kepada kitab susunan para ulama’ muktabar. Lainlah kalau dengan sengaja membaca buku tulisan-tulisan ideologi-ideologi tanpa menyediakan diri dengan akidah yang mapan. Maka kita telah meninggal jauh mereka yang berminat tapi layu bila diterjah bahan bacaan seakan-akan sama, kita terus pinggirkan ahli nelayan untuk membaca, ahli petani untuk memahami Islam, ahli masjid yang naif, kita hanya mensasarkan golongan yang sudah tahu.

Jujurnya, saya cuba menarik muda-mudi, pasangan suami isteri, para ibu bapa, anak-anak dan masyarakat umumnya menyelak kembali sejarah kehidupan ahli ibadat, ahli sufi terdahulu beragumentasi bahtera hidup melalui kantung ajaran Islam. Kita tidak mahu alasan terlepas pandang diualang-ulang, tidak mampu mengeluarkan hikmah di sebalik mehnah agar terisi mawaddah dan rahmat cinta Ilahi.

Orang pertama kuat menyokong di belakang ialah Ustaz Muaz Shukri, Ustaz Najid Abdullah bertungkus menyusun, mengedit baris ayat-ayat selama tiga bulan. Berkat kesabaran kini saya boleh melihat hasilnya di depan mata.

Harap para pembaca bersabar buat beberapa ketika, saya cuba usahakan untuk lepasi halangan demi halangan, kini saya berada di halangan terakhir sebelum berjaya diedarkan. Tinggal lagi sekarang, saya kena terus berdoa dan berdoa agar semuanya selamat.

Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, Mac 27

Perjalanan Takdir Seorang Hamba

AIR hujan pada bumbung langit turun menjamah manja tanah gersang. Derapan kaki di dada bumi pula perlu dibesarkan mengimbangi kepantasan air hujan yang terjun mencuram, sebelum pakaian yang melekat di badan basah. Beburung tidak lagi kelihatan bermain di ruangan angkasa. Anak-anak berlari kecil memenuhi setiap ruang di ‘pinggiran’ tembok bangunan usang. Malam pula menyingsing di kala senja mengantikan siang.

Indah sungguh skrip yang terlakar pada hari tu. Hanya Allah Taala sahaja tahu dan mengerti cerita hati yang tersirat di sebalik babak ke babak silih berganti ini. Inilah sunnatullah, perjalanannya sudah ditulis.

Saya tidak pandai membaca tulisan alam, apatah lagi menggarap dalam tulisan manusia unik ini. Permainan ini akan tetap diteruskan sama ada manusia itu sedar atau tidak, berjalan seperti biasa, tidak menunggu pada yang terlambat.

Manusia berjalan tidak sesekali sama dengan manusia berlari, dan jauh pula untuk dibandingkan dengan manusia menderai kuda. Tiada persamaan di antara satu sama lain. Destinasi utama dijadikan idaman. Ada yang lalai dan masih lagi alpa dibuai ulikan dunia. Persiapannya hanya berbekalkan pertualan hidup sia-sia.

Benar siang tidak selama-lamanya, akan sampai jua masanya digantikan malam.

Usaha ke arah kebaikan bukan sahaja bergantung pada ingin dan tahu, malah pada pengalaman yang memandu. Pengetahuan isi luaran, bermain bersama persekitaran, membedah warna-warni isi alam, jatuh bangun bersama semangat ingin membaiki kelemahan. Inilah pengalaman yang berfungsi.

Pengalaman itu sendiri bukanlah guru. Pengalaman akan hanya menjadi guru apabila kita memproses pengalaman itu. Dapat dikenal-pasti hujung pangkalnya, kelebihannya, kelemahannya dan dirumuskan sebagai panduan. Adapun panduan itu tidak optimum kecuali apabila ia didokumentasikan.

Dokumentasi pengalaman yang saya harapkan ialah tepat dan jelas. Tepat sahaja, tapi kalau tidak jelas, abstrak, tidak praktikal akan menghilangkan nilai tepat itu tadi.

Apakah hanya apabila kita berada di dalam kubur, barulah kita akan tersentak (tersedar) dalam memahami apa sebenarnya hakikat hidup ini? Pada waktu itu baru kita faham dan akur tentang apa tujuan kita dihidupkan di dunia. Dan di situ jualah baru kita sedar apa yang paling bernilai dan apa yang tidak bernilai dalam hidup.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Sesungguhnya (dengan keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat masa datangnya – iaitu hari seseorang melihat apa yang diusahakannya, dan (pada hari itu) orang yang kafir akan berkata: “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)” an-Naba’ (78:40)

Keadaan ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah Taala dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.

Kesedaran seseorang hamba juga terletak pada proses menyampai. Terpulang sama ada ianya datang daripada diri sendiri, atau orang lain.

Kita perlu merasai terlebih dahulu, kita terlebih memakan buah-buah (ilmu, pengalaman, dan buah fikiran) tersebut, bimbang kita memberi kulit buah sahaja kepada orang-orang yang mendambakan.

Biar kita merasai kemanisan dalam beribadat, ketenangan dalam melihat makhluk ciptaan-Nya, kelazatan ketika menyebut nama-Nya, perendahan diri secara mutlak tatkala sujud di hadapan-Nya. Tenggelam dan asyik dalam melihat-Nya. Jangan pula kita tenggelam dalam ego dan kemasyhuran yang menyebabkan kita terdinding dari orang yang diberi akan ilmu hikmah.

Berilah dengan ikhlas, dan terimalah dengan penuh redha.

Hikmah pula lahir dari proses mengeluarkan kesimpulan baik dari mehnah. Tersurat di sebalik tersirat. Ujian dunia didepani dengan bijak, dan disalurkan pada kebun nurani lembut. Bertahan di atas kesulitan.

Berunding lebih senang memahami hikmah, dari terus melulu menunding.

Dilihat secara keperluan modal, nilai harta jasmani (kewangan) yang diperlukan untuk usahawan perundingan adalah antara yang terendah di dalam perniagaan. Ini adalah kerana, perundingan mengambil harta intelek (keilmuan) sebagai bahan untuk dimuamalahkan.

Kalau berniaga dengan Allah Taala sekalipun kita mengharapkan elemen keuntungan, saya kira tidak ketara kalau dikatakan perniagaan sesama manusia juga mengharapkan elemen asas yang sama. Bukan keuntungan itu yang menjadi ukuran kita memulakan perniagaan, tetapi dapat bersama melaksanakan pertukaran bahan itu yang lebih utama.

Kalau perniagaan lama melibatkan pertukaran garam dan gula, tiada salahnya perniagaan kini melibatkan idea dan poket kita. Dalam pengurusan pertukaran tersebut, yang kita rujuk sebagai berniaga, sudah pasti sudah pasti pengurusan segalanya memerlukan sumber, berbentuk tenaga dan apa yang ada di poket kita.

Berapa banyak kita hendak mengautnya untuk kita yang akan menjadi ukuran kepada keikhlasan kita dalam berniaga. Membantu agama suci ini.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu” Muhammad (47:7)

Berniagalah kita dengan Allah Taala, dengan memberi dan terus memberi manfaat kepada manusia lain. Ketika proses memberi inilah, memahmudahkan jalan kita mengenali Tuhan yang mencipta, dari tiada kepada ada. Keuntungan perniagaan di saat ini kita perolehi, modalnya pula tiada dipinta.

Perhatikan alam terbentang luas dalam erti kembara mencari TUHAN.

Dialah Allah Taala, Tuhan Maha Besar. Maha segala-galanya.

ameen

Teruskan Pembacaan>>>

Jumaat, Mac 26

Saya BELUM Berteduh lagi

HARI ini kaki tiada had untuk melangkah ke kanan dan ke kiri, melangkah selagi mampu dan mahu. Saya cuba memujuk diri agar sabar dan perlahan-lahan kerana bimbang mata ini tidak lagi mampu melihat di sebalik batu-batu kecil berterabur, risau ada lubang-lubang kecil tersembunyi yang bisa mengundang malapetaka besar. Kecil jangan disangkakan lemah, tiada siapa sangka seekor harimau boleh ‘lemah’ bila berhadapan dengan seekor kancil yang lemah, kecil mahupun besar bukan isu, tapi isu terbesar ialah sudut pandang kita.

Kalau sudah awal-awal lagi kita merasakan hal kecil ini terlalu remeh untuk diselesaikan, tidak mustahil akan menjadi bebenan lain, lebih besar kesan kita dapat daripadanya. Ingat, Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa lebih berbahaya daripada angin yang bertiup kencang, kerana di situ kita akan leka dari berpaut di dahan pokok disebabkan dibuai keasyikan lembut.

Mudah kita beranalogi, tapi ianya bukan sesuatu perlu dipandang enteng, ada benarnya juga.

Saya cuba untuk memandang serius beberapa perkara berlaku dua hari ini, hingga laman puteraazhari terpaksa dibiarkan ber ‘semak samun’ tanpa pengisian. Kekecewaan lahir di hati memang tidak boleh dibendung lagi, kecewa bukan masalah kita tapi kerana masalah orang lain berpunca daripada kita.

Rasa penat ditahan dan cuba bertahan, hari semalam memang penat tanpa rehat yang cukup semata-mata untuk menjayakan pelancaran buah tangan pertama saya, tapi sebaliknya pula berlaku di luar dugaan kami. Penghantaran buku BDKC terpaksa ditangguh buat beberapa hari yang belum ditentu, kerana ada masalah di pihak berwajib, kerana tiada kebenaran bertulis daripada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Kekecewaan kalian yang sanggup datang dari seluruh pelusuk Mesir ke Kaherah semata-mata untuk dapatkan buku BDKC, terkulai duka, dan terpaksa berputih mata, sudah pasti menjadi kekecewaan paling ngeri kepada saya selaku penulis buku berkenaan. Saya pohon maaf kepada teman-teman yang sanggup bermalam selama tiga hari di Kaherah, tapi niat asal tiada terlunas jua. Juga buat para pembaca di tanah air yang telah bank in dan mengirim wang pos, terpaksa menunggu beberapa minggu lagi sebelum berjaya mendakap buku BDKC.

Alhamdulillah… kalian tetap sabar, dan terus memberi sokongan moral kepada saya untuk terus ‘membela’ rasa minat kalian pada ilmu-ilmu Tuhan ini. Saya tidak mahu salahkan sesiapa yang melambatkan proses penghantaran, tapi bila kita pandang remeh hal ini sebelumnya, maka timbullah hal-hal lain yang memberi kesan yang besar. Banyak juga perancangan kita aturkan terpaksa ditangguh terlebih dahulu.

Demi kalian, saya akan terus berusaha agar proses kebenaran ini akan diselesaikan secepat mungkin sebelum masuk bulan baru nanti. Biar pun terpaksa batalkan undangan lain dua tiga hari ini, asalkan kepercayaan kalian pada ilmu saya tidak terhakis. Terima kasih kerana kalian sudi meniup semangat saya untuk terus berkongsi apa sahaja buat manfaat bersama.

UJIAN DUNIA

Manusia tidak lagi jujur dengan perjalanan hidup, kerana mereka inginkan sesuatu yang indah sahaja berlaku, namun bila berhadapan ujian dan masalah mulalah goyah keimanan, hilang percaya kepada Pencipta Segala Indah dan Pencipta Masalah. Kita tidak pernah bersedia juga untuk ‘rugi’ selepas sanggup bergadai apa sahaja untuk ‘untung’.

Dia tahu bila diuji, tiada lagi yang indah-indah, pasti jalan perit perlu dilangkahi. Walaupun mereka perlu lalu juga, tap bukan lagi pada mood dan skala yang sama. Menempuh jalan sukar kerana terpaksa tanpa ada usaha yang ikhlas jauh lebih buruk daripada mereka melalui jalan sukar kerana memaksa setelah ada usaha. Kalau berundur, kalian telah melawan fitrah insani, kalian telah membuka pekung di dada sendiri, kelemahan demi kelemahan tersiar.

Tahukah kalian, kenapa kita diuji?

Ada antara kita diuji dalam pelajaran, gagal mendapat keputusan cemerlang. Ada juga diuji gagal mendapat kerja, bergelar ‘penggangur tua’ selepas bertahun-tahun tetap sama sahaja. Ada juga diuji kesempitan hidup berpanjangan, berpas-pasan meredah panasnya siang dan dinginnya malam. Tidak kurang juga sampai hilang kewarasan selepas diisytiharkan muflis, gagal lagi. Istilah ‘GAGAL’ teramat takut dan sukar untuk diterima, apatah lagi untuk didengar buat pertama kali.

Ramai yang kurang menyedari. Seringkali alpa dengan duniawi. Dan bila masa dilanda kesukaran, barulah ramai yang ingat dan mencari Yang Maha Esa. Inilah lumrah kehidupan kini. Sedangkan dalam Islam sendiri ada menyatakan, manusia ditentukan kewajipan untuk melaksanakan tanggungjawab kepada Allah Taala, rasul dan masyarakat. Dan apa yang dilalui adalah sebahagian daripada ujian dalam menempuh kesenangan dan kesukaran dalam kehidupan.

Sebenarnya Allah Taala bukan menguji kita, tapi menguji iman melalui diri kita. Dia tidak selama-lamanya membiarkan kita dalam duka, tapi kalau awal-awal lagi kita sudah hilang kebergantungan kepada-Nya di atas setiap ujian tidak mustahil akan terus menerus di dalam kesusahan, atau diberi kesenangan tapi tidak melalui jalan diredhai oleh-Nya.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Apakah manusia mengira, mereka dibiarkan menyatakan kami beriman, sedangkan mereka itu belum diuji?” al-Ankabut (29:2-3)

Bila diuji membuatkn kita melihat kembali apa kesilapan dan kelalaian yang telah kita lakukan. Semua ujian yang diberi ada sebab, sepatutnya kita kena bersyukur kerana masih diberi ujian untuk dihadapi. Itu tandanya Allah Taala masih ingatkan kita dan sayangkan hamba-Nya yang lemah ni.

Ujian seakan-akan teguran daripada Allah Taala juga. Bila diuji, sepatutnya kita kena muhasabah kembali, apa yang telah kita lakukan. Tetapi, itu tidak semestinya. Kadangkala, seorang yang soleh juga diuji Allah Taala. Lihat sahaja Rasulullah s.a.w yang maksum, baginda juga diuji. Kenapa? Adakah kerana baginda berdosa? Bukan.. tetapi untuk menguji iman, sabar, kasih dan kepercayaan baginda kepada Allah Taala.

Apatah lagi kita sebagai manusia biasa, apakah kita rasa selamat dari lamunan indah-indah selamanya?

KESIMPULAN

Kita akan terus pesimis dalam hidup, andai tidak buang jauh-jauh dari dalam diri sikap ini, tidak mustahil kita terus dipenjara dogma khayalan, tidak berpijak di bumi. Tiada indah lagi melainkan angan-angan kosong, akan terus kosong dan kosong hingga kita juga kosong untuk berbuat amal kebajikan.

Ianya kembali kepada sikap kita.

Jagalah, peliharalah, bimbinglah sikap demi sebuah perjalanan hidup dijamin oleh aturan Islam.

Teruskan Pembacaan>>>

Rabu, Mac 24

Dia Cinta Terakhir

INILAH cerita hati saya setiap kali dilimpahi luahan ditinggalkan kekasih dirindui, bila saat cinta bukan lagi keutamaan, bila keayuan seri wajah tiada lagi nilai pada pandangan. Isinya seakan-akan sama, lontaran apa, bagaimana, dan kenapa sering dialpakan bila berdepan dengan konflik ini. Muhasabah bila ada masalah, bukan sebelum ‘mencari’ masalah.

Terumbang-ambing merupakan hiasan pada pasti bila muncul masalah, adalah ciri yang pasti bila ditimpa musibah dan bila dihempas bencana. Dada selalu bersarang semak-samun kedukaan. Di setiap sudut wajahnya terpancar kesedihan, air mata menemani di saat ini sebagaimana kesedihan yang terpalit di sebalik peristiwa di lembah Bani Sa-‘ad.

Berapa ramai lagi orang yang terpenjara dogma cinta buta ini, daripada hanya puluhan luahan malang yang telah saya terima. Jujurnya, saya tiada jemu untuk berkongsi ini dan itu, tapi sampai bila kalian ingin terus dipenjara khayalan bodoh ini.

Andai tiada ingin untuk berubah, kalian akan diubah oleh suasana. Penjara saya maksudkan ini tiada had masa, mungkin hanya untuk beberapa jam, beberapa hari, atau mungkin berbulan-bulan lama. Penjara dahsyat ini kering dengan pantulan cahaya cinta Ilahi, dan hanya bertemankan jeriji bebal untuk terus berubah.

Anda akan merasakan bahawa penjara ini sebahagian daripada duri-duri halus yang terbenam di laman hati nurani kalian tanpa diundang. Merasainya adalah penderitaan yang tiada kepalang.

Anda adalah diri anda, berubahlah untuk menemui cinta yang dijanjikan Ilahi, cinta pasti dan mesti.

Berapa ramai orang tua yang kehilangan permata hatinya pada saat masih muda belia. Masa yang seharusnya dihiasi oleh kesenangan, kebahagian namun terpalit dengan kedukaan, kesedihan kerana mengagungkan cinta manusia lebih daripada cinta Ilahi.

Ada benar juga bidalan arab, berada di dalam kesenangan tanpa muhasabah lebih sulit daripada manusia yang berada dalam kesusahan. Menahan himpitan hidup berbentuk material, hutang, dan keluarga.

Berubahlah untuk mengubah.

Nabi s.a.w bersabda:

Bermaksud: “Bahawasa Allah bila mana mengasihi sesuatu kaum akan ditimpakan ujian ke atas mereka. Barang sesiapa redha (akan ujian) maka baginya keredhaan Allah, dan barang siapa benci (putus asa) maka baginya jua kebencian Allah (daripada memandang)” (al-Hadith)

Cinta semata-mata tidak akan mampu mempertahankan keharmonian hubungan uda dan dara di alam pertunangan mahupun cinta palsu, dalam hubungan masih samar. Perkahwinan dimulakan oleh cinta, tanggungjawab akan menyempurnakan cinta. Cinta adalah perasaan, terisi tanggungjawab adalah antara tunjang paling ampuh.

Ingatlah, pergaulan bebas akan mematikan rasa tanggungjawab selepas kahwin. Melakukan hal ini, bererti kalian saling mencari murka Allah walaupun niat masih membasa-basi inginkan keredhaan Ilahi.

Pilihan di tangan kalian. Mencari murka manusia hanya kerana meninggalkan cinta ‘dosa’ itu, atau terus menerus berada dalam kemurkaan Ilahi kerana hanya mencari kasih manusia.

Akan tiba masanya, sesuatu yang kita lihat indah dahulu tidak indah lagi kini, andai hanya bergantung pada cinta semata-mata, hanya tahu memuaskan nafsu di sebalik kasih ‘dosa’ yang dihulurkan, cinta suci kononya yang dicari akan terus kotor kerana tangan busuk kita.

Berubahlah untuk mengubah.

KEMUDI CINTA

Cinta adalah api.

Cinta yang sejati ialah cinta yang tidak bertambah kerana kebaikan dan tidak berkurang kerana kesalahan.

Namun kita tidak akan pernah tahu sama ada api itu akan menghangatkan atau menghanguskan hati. Memberikan seluruh cinta kalian kepada seseorang bukanlah jaminan dia akan membalas cinta kalian, memberi sepenuh jiwa dan raga.

Bahagiakan hati kalian hanya cinta kepada-Nya.

Mengungkap cinta dan janji setia itu mudah, namun mengotakan cinta dan janji setia itu susah. Buat lelaki, cinta dan janji setia yang hancur buat insan lain terasa parah dan perit menanggung.

Masa depan yang cerah selalu bergantung pada masa lalu yang dilupakan. Kalian tidak dapat hidup terus dengan baik andai tidak melupakan kegagalan dan sakit hati di masa lalu.

Mencintai juga bukanlah bagaimana kamu melupakan dia bila dia berbuat kesalahan, melainkan bagaimana kamu memaafkan, dan terus meninggalkan dia jika tidak mampu untuk mengakhirinya dengan ikatan. Mendengar adalah proses belajar paling berkesan ketika ini, usahlah mengkritik kerana hanya ingin menghalalkan perbuatan kalian.

Percayalah pada pilihan (takdir) Allah Taala, pilihan paling bijak pada surat cinta seperti terkandung isi tersurat mahupun tersirat di lembaran Kalam suci Ilahi. Insha-Allah terbaik buat hamba-Nya yang berakal.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ianya amat baik bagimu. Boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ianya amat buruk bagimu...” al-Baqarah (2:216)

Hidup adalah seni, seni dapat dipelajari dan ditekuni. Belajarlah dari alam terbentang luas di hadapan kalian. Musibah datang adalah untuk dimuhasabah. Ketahuilah itulah tanda kasih dan cinta Ilahi kepada kita, sabar adalah aset utama.

Ramai yang tidak tahu atau mampu melihat keindahan hidup ini. Ini kerana buta mata hati, kerana terlalu menikmati manis kebendaan, perasaan yang lansung tidak mengeyangkan rohani kalian selama-lamanya. Tujuan hidup sebenar dipersiakan, dan dibiarkan begitu sahaja tanpa pengisian.

Berubahlah demi untuk mengubah.

DIA CINTA TERAKHIR

Cinta memang hebat.

Andai cinta kalah oleh mainan perasaan, itu menunjukkan cinta kita belum benar-benar cinta. Kita bukan cintakannya, tetapi hanya cintakan kecantikan, keayuan wajah yang hanya bertahan hingga ke suatu masa sahaja. Allah bukan sahaja menguji cinta kalian kepadanya, tetapi menguji cinta kalian kepada-NYA.

Memberi cinta untuk dicintai. Penuhi cinta Allah untuk dicintai-Nya. Memberi bukan sahaja pada harta, masa atau tenaga, namun pada ilmu yang bisa mententeramkan jiwa, menjadi simpanan yang tiada pernah kurang bila diguna.

Kejujuran itu kekasih Allah.

Di mana kelembutan itu berada, ianya akan menyelubungi tempat itu. Bila memenuhi taman bunga, bunga akan mekar harum mewangi, bila membasahi aliran sungai, sungai akan mengalir manja. Inilah anugerah Ilahi, dikurniakan pada kelembutan sesuatu yang tidak diberikan kepada kekerasan.

Jangan mendaki puncak hanya untuk meninggikan tempat jatuh. Jangan bermain api, kalau sudah tahu sifatnya membakar. Usahlah melakar cinta suci kerana hanya ingin mengusutkan cita-cita. Tinggalkan cinta palsu ini, kalau sudah tahu mudharatnya lebih banyak dari manfaat.

Buatlah pilihan tepat. Mujahadah adalah keutamaan.

Air mata yang meratapi kesedihan ditinggalkan kekasih, belum memadai untuk memadam amarah api neraka membakar. Air mata adalah modal kalian, modal bagi orang-orang mukmin sebagai tukaran dengan syafaat Tuhan. Belailah ia, usahlah dinodai.

Kalian mesti mulakan langkah mujahadah ini sekali lagi, usahlah berhenti untuk terus mengharap, ada hikmah tersirat di sebalik tersurat itu.

Moga cinta-Nya teraih jua.

ameen

Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, Mac 23

Hidup Bersama Ilahi

BENING hati melihat kebesaran Allah Taala, melihat ciptaan kejadian makhluk yang teramat unik. Alam terbentang luas tanpa hadir rasa pertelingkahan pada sebuah sunnatullah, semua akur pada takdir dengan memberi ikrar taat setia. Setiap saat dan detik memperagakan aksi tersendiri, seolah-olah telah lama menekuni sebuah skrip dan dialog drama, tiada rasa kaku dan kekok padanya tika beraksi di hadapan layar dunia, cukup indah.

Alangkah indahnya jika setiap saat dalam hidup kita dapat dilalui dengan perasaan bahawa ini, sering diperhatikan. Melindungi diri daripada melakukan kesilapan yang kelak akan dipertanggungjawabkan di hadapan Tuhan. Utaian manik luhurnya akhlak menghiasi diri seperti bintang-bintang menghiasi cakerawala. Namun, mesti lebih indah, kalau setiap masa dan ketika kita diperhatikan dan dapat memerhatikan Allah Taala.

Terlalu banyak cabaran dalam hidup ini. Kadang-kadang tanpa kita sedari, kita lupa dan alpa, bahawa Allah Taala juga yang sebenarnya memberikan halangan itu, supaya kita check balik, dan perbaiki kelemahan diri. Kita bersetuju, setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Menekuni hikmah, serta bersedia belajar sesuatu selepas itu, kewajaran yang tiada taranya. Kita bersedia untuk berubah dan mengubah keadaan. Tidak akan berlaku buat kali seterusnya.

BABAK PERTAMA

Anda sedang berjual di sebuah gerai di Pasar Tani. Ramai orang melintas gerai anda, menoleh dan terus berlalu tanpa membelek, apatah lagi membeli. Tiba-tiba datang seorang ke gerai anda dan dia berkata;

“saya tak suka barang awak sebab cara awak susun memeningkan saya”

Anda mungkin terkelat-kelat muka, tetapi anda faham komen tersebut, dan boleh mengambilnya sebagai pengajaran dan cabaran untuk meningkat maju.

Tetapi bagaimana kalau ketika anda sibuk melayan pelanggan. Tiba-tiba datang seseorang ke gerai anda dan terus berkata;

“saya tak suka barang-barang awak”

Kemudian dia terus pergi meninggalkan anda terkulat-kulat keseorangan. Apakah yang akan terjadi kepada diri anda ketika itu? Rasa ingin berubah kerana orang tidak suka mungkin tidak kesampaian, kerana diri tidak pernah tahu, dan mengerti di manakah kelemahan yang dimaksudkan tadi.

Walau dalam keadaan apa sekalipun, jangan biasakan diri untuk mematikan idea orang lain tanpa memberi alternatif kepada idea tersebut. Beradabkan lebih baik, dan tidak punya masalah.

BABAK KEDUA

Bagaimana dengan seorang insan yang bekerja sepanjang hari, hingga hampir tiada kerja yang perlu dilakukan. Oleh kerana tidak suka membuang masa, beliau lebih gemar habiskan masa dengan melayari internet. Hanya menunggu telefon berdering dan satu, dua pekerjaan yang dilakukan setiap hari. Sekiranya ada tugasan pasti akan dibereskan sebaik mungkin.

Setiap kali ada kursus dan sebagainya, beliau tidak pernah claim perjalanan, overtime dan sebagainya. Ini adalah untuk recharge semula dengan apa yang dipakainya semasa di pejabat. Beliau cuba untuk tidak menggunakan phone office, sebaliknya .Namun hati manusia sering berbolak-balik, sesekali terbabas juga gunakan telefon office untuk menelefon ke pejabat kerajaan atas tujuan peribadi.

Itulah, dalam beringat pun kadang-kadang memang terbabas atau membabaskan diri. Ada juga terfikir untuk kerja sendiri supaya hasil yang diperolehi adalah bersih dan lumayan. Terbabas dalam konteks menjaga kepentingan bersama, tidak menjadi suatu masalah, tapi andai untuk menjaga kepentingan peribadi, kena-kena beringat sedikit. Kalau baik, tidak mengapa, namun kita sering mengundang hal sebaliknya.

Namun ingat, sekali anda terbabas leka melakukan maksiat, CCTV Allah Taala tidak pernah sirna atau leka seperti anda dari terus memerhati gelagat buruk anda. Matlamat menghalalkan cara, bukan itu caranya. Awas!

Indahnya Hidup Kita Bersama Ilahi

Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, Mac 20

Bi-ah Berperanan Besar

RUH manusia dan persekitaran ada kaitan antara satu sama lain, dalam erti kata proses merubah keadaan seseorang, mempengaruhi keperibadian. Bi-ah di sekitar memainkan peranan cukup dominan dalam putaran mood dan emosi manusia dalam satu-satu masa, seterusnya boleh mengesani tindakan manusia, perubahan, mahupun respon pada sesuatu dilihat atau dirasai melalui deria pada ketika itu.

Bi-ah terbesar adalah mungkin faktor bentuk muka bumi (geografi), kalau dilihat di sebelah Timur Selatan, dan Tenggara, suasana manusia lebih lembut berbanding sebelah Timur Tengah, antara lain adalah sosial-ekonomi lebih baik dan tersusun sama ada secara langsung atau tidak, sudah pasti bermula dari kandungan ibu lagi. Sinonim sebuah masyarakat dibentuk bila wujud kelompok keluarga terdiri daripada ibu, bapa, dan anak-anak, peranan sama terjadi pada jiran-jiran, dan komuniti bangsa keseluruhan.

Bi-ah baik akan membentuk manusia serupa padanya, namun bi-ah buruk sangat digeruni kerana tiada siapa selamat untuk jadi lebih baik. Bermula daripada teman-teman digauli serta masyarakat menganggotai.

Kita akan terlebih risau bila orang kita kasihi berubah secara mendadak, tiada siapa boleh beri jaminan akan selamat walaupun mempunyai keperibadian mulia, bila bercampur dengan cat, maka warna cat tersebut akan melekat, bila terjun ke lumpur, maka tempias dan sifat ada pada lumpur akan terkena sama baik bau mahupun warna, kecuali mereka kuat mujahadah, pandai jaga febrik pakaian daripada luntur dan terkesan sama.

Saya tekankan di sini dari sudut dalaman, sakhsiah.

“Ustaz... risau akak lihat anak-anak dah tak macam dulu. Sekarang solat pun kena suruh”

“Aduh... penat sungguh ikut rentak bangsa arab ni, mereka lebih aggresif. Tak tahu beradab langsung”

Pernah saya beritahu, anak-anak lebih terdedah pada suasana pada apa dilalui oleh mereka di masa dan tempat itu juga. Mereka tidak pernah pincang meniru sikap dari mendengar cakap. Contoh paling mudah, kalau di hari-hari dilalui mereka sering mengalami revolusi kerana sikap teman-teman mereka sering melakukan perkara sama, seperti berbohong kerana mahu rasa selamat dari menjadi mangsa keadaan, tidak mustahil mereka juga ingin mencuba hal yang sama.

Sebahagian besar anak-anak terpanggil untuk berbohong setelah melihat orang lain melakukannya. Ramai teman-teman berbohong, memberi pelbagai alasan bila kerja sekolah tidak siap walaupun berpunca dari sikap kemalasan. Dari situ keadaan itu telah mendidik mereka untuk menerima satu proses pengajian baru dalam kotak minda mereka, iaitu berbohong untuk selamat.

Perasaan takut adalah pendorong biasa untuk seseorang memberanikan diri berbohong. Takut dimarahi ibu atau takut kebebasan yang diberikan akan dirampas. Ketakutan yang rasional atau tidak juga boleh memberi kesan pembohongan serupa. Sebab apa yang diimpikan oleh anak-anak hanyalah perlindungan sementara daripada hukuman, jika tiada tindakan susulah pasti akan menjadi kebiasaan diterima.

Dilema yang dihadapi oleh ibu bapa adalah mampukah mereka melindungi anak daripada berbohong?

Faktor keluarga. Selepas kelahiran bayi, keluarga yang terdiri daripada ibu bapa dan yang lain adalah faktor lebih penting daripada yang disebutkan. Kajian psikologi kanak-kanak memperlihatkan betapa besarnya kesan keluarga. Sifat suka meniru pada kanak-kanak adalah jalan awal yang terpenting dalam proses pembelajaran pada peringkat kanak-kanak.

Jika jalan ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh keluarga dalam mendidik dan membentuk akhlak kanak-kanak, sudah pasti akan memberikan hasil yang amat berkesan, malah pembentukan pada peringkat ini akan terukir pada jiwa yang kesannya akan dirasai ketika dewasa kelak.

Dari keluarga, kanak-kanak akan mempelajari hubungan masyarakat paling awal, seperti menghormati dan mematuhi kepada yang lebih tua, menyayangi lebih kecil, menghargai pendapat orang lain dan membantu yang lemah. Bermula dari keluarga juga kanak-kanak mempelajari adat resam yang baik dan asas agamanya, bahkan mempelajari perkara yang betul lagi bermanfaat dan meninggalkan yang salah.

Bi-ah adalah teknikal yang boleh diubah, ditarbiah. Maka di sana terpulang kepada pihak penjaga, berwajib mengubah suasana atau mengikat kemas mutiara-mutiara dijaga, dipelihara daripada dikotori oleh tangan-tangan berbau najis, walaupun tidak nampak tapi baunya juga tetap melekat. Bekas hitam sudah tentu membekas hitam, tinggal lagi diri mempunyai anti-hitam sebagai pencuci dari terus dipalit kehitaman.

Nabi s.a.w pernah bersabda;

Bermaksud: “Setiap anak itu dilahirkan atas fitrah, maka kedua-dua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi” (Hadith riwayat Bukhari)

Teruskan Pembacaan>>>

Taqwa Menetas Jiwa Hamba

SAYA menyegerakan proses memunggah lembaran berita demi berita di halaman Harian Metro, Utusan Malaysia, Berita Harian, dan Harakahdaily. Pagi ini ada latihan bola sepak bersama teman-teman team Barsa (singkatan Babus-She’riyah). Sudah jadi rutin harian saya, ujaran maklumat di dada akhbar disimpan sebagai data pada gugusan pengetahuan. Mengumit mulut basah menghabiskan pelbagai arkib, pelbagai isu dan judul.

Kepala sarat dengan pengetahuan, pengetahuan apa sekali pun, akan menggugah akal dari mengakses maklumat yang tidak sihat, tiada pencerahan, tiada pencambahan ilmu. Pengetahuan belum tentu merupakan sejejer ilmu yang bermanfaat, tapi ilmu adalah induk pengetahuan. Kita boleh sahaja baca majalah hiburan, mengetahui dunia glamour artis, ada pengetahuan tapi tidak berupa ilmu.

Ilmu ialah sesuatu yang boleh ditumpangi keberkesanannya dalam hidup. Bisa diguna, bisa diaplikasikan. Tapi ingat, aplikasi yang saya harapkan ialah urna pengetahuan yang membimbing, bukan menumbang. Boleh ditumpang faedahnya. Cabang ilmu pula banyak. Inilah modal kita bila bertemu Tuhan kelak.

Ilmu juga seni.

Perlu ada bakat, minat, latihan, dan kemahiran mengendalikannya.

Dari pengamatan mata minda saya, negara kita sudah menjangkau kemajuan dalam pelbagai sektor, sudah setanding negara-negara maju dunia yang lain, semuanya membangun. Terbaru pengumuman Perdana Menteri hak pembangunan Kampung Baru dengan bajet sebanyak RM2 bilion.

Persoalan saya, apakah pembangunan material yang sering terhidang di depan mata setanding juga proses pembagunan spiritual masyarakatnya, modal insan. Kalau dibuat perbandingan sihat berita-berita di kesemua akhbar, risau pula dibuatnya, dada rasa sesak menghela dan menarik nafas. Kenapa? Pembangunan aspek sosial teramat rendah, terus merundum, silibus di sekolah hanya catatan pada helaian minit mesyuarat sahaja. Tiada plan tindakan susulan. Solusi dibuat bagi mengelaburi mata pihak penentang, agar amanah terpikul sebagai kerajaan sudah dilaksanakan, seperti membuang duit ke tanah.

Gumpalan emosi berbaur hampa, saya sedih teramat sangat meratapi gejala sosial makin meruncing di tanah air.

DUNIA DIKEJAR, AKHIRAT DISISIH

Bila manusia hidup hanya berkiblatkan dunia semata-mata, nescaya tiada keinginan menghidu saham Akhirat. Tidak puas melahap nikmat yang tiada kekal lama, sibuk dengan urusan pejabat, sibuk menguruskan perniagaan, saham, berfoya-foya di kelab malam, semua ini tidak menjamin kebahagian sebenar yang dicari. Memenuhi tuntutan dunia semata-mata akan menghilangkan sifat qana-ah (sederhana) dalam diri, rasa tidak puas dan cukup dengan apa yang ada.

Kesibukan yang melampau.

Urusan akhirat adalah sampingan bila ada kematian, maka diadakan majlis tahlil, baca Quran. Urusan akhirat bila tibanya sambutan hari raya, majlis sambutan maulidul-rasul peringkat jabatan dan sebagainya. Tiada majlis dan sambutan ini, maka terputuslah tali hubungan dengan Sang Pencipta, tiada jugalah connection ila-Allah.

Impian duniawi menjadi pengisian di setiap petak diari. Diari awal Muharram tercatat destinasi pelancongan lima bintang, sibuk mengemas pakaian sebelum meninggalkan rumah, diri dah terlupa kerana telah meninggalkan roh Ma-‘al Hijrah. Diari bulan Ramadhan dipenuhi dengan hanya undangan berbuka puasa sahaja, puasa atau tidak lain kisah, mana ada orang lain tahu. Diari pada tanggal 12 Zulhijjah hanya terisi dengan kursus-kursus tertentu, walaupun seruan mengerjakan haji sudah sampai masanya.

“Biarlah dulu... masih kuat lagi, tahun depan boleh ke sana”

Tapi malangnya bila ke Mekah atas tiket mengejar title ‘Haji’ semata-mata selepas puas dengan segala gelaran di dunia, niat tiba-tiba berubah serta-merta tatkala kaki berjaya melepasi pemeriksaan imigresen, kotak fikiran sudah terbayang ole-ole apa yang perlu dibawa pulang, niat melencong untuk melancong.

Hati makin malap, seiring malapnya pelita hidayah.

Allah Taala berfriman;

Bermaksud: “Maka datanglah sesudah mereka generasi (jahat) yang mewarisi Taurat, mereka yang mengambil harta benda dunia yang rendah ini, seraya berkata: “Kami akan diberi ampun...” al-A’raf (7:169)

Mereka kira kesenangan dikecapi akan menjamin kebahagian di Akhirat. Berkali-kali juga saya katakan kesenangan adalah anugerah tidak terhingga daripada Allah Taala, dan tidak dikurniakan kepada orang lain.

Maka, syukurlah!

Tapi, di sebalik kesenangan, kemewahan, kekayaan tersalut bersamanya ujian, baik berupa nikmat sementara yang akan ditarik semula, atau akan terus diberi kekayaan hingga lupa untuk ber-tahmid, tasbih, dan takbir syukur, hingga ber-‘tuhan’-kan harta semata-mata. Kehidupan selamat ialah, jauh dari faqer dan terlalu kaya, berpada-pada di samping berterusan mentaati suruhan Allah Taala.

Bila bersedekah pula kerana mahu nama, kena ada liputan meluas daripada pihak media. Dengan sejumlah chek beratus-ratus ribu dipamerkan pada lampiran kecil akhbar, atau terus di muka utama bila berhasil menyumbang dana sebanyak jutaan ringgit. Riya’, mahupun ikhlas terpulang pada diri sendiri, tapi ramai mata-mata yang melihatnya sebagai bencana dan ancaman kepada si pemberi.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut dan menyakitinya (perasaan si penerima), seperti (rosak pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riya’)...” al-Baqarah (2:264)

Tidak alpa dengan kekayaan sementara, mesti ada pengisian kekayaan minda dan dada (budi). Tidak terlalu lalai memikirkan untuk keluar dari kepompong kemiskinan, bekerja siang malam hingga lupa tanggungjawab kepada Allah Taala, dan tidak terasa walaupun sekelumit sesal di atas penghidupan ini. Berdoa, tapi tetap sama miskin. Jangan salah sangka, teruskan usaha, jangan putus asa.

Tiada lagi air mata sesalan. Semuanya dah cukup, mahu apa lagi!

Rasulullah s.a.w ada bersabda dalam Hadith soheh, bermaksud: “Ada dua mata yang tidak akan disentuh api neraka. Iaitu mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang terus menerus berjalan (jihad) di jalan Allah” (Hadith Riwayat Tirmidzi)

Berapa keratkah dua ‘mata’ yang dimaksudkan ini wujud di dunia sekarang?

JENDELA KEBAHAGIAN HAKIKI

Buatlah perbandingan, antara manusia-manusia di hadapan kalian.

Insan kerdil yang berasa tidak pernah cukup dengan apa yang ada, akan terus menghambakan dirinya kepada Allah Taala dengan sebenar-benarnya. kebahagian dan kesedihan semuanya berserah kepada Allah sahaja. Sesungguhnya manusia ini penuh dengan sifat-sifat kekurangan, cukup dengan apa yang ada.

Insan megah dengan kebahagian, tidak pernah berasa cukup jika hatinya kosong dan jauh dari Allah Taala. Kepalanya sudah di-setting untuk menerima input sahaja, output dimatikan.

Kita sekarang hanya tinggal kemalasan dan alasan untuk berubah, jauh sekali untuk mengubah. Walaupun masih ada segelintir insan yang benar-benar mengamalkan ajaran-Nya dan menjadi hamba-Nya. Namun masih lagi ramai yang tercari-cari, tergapai-gapai, terkapai-kapai di awangan gelap, di manakah destinasi hendak didarati, mengenali Islam dalam erti maksud yang sebenar bila menjadi hamba.

Susahkah berubah?

Payahkah?

Tinggal lagi mahu atau tidak, sedangkan tahu sudah kejap digalas pada sayap sebelum terjumpa daratan iman, dan takwa. Kita mampu untuk berusaha dengan baik, dan lebih baik lagi dalam menjadi hamba.

Sang hamba perlu pada dua jiwa. Jiwa Sufi, dan jiwa Jundiy (melawan). Jiwa Sufi, supaya dapat sentiasa menikmati, mengoreksi diri agar kembali pada Ilahi dengan utaian zikir dan tasbih. Jiwa Jundiy (melawan) agar mampu berdiri, berlari dan beraksi agar menyentuh hati-hati agar tidak mati dan bisa mengawal duniawi. Letakkan dunia di bawah tapak kaki (kekuasaan) kita bersama roh Islami.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, bermaksud: “Sesungguhnya Allah, bilamana Dia mengasihi sesuatu kaum, maka akan diuji (menilai tahap iman mereka)” (Hadith Riwayat Ibn Majah)

Untuk membuktikan bahawa dia benar-benar berada di atas kebenaran yang hakiki. Tidaklah ujian itu, sekadar menguji keimanan.

For What?

Supaya kita tahu dalam jerih ada kemanisan, dalam perih ada keasyikan. Keluarkan hikmahnya dari kotak ujian, hamburkan kepada diri sendiri sebagai guide-line, panduan, serta pedoman hidup.

So, apalagi. Jom, berubah dan mengubah!

Jelas jiwa hamba hanya menetas pada taqwa lahir dan batin kepada Ilahi.

Aku memilih Islam dan dilahirkan fitrah sebagai Muslim. Islam agamaku, sebagai cara hidupku. Ya Allah, serlahkan niatku ini. Kau tunjukkanlah aku Nur Hidayah-Mu, supaya aku terus menerus berada di jalan-Mu.

ameen
Teruskan Pembacaan>>>

Jumaat, Mac 19

Dia-lah Segala-galanya

BILA berjauhan daripada orang tua ni banyak perkara telah kita tinggalkan, hikmah di balik jauh daripada mereka banyak pula perkara baru kita lakukan sendiri, mungkin inilah digelar hidup berdikari, hikmah anak rantau. Kita diuji setiap masa. Uji rasa lapar lantas tangan bergerak memotong bawang, masak nasi, goreng ayam, hangit kehitaman tidak dipeduli lagi asalkan perut dialas. Diuji kain kotor, kaki melangkah ke kamar mandi, merendam pakaian, basuh, dan sidai sendiri. Diuji kering duit poket pada minggu terakhir, lantas mengajar diri berjimat cermat, menjana pendapatan lebih, belanja apa perlu.

Dah dua tahun setengah saya hidup di bumi asing, asing melihat bangsa arab, asing menapak kaki di atas bentuk muka bumi panas melampau, sejuk melampau, asing menutur bahasa pasar bekas jajahan Firaun, lebih asing berhadapan kerenah kasar warga tempatan. Kalau bukan kerana khazanah ilmu paling masyhur di sini, tiada apa boleh dibanggakan, kalau nak harapkan ramai pelawat asing datang kerana batu-batu ajaib tersusun membentuk piramid sampai satu masa akan jemu juga.

Hari ini, saya rasa bertuah dapat berjumpa seorang sahabat dari Yaman, Habib Abdul Fattah. Pertemuan tidak dirancang telah berputikkan kasih di hati, sebaik usai solat Zohor di Masjid Saidina Hussain. Beliau telah dulu merasai perit sebagai anak rantau, sedari kecil hingga beliau mampu mengenal baris-baris tinta ilmu. Dia mengajar saya erti hidup hingga saya tidak terdaya bangkit bangun mendengar kalam nasihat dari bibir beliau.

Ada masa saya gembira, adakala saya juga berduka. Saya tidak selama-lamanya kebal dari perasaan manusiawi, kerana fitra saya juga dijadikan untuk mewarnai episod perjalanan hidup saya sendiri. Saya juga seperti kalian tahu bergembira, tahu bila berduka.

Kesedihan dialami, saya cuba sembunyikan agar tidak mengundahkan teman-teman lain, saya perlu kuat, sedangkan kegembiraan saya pasti berkongsi bersama mereka, agar mereka jua boleh menumpang fiksi yang sama.


Biasanya bila saya ada masalah, luaran mahupun dalaman, saya akan terus mendapatkan khidmat nasihat guru-guru saya, para murabbi di sini. Mereka tidak sombong untuk turut berada pada situasi saya ketika itu, bagi mereka melalui pengalaman orang lain akan turut mengheret mereka bergelumang, memikirkan masalah sama, seolah-olah mereka berada di situasi tersebut. Kalau dulu ibu dan abah adalah pendamping setia, lembut ibu mengusai rambut, damai abah memeluk kasih meredakan rasa pilu di kamar hati.

Saya percaya kalian juga mempunyai sedutan warna-warni ini. Betulkan?

Tahukah kalian, sebenarnya ilham dikurniakan kepada mereka, mampu memberi nasihat, memberi semangat, di kala kasih sayang kita perlukan adalah datang melalui Allah Taala. Di sana, saya belajar sesuatu dari kalam ulama’, kalaulah kita sedar adalah lebih tenang, lebih syahdu bila kita terus mengadu kesedihan kita ini kepada Tuhan, al-Khaliq. Inilah jawapan pada persoalan saya selama mana berada jauh dari belaian dan pelukan erat ibu dan abah. Melalui Allah, mereka tetap sahaja membelai dan memeluk manja saya di kala kasih didamba.

Alhamdulillah... terima kasih Tuhan.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Demikianlan(kebesaran ALLAH), Dia-lah yang hak, dan apa sahaja yang mereka seru selain Dia, maka itulah kebatilan, dan sesungguhnya Allah itu Maha Tinggi lagi Maha Besar” al-Hajj (22:62)

Sememangnya pergantungan kepada Allah Taala itu adalah satu keperluan kepada jiwa-jiwa hamba yang rabbani. Keyakinan dan kepergantungan kepada-Nya adalah kemanisan dan kenikmatan yang memuncak dalam keimanan, ‘izzah seorang mukmin, muslim akan terselah. Allah Taala itu Maha Pengampun, Dia-lah tempat meluah rasa suka dan duka.

Kebergantungan kepada Allah adalah mutlak.

Rasa pergantungan kepada manusia tidak akan akan sempurna, walaupun kita dah rasa tenang, tidak mustahil akan datang semula. Namun, adanya mereka adalah salah satu cara kita meletakkan sedikit rasa beban yang sedang ditanggung, walaupun kita tahu ianya tidak akan selesaikan masalah, cukuplah sekadar melegakan rasa gundah, dan resah. Seperti juga sifat ubat... ubat hanya mampu menahan rasa sakit, bukan menyembuh penyakit. Tidak mustahil penyakit sama akan berulang kembali.

Silapnya, kadang-kadang bila manusia mengadu kepada Allah Taala akan sesuatu masalah, dia terlalu mengharap bantuan Allah Taala datang segera, di saat itu juga. Kita lupa untuk sabar, tabah seperti 'sabar'-nya Allah Taala mendengar ucapan tahmid di kala kita senang. Kita lupa Allah sedang menguji kita. Bila masalah kecil datang menimpa, kita selalu fikir pasal masalah itu, tertumpu padanya sahaja, sedangkan dengan kita mengerjakan ibadat lahiriyyah mahupun batiniyyah akan menghilangkan masalah tersebut, inilah hubungan seorang hamba yang ikhlas dengan Tuhannya.

Allah Taala adalah segala-galanya. Di saat Dia menurunkan bala, adalah untuk menguji tahap kesabaran, kerana kesempurnaan iman hanya bisa digapai selepas diuji. Akhirnya selepas diuji, kita sabar, Allah juga akan menarik semula ujian tersebut. Dia pemilik suka, Dia juga pemilik duka, Dia pemilik gembira, Dia juga pemilik gundah, maka di hujung adalah doa kepada-Nya tidak putus-putus, agar rahmat Ilahi memenuhi perasaan kita ketika itu.

Dia-lah segala-galanya.

Ibu... terima kasih kerana sudi belai rambut abang dulu. Abang tahu, abang bukan anak yang baik tapi abang cuba juga untuk jadi terbaik buat ibu. Abah.. terima kasih juga memeluk manja di kala abang perlukan kasih. Abah pula tidak ceritakan, saat abah sanggup ikat perut, makan roti keping sahaja di tempat kerja beratus-ratus kilometer dari rumah, semata-mata mahu hantar duit banyak-banyak buat kami di halaman desa, abang tahu daripada teman baik abah. perihal ini. Abah adalah hero abang, kami. Selepas daripada itu, berkat sabar abah dan ibu, kita sedikit beruntung seperti apa kita kecapi sekarang.

"Ya Allah.. kuatkanlah aku menghadapi ujian-Mu di sini, agar aku dapat terus menapak kaki di muka bumi ini, lantas aku jua bercita-cita ingin membelai lembut dan mendakap manja ibu dan abah di hari kepulangan ku nanti"

ameen

Teruskan Pembacaan>>>

Khamis, Mac 18

Baiki Kelemahan, Berikan Kebaikan

MENGEMUDI sampan jihad sebagai da’ie mendayun melawan arus duniawi, manusiawi sudah cukup meresahkan. Jihad bukan sahaja tertumpu kepada kelompok manusia bermasalah, tidak kurang mereka membuat masalah, sengaja mencetuskan provokasi dalam agama, mencari publisiti, latarbelakang sahaja pengajian agama, namun jauh dari sudut pandangan bagaikan keris menikam tuan.

Budaya hedonisme, couplisme, sexualisme tiada siapa pandang.

Masing-masing menuding jari. Ibu bapa salahkan kerajaan, salahkan jiran, salahkan muda-mudi, salahkan persekitaran, suasana masalah tidak diselesaikan secara hikmah tapi menggunakan pandangan masalah juga. Maka kesudahan tiada siapa menang, tiada pula siapa mengaku kalah, egois diangkat terlalu tinggi hingga hilang ‘deria’ tashammuh (lapang dada), rendah diri.

Habis tu, apa sebenar peranan ibu bapa?

Memang tidak pernah terbukti ramai di kalangan kita menekuni nilai murni disebabkan faktor luaran, sebaliknya kebanyakan individu yang menjunjung akhlak mulia adalah disebabkan pengaruh dan didikan dalam keluarga yang diteladani sejak mula mengenal dunia. Selain mewarisi cara hidup yang baik, tautan antara ilmu dan iman juga difahami sejelas-jelasnya sehingga mereka ini tidak mengabaikan ilmu serta menjadikannya pemangkin untuk mengenali Tuhan dan menghargai hidup sesudah mati.

Peluang berada di bumi anbiya’ ini digunakan sebaik mungkin. Kelebihan menimba ilmu di sini memberi ruang berpadu kepada setiap individu bagi memaksimakan cara mengenal ilmu, cabang ilmu melalui alam, kerana proses diterapkan memang kena dengan keadaan geografi Mesir, dan kerenah ‘birokrasi’ bangsa pelbagai.

Kita sepatutnya bersyukur kerana lahir sebagai Islam kerana sesungguhnya tiada apa yang lebih indah dan bahagia melainkan menjadi seorang muslim. Namun, diharapkan agar kita semua menjadi muslim yang sentiasa berusaha menjalankan tanggungjawab dengan baik untuk masuk Syurga, bukan sahaja bersendirian malah mengajak yang lain bersama masuk Syurga.

Kudrat kita amat diperlukan dalam menyebarkan ajaran dan cara hidup islami, pada kita inilah aset perlu digunakan sebaik-baiknya untuk merentasi jalan dakwah dan tarbiyyah. Tahu cubalah memberi-tahu, tidak tahu pula jangan segan untuk tahu.

Serulah manusia mengingati Allah;

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang)ke langit; (Pohon) itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat” Ibrahim (14:24-25)

Benar... kadang-kadang untuk menyeru kepada kebaikan agak sukar kerana sesetengah orang akan lebih nampak kepada keburukan. Namun begitu, kita boleh terus berusaha dan istiqamah dalam berdakwah. Berdakwah tidak semestinya melalui lisan, tetapi boleh juga melalui perbuatan. kadang-kadang apa yang kita buat lebih memberi kesan berbanding dengan apa yang kita cakapkan.

Kalau benar-benar hendak lihat contoh hikmah tulen, kita kena banyak kaji sejarah, belek semula helaian kertas tawarikh islam (sejarah Islam), mahupun sirah an-nubuwwah (kisah perjalanan para Nabi), check balik, tengok bagaimana Nabi s.a.w menghadapi pelbagai jenis manusia walaupun baginda tidak ada PhD dalam bidang psycology, namun kesannya amat ampuh.

Menyelusuri Kalam Allah di dalam al-Quran mengenai perihal menyeru manusia berbuat kepada yang ma’ruf dan mencegah dari perkara munkar, membuat hati menangis dan bergetar tatkala melihat masalah sosial, akidah makin meruncing di dalam masyarakat.

Setiap akan diperhatikan, dinilai di sisi Allah Taala, apa sumbangan kita berikan kepada Islam, banyak sumbangan ‘kah’ atau banyak sumbang.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu ummat Islam-umat pertengahan-agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kamu” al-Baqarah (2:143)

Berilah sumbangan walaupun sedikit, bimbang kita akan terkejut dan mati akal bila anak sendiri, adik beradik sendiri merupakan perosak agama.

Teruskan Pembacaan>>>

Rabu, Mac 17

MATI

MATI... pemutus antara dua alam ditinggalkan dan dipertemukan. Dunia akan ditinggalkan, kubur pula destinasi dipertemukan, sebelum datang pula alam akhirat. Hakikat manusia tidak boleh lari dari mengalami saat dicabut roh dari jasad, kejam-kejam firaun pun hingga sanggup mengaku menjadi ‘tuhan palsu’ tersungkur ditelan laut merah, mati juga. Mati adalah syarat untuk bertemu Allah Taala.

Ramai takut berbincang soal mati, soal akhirat, ini kerana tiada persedian ke arah itu. Masih lagi sibuk soal business, perniagaan, saham, juara-juara lagu, skim cepat kaya. Kehidupan dunia dan akhirat kian tersisih, terputus dipertengahan, tiada lagi komunikasi.


Golongan dimaksudkan masih belum memahami kaitan hidup di dunia dengan hidup selepas mati nanti. Kalau dia faham, dia dapat menerapkan pula kepada ahli keluarga, jiran, kakitangan bawahan, teman-teman satu pejabat perihal mati, ajal. Benar, tidak salah dia tidak menghayati kerana tidak tahu, tidak memahami sebab dia adalah manusia, tapi bagaimana pula mereka berada di kiri, kanan, depan dan belakang beliau, tiada siapa sudi mengingatkan.


Kita sudah dikira mati apabila HATI sudah mati. Hidup dan mati setiap insan itu bergantung kepada kemahuan kita untuk berubah menjadi lebih baik. Kiranya kita bertekad untuk berubah. Mulakan langkah pertama untuk berubah. Nescaya Allah Taala pasti menolong para hamba yang mahu menghidupkan hati mereka yang sudah mati.


Ingat mati bukan takut mati.


Tidak dapat dinafikan memang ramai takut mati termasuk. Takut sebab amal langsung belum mencapai tahap kualiti tinggi. Hakikatnya setiap hari manusia akan mati, terlebih dahulu diuji mati (tidur) sementara. Diri terasa agak terpukul, dek kerana bebanan, bila memikirkan perpisahan dengan orang-orang yang disayangi meskipun tahu setiap pertemuan ada perpisahan.


Bagaimana persedian kalian?


Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, Mac 16

Perkongsian Hidup Dihayati

NABI s.a.w bersabda:

Bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah kamu yang terbaik kepada keluarganya, dan aku adalah orang yang paling berbuat baik untuk keluargaku!” (Hadith Riwayat Tirmidzi)

Berbuat baiklah kepada setiap insan, sesama manusia, tidak kira siapa kita dan ianya melatih diri bermula dari peringkat institusi keluarga lagi. Dalam segala kualiti yang boleh diukur pada jati diri seorang muslim, manusia yang dianggap terbaik oleh seorang Nabi, utusan Allah, adalah manusia mukmin yang berlaku baik kepada keluarganya.

Kebaikan adalah lawan setiap kejahatan, keburukan, atau kekurangan. Baik dalam erti kata sabar, ikhlas dan redha dalam menangani segala masalah, dugaan yang mendatang dalam melayari kehidupan yang fana ini.

Setiap sesuatu yang terjadi di dalam kehidupan ini adalah atas ketentuan-Nya bagi menguji kesabaran dan keikhlasan kita kepada tujuan hidup utama sebelum mati. Mati bererti berhenti, henti dari menikmati dan mengecapi kehidupan sebagai hamba-Nya yang sentiasa diuji.

Manusia yang sekeras batu pun hatinya, pasti akan lentur lembut dengan kebaikan. Batu yang mengalir padanya air walaupun setitis demi setitis akan terhakis sedikit demi sedikit sifat kerasnya. Jangan batu dibalas batu, nanti berkecai jadinya, harus ada sifat sabar.

Isteri dan anak adalah amanah yang mesti dipelihara dengan baik. Kesilapan dan kekurangan mereka hendaklah dipantau. Hubungan yang kukuh di antara imam dan makmum, membolehkan proses membetulkan itu dilakukan dengan baik oleh imam.

Begitulah perihalnya dengan bapa atau suami dengan isteri dan anaknya. Mulakan kewajipan membetul itu dengan membina hubungan terlebih dahulu. Sebagaimana jamaah menolak untuk dipimpin oleh imam yang dibenci, begitu jugalah isteri dan anak akan menolak nasihat dari seorang lelaki ‘asing’ bernama suami dan ayah.

MAIN PERANAN

Tugas mendidik, mengurus rumahtangga, dan menyiapkan rohani anak-anak bukan sahaja terletak pada bahu si isteri sahaja, tapi suami yang lebih daya kekuatan berbanding perempuan. Ramai lelaki terlepas pandang perkara ini kerana alasan sibuk.

Bila kita tengok zaman sebelum 70-an atau 80-an, memang kebanyakan wanita adalah suri rumah sepenuh masa. Kaum lelaki merupakan satu-satunya sumber kewangan keluarga. Masa itu mungkin susah benar kita hendak dengar suami tolong buat kerja rumah apatah lagi turun ke dapur.

Namun keadaan telah berubah di atas faktor pendidikan, sosio-ekonomi dan politik, wanita telah terjun ke bidang pekerjaan masing-masing. Malah ada di antara mereka yang menerajui sumber kewangan keluarga. Namun begitu, wanita tetap setia dengan kerja rumah dan dapur. Para suami masih lagi ditermakan sebagai membantu isteri di rumah dan bukannya isteri yang membantu suami.

Adakah memang fitrah wanita itu dijadikan untuk menguruskan rumah, memasak, menyidai kain dan sebagainya? Manakala lelaki pula hanya diciptakan untuk bekerja atau cari nafkah keluarga semata-mata?

Dari zaman nabawiyyah lagi wanita sudah menjadi usahawan yang berjaya, berperang bersama lelaki di medan perang dan menjadi ahli ilmu dan periwayat hadith.

Oleh itu, tidak tepat untuk mengatakan kaum Hawa telah berevolusi untuk mampu melakukan apa yang tidak mampu dilakukan sebelum ini. Soal kemampuan dan pencapaian wanita dalam mana-mana masyarakat harus dilihat dan dibincangkan berdasarkan latar masa dan sejarah masyarakat tersebut.

Dalam konteks Malaysia, bukankah dari dulu lagi lelaki dan wanita sudah bekerja bersama-sama di sawah-sawah padi dan bendang. Ibu-ibu juga menjadi pendidik dengan mengajar anak-anak agama dan mengaji. Semua ini sesuai dengan keadaan sosio-ekonomi masyarakat waktu dahulu berdasarkan pertanian dan unit-unit sosial yang tertumpu di kampung dan luar bandar.

Tidak timbul polemik pada zaman itu tentang wanita yang merasakan hidup mereka ditekan dan peluang untuk mengembangkan potensi diri mereka disekat. Struktur sosial yang sedia ada cukup mencapai tujuan sosial dan permintaan ekonomi waktu itu.

Zaman telah berubah, dan wanita hari ini memainkan peranan yang berbeza dalam sebuah negara yang demokratik dan mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Seharusnya tidak timbul masalah tentang penyertaan wanita dalam kemajuan masyarakat kerana hak-hak mereka dalam pendidikan, pemilikan harta dan hak di sisi undang-undang semuanya dijamin dan dipertahankan oleh Islam.

Masalah dan polemik yang timbul selalunya berkisar tentang sejauh mana penyertaan wanita dalam ekonomi memberi kesan kepada keluarga dan anak-anak, bagaimana wanita membahagikan masa antara kerjaya dan anak-anak di rumah, dan sebagainya. Terpulang kepada wanita itu untuk mencari jawapan kepada persoalan-persoalan ini.

Pandangan pembaca bagaimana pula?

Teruskan Pembacaan>>>

Pulihkan CINTA Kalian

“HANIS pulang lewat hari ini, ada banyak kerja di pejabat. Hanis minta maaf sebab terpaksa pulang lewat, dan lambat sediakan juadah makan malam buat abang..” suara ikhlas si isteri meredakan suasana, tatkala si suami juga penat bekerja menanti kepulangan permaisuri ke pangkuan.

“Hanis buatlah kerja tu, itu amanah hanis dengan Allah... amanah hanis dengan majikan, lagipun abang dah biasa macam ni masa-masa bujang dulu” si suami pula menyapa lembut, terus menempa ke hati si isteri mendamaikan petang seakan-akan kelam. Bebanan kian terasa, tatkala pernikahan baru mencecah usia tiga bulan, inai pun masih merah di jari.

Dia juga tahu amanah mahupun tanggungjawab itu harus dipikul, bukan dilepaskan atau dibiarkan. Orang normal akan tahu bebanan sebagai pasangan suami isteri itu bukan mudah selepas mereka berada sendiri di alam tersebut. Dulu memang tiada perancangan pun dalam buku catatan sebelum kahwin, yang ada hanya jumlah hantaran, bajet kenduri, kad jemputan, lokasi kahwin, mak andam, sewa kanopi, rahsia malam pertama, tanpa tersentuh apatah lagi menyentuh soal tanggungjawab, sedangkan perkahwinan itu amanah, katanya cukup kursus pra-perkahwinan.

Aduh...

Mulut memang mudah menutur, apakah akan sepersis perilaku?

Kita mudah menghadam nota-nota cinta di dalam drama bersiri, telenovela latin, di helaian buku-buku novel atau cerpen, tapi adakala benar juga bila sampai pada babak rumahtangga mithali, rumahtangga kecoh, rumahtangga hancur ianya berlalu bagaikan air, tidak ada muhasabah, air mata bercucuran kerana terlalu emosi menonton drama kegemaran, tapi kita lupa pada saat itu jua kita akan dan pasti mendepani keadaan sama dengan pasangan masing-masing kelak.

Kita jiwa hamba, jiwa kita kecil dan mudah tersentuh bila perasaan tidak sebulu dengan fitrah, di mana fitrah manusia normal senang hanyut kalau tiada iman sebagai pendinding. Kebal kita bukan kerana kuat, atau sihat tubuh badan, tapi kuat iman menahan asakan bak jarum menusuk halus di setiap penjuru. Kadang-kadang bila pernikahan terbina bukan lagi kerana cinta kepada Ilahi, maka tumbuhlah tunas lalang-lalang menghalang cahaya cinta Ilahi dari terus menerjah ke sumur hati.

Mulalah timbul bibit-bibit di hati mahu berpisah, baik hidup membujang daripada terus dilayan seperti ini. Kita juga lupa bila dah kahwin tiada lagi perfume melekat di badan seperti mula-mula seronok bercinta dulu, yang tinggal hanya bau hangit ketiak si isteri penat pulang kerja. Kini barulah tahu tembelang sebenar pasangan, si suami bangun lewat subuh, si isteri balik lewat malam tanpa izin.

Memang susah mencari seorang adam yang terfikir untuk berkahwin supaya seorang wanita halal baginya itu mengarah jalan menuju ke Syurga. Kita cuma terfikir kehidupan dunia sahaja, bila terdedah soal kahwin hanya berupa material luaran sahaja, tiada lagi pertimbangan rohani. Tiada lagi soal kebahagiaan si dia, kebebasan si dia, mengerti soal dia. Isteri pula berupa alat untuk melepaskan tempias nafsu menggelocak.

Kalian bukan sahaja hipokrit dengan pasangan, malah bersikap munafiq dengan Allah.

Kita mengharapkan dia baik, bagus, tapi tahukah kalian, dia juga teramat menagih kebaikan kita, tanggungjawab kita kepada institusi perkahwinan seperti ikrar kita dulu. Di mana janji-janji manis kalian dulu?

Benar…

Qadha’ dan Qadar adalah ketentuan daripada Maha Esa. Kita merancang, tapi Allah Taala akan menetukan soal jodoh, maut, dan rezeki kita. Berkali-kali saya pesan dulu, tidak penting di mana kita bermula tapi ke mana kita berakhir. Perkahwinan memerlukan komitmen yang tinggi, umpama mengemudi sebuah kapal yang penuh dengan pengisian barang-barang dagangan untuk di layari di tengah-tengah lautan, ia adalah tanggungjawab. Ingat! Laut pula tidak pernah sunyi dari ombak, pelayaran tetap diteruskan, tinggal lagi kebijaksanaan komunikasi antara nakhoda, dan para kelasi.

Seiringkan perjalanan tadbir, dan takdir.



Buku Berteduh Di Kebun Cinta


KENAPA MOTIVASI CINTA?


Bila mengenang balik kenapa saya beriya-iya menulis buku terbaru saya ini; Berteduh Di Kebun Cinta. Bukan mencari populariti, bukan niat saya nak jadikan buku ini best seller, ianya cuma satu anugerah tidak terhingga andai diberi peluang. Namun jauh di sudut hati saya ketika itu, adalah ingin melihat masyarakat kita terdidik dengan nilai kerohanian tinggi, agar muda-mudi remaja kenali diri, suami isteri mengerti, lantas melahirkan institusi keluarga bahagia. Hari ke hari memang kita sering dihadapkan masalah politik tanah air, tapi kita jangan lupa, saban hari, tiap-tiap hari kita juga dihidangkan masalah keruntuhan akhlak, masalah pergaulan bebas, sosial di sana sini, tiada lagi rasa malu asalkan nafsu serakah dapat dipuaskan.

Bayangkan perempuan sudah hilang dara pada usia 13 tahun, ketagihan hubungan seksual, bercinta hingga ke dalam kain, sanggup dibawa kekasih dicintai ke seberang, ini baru kes berjaya didedahkan di dada-dada akhbar tempatan, saya yakin masih banyak lagi berlaku di luar sana, bukan berganda, bahkan berganda-ganda.

Sedih hati, rasa geram pun ada.

Jujurnya, saya cuba untuk menyentuh golongan ini secara lembut, baik remaja, suami isteri, mahupun keluarga mengerti di sebalik kalam cinta diluah, dipatri antara kalian. Jangan lupa ramai juga di kalangan mereka berlatarbelakangkan agama, berkopiah macam pak lebai, bertudung litup, tapi masih gagal bila berhadapan krisis hati, soal cinta. Benteng iman perlu diperkuatkan dari rebung lagi, ajar anak-anak, didik mereka kenal cinta dan Pencipta Cinta.

Cinta adalah sesuatu sering kita bicarakan, cuma cara dan kaedah kita bercinta sahaja berbeda, perlu pada penghayatan mendalam. Cinta kita mahukan adalah bersalut redha Ilahi, cinta kita kepada pasangan kerana cinta kita kepada Ilahi, usahlah pula kalian halalkan cinta sebelum kahwin kerana ianya penuh noda. Berilah cinta kalian sepenuhnya kepada pasangan, si isteri pula usahlah pinta (talak) apa yang ada pada si suami sahaja.

Buatlah sesuatu atas dasar mencari redha Allah Taala, walaupun perlakuan tidak semudah tutur kata. Perjuangan itu memang memenatkan, kadangkala mengundang rasa putus asa. Ketahuilah, penat itulah bakal melahirkan ‘izzah seseorang hamba, dan ketabahan tiada nilai di sisi Allah Taala.

Duhai isteri... belajarlah untuk menjadi sekuat Siti Hajar, seteguh Siti Fatimah bila berhadapan hidup serba kurang, tapi cinta mereka kerana dan kepada Allah tidak pernah kurang. Inilah mahar kalian perlu dibayar demi meraih kekuatan cinta abadi dan iman yang kukuh. Segala-galanya kerana Allah, lillahi Taala.

Benarlah kata orang; Allah Taala bukan sahaja menguji cinta kita kepadanya tapi cinta kita kepada-Nya. Pulihkan cinta kalian kepada-Nya, demi cinta kalian kepadanya.


Teruskan Pembacaan>>>

Isnin, Mac 15

Di Sini Ku Bermula

SAYA percaya setiap daripada kita ada kenangan terindah disajikan di lipatan ingatan. Menarik, gembira, lucu, menyentuh hati sudah cukup membuat kita tersenyum sendirian di kala malam melabuh, di kala siang mekar disirami nur matahari, di kala senja beradu asmara. Mata akan mengukir bias dari pantulan reaksi anggota luaran, disuguh berkali-kali agar siaran tidak putus-putus. Kalau boleh kita sanggup habiskan masa untuk bercerita sahaja kenangan ini bersama teman-teman tentang ini dan itu, makin jauh kita kembara di hamparan dunia makin luas pengalaman dan kenangan dipungut.

Jujurnya, saya merindukan halaman sekolah, merindukan kalam guru-guru mengurai utaian ilmu di persisiran telaga tinta, merindukan senda teman-teman dalam gerak-kerja, merindukan masakan jamaah Masjid al-Aman mengusul makanan di kala keseorangan. Babak demi babak disoroti. Merindui sama erti mengulang-siar nostalgia dahulu hingga susuk badan kini menongkah arus masa lampau.

Kita tidak kaku beraksi di lensa dunia sama ada baik mahupun buruk. Kaki dan tangan kita tidak pernah mahu ambil tahu, tiada kompas memandu mahu. Risau juga, banyak yang gagal dari berjaya.

Sejak berpindah ke sekolah ‘genius’, saya tidak lagi menoleh ke belakang. Semua pelajar sekolah lelaki, berstail, bertrampilan, genius, dan mudah mesra serta rapat dengan guru. Para guru juga diajak untuk berantonasi seperti perwatakan pelajar, bukan pelajar harus ikut guru. Kaedah pembelajaran sedikit berbeda kerana sistem digunakan lebih sepadu, siapa lambat dia akan ketinggalan, maka persedian juga perlu rapi.

SMU (A) Maahad Muhammadi Lil-Banin (04-05)

Sekolah ini banyak mengubah persepsi saya pada kehidupan bermasyarakat, lebih ideal, tidak kaku berucap di hadapan hadirin ramai dalam satu-satu majlis besar, mengenal potensi, tidak pula pesimis dengan persekitaran. Pengalaman dipungut menggugah rasa ingin mencuba, ingin tahu itu dan ini.

Di luar kotak, para pelajar diajar proses memunggah maklumat dari pembelajaran teori, dilangsungkan secara praktikal terutama subjek-subjek ‘moral’, memandangkan sekolah ini menitik-beratkan pengajian agama-silibus diambil dari Mahaad Thanawi Bu-‘uth, Mesir- memungkinkan kedua-dua aspek rohani dan jasmani pelajar terjamin dan terjaga, namun pengajian akademik tidak pernah jatuh nombor dua, sama penting.

MINGGU PERTAMA

“Rezza, saya cadangkan awak dilantik sebagai naib ketua tingkatan, penolong kepada Ahmad Munir” jelas Cikgu Fauziah meredakan sedikit keresahan hati saya yang diminta hadir bertemu beliau tanpa sebab, ingatkan disabitkan kesalahan.


“Kenapa saya pula cikgu lantik, sedangkan ramai lagi yang lebih layak daripada saya. Apa saya boleh lakukan?” perasaan saya bercampur baur antara terima dan segan.


“Saya dah lihat rekod pencapaian awak, dan sememangnya awak layak. Harap awak jangan kecewakan saya” ujar Cikgu Fauziah yang begitu komited terhadap saya sejak melangkah menimba ilmu di sekolah elit itu dalam aliran sains hayat.


“Baiklah, cuma berilah saya sedikit masa untuk berfikir. Nanti saya beri keputusan secepat mungkin” saya tiba-tiba kaku anggota, kelu idea untuk putuskan jawapan di situ juga, apa yang susah sangat.


“Erm, okay tapi jangan lama sangat. Saya kira awak tidak akan tolak tanggungjawab ini” pesan Cikgu Fauziah dalam satu lafaz yang tersirat sebuah harapan. Harapan kudus agar tidak menolak.


Seorang guru yang begitu dedikasi dengan tugas mengajar, melicinkan kerja-kerja sampingan (sebagai guru pinitia), guru kelas dan sebagai seorang isteri kepada suami, serta ibu kepada anak-anak.


Saya, sejak bertukar ke sekolah Mahaad Muhammadi Lelaki (MML) sangat teruja dengan hasil kerja tangan Cikgu Fauziah.


Beliau menjadi guru kelas saya semasa tingkatan empat. Mengajar kami dalam matapelajaran Biologi, di antara subjek paling susah di aliran sains hayat.

Di sekolah ini semua pelajar adalah lelaki, tenaga pengajar yang bertungkus lumus memikul amanah suci ini hampir 100 orang, walaupun keluasan kawasan sekolah tidaklah begitu besar, namun proses menampung berbondong-bondong IQ para pelajar yang tinggi memerlukan khidmat kepakaran guru yang ramai agar mudah mencerna dan menghadamkan pelbagai ilmu mengikut tahap penguasaan masing-masing.

Kepakaran ini pelbagailah, antaranya yang paling ditekankan dari sisi kerohanian, bagi mengimbangi daya kepintaran, dan jasmani. Rekod perlu bersih, kena letakkan target dan priority yang setanding. Ini semua perlu dimaksimakan dan dijaga dari semasa ke semasa.

Kadang-kadang dalam semua sisi ini perlu diberi penekanan khusus, ianya boleh dianggap paling susah dari membentuk kanak-kanak berfikir, jangan ada yang silap kerana kelak entah-entah yang cerah jadi malap, yang bercahaya jadi gelap, akhirnya sukar untuk digilap. Kena hati-hati, apatah lagi produk ini akan digunapakai oleh masyarakat di luar sana pada suatu hari nanti.

Cabaran dari luar terhadap remaja juga tidak kurang hebatnya. Mereka diserang dari semua arah, media elektronik dan cetak. Anak terdedah dengan pelbagai budaya di luar batasan agama umpamanya televisyen memaparkan wanita tidak bertudung dengan fesyen pakaian menghairahkan serta adegan bergaduh dan hasad dengki.

Paling malang semua pelakon adalah orang Melayu, berstatus Islam. Jadi bagaimana kita hendak mengharapkan remaja menyemai fikrah Islam sebenar?

Jadi, aspek kerohanian bukan kerja yang perlu diperbodohkan atau dipekak-tulikan hingga memandulkan cara mereka menerap idea dari luar dan berfikir secara lestari melalui wadah yang lateral.

SMU (A) Mahaad Muhammadi Lelaki (MML) cuba menjawab semua persoalan ini.

BERTATIH DARI BAWAH

“Terima kasih kerana awak sudi terima” wajah Cikgu Fauziah berseri-seri dengan kuntuman senyuman sebaik sahaja menerima khabar baik dari saya.

“Insha-Allah saya cuba pikul tugas ini sebaik mungkin, lagipun Munir sukakan saya jadi partner dia. Berilah tunjuk ajar nanti” saya sedikit lega sebab dapat memuaskan hati seorang guru yang baik dengan pelajar-pelajarnya.

“Cuma satu, awak kena rajin” kata Cikgu Fauziah bersungguh-sungguh.

“Insha-Allah, terima kasih cikgu” balas pendek saya, sambil mencapai beg untuk pulang ke asrama.

Saya suka dan tenang melihat, memerhati lanskap kehidupan seorang pelajar sekolah ini, semua faham akan tuntutan yang dipikul sekarang, iaitu cari ilmu dan amanah kepada ibu bapa yang membayar harga tinggi untuk pastikan anak-anak bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan malah ilmu kerohanian manusia. Tidak kisah habiskan duit bagi semua ini, ianya ditangani dengan berkesan.

Saya berpagi-pagian ke sekolah, memandangkan jarak antara asrama luar (tempat saya tinggal) dengan sekolah hanya mengambil masa lima minit, akan menyelusuri jejantas yang tinggi melanggit, meredahi jalan berturap, dan melangkah tebing jalan sebelum sampai ke sekolah.

Rutin harian saya bertambah selepas taklif ini digendong. Kehadiran pelajar menjadi keutamaan kerja saya ketika itu, mencatat dan melaporkan kepada guru bertugas pada minggu tersebut, kerja saya agak mudah.

Belajar adalah bab lain, tugas sampingan bab lain pula. Bila belajar, belajarlah bersungguh-sungguh tanpa jemu, bila bertugas, bertugaslah bersungguh-sungguh tanpa ada rasa malas. Perlu pada kebijaksanaan ketika mengendalikan waktu belajar dan kerja, agar kebiasaan terurus mengundang kebahagian.

Istimewa bersekolah di sini, jujurnya proses pembelajaran dan pengajaran akan ditapis mengikut had kemampuan cara berfikir para pelajar, cukup kompleks. Tahu kena memberitahu kepada yang tidak tahu, tidak tahu atau kurang tahu kena ambil tahu dan kena bertanya, lantas tidak akan mengurangkan moral pada minat.

Cuba kita ambil tahu dan ingat.

Remaja adalah satu alam yang terdedah kepada pelbagai emosi. Apabila kurang berfikir maka mereka mudah terikut-ikut. Ini mungkin kerana didikan ketika kecil, kita selalu dilarang oleh orang tua-tua untuk banyak bertanya sedangkan pakar kanak-kanak mengatakan anak sepatutnya digalakkan bertanya. Soalan yang ditimbulkan anak menunjukkan mereka sedang berfikir dan ia suatu feedback yang positif.

Pencarian mutiara ilmu tiada penghujung, ianya sentiasa di bawa pulang sebagai simpanan berharga di lubuk hati. Di sana masak-memasak akan berlangsung dan ianya bergantung kepada chef yang memasaknya, sama ada sedap atau sebaliknya akan diketahui bila ianya disemadikan dalam bentuk makanan rohani. Jika baik hidangannya maka baiklah amal perbuatan, jika tidak elok amal perbuatannya maka tidak baiklah hidangannya. Mungkin bahan dan rencah yang digunakan tiada sukatan tertentu.

“Terima kasih Tuhan kerana kurniakan kami murabbi yang mursyid kepada kami. Inilah jua inspirasi kami untuk menongkah arus kejayaan”

ameen

Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, Mac 13

BDKC: Kelahiran Buku Terbaru

BENAR sungguh kata orang; penantian itu adalah satu penyeksaan. Bila mengenangkan balik diri ini bertungkus-lumus diketerbatasan masa dan kudrat untuk mengeluarkan idea bernas buat santapan minda, rupa-rupanya bukan mudah, penuh ranjau dan onak. Kesabaran amat diperlukan saat-saat ini. Orang tua selalu pesan, belajar dari pengalaman, belajar dari kegagalan, kerana semua ini merupakan aset kita bila berdepan pelbagai ragam dan suasana sebagai manusia.

Alhamdulillah.. terima kasih Tuhan.

Kini saya mampu tersenyum lebar, rasa syukur, puas tiada kepalang lagi bila penantian selama ini berakhir jua. Buku terbaru saya berjaya diterbitkan; Berteduh Di Kebun Cinta. Bagi seorang penulis, menanti hasil karya tulisan sendiri diterbitkan, bagaikan menanti penuh sabar saat kelahiran anak sulung, tiada apa bisa digambarkan ruh dan perasaan seorang ibu tabah melahirkan, dan seorang bapa sabar mendoakan, tiada terungkap melalui kata-kata melainkan sujud tanda terima kasih.

Perasaan mereka terukir dibalik kemeriahan kenduri ‘aqiqah, diadakan majlis tahnik pada hari ketujuh selepas kelahiran. Haiwan ternakan dikorbankan, dimasak sedap-sedap buat jamuan para hadirin, debaran selama ini sudah ditinggalkan kerana debaran di hadapan lebih perit dalam membesar, mencorak, dan mengatur sebuah denai perjalanan satu jasad suci bersih ini.

Menulis buku terbaru sungguh tercabar, bukan sahaja berdepan idea, solusi, dan tindakan bagi melahirkan satu-satu bab, bahkan perlu mendepani suasana, cuaca, komitmen undangan, dan pengajian, tiada masa mencukupi. Bila tahu sahaja bakal diterbitkan, rasa macam mimpi pun ada. Hanya Allah Taala sahaja tahu apa tersirat di lubuk hati ini.

BERTEDUH DI KEBUN CINTA

Buku BDKC ini masih mengekalkan konsep sama, genre Motivasi Cinta, Kekeluargaan dan Dakwah, lebih segar, lebih matang, banyak solusi diterapkan. Paling penting kenapa kalian harus memiliki buku ini ialah kerana penyampaian tidak berat, lebih santai, ilmiah, terselit Kalamullah dan Hadith baginda s.a.w, serta dihiasi kata-kata hikam.

Buku ini adalah idea asal daripada teman-teman seperjuangan yang banyak memberi sokongan kepada saya agar berani menerbitkan buku berbentuk motivasi cinta, kekeluargaan dan dakwah (islamik), sebagai satu perkongsian, kerana ianya jarang ditulis oleh mana-mana individu di bumi anbiya’ ini.

Satu garapan penulisan santai, dihidangkan bersama gugusan idea mampan, menyentuh kepelbagaian urna konflik cinta di kesemua peringkat, iaitu pelajar (remaja), pertunangan, perkahwinan, dan keluarga.

BDKC ini menyediakan ruang yang luas terhadap pembaca untuk menyaring daya taakulan terhadap konflik-konflik dan kaedah penyelesaian yang dibincangkan, bukan sahaja sebagai pengisian rohani, tapi memberi sendiri peluang kepada pembaca untuk bertindak balas di setiap tajuk.

Berbaloi menggenggamnya dengan harga ditawarkan.

Latarbelakang buku:
Nama buku: Berteduh Di Kebun Cinta
Penulis: Tuan Mohd Rezza Tuan Mohd Khanafiah @ Rezza Khanafiah
Genre
: Motivasi Cinta, Kekeluargaan, dan Dakwah

Jumlah bab/artikel: 37 artikel
Halaman: 230
Terbitan: Janub Saina’
Harga: LE27 (Mesir), RM30 (kos semasa-Malaysia-termasuk kos penghantaran)

Pelancaran akan diadakan serentak antara tanggal 20-25 Mac 2010, di seluruh Kaherah tertakluk pada budi bicara pihak penerbit serta perbincangan bersama.



Draf Kulit Buku Berteduh Di Kebun Cinta


KOMENTAR


Sedikit ulasan oleh Ustaz Muhammad Najid Abdullah, Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir, merupakan seorang penulis berkenaan buku ini:

Saya pasti genre penulisan dakwah sering ditulis di lembaran risalah-risalah, majalah Suara Kampus atau di blog mahasiswa/i Mesir. Ia barangkali terlalu sering sehingga kita terlupa ianya adalah suatu genre yang punyai daya yang kuat untuk menyentuh hati pembaca.

Ketika diminta untuk atur huruf dan pruf karya motivasi dakwah ini, saya terus menghayati setiap rangkap dan butir isi yang mahu disampaikan. Ia seolah sesuatu yang tersimpan lama lantas mahu dibungkus semula dengan penuh kreativiti. Khazanah yang belum ramai dikalangan kita terutama yang masih berada di Mesir untuk serius memperjuangkannya.

Barangkali boleh saya katakan bahawa percubaan penulis muda Rezza Khanafiah menterjemah dan mengangkat karya motivasi Cinta dan Dakwah lantas dibukukan adalah percubaan yang baik dan perlu diberi sokongan. Ia adalah momentum keberanian untuk memulakan sesuatu yang perlu dan tepat pada masanya.

Cinta pula barangkali punyai variasi sudut pandang. Ada yang terlampau obsesif hingga secara pasti akan melekat jika sesuatu karya tertulis perkataan cinta. Sebahagiannya pula sekadar menganggap ia perkara biasa dan mengambil tahu sekadar perlu. Ada juga yang menganggap ianya adalah sesuatu yang tipikal dan sering dimainkan hingga menimbulkan alergik yang secara spiritnya memudaratkan jiwa raga dengan tema cinta.

Pada saya kepelbagaian itu adalah lumrah. Paling penting kita tidak menolak kehadiran fitrah dan jangan sesekali menjadi obsesif yang melampaui had manusia dan agama.

Justeru, “Berteduh Di Kebun Cinta” yang lahir daripada kantung genre motivasi dakwah dengan mengangkat tema cinta ini adalah sesuatu yang segar. Pastinya ia akan membuka mata masyarakat akan kebolehan insan yang namanya ustaz dan ustazah.

Siapa kata kita hanya stereotaip, straight dan kaku dalam mengemudi bahtera dakwah sedang buktinya depan mata yang kita juga mampu melakar dakwah dengan penuh warna. Pastinya ia dipanggil hikmah. Bukankah ianya adalah salah satu wasilah dakwah sebagaimana terjemahan firman:

Serulah manusia menuju Tuhan dengan penuh hikmah dan peringatan yang baik..” (Surah Al-Nahl: ayat 125)

Sekian, syabas dan tahniah.

-Muhammad Najid Abdullah-

MENGAPA CINTA?

Begitu dalam erti cinta bila manusia menginginkan bahagia, tenang, damai di setiap helaian hamparan kehidupan duniawi. Bahagia dicari sudah pasti bermula dari segala hal baik-baik, tenang digali sudah pasti lahir dari permulaan baik-baik, damai disoroti sudah pasti berada di awal segala hal kebaikan. Penentu bahagia, tenang, damai adalah bermula dari langkah pertama, baik langkah pertama, insha-Allah baiklah langkah-langkah kita seterusnya.

Niat, nawaitu...

Cinta anugerah Ilahi. Cinta sejati yang datang dari lubuk hati yang dalam, itu yang dicari. Cinta pada Ilahi adalah tunggak segala-galanya. Apabila ianya kukuh di jiwa, tiada lagi masalah yang melanda. Cinta adalah satu kuasa dalaman, satu kuasa untuk diri mengubah keadaan. Cinta suci lahir dari hati yang kudus, bersih dari segala kekotoran dalaman dan luaran.

Ramai manusia diserang masalah berkaitan hati, cinta diraih sering kali gagal. Kadang-kadang kita juga sering salahkan takdir, sedangkan kita sebenarnya gagal menempatkan hati pada langkah pertama lagi. Mengalami masalah hati dan jiwa setiap hari, tapi tidak jumpa solusi yang pasti, selalu membuat kesimpulan gunakan hati (nafsu), bukan berdasarkan al-Quran dan al-Hadith.

Semua insan di dunia inginkan kesenangan dan kebahagiaan. Justeru, kekadang bila kita melalui hari dengan mudah pada satu-satu hari, rasa bersyukur teramat sangat. Manakan tidak, setiap hari sebelum memulakan hari baru, kita (niat) sentiasa berdoa demi kebaikan sepanjang hari pada hari tersebut, bermula pada langkah pertama.

Kekadang kita terlalu takut jika Allah Taala tidak menyayangi kita, bilamana kita tidak ditimpakan ujian walau sebutir zarah pada hari-hari yang kita hadapi. Ujian ini, bukan untuk menakutkan diri, tapi mencari hikmah tersembunyi.

Berterima kasihlah kepada Allah Taala kerana masih ditarbiah hati ini.

Cinta melulu hanyalah cinta orang yang lemah iman. Itulah yang berlaku dalam kehidupan kita selama ini. Terlalu sayang, sayang sangat-sangat hingga bisu untuk menegur kesalahan, sudah ketara, tapi buat-buat lupa, sudah tahu dan nyata, tetapi pura-pura buat buta. Hinggakan diri sendiri pun terikut-ikut dan sama-sama jadi buta, gelap gelita.

Ya, bila ujian Allah Taala datang mendidik diri, baru sedar, baru terngadah. Tapi syukur Allah Taala datangkan jua rasa redha di hati ini. Mujurlah jua Allah Taala tunjukkan jalan mengajar hati redha, terima hakikat.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)” asy-Syam (91:9-10)

Pasti kalian pernah merasai saat genting ini.

Ada yang selepas berumahtangga, pengamalan agama dianggap enteng. Jika dahulu impian ingin membina bait-muslim itu cukup tinggi tetapi apabila ada kelemahan, kekurangan dan kesilapan yang dilakukan, pasangan hanya mengambil langkah berdiam diri hanya kerana cinta, inilah cinta buta tidak nampak akan kesalahan, matlamat pula menghalalkan cara.

Bila cinta Tuhan diketepi, bila kasih sayang makhluk mendasari hati, nafsu menjadi raja dalam diri, kalam Tuhan tidak lagi diikuti. Sesungguhnya manusia apabila mencintai makhluk-Nya dan mendahului mereka dari Allah, maka tunggulah janji-Nya.

Kadang-kadang untuk menyeru kepada kebaikan agak sukar kerana sesetengah orang akan lebih nampak kepada keburukan. Namun begitu, kita boleh terus berusaha dan istiqamah dalam membuat kebaikan. Kebaikan tidak semestinya melalui lisan, tetapi boleh juga melalui perbuatan. Kadang-kadang apa yang kita buat lebih memberi kesan berbanding dengan apa yang kita cakapkan.

Dunia ini adalah madrasah cinta kita cari.

Allah Taala sedang mengajar dan mendidik kita. Suatu ketika dulu saya juga pernah mengalami perkara yang sama. Namun di teruskan juga menadah, meminta pertolongan Allah. Allah Taala akan terus mengajar dan mendidik kita dengan syarat kita mahu belajar sama ada dari pengalaman yang kita lalui, muhasabah diri seterusnya belajar ilmu-ilmu Islami.

Kita akan sedar, semua ini adalah untuk kebaikan kita juga.

Benarlah, cinta suci, bersih lahir pada langkah pertama kita. Baik niat kita, maka baiklah langkah demi langkah kita susuri.

KHATIMAH

Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih terutama buat bonda dan ayahanda tercinta kerana sentiasa doakan perjalanan hidup saya. Begitu juga kepada teman-teman seperjuangan yang banyak menyumbang idea, Ustaz Muaz Shukri, Ustaz Zul’atfi Asha’ari, dan ramai lagi. Dan tentunya buat Ustaz Muhammad Najid Abdullah, Ustaz Muhamad Zulkifli Abdul Ghani dan teman dari Penerbitan Janub Saina’. Moga ukhuwah kita berpanjangan.

Kepada Ustaz Wan Muhammad Hanif Wan Muhammad, cantik design kulit buku, tersirat penuh pengertian.

Saya percaya, membaca buku ini akan menyediakan satu peluang untuk pembaca mengenali diri, mengenali manusiawi, mengenali Ilahi dari konteks cinta yang sebenar-benarnya.

Moga-moga BDKC adalah titik-tolak bagi menetaskan jiwa hamba, tegar membaiki diri, bermujahadah setiap kali tersungkur untuk mengenali Sang Pencipta Cinta, iatu Allah Azza-Wajalla.

Bagi para pembaca, teman-teman berada di Malaysia, boleh dapatkan juga buku saya. Siapa berminat, boleh hubungi al-Fadhil Ustaz Zulkifli Abdul Ghani melalui e-mail beliau; shabab9119[at]yahoo[dot]com, atau SMS ke telefon bimbit; +20110480695, sertakan juga nama penuh, alamat surat menyurat, dan nombor telefon bagi international shipping.

Apa tunggu lagi. Jom dapatkan segera!!!

p/s: Bagi peminat buku di Malaysia, tempahan boleh dibuat sekarang, jaminan akan terus sampai ke dakapan kalian. Pembelian 100 unit buku dan ke atas akan diberi diskaun.

Teruskan Pembacaan>>>
 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal