PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Isnin, Disember 28

Review: Gelombang Cinta Anta Anti



Rupa-rupa ramai yang menyimpan hasrat untuk mendirikan rumahtangga, selepas tidak sampai satu hari artikel saya di bawah tajuk:

Romeo And Juliet Tinggal Sejarah

berjaya diterbitkan.

Mencurah-curah e-mail dan pertanyaan yang diajukan kepada saya, tidak ketinggalan juga yang bertanya secara langsung pada sesi soal jawab agama dan perkongsian yang diadakan sepanjang bulan Ramadhan. saya tersenyum sendirian bila mengenangkan kembali soalan yang ditanya ketika menyiapkan artikel ini.

Ustaz, saya pernah bercinta ketika di alam kampus dulu. Dia sering menabur janji-janji manis hinggakan saya hampir terhumban ke lembah maksiat. Alhamdulillah, kakak senior satu usrah sering menasihati saya. Sekarang bila dah berkahwin terasa diri ini kerdil untuk bercinta sebelum meraih cinta-Nya terlebih dahuluBerkongsi seorang kakak.

Saya sedang bercinta sekarang. Saya tahu tindakan kami ini salah, dan saya sering ingin mengelak, namun saya juga sering gagal. Apakah nasihat ustaz kepada saya yang sedang kebinggunganKeluh seorang mahasiswi.

Persoalan yang berkaitan dengan hubungan palsu ini memang komplektif untuk dibincangkan, banyak menimbulkan tanda tanya, di manakah garis pemisah yang sebenarnya, dan persoalan-persoalan mengenai kaedah betul untuk meleraikan ikatan hubungan haram yang telah terbina.

SERING TEWAS PADA KATA NAFSU

Memang penat bila berada dalam keadaan yang tidak pasti. Perempuan akan terasa teramat perit bila janji yang ditabur semasa melayan cinta buta, tiba-tiba terputus dipertengahan jalan.

Tidak rugi sandarkan harapan kepada Allah Taala, kerana masa depan, jodoh dan pertemuan dengan pasangan adalah di Tangan Allah Taala bukan di tangan si dia, walaupun si dia memberikan kepastian yang kalian berdua akan bersama nanti. Kita kena ingat Allah Taala penentu segalanya, andai diizinkan-Nya, maka bersatulah kalian.

Kalau hubungan yang meragukan ini masih kurang pasti masa depannya, kenapa perlu habiskan masa untukk fikirkannya? Kejarlah sesuatu yang pasti akan menjadi milik anda, iaitu kejayaan dalam pelajaran, dan membantu keluarga bila sudah berkerjaya kelak.

Dalam bercinta, sekuat manapun kita berusaha untuk mempertahankan dan membina impian indah, ia belum mampu menjanjikan sebuah episod kesudahan yang manis. Tapi dalam pelajaran, semakin kita berusaha, makin kita pasti kejayaan itu akan jadi milik kita, kerana Allah Taala tidak akan sia-siakan usaha hamba-Nya yang berusaha ke arah kebaikan. Pertanyaan ikhlas saya:

Adakah yang kalian lakukan semasa melayan cinta palsu ini dikira sebagai usaha ke arah kebaikan?

KASIH ABADI HANYA PADA HAK

Kita sedia maklum cinta adalah fitrah bagi setiap insan, setiap makhluk hatta haiwan sendiri mempunyai keinginn untuk berpasang-pasangan, jadi bercintalah tetapi mesti pada tempat yang betul iaitu yang telah disyari-‘atkan.

Jika bercinta hanya sekadar suka-suka, cubalah untuk hindari rasa cinta itu kerana ianya hanyalah mainan syaitan. Tetapi jika cinta yang menjurus ke arah perkahwinan, jagalah cinta itu baik-baik kerana cinta kita kepada Sang Pencipta Cinta.

Ramai di kalangan para sahabat yang merupakan mahasiswa, masih menuntut berhasrat untuk menghabiskan pelajaran dan kemudian baru memikirkan soal kahwin, saya amat menyokong niat suci itu. Namun jika kemampuan untuk berbuat demikian (berumahtangga) sebagai menyahut seruan yang telah sampai, lakukanlah dengan jujur dan ikhlas sebagai suami dan isteri.

Ingat ! Jodoh pertemuan ditentukan Allah Taala. Bercinta sahaja bukan jalan untuk kita memiliki orang yang kita cintai. Apa yang kita mahukan adalah redha Allah Taala semata-mata kerana kepada-Nya jua kita dikembalikan.

Andai ada di kalangan sahabat kalian yang mencintai seseorang, tetapi ingin menghindari dari berlaku perkara yang boleh melanggar batas-batas syara’, janganlah rasa bimbang jika tidak bercinta. Berdoalah kepada Allah Taala. Hubungan yang diredhai Allah Taala itu adalah terbaik.

Maka amat celakalah jika agama diadatkan. Ingatlah wahai sahabat bahawa cinta tanpa hala tuju hanya mengundang musibah yang cukup besar dalam hidup anda. Penawarnya belum tentu terjumpa, kalau ada sekalipun belum tentu mujarab sepenuhnya, kesan parutnya tetap ada.

Definasi cinta itu buta pada saya adalah bila seseorang bercinta, mereka menjadi buta terhadap sekeliling, terhadap hukum, dan syari-‘at dengan merasakan segala perbuatan mereka benar walau mereka sedang melakukan maksiat.

Wahai sahabatku, janganlah bermimpi untuk ber-couple jika anda tidak cukup sayang kepada Allah Taala, Nabi dan keluarga. Anda tidak berlaku adil jika sanggup sayangkan perempuan, mahupun menyayangi lelaki yang belum muktamad menjadi suri hati kalian lebih daripada yang lain. Alangkah indah dan bahagianya bila Islam menjaga hubungan kita sesama muslim.

MELURUSKAN JALAN MENUJU ALLAH

Setiap pekerjaan perlu dimulakan dengan niat. Setiap apa yang kita laksanakan untuk kehidupan perlu ada tujuan. Mungkin kita perlu bahagikan kepada beberapa tahap, mengikut tahap kehidupan kita di dunia ini. Paling kurang tiga tahap, jangka pendek, sederhana dan panjang.

Keutamaan berilmu menjadi tujuan paling penting dalam hidup kita. Jangka pendek, menimba ilmu yang selalunya bermula di sekolah rendah adalah untuk berjaya dalam ujian, kerana ujian itu adalah untuk menguji kefahaman kita pada apa yang telah dipelajari. Jangan belajar untuk ujian tetapi belajarlah untuk kefahaman.

Jangka sederhana, menimba ilmu untuk mendapatkan pekerjaan. Jangan sempitkan minda tentang pekerjaan pula, tertumpu hanya untuk makan gaji sahaja. Islam menggalakkan perniagaan, oleh itu perkerjaan di minda adalah untuk berniaga. Maka sekiranya tujuan jangka sederhananya untuk menjadikan berniaga sebagai kerjaya, silibus sekolah perlu diperluas sendiri. Kalau ambil silibus sekolah sahaja, yang belajar sains dan agama tiada pengetahuan tentang perniagaan.

Bila sudah melatih diri dengan tujuan jangka pendek dan sederhana, jangka panjangnya datang lebih mudah, iaitu untuk mencari dan mengenal Tuhan. Hidup di dunia yang merupakan salah satu dari tujuh alam yang bakal dilalui, jika difahami, akan membuatkan kita mengenal siapa kita sebenarnya dan bagimana perlu diperhalusi semua tujuan-tujuan di atas.

Berniaga itu luas ruang lingkupnya, kerana Allah sendiri menggalakan kita berniaga dengan-Nya. Segala modal telah Dia berikan, terpulang pada kita membuat perancangan rapi, agar rate of return dapat dimaksimakan. Tidak lain yang perlu untuk menjayakan perniagaan adalah laporan kewangan, bermula dengan penulisan rapi buku simpan kira-kira. Ramai yang tersalah ambil konsep simpan kira-kira ini, disamakan dengan berkira. Buka minda jangan berkira tetapi simpanlah kira-kira.

PESANAN BUAT SUAMI ISTERI

Kadang-kadang saya nampak mereka yang telah berlayar bersama bahtera kasih yang sah terasa kekok untuk mengendalikan rumahtangga, walhal mereka telah pun disumbat dengan pelbagai teori semasa kursus perkahwinan, paling kurang pun mereka sedar tanggungjawab sebagai pasangan suami isteri.

Terutama dalam hal menguruskan rumahtangga.

Bab yang berkaitan dengan house skill seperti memasak, mengemas, menjaga anak dan sebagainya akan nampak kepentingan selepas berkahwin. Hubungang suami isteri bukan terhenti sekadar menikmati tuntutan batin dan mencari nafkah zahir bahkan lebih dari itu. Kalau dah kedua-duanya bekerja, maka perlu ada toleransi antara suami dan isteri, sebab kedua-duanya sama-sama penat.

Para suami tidak kekok untuk menguruskan rumahtangga, disebabkan lelaki lebih banyak daya kekuatan berbanding dengan perempuan, maka hulurkanlah tangan untuk ringankan beban. Wanita bukanlah superwoman, tapi ramai yang terpaksa. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Tiada sebab kaum adam, apatah lagi kaum hawa tidak tahu tentang house chores.

Moga terpelihara niat untuk melihat siapakah insan yang dijanjikan oleh Allah Taala untuk menemani diri ini. Tiada cinta paling selamat melainkan selepas Ijab dan Qabul, dan tiada cinta paling abadi melainkan Cinta Agung-Nya.

ameen


Teruskan Pembacaan>>>

Ahad, Disember 27

Warkah Kasih Buat Teman



Alhamdulillah, di dalam kesibukan saya, masih sempat untuk mengisi utaian manik-manik di lembaran ini. Pasti ada antara para sahabat yang menunggu buah tangan terbaru saya. Terima kasih untuk itu.

Untuk artikel kali ini, izinkan saya berkongsi warkah kasih ini yang ditulis sebagai menemani kedukaan seorang pengunjung laman ini yang sedang meratapi pemergian ibunya tercinta. Mudah-mudahan sedikit terubat kelaraan Qalbunya menahan tusukan halus jarum kesedihan ini.

Inilah isi kandungan Warkah Kasih Buat Teman...

Buat teman Ku dikasihi,

Bangkitlah...

Baik buruk perjalanan hidup kita di atas hamparan duri dunia, masih ada lagi yang sudi menghulur tangan, memberi kasih dan sayang, dan turut merasai keperitan diari tersurat, memberi harapan di sebalik tersirat. Tiada hati paling sempit daripada manusia yang alpa mengingati Allah, tiada jiwa paling resah daripada manusia menggantungkan hatinya selain kepada Allah Taala.

Tidak cukup dengan apa yang ada, dan terus haloba dengan apa yang tiada.

Wahai teman...

Aku mengerti dengan apa yang sedang menimpa dirimu. Aku bisa merasai kesedihan demi kesedihan menimpa dirimu. Jatuh, dan jatuh lagi. Hinggalah kamu bangkit dalam perjuangan hidup yang telah menelan ramai manusia yang kering daripada rahmat Ilahi. Di saat kamu bangkit, tiada siapa yang sudi ambil tahu dan mahu. Kepulangan ibumu tersayang ke rahmatullah menambah lagi liku-liku hidupmu, menambah lagi bebenan yang sedia ada.

Aku tahu, aku mengerti...

Saat aku menulis surat ini, mungkin engkau masih meratapi pemergian ibumu tercinta. Namun kamu tidak perlu bersedih, kerana masih ada aku dan teman-teman yang setia di sisi.

Ibumu yang telah meninggalkan kenangan indah bersamamu sebagai anak tunggal yang kehilang kasih ayah semasa kecilmu. Kenangan yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hidupmu. bercindai, tawa, suka, ukiran senyuman dan semua yang ada pada arwah ibumu akan menjadi ubat di saat kamu merindukan belaian lembut arwah.

Maafkan aku teman. Andai di saat aku menikmati keindahan pelangi cinta dan kasih bersama insan tersayang di sisi, tidak pula dirimu yang dipaksa menongkah kedingingan dan kepanasan mehnah keseorangan tanpa bumbung menangkis kerakusannya merobek jiwa kecilmu.

Sebenarnya, arwah ibumu jua tidak mahu perpisahan ini berlaku di saat kamu perlu bangkit meredah, membaca suratan dunia yang berpuakan ini. Namun Tuhan berkehendak lain. Bukan kerana Dia benci kepada ibumu, tapi karena Dia menyayangi ibumu dari yang lain. Dia tidak menghendaki ibumu menderita dengan menahan rasa sakit yang berpanjangan. Aku yakin, itulah jalan yang terbaik bagi ibumu. Kerana Dia selalu memberikan yang terbaik bagi Hamba-Nya.

Engkau tidak perlu menyesal dengan semua yang telah berlaku sepanjang pemergian ibumu mengadap Tuhan Esa, kerana aku yakin kalau semua itu akan menjadi keinginan ibumu yang terakhir. Aku mengerti perasaan itu tidak bisa dibohongi, apatah lagi menyembunyikan kebenarannya. Aku tahu engkau sangat mencintai arwah, demikian juga sebaliknya. Tidak mungkin ibumu sanggup menyembunyikan sakitnya itu demi menghilangkan kerisauan dirimu, dan dirimu tidak pernah sirna dari menyediakan keperluan ibu di saat mudamu ini.

Ingatlah Allah di kala dukamu ini.

Tiada Syurga paling indah tika hidup di dunia melainkan ketabahan semasa rebah, kesabaran semasa meredakan baran. Tiap-tiap saat di titisan keringat itu meluaskan lagi hamparan istana di Syurga akhirat-mu nanti. Ingatlah Dia, pasti Dia memandang keperluanmu di kecercaan menakutkan ini. Ujian ini, adalah tanda kasih dan cinta-Nya kepadamu. Dia telah memilih dirimu antara seribu. Hargailah untuk kamu berubah.

Wahai teman...

Jujurnya, aku sepatutnya berasa dengki dengan keadaanmu. Aku tidak pernah teruji seperti apa diuji kepada dirimu ini. Malam pasti berlalu, bebelengu pasti patah. Dunia ini tidak pernah membiarkan seseorang hidup kekal, dan tidak pula membiarkannya dalam suatu keadaan yang beerti. Kamu mesti keluar dari kepompong ini secepat mungkin, demi janji-janji Ilahi kepada setiap hamba-Nya. Kamu pasti...

Katakanlah kepada kaum Badwi itu, sesungguhnya engkau telah dibebaskan dari perjalanan di malam hari yang kelat, gelap gelita yang pekat dan dari menempuh padang sahara yang jauh, panas lagi meletihkan. Tinggalkan kisah silam yang menjenuhkan itu. Mulakan langkah sekali lagi.

Kita pasti bangkit.

Engkau tidak perlu meminta maaf. Sebelum helaan nafas terakhir ibumu, dia sudah memaafkan dirimu. Justeru, mulakan diari hidupmu yang baru, simpanlah diari lama ini agar ianya masih segar diingatan, yang sudi menemanimu, mengagahi langkahmu, dan menjadi tempatmu bermanja senda.

Kini ibumu telah pergi. Terimalah hakikat takdir-Nya. Tentu arwah tidak akan kembali melakar diari baru bersamamu. Engkau adalah engkau.

Bangkitlah...

Peraih Cinta-Nya

Teruskan Pembacaan>>>

Khamis, Disember 24

Andai DIA Cinta Terakhir


Inilah cerita hati saya setiap kali dilimpahi luahan ditinggalkan kekasih dirindui, bila saat cinta bukan lagi keutamaan, bila keayuan sri wajah tiada lagi nilai pada pandangan. Isinya seakan-akan sama, lontaran apa, bagaimana, dan kenapa sering dialpakan bila berdepan dengan konflik ini. Muhasabah bila ada masalah, bukan sebelum ‘mencari’ masalah.

Terumbang-ambing merupakan hiasan pada pasti bila muncul masalah, adalah ciri yang pasti bila ditimpa musibah dan bila dihempas bencana. Dada selalu bersarang semak-samun kedukaan. Di setiap sudut wajahnya terpancar kesedihan, air mata menemani di saat ini sebagaimana kesedihan yang terpalit di sebalik peristiwa di lembah Bani Sa-‘ad.

Berapa ramai lagi orang yang terpenjara dogma cinta buta ini, daripada hanya puluhan luahan malang yang telah saya terima. Jujurnya, saya tiada jemu untuk berkongsi ini dan itu, tapi sampai bila kalian ingin terus dipenjara khayalan bodoh ini.

Andai tiada ingin untuk berubah, kalian akan diubah oleh suasana. Penjara saya maksudkan ini tiada had masa, mungkin hanya untuk beberapa jam, beberapa hari, atau mungkin berbulan-bulan lama. Penjara dahsyat ini kering dengan pantulan cahaya cinta Ilahi, dan hanya bertemankan jeriji bebal untuk terus berubah.

Anda akan merasakan bahawa penjara ini sebahagian daripada duri-duri halus yang terbenam di laman hati nurani kalian tanpa diundang. Merasainya adalah penderitaan yang tiada kepalang.

Anda adalah diri anda, berubahlah untuk menemui cinta yang dijanjikan Ilahi, cinta pasti dan mesti.

Berapa ramai orang tua yang kehilangan permata hatinya pada saat masih muda belia. Masa yang seharusnya dihiasi oleh kesenangan, kebahagian namun terpalit dengan kedukaan, kesedihan kerana mengagungkan cinta manusia lebih daripada cinta Ilahi.

Ada benar juga bidalan arab, berada di dalam kesenangan tanpa muhasabah lebih sulit daripada manusia yang berada dalam kesusahan. Menahan himpitan hidup berbentuk material, hutang, dan keluarga.

Berubahlah untuk mengubah.

قالَ رَسُولُ الله : اِنَّ اللهَ اِذَا أحَبَّ قوْمًا ابْتلاهمْ فمَنْ رَضِيَ فلهُ الرِّضَا ومَنْ سُخِط فلَهُ السُّخُط

Nabi s.a.w bersabda: Bahawasa Allah bilamana mengasihi sesuatu kaum akan ditimpakan ujian ke atas mereka. Barang sesiapa redha (akan ujian) maka baginya keredhaan Allah, dan barang siapa benci (putus asa) maka baginya jua kebencian Allah (daripada memandang) (al-Hadith)

Cinta semata-mata tidak akan mampu mempertahankan keharmonian hubungan uda dan dara di alam pertunangan mahupun cinta palsu, dalam hubungan masih samar. Perkahwinan dimulakan oleh cinta, tanggungjawab akan menyempurnakan cinta. Cinta adalah perasaan, terisi tanggungjawab adalah antara tunjang paling ampuh.

Ingatlah, pergaulan bebas akan mematikan rasa tanggungjawab selepas kahwin. Melakukan hal ini, bererti kalian saling mencari murka Allah walaupun niat masih membasa-basi inginkan keredhaan Ilahi.

Pilihan di tangan kalian. Mencari murka manusia hanya kerana meninggalkan cinta ‘dosa’ itu, atau terus menerus berada dalam kemurkaan Ilahi kerana hanya mencari kasih manusia.

Akan tiba masanya, sesuatu yang kita lihat indah dahulu tidak indah lagi kini, andai hanya bergantung pada cinta semata-mata, hanya tahu memuaskan nafsu di sebalik kasih ‘dosa’ yang dihulurkan, cinta suci kononya yang dicari akan terus kotor kerana tangan busuk kita.

Berubahlah untuk mengubah.

KEMUDI CINTA

Cinta adalah api.

Cinta yang sejati ialah cinta yang tidak bertambah kerana kebaikan dan tidak berkurang kerana kesalahan.

Namun kita tidak akan pernah tahu sama ada api itu akan menghangatkan atau menghanguskan hati. Memberikan seluruh cinta kalian kepada seseorang bukanlah jaminan dia akan membalas cinta kalian, memberi sepenuh jiwa dan raga.

Bahagiakan hati kalian hanya cinta kepada-Nya.

Mengungkap cinta dan janji setia itu mudah, namun mengotakan cinta dan janji setia itu susah. Buat lelaki, cinta dan janji setia yang hancur buat insan lain terasa parah dan perit menanggung.

Masa depan yang cerah selalu bergantung pada masa lalu yang dilupakan. Kalian tidak dapat hidup terus dengan baik andai tidak melupakan kegagalan dan sakit hati di masa lalu.

Mencintai juga bukanlah bagaimana kamu melupakan dia bila dia berbuat kesalahan, melainkan bagaimana kamu memaafkan, dan terus meninggalkan dia jika tidak mampu untuk mengakhirinya dengan ikatan. Mendengar adalah proses belajar paling berkesan ketika ini, usahlah mengkritik kerana hanya ingin menghalalkan perbuatan kalian.

Percayalah pada pilihan (takdir) Allah Taala, pilihan paling bijak pada surat cinta seperti terkandung isi tersurat mahupun tersirat di lembaran Kalam suci Ilahi. Insha-Allah terbaik buat hamba-Nya yang berakal.

وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ خَيۡرٌ۬ لَّڪُمۡ‌ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ شَرٌّ۬ لَّكُمۡ‌ۗ

Allah Taala berfirman yang bermaksud: Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ianya amat baik bagimu. Boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ianya amat buruk bagimu... al-Baqarah (2:216)

Hidup adalah seni, seni dapat dipelajari dan ditekuni. Belajarlah dari alam terbentang luas di hadapan kalian. Musibah datang adalah untuk dimuhasabah. Ketahuilah itulah tanda kasih dan cinta Ilahi kepada kita, sabar adalah aset utama.

Ramai yang tidak tahu atau mampu melihat keindahan hidup ini. Ini kerana buta mata hati, kerana terlalu menikmati manis kebendaan, perasaan yang lansung tidak mengeyangkan rohani kalian selama-lamanya. Tujuan hidup sebenar dipersiakan, dan dibiarkan begitu sahaja tanpa pengisian.

Berubahlah demi untuk mengubah.


video

Cinta Terakhir: Aiman-AN‘08


DIA CINTA TERAKHIR

Cinta memang hebat.

Andai cinta kalah oleh mainan perasaan, itu menunjukkan cinta kita belum benar-benar cinta. Kita bukan cintakannya, tetapi hanya cintakan kecantikan, keayuan wajah yang hanya bertahan hingga ke suatu masa sahaja. Allah bukan sahaja menguji cinta kalian kepadanya, tetapi menguji cinta kalian kepada-NYA.

Memberi cinta untuk dicintai. Penuhi cinta Allah untuk dicintai-Nya. Memberi bukan sahaja pada harta, masa atau tenaga, namun pada ilmu yang bisa mententeramkan jiwa, menjadi simpanan yang tiada pernah kurang bila diguna.

Kejujuran itu kekasih Allah.

Di mana kelembutan itu berada, ianya akan menyelubungi tempat itu. Bila memenuhi taman bunga, bunga akan mekar harum mewangi, bila membasahi aliran sungai, sungai akan mengalir manja. Inilah anugerah Ilahi, dikurniakan pada kelembutan sesuatu yang tidak diberikan kepada kekerasan.

Jangan mendaki puncak hanya untuk meninggikan tempat jatuh. Jangan bermain api, kalau sudah tahu sifatnya membakar. Usahlah melakar cinta suci kerana hanya ingin mengusutkan cita-cita. Tinggalkan cinta palsu ini, kalau sudah tahu mudharatnya lebih banyak dari manfaat.

Buatlah pilihan tepat. Mujahadah adalah keutamaan.

Air mata yang meratapi kesedihan ditinggalkan kekasih, belum memadai untuk memadam amarah api neraka membakar. Air mata adalah modal kalian, modal bagi orang-orang mukmin sebagai tukaran dengan syafaat Tuhan. Belailah ia, usahlah dinodai.

Kalian mesti mulakan langkah mujahadah ini sekali lagi, usahlah berhenti untuk terus mengharap, ada hikmah tersirat di sebalik tersurat itu.

Moga cinta-Nya teraih jua.

ameen


Teruskan Pembacaan>>>
 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal